- 557Share sekarang!
- Email5
- Facebook552
- Share
Isu penderaan kanak-kanak sekarang ni bukan lagi isu yang asing. Kalau korang nak tau, pada setiap tahun, sekurang-kurangnya 2,000 kanak-kanak di Malaysia dilaporkan mengalami pengabaian dan penderaan. Sepanjang tahun 2015 sampai 2016 sahaja, lebih 4,000 kes penderaan dah direkodkan.
Untuk tahun 2018 ni, satu Malaysia digemparkan dengan kes kanak-kanak perempuan yang didera bapa kandung dan ibu tiri. Mungkin korang pun masih ingat lagi kisah seorang kanak-kanak lelaki 10 tahun yang dirantai lehernya pada tong gas oleh bapa tiri Oktober tahun lepas.
Menurut ahli psikologi, memori masa kanak-kanak boleh diingati sampai dewasa bahkan seumur hidup tau. Biasanya yang paling dikenang ni memori yang melibatkan emosi tak kisahlah gembira ke sedih, baik ke buruk.
Seorang saintis neuro, Martha Farah cakap yang zaman kanak-kanak ni kritikal untuk membentuk cara fikir dan jati diri seseorang bila dewasa nanti. Kalau seseorang pernah mengalami memori buruk zaman kanak-kanak, perkembangan emosi boleh terbantut, menganggu perasaan, hubungan dengan orang lain, kesihatan fizikal dan psikologi.
Disebabkan rasa prihatin dengan nasib anak-anak yang tak mendapat hak sepatutnya, banyak sebenarnya rumah kebajikan di Malaysia dari badan kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) yang cuba sebaik mungkin menjaga anak-anak ini.
Jadi, semasa cuti semester akhir tahun 2016, penulis jadi sukarelawan sebagai guru di salah sebuah rumah kebajikan NGO yang dikenali sebagai Rumah Safiyyah. Untuk tak sembang kencang dan panjang, kami dari SOSCILI akan kongsi pengalaman mengajar di situ.
1) Baru mula megajar, dah ada yang panggil penulis sebagai ibu
Waktu mula mengajar anak-anak berusia 5-6 tahun, tiba-tiba dah ada seorang anak ni panggil penulis sebagai ibu. Rasa agak pelik sebab baru kenal tak sampai sehari dah dipanggil ibu. Rupanya, anak tu ada kisah hidup yang pahit sebab pernah diperkosa oleh ayah dan abang tirinya waktu umur 5 tahun. Ibunya pula ada kecelaruan mental sampai tak mampu nak lindungi dia.
Sebenarnya, reaksi anak tu merupakan salah satu simptom trauma dalam diri dia. Untuk pengetahuan korang, kanak-kanak yang ada trauma ni akan tunjuk dua jenis gangguan sampingan (attachment disorders):
- Cepat menjauhi orang atau;
- Terlalu mudah mendekati orang yang BARU dikenali.
Apa yang merisaukan adalah trauma ni boleh mempengaruhi hubungan diorang dengan orang lain bila dewasa nanti. Untuk kes penderaan seksual, kajian ada kata yang boleh jadi anak-anak ni susah nak ada healthy relationship dengan orang lain terutamanya lelaki. Ada juga dalam kalangan diorang yang mungkin boleh terlibat dengan perlakuan sumbang sampai merbahayakan diri sendiri.
Pernah sekali tu dalam kelas, anak-anak ni dibacakan buku cerita bertajuk “Dari Mana Saya Datang”. Buku ni cerita pasal seorang abang yang tak sabar nak tunggu adik dalam kandungan ibu dia lahir. Kiranya, keluarga dalam buku cerita ni merupakan keluarga yang bahagia di mana semua orang saling sayang menyayangi antara satu sama lain.
Dah sampai part cerita pasal abang penyayang, tiba-tiba, anak tadi bersuara,
“Nantikan cikgu, abang dia bunuh adik dia.”
Terkejut bila dengar anak tu menyampuk macam tu. Reaksi tu dah menunjukkan imaginasi negatif dia disebabkan pengalaman pernah dianiaya dengan kejam oleh orang terdekat. Bukan tu je, ada juga anak-anak yang…
2) Melawat rumah pelajar, tapi satu keluarga dalam tu penagih dadah
Ada satu malam, penulis dan beberapa guru lain melawat ke rumah seorang anak ni. Kami pergi ke rumahnya lepas selesai mengagihkan makanan buat para gelandangan. Rupa-rupanya, salah seorang gelandangan merupakan ayah kepada anak yang ada kat rumah kebajikan yang penulis ajar.
Kami tak dibenarkan masuk ke rumah setinggan yang daif tersebut atas faktor keselamatan. Dalam rumah tu ada satu keluarga penagih dadah kecuali atuk dan neneknya. Apa yang merisaukan, anak kecil pun ada dalam rumah tu. Macam manalah nasib anak-anak tu.
Kalau kat rumah kebajikan, anak-anak ni dibenarkan untuk ziarah keluarga sendiri sekali sebulan. Lawatan ni jarang sebab nak elakkan anak-anak ni terlalu rapat dengan persekitaran yang tak membantu diorang. Cukuplah sekadar menjaga hubungan keluarga. Lagi pun keluarga diorang tak mampu lindungi anak-anak ni.
Anak-anak ni juga selalu rasa yang ayah diorang sebagai hero tak kisahlah macam mana ayah diorang. Ada seorang anak ni, dia selalu sebut pasal ayah dia kat kawan-kawan. Kadang tu dia ada cakap,
“Ayah aku gangster tau.”
Nampak lah yang dia bangga dengan ayah dia. Mungkin bagi dia, ayah dia gangster dalam erti kata hero yang boleh tolong dia. Ayah anak ni jugak ada bagi dia jam getah tapi dah tak berfungsi. Punyalah dia sayang jam tu sampai selalu dibelek-belek. Bila kawan dia nak main dengan jam tu pun dia tak bagi dan sampai tahap menangis bila kawan dia cuba nak ambil jam kesayangan tu. Sampaikan masa kelas, dia hilang fokus sebab asyik belek jam tu dan penulis nampak juga yang dia hilang minat nak belajar.
Cakap pasal hilang minat nak belajar ni, kalau nak tahu, tu merupakan salah satu simptom yang berlaku pada kanak-kanak yang didera atau diabai. Menurut kajian, kanak-kanak macam ni ada menunjukkan simptom perilaku seperti kemurungan, kurang fokus dalam kelas, memberontak, dan bertindak agresif pada kawan.
Sikap anak-anak ni tadi adalah kesan daripada faktor luaran dan pengalaman diorang. Sebab tu lah diorang nampak seperti tak berpotensi atau susah diajar. Jadi, janganlah kita main label je diorang tanpa cuba memahami diorang.
3) Bila main lagu raya, ada pelajar ni menangis teresak-esak
“Balik kampung…ooooo…Balik kampung…Hati girang”- Arwah Sudirman.
Biasa dengar tak lagu ni? Tiap kali dengar lagu ni mesti rasa berkobar-kobarkan nak balik kampung lagi-lagi masa raya. Tapi beza pula dengan cerita anak-anak kat sini.
Salah seorang cikgu di sini pernah cerita, waktu lagu raya dimainkan masa sambutan Hari Raya, tiba-tiba, ada seorang anak ni menangis. Bukan biasa-biasa tau, teresak-esak. Bila cikgu tanya sebabnya, anak tu bagitahu,
“Cikgu, saya takda kampung. Saya tak tahu nak balik mana.”
Lagu yang sepatutnya menceriakan suasana majlis bertukar jadi sedih. Cikgu yang ada kat sana, semua rasa bersalah. Apatah lagi anak-anak tu yang memang betul-betul rasa takde mak ayah. Sepanjang di sekolah, kami sentiasa berhati-hati bila cakap pasal keluarga sebab diorang terlalu sensitif.
Menurut kajian, anak-anak yang dilahirkan di luar pernikahan yang sah cenderung untuk mempunyai isu terhadap perlakuan dan emosi. Bukanlah salah diorang sebenarnya. Faktor kurang kasih sayang ditambah dengan stigma masyarakat yang suka melabel diorang ni buatkan hidup lebih sukar.
Kalau korang ingat, pertengahan tahun lepas, tular satu isu tentang wajarkah anak luar nikah dibinkan kepada Abdullah. Dr Maza, mufti Perlis ada keluarkan hujahnya dan berpendapat yang anak luar nikah tak wajar dibinkan kepada Abdullah. Tujuannya untuk menutup aib dan bagi ruang taubat buat ibu bapa serta tak menjadikan anak yang tak berdosa ni sebagai mangsa keadaan.
“Kami tegaskan di sini bahawa anak yang tidak sah taraf bukanlah hina dan tiadalah ia berdosa kerana kesilapan yang dilakukan oleh kedua orang tuanya. Ini kerana prinsip Islam, seseorang tidak menanggung dosa orang lain. Justeru, hendaklah kita menghormati hak dan privasinya kerana dia tetap manusia yang kemuliaan di sisi Allah berasaskan siapa yang paling bertakwa antara kita.”- Petikan dari Bayan Linnas.
Potensi kanak-kanak trauma ni boleh di asah kalau cukupkan keperluan asas
Daripada pengalaman kami, anak-anak kat sini ada potensi yang sama besar dengan kanak-kanak lain. Waktu mengajar kelas Bahasa Inggeris, nampaknya, diorang mudah faham dan dah pandai cakap bahasa orang putih sikit-sikit macam “My name is ___”, “I’m fine, thank you” dan “Teacher, may I go to toilet, please”.
Sebenarnya, kanak-kanak yang mengalami trauma ni, kalau kita cukupkan keperluan asas diorang macam makanan, tempat tinggal, perhatian dan keselamatan, diorang sama je macam kanak-kanak lain. Maksudnya, potensi diorang boleh diasah. Cikgu kat sini pun bagitahu yang diorang ni sama je macam ajar kanak-kanak lain.
Cumanya, cabaran yang ada bila mengajar anak yang pengetahuan tak setara umur. Contohnya, ada anak yang berusia 15 tahun tapi masih tak boleh membaca. Untuk kes macam ni, biasanya anak tu memang tak pernah dapat pendidikan dari kecil. Tapi, apa yang best-nya bila cikgu boleh asah kreativiti untuk mengajar anak-anak ni sampai diorang boleh dapat ilmu walaupun progress tak terlalu cepat.
Cikgu-cikgu kat sini rasa puas hati bila anak-anak ni tunjuk minat nak belajar. Apa yang pasti, kanak-kanak ni ada peluang untuk berjaya macam Oprah Winfrey, Ashley Judd dan Eminem. Sebab diorang ni juga dulu antara mangsa anak kecil yang didera.
Jadi lepas baca artikel ni, mungkin korang terfikir, apa yang boleh dibuat atas rasa prihatin pada anak-anak ni? Selalu yang orang buat ialah volunteering. Kalau korang ada masa lapang masa cuti semester atau hari yang tak bekerja, mungkin boleh cari mana-mana rumah perlindungan yang perlukan tenaga muda yang bersemangat. Korang boleh tengok kat sini kalau berminat nak jadi sukarelawan.
Selain tu, boleh juga salurkan sumbangan berbentuk wang sebab kebanyakan rumah perlindungan menjalankan operasi diorang menggunakan dana-dana yang disumbangkan orang awam dan bantuan-bantuan lain. Apapun yang kita buat, paling penting kita kena yakin yang setiap anak-anak dilahirkan dengan potensi masing-masing.
“Tugas kita bukanlah untuk menguatkan anak-anak kita menghadapi dunia yang kejam dan tak berperasaan. Tetapi, tugas kita adalah untuk membesarkan dan mendidik anak-anak yang akan membuat dunia menjadi kurang kejam” – Dipetik dari buku Two Thousand Kisses a Day: Gentle Parenting Through the Ages and Stages.
- 557Share sekarang!
- Email5
- Facebook552
- Share