Sejarah & Politik

Kisah penemuan rangka wanita purba di bawah timbunan cangkerang laut

Sewaktu bersekolah dulu, kita semua tak pernah terlepas untuk belajar mengenai permulaan kehidupan manusia dari zaman dulu. Ia dibahagi-bahagikan mengikut zaman bermula dengan zaman Paleolitik, Neolitik dan zaman Logam. Perlahan-perlahan ketamadunan manusia meningkat naik.

Peningkatan zaman ni juga tak dikecualikan dari nenek moyang kita di tanah air ini. Sebab itulah wujudnya tapak-tapak peninggalan seperti di Lembah Bujang. Tak lupa juga penemuan-penemuan tulang dan tengkorak manusia zaman dahulu seperti Perak Man di Gua Gunung Runtuh di Lenggong, Perak.

Rangka Perak Man yang sangat terkenal. Imej dari Tourmab

Percaya atau tak, penemuan-penemuan ini tak terhenti begitu sahaja kerana para arkeologi dahulu dan sekarang masih meneruskan usaha-usaha penggalian. Maka, lebih banyak penemuan yang menggemparkan dah berlaku termasuklah kat kawasan yang kita tak sangka.

(Artikel ini banyak merujuk jurnal kajian bertajuk Tapak Guar Kepah: Bukti Perkuburan Masyarakat Neolitik di dalam Timbunan Cangkerang Laut)

Tapak perkuburan manusia kuno di dalam timbunan cangkerang laut berdekatan Sungai Muda

Foto tapak kajian Guar Kepah di A,B, C pada tahun 1934. Imej dari jurnal kajian

Mungkin ramai tak tahu bahawa Guar Kepah, Pulau Pinang adalah tapak pra-sejarah pertama di Semenanjung yang dibuat kajian. Ia dah pun bermula sejak seawal tahun 1860 lagi. Lebih kurang 160 tahun yang lalu.

Keunikan tapak ini adalah ia ditemui terbentuk oleh tiga timbunan cangkerang di atas permatang pasir. Tapak ni juga bukanlah dekat sangat dengan laut, ia berada sejauh 7.6 km dari tepi laut dan terletak di selatan laluan Sungai Muda. Namun, apa bukti ia merupakan kawasan perkuburan manusia zaman Neolitik?

Imej dari Sejarah Tahun 4

Sepanjang kajian yang dilakukan di kawasan timbunan cangkerang tu dari tahun 1851 hingga 1934, sebanyak 41 rangka manusia telah ditemui oleh Ahli Arkeologi British ketika itu.

“… rangka yang dijumpai ini bukan berada dalam keadaan in-situ (keadaan asal) dan hanya tulang panjang dan besar sahaja yang ditemui.” – Petikan dari jurnal kajian

Namun, semua rangka nenek moyang kita tu telah pun berada di Muzium Nasional Natuurhistorisch, Leiden, Belanda. Walaupun begitu, kajian-kajian di kawasan ini pada masa seterusnya disambung oleh para arkeologi tempatan. Penemuan terkemudian ni juga menemui perkara-perkara yang unik dan luar biasa.

Timbunan Cangkerang di salah satu tapak kajian di Guar Kepah. Imej dari jurnal kajian

Penemuan satu lagi wanita dalam keadaaan asal oleh ahli arkeologi tempatan

Seorang pakar arkeologi tempatan, Mokhtar Saidin telah meneruskan penyelidikan di Guar Kepah pada bulan April 2017. Ia sebagai persediaan untuk membina galeri arkeologi di situ. Hasil penggalian yang dibuat pada ketika itu menemui banyak artifak dan tinggalan purba kala.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

” … spesies cangkerang seperti Arcticidae, Arcidae, Naticidae, Turritellidae, Struthiolariidae dan Meretrix, dan alat batu seperti alat repeh, batu pemukul, alat pebel dan beliung. Sisa tulang haiwan seperti babi, rusa dan cangkerang kura-kura turut ditemui.” – Petikan dari jurnal kajian

Antara artifak yang dijumpai. Imej dari Anies and You

Dan untuk membuktikan masyarakat kuno di sini sama ada Paleolitik ke, atau Neolitik ke, maka penemuan tembikar yang banyak memperkukukhkan bukti bahawa mereka mengamalkan kebudayaan Neolitik.

Namun, penemuan paling penting bukanlah artifak-artifak ni tadi. Jumpaan paling penting sepanjang penggalian yang dilakukan adalah satu rangka manusia yang dikebumikan dengan lengannya dilipat ke dada dan dikelilingi oleh tembikar, alat batu dan beberapa spesies cangkerang. Ini sekaligus menjawab bagaimana cara hidup masyarakat di kawasan sana ketika itu.

Pengkaji, Mokhtar Saidin yang bergaya dengan rangka purba. Imej dari jurnal

Rangka manusia “Penang Woman” yang dianggarkan mati ketika berusia 30-an dan suka makan makanan laut

Tengkorak Penang Woman. Imej dari jurnal

Kalau di Lenggong, rangka yang ditemui adalah rangka lelaki. Di Guar Kepah ini, rangka yang ditemui adalah rangka wanita. Sebab tu lah ia dikenali sebagai Penang Woman. Penemuan pada tahun 2017 ini adalah penemuan secara tidak sengaja oleh ahli arkeologi tempatan, Mokhtar Saidin. Mana taknya, 41 rangka yang dulu pun dah beratus tahun lepas ditemui.

Dengan penemuan rangka ni, ia menjadikan jumlah keseluruhan rangka yang ditemui sepanjang kajian terdahulu sehingga sekarang adalah sebanyak 42 rangka manusia.

” … dianggarkan berusia 5710 ± 30 BP (Beta-463594) berdasarkan pentarikhan cangkerang yang terletak di bahagian bawah rangka tersebut oleh makmal pentarikhan Beta Analytics, Florida, USA.” – Petikan dari jurnal kajian

Jantina rangka manusia ini dah diteliti berdasarkan kajian ke atas tengkorak dan tulang pelvik yang mana ia membawa jawapan bahawa ia adalah wanita. Berserta ketinggian sewaktu hidup dianggarkan sekitar 150 cm. Lebih terperinci lagi, ujian ke atas gigi membuktikan bahawa Penang Women ni mati sekitar umur 30 hingga 35 tahun.

Gigi moyang kita pun ada lagi ni. Imej dari jurnal

Bukan setakat tu je, pengkaji juga dah memastikan jenis makanan yang diambil rangka ini sepanjang hidupnya. Berdasarkan ujian pada tisu rangka itu memberi kesimpulan bahawa individu tersebut banyak mengambil protein daripada makanan laut atau sungai seperti ikan dalam diet mereka. Lagi pun ni memang sesuai, sebab penempatan masyarakat sini memang tak jauh dari laut.

Ditanam dalam cangkerang laut kerana ritual masyarakat itu

Timbunan cangkerang laut yang besar. Imej dari Anies And You

Hasil kajian yang banyak di kawasan Guar Kepah sejak dahulu lagi telah mencadangkan bahawa masyarakat di sini mempunyai kebudayaan Hoabinhian Malaya. Hoabinhian ini menggambarkan budaya Zaman Batu pertengahan hingga akhir yang terdapat di Asia tenggara yang dicirikan terutamanya oleh penempatan perkampungan pertanian.

Ini kerana penemuan batu gilis, slab dan batu pemukul serta kapak Neolitik. Pada tahun 1863 juga telah diterangkan oleh salah seorang pengkaji mengenai keturunan rangka-rangka yang ditemui sebelum ni.

” … bukti yang dikumpulkan melalui tulang dan gigi ini menunjukkan bahawa rangka ini berasal dari suku Tanah Melayu atau manusia dari Kepulauan Andaman.” – F. W. Huxley (1863), petikan dari jurnal kajian

Kajian lebih mendalam oleh Mokhtar Saidin pada tahun 2017 juga dah membuktikan bahawa masyarakat di Guar Kepah adalah masyarakat awal Neolitik yang mengumpul cangkerang serta beradaptasi dengan kehidupan persisiran pantai. Mereka juga hidup sebagai pemburu dan pemungut hasil laut serta haiwan lain seperti rusa, babi dan kura-kura.

Apa yang lebih unik, kewujudan rangka manusia dalam timbunan cangkerang membawa maksud terdapatnya ritual pengebumian yang kompleks oleh masyarakat di situ. Namun, tradisi pengebumian ini secara terperinci masih dikaji kerana ia pastinya sangat berbeza dengan pengebumian Neolitik di kawasan pedalaman macam Lenggong.

Guar Kepah satu-satunya tapak pra-sejarah timbunan cangkerang di Malaysia dan korang boleh datang melawat

Menarik bukan? Mana lagi nak cari rangka manusia wanita zaman neolitik di Malaysia? Untuk pengetahuan semua, tapak penggalian beserta rangka yang ditemui dah pun dijadikan galeri muzium. Ia dinamakan sebagai Galeri Arkeologi Guar Kepah , Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

Pintu masuk galeri. Imej dari Anies And You

Saranan untuk kita pergi melancong dan membuat lawatan dalam negara ketika ini adalah masa yang paling tepat. Dalam misi untuk meningkatkan kembali industri pelancongan yang terjejas teruk, apa salahnya kita gunakan peluang ini untuk menghargai dan menghayati kerja-kerja arkeologi yang diusahakan  oleh kepakaran tempatan.

 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend