- 26Share sekarang!
- Email3
- Facebook23
- Share
Baru-baru ini, tindakan PM Anwar Ibrahim melantik Nurul Izzah sebagai penasihat kewangan telah mendapat kritikan ramai. Walaupun jawatan ini adalah tidak bergaji, ramai mengatakan yang ia berbaur nepotisme serta menyoal kelayakan Izzah berbanding pakar-pakar ekonomi lain di Malaysia.
Tapi selain daripada Izzah, siapa lagi keluarga ahli politik yang turut masuk campur dalam parti? Kita semua kenal nama-nama besar macam Hishamuddin Hussein atau Mukhriz Mahathir, tapi kali ni kami nak senaraikan empat lagi ahli politik daripada keluarga ternama yang mungkin ada yang tak tahu, termasuklah:
1. Onn Hafiz Ghazi: MB Johor dan anak saudara Najib
Keluarga Hussein dan Razak adalah dinasti politik paling berpengaruh di Malaysia yang melibatkan:
- Jaafar Muhammad: MB Johor pertama
- Onn Jaafar: Pengasas UMNO, MB Johor ke-7
- Hussein Onn: PM ke-3
- Hishamuddin Hussein: Bekas Menteri Pertahanan
- Abdul Razak Hussein: PM ke-2
- Najib Razak: PM ke-6
Siapa pulak Onn Hafiz Ghazi ni? Dia merupakan cicit kepada Onn Jaafar, cucu kepada Hussein Onn, dan anak saudara kepada Hishamuddin Hussein dan Najib Razak.
Onn Hafiz mula bertanding dalam PRU 2018 di Layang-layang dan menang undi minoriti. Pada PRU 2022, Onn bertukar ke Machang dan menang undi majoriti.
Kontroversi pemilihan MB dan 1MDB
Sama seperti nenek moyangnya yang dah lama pegang Johor, Onn Hafiz Ghazi dilantik sebagai MB Johor pada 15 Mac 2022 dalam langkah yang agak kontroversi. Ini kerana pada mulanya, Zahid Hamidi kata tugas tersebut akan diteruskan oleh Hasni Mohamad. Tapi sehari sebelum mengangkat sumpah, tiba-tiba Hasni berundur untuk memberi laluan kepada Onn Hafiz. Perkara ini telah dikritik oleh pelbagai pihak temasuklah orang veteran UMNO sendiri.
Sebelum jadi MB Johor, tak banyak yang diketahui tentang Onn Hafiz selain daripada kaitannya dengan kes 1MDB. Pada April 2019, dia mengaku telah menerima cek berjumlah RM240 ribu daripada Najib untuk melancarkan portal Malaysian Digest.
2. Nizar Najib: Anak kandung dan bakal pengganti Najib
Sebelum PRU-15, satu-satunya anak Najib yang popular adalah Riza Aziz yang juga terlibat dalam kes 1MDB, di mana jutaan duit didakwa telah disalurkan ke filem Wolf of Wall Street. Tapi kami dah pernah bersembang pasal keluarga tiri Najib sebelum ini, hari ini jom kita beri perhatian kepada anak kandung dia pulak.
Ini kronologi ringkas perjalanan politik Nizar:
- Tahun 2018, dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO apabila menang tanpa bertanding.
- Tahun 2020, dikatakan akan menjadi calon UMNO bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Chini, tapi kemudiannya diberi kepada orang lain.
- Tahun 2022, bertanding di Peramu Jaya dalam PRN Pahang. Nizar menang undi majoriti, dan sekarang ni duduk dalam Dewan Negeri Pahang.
Perjalanan politik Nizar setakat ni masih sangat baru. Para pemerhati masih memantau sama ada Nizar akan dapat jalan singkat kerana bapanya, atau dia boleh buktikan yang dia mampu meraih sokongan rakyat dan parti.
Tak bayar RM13 juta cukai
Pada tahun 2020, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan Nizar untuk menjelaskan RM13 juta duit cukai yang tidak dibayar sepanjang tempoh 7 tahun. Nizar mula-mula nak buat rayuan, tapi kemudiannya bersetuju untuk membuat bayaran kepada LHDN.
Tak banyak maklumat lain yang kami dapat mengenai Nizar. Tapi boleh kata daripada segi culas bayar cukai, Nizar taklah seteruk adiknya Nazifuddin (RM37.6 juta) mahupun Najib sendiri (RM1.69B).
3. Lim Hui Ying: Timbalan Menteri Pendidikan dan adik Lim Guan Eng
Lim Kit Siang dah pencen daripada bertanding. Lim Guan Eng pula tak pegang sebarang jawatan kabinet sekarang ni, dan dia masih menghadapi kes mahkamah. Tapi ada seorang lagi ahli keluarga Lim yang bergiat aktif dalam politik, iaitu Lim Hui Ying.
Hui Ying bertanding dalam PRU buat kali pertama pada tahun 2022 di kawasan Tanjong, dan menang. Di bawah pentadbiran Anwar, Hui Ying dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.
Kontroversi perlantikan senator
Ramai mula dengar nama Hui Ying apabila dia dilantik sebagai senator sewaktu pentadbiran Mahathir. Bagi yang tak tahu, senator adalah ahli Dewan Negara yang dilantik oleh parti dan bukannya melalui undi PRU macam MP yang lain. Perlantikan ini mendapat kritikan ramai yang mengatakan ia berbaur nepotisme.
Hui Ying membidas dengan mengatakan yang dia ada 20 tahun pengalaman dalam politik dan merupakan Setiausaha Agung DAP Penang. Tapi selain itu, susah nak cari rekod Hui Ying kerana dia tak bertanding dalam sebarang PRN Penang, dan PRU pertamanya adalah tahun lepas. Malah tahun lepas juga adalah kali pertama Hui Ying masuk Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP.
Perlantikan Hui Ying sebagai Timbalan Menteri Pendidikan menimbulkan tanda tanya. Adakah ia sekadar saguhati kepada keluarga Lim? Kenapa tak lantik orang kuat PH lain seperti Gobind Singh? Pada masa yang sama, kabinet Anwar juga menyaksikan ramai ‘muka baru’ lain seperti Fadhlina Sidek sebagai Menteri Pendidikan dan Dr Zaliha sebagai Menteri Kesihatan.
4. Jagdeep, Gobind, dan Ramkarpal Singh
Selepas kematian Karpal Singh pada tahun 2014, tiga orang anaknya terus aktif dalam politik, dan di sini kami akan ringkaskan rekod mereka di pilihanraya:
Jagdeep Singh Deo |
|
Gobind Singh Deo |
|
Ramkarpal Singh |
|
Oleh kerana Karpal Singh adalah otai besar DAP, senang nak kata jika ada unsur-unsur nepotisme atau pilih kasih dalam parti. Tapi dengan rekod pilihanraya ini, kita boleh tengok sama ada mereka turut mendapat mandat rakyat ataupun tak.
Contoh di sini adalah Ramkarpal Singh. Bila PRK Bukit Gelugor dijalankan untuk mencari pengganti ayahnya, PH menghantar Ramkarpal sebagai satu-satunya calon. Adakah itu dikira nepotisme ataupun strategi? Apa yang pasti, Ramkarpal berjaya mempertahankan kerusi tersebut dalam dua PRU berikutnya.
Selain daripada sokongan rakyat, kita juga nak tengok sama ada mereka turut mendapat sokongan parti. Gobind Singh Deo contohnya, mendapat jumlah undi tertinggi dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP baru-baru ini (Anthony Loke tempat ke-3, Guan Eng tempat ke-8).
Kareer undang-undang
Setakat ini kami tak sebut pasal kareer di luar politik, tapi untuk keluarga Karpal Singh ada kaitan sikit.
Mendiang Karpal Singh adalah peguam bela bagi Anwar dalam kes liwat tahun 1998 dan 2008. Anaknya Ramkarpal juga merupakan salah seorang peguam dalam kes liwat kedua.
Ramkarpal juga mengambil alih firma guaman ayahnya di Pudu Lama. Yang ini kira nepotisme ke? Mungkin juga, tapi untuk bisnes sendiri mungkin orang tak ambil peduli sangat, terutamanya kalau ianya bisnes kecil atau sederhana.
Amalan nepotisme boleh mencalarkan prinsip parti dan pemimpin
Perkataan nepotisme memang berbaur negatif di kalangan rakyat Malaysia, tapi kenapa? Kita tak kisah bila Wan Azizah mengemudi kepimpinan PKR sewaktu Anwar dipenjara, malah Nurul Izzah sendiri diangkat sebagai Puteri Reformasi sepanjang perjalanan politiknya sebelum ini.
Tapi bila Izzah diumumkan menjadi penasihat kepada PM, itu yang buat ramai orang was-was. Ini kerana jawatan tersebut seakan-akan dicipta untuk melantik ahli keluarga yang tidak dipilih melalui saluran rasmi.
Sebelum ini, Khairy Jamaluddin turut mendapat kritikan sama apabila karier politiknya tiba-tiba mencanak naik sewaktu pentadbiran Pak Lah.
Mungkin penjawat am seperti Izzah atau KJ akan membuktikan yang mereka boleh melakukan tugas dengan cemerlang. Tapi tindakan Anwar ini boleh menetapkan trend yang tidak baik dalam pentadbiran, dan mampu disalah gunakan oleh pihak yang boleh membawa mudarat kepada negara.
- 26Share sekarang!
- Email3
- Facebook23
- Share