- 393Share sekarang!
- Email35
- Facebook358
- Share
Sehari sebelum Parlimen dibubarkan hari tu, Pakatan Harapan (PH) digemparkan dengan berita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dibubarkan sementara oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Disebabkan hal ni, PPBM tak dapat guna bendera parti tu untuk PRU-14 nanti.
Tapi tak lama lepas tu, muncul pulak dakwaan yang UMNO pun sepatutnya diharamkan. Dakwaan ni datang bukan dari calang-calang orang, tapi dari bekas Menteri Kabinet – Tan Sri Rafidah Aziz. Alasannya, UMNO gagal adakan pemilihan parti pada tarikh yang ditetapkan.
UMNO lepas tu dengan pantas nafikan dakwaan Rafidah dan kata partinya masih sah di sisi undang-undang. Tapi belum lagi keadaan reda, 16 orang ahli UMNO dari lima negeri dah failkan hal ni ke mahkamah, untuk minta UMNO dibubarkan. Dengan tak buang masa juga, UMNO pecat 16 orang ni.
Bila dengar pasal bubar-membubar ni, kita mungkin akan teringat dengan peristiwa 30 tahun dulu. Kalau ada yang tak tahu, pada tahun 1988 dulu – mahkamah dah mengisytiharkan UMNO sebagai pertubuhan tidak sah, senang kata pertubuhan haram.
UMNO diharamkan masa di bawah pimpinan Dr Mahathir
Pada tahun 1987, dah jadi satu krisis dalam UMNO bila buat kali pertamanya jawatan Dr Mahathir sebagai Presiden UMNO dicabar. Orang yang cukup berani tu adalah Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li). Disebabkan perebutan jawatan ni, muncullah Team A (sokong Dr Mahathir) dan Team B (sokong Ku Li).
“Team A dipimpin oleh Dr. Mahathir yang mencerminkan kumpulan yang mendukung nasionalisme Melayu liberal manakala team B pula dipimpin oleh Tengku Razaleigh yang mendukong nasionalisme Melayu konservatif.” – Dipetik dari jurnal terbitan UKM.
Tapi sebelum tu, Timbalan Perdana Menteri – Musa Hitam dah letak jawatan dan kedudukannya tu diganti oleh Ghafar Baba. Kemudiannya, Musa bekerjasama dengan Ku Li untuk menentang pimpinan Dr Mahathir. Ku Li mencabar Dr Mahathir untuk jawatan presiden parti dan Musa mencabar Ghafar untuk jawatan timbalan presiden.
Tapi nasib menyebelahi Dr Mahathir dan Ghafar bila diorang menang dalam pemilihan ni dengan majoriti tipis. Dr Mahathir menang dengan kelebihan 43 undi manakala Ghafar dengan 40 undi. Tapi kemenangan tu dah buatkan orang-orang Ku Li rasa tak puas hati.
Kesannya, 11 orang penyokong Ku Li dah bawa kes ni ke mahkamah. Alasannya, diorang kata ada perwakilan UMNO yang tak sah ikut sama dalam pemilihan parti. Jadinya, diorang nak mahkamah isytiharkan keputusan pemilihan UMNO tu sebagai tak sah.
Tapi malangnya, usaha diorang tu tersasar bila Mahkamah Tinggi putuskan bukan je keputusan tak sah, tapi dengan UMNO sekali tak sah. Oleh itu, terbatallah status UMNO sebagai sebuah parti politik.
Maka, Dr Mahathir pun lepas tu asaskan sebuah parti politik baru dikenali sebagai UMNO (Baru), dalam masa sama Ku Li pun asaskan sebuah parti dikenali sebagai – Parti Melayu Semangat 46 (S46 atau Semangat 46).
“Parti Semangat 46 telah ditubuhkan pada 31 Ogos 1988 oleh sepuluh orang ahli perniagaan Melayu. Parti ini asalnya didaftarkan atas nama UMNO 46 pada 30 September 1988 tetapi ditolak oleh Pendaftar Pertubuhan kerana menggunakan nama yang sama dengan UMNO (Baru) yang telah berdaftar.” – Dipetik dari jurnal terbitan UKM.
Walaupun macam tu, ada juga yang kata…
Dr Mahathir sebenarnya memang nak UMNO diharamkan?
Disebabkan UMNO dah diharamkan, kedudukan Dr Mahathir sebagai Presiden UMNO masa tu pun terbatal. Hal ni dah buatkan kedudukan Dr Mahathir sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) juga terbatal. Jawatan Pengerusi BN tu kemudiannya dipegang sementara oleh Tun Ling Liong Sik (Presiden MCA).
Dalam waktu sama, ada juga pihak yang kata Dr Mahathir sebenarnya memang nak UMNO ni diharamkan (dah pulak?). Antara yang kata macam tu adalah Ku Li sendiri, katanya – Dr Mahathir tak buat apa-apa usaha untuk halang UMNO dari diharamkan, sedangkan masa tu dia jadi Menteri Dalam Negeri.
Sebenarnya, dakwaan ni nampak macam betul jugak, sebab menurut Tan Sri Zainuddin Maidin atau Zam (bekas Ketua Pengarang Utusan), Dr Mahathir dah nampak laluan luas untuknya bila UMNO diharamkan.
“Dr Mahathir…serta merta menubuhkan UMNO Baru yang pendaftarannya diluluskan pada 17 Februari 1988 iaitu kira-kira dua minggu selepas UMNO diharamkan dan dengan sendirinya Tengku Razaleigh dan penyokong-penyokongnya tersingkir seperti ahli-ahli UMNO yang lain kecuali mereka yang memohon untuk menjadi ahli UMNO Baru.” – Dipetik dari buku: Surat daripada Dr Mahathir.
Tambah Zam lagi, hal ni dah buatkan Ku Li tersekat dari buat kacau dalam UMNO Baru yang dipimpin oleh Dr Mahathir. Tindakan Ku Li yang tubuhkan S46 juga nampaknya tak dapat lawan UMNO Baru, sebabnya Ku Li cuma ada duit, tapi Dr Mahathir ada duit dan kuasa.
“Sejak itu Dr Mahathir tidak lagi dianggap sebagai seorang ahli politik yang lurus. Beliau dilihat bersikap accommodative, mengamalkan political expediency dan menerima doktrin matlamat menghalalkan cara, malah ada sesetengan pihak menganggapnya beliau sebagai Machiavellian.” – Dipetik dari buku: Surat daripada Dr Mahathir.
Jadinya, adakah kisah 30 tahun dulu akan berlaku sekali lagi? Apa masalah dan apa puncanya sampai 16 orang UMNO ni bawa isu status UMNO ke mahkamah?
UMNO sepatutnya buat pemilihan tahun lepas, tapi sampai ke hari ni masih tak buat
Antara isu utama yang dikaitkan dengan status UMNO adalah bila parti ni didakwa gagal adakan pemilihan jawatan parti pada tarikh yang ditetapkan. Untuk rekod, kali terakhir UMNO buat pemilihan parti adalah pada 19 Oktober 2013. Dalam pemilihan ni, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tak dicabar.
Dalam masa sama, Zahid Hamidi, Shafie Apdal dan Hishammuddin kekal pegang jawatan Naib Presiden UMNO. Walaupun macam tu, Hishammuddin tercabar sikit bila dia dapat saingan sengit dengan pencabar Mukhriz Mahathir.
Tapi tu semua cerita lama, sebab sekarang ni kita dah nampak yang Shafie Apdal keluar UMNO, Muhyiddin Yassin buat parti baru dan Mukhriz jadi Timbalan Presiden PPBM.
Tapi kenapa isu status UMNO ni dibangkitkan balik? Hal ni jadi bila Perlembagaan UMNO (perkara 9.3) ada kata yang parti Melayu ni kena buat pemilihan setiap 3 tahun sekali. Jadi, kalau ikut peraturannya, UMNO kena buat pemilihan parti pada 19 Oktober 2016 (tiga tahun lepas pemilihan 2013). Tapi UMNO buat tak? Jawapannya tak~~~
Soalnya, boleh ke UMNO tak buat pemilihan parti? Jawapannya, ‘ye boleh’, sebab…Perlembagaan UMNO juga ada kata yang pemilihan parti boleh ditangguhkan.
“Majlis Tertinggi berhak menangguhkan pemilihan di peringkat Majlis Tertinggi, Bahagian dan Cawangan. Penangguhan ini tidak boleh lebih daripada lapan belas (18) bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan.” – Perkara 10.16 dalam Perlembagaan UMNO.
Jadinya, kalau kita kira 18 bulan dari tarikh 19 Oktober 2016, UMNO kena buat pemilihan parti pada 19 April 2018 lepas. Tapi kita tak dengar pun UMNO buat pemilihan parti. Rupa-rupanya, UMNO kata diorang dah tangguh pemilihan ni lagi sekali iaitu pada 19 April 2019!
Boleh ke UMNO buat penangguhan pemilihan sampai April tahun depan?
Dalam hal ni, menurut Setiausaha Agung UMNO – Tengku Adnan, UMNO dah dapat kebenaran ROS mengikut peruntukan Seksyen 13A (4) Akta Pertubuhan 1966.
“Pendaftar boleh apabila permohonan secara bertulis dibuat kepadanya oleh sesuatu pertubuhan berdaftar, melanjutkan masa yang diberikan olehnya kepada pertubuhan itu dalam mana-mana perintah yang dibuat di bawah subseksyen (1) atau (2)…” – Seksyen 13A (4) Akta Pertubuhan 1966.
Rasanya ramai yang tak berapa faham apa yang dimaksudkan dengan Seksyen 13A (4) tu. Apa yang UMNO kata adalah, ROS dah guna Seksyen tu untuk bagi kebenaran kat UMNO supaya boleh lanjutkan tarikh pemilihan diorang.
Walaupun macam tu, bagi pengamal undang-undang yang dikongsikan pandangan oleh Rafidah Aziz mengatakan – perkara ni tak betul dan salah. Sebabnya, Seksyen 13A ada sebut pasal ‘yang diberikan olehnya’ atau ‘provided by him’ bermaksud oleh ROS.
“…Ini jelas dari frasa: “extend the time PROVIDED BY HIM” di dalam seksyen tersebut. Masa untuk memilih ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO bukan diberikan oleh ROS (not provided by him). Masa itu diperuntukkan di dalam Perlembagaan UMNO sendiri.” – Dipetik dari FB Rafidah Aziz.
Secara mudahnya, dia nak bagitau yang masa lanjutan pemilihan UMNO bukan kuasa ROS, tapi berdasarkan apa yang ada dalam Perlembagaan UMNO. Selain tu seksyen ni juga tak ada kaitan dengan apa yang UMNO buat sekarang iaitu menangguhkan pemilihan parti.
Sebab menurutnya, seksyen ni cuma terpakai bila ROS buat apa-apa perintah kat mana-mana pertubuhan untuk buat sesuatu dalam jangka masa tertentu mengikut bidang kuasa dalam 13A (1) atau (2). Berbelit sikit ayatnya.
“Di dalam keadaan itu, sekiranya pertubuhan itu membuat permohonan bertulis untuk melanjutkan jangka masa YANG DIBERIKAN OLEH ROS, maka ROS boleh melanjutkan jangka masa itu.” – Dipetik dari FB Rafidah Aziz.
Pandangan ni juga nampaknya disokong oleh penasihat kerajaan – Tan Sri Dr Rais Yatim. Katanya, masalah ni jadi bila UMNO pandang remeh dengan perlembagaan parti. Tambahnya lagi, UMNO tak ada hak untuk buat lanjutan/penangguhan pemilihan parti untuk kali kedua.
“Pada hemat saya memang tak boleh (lanjutan kedua) dibuat oleh Majlis Tertinggi… Pendaftar (ROS) tidak ada kuasa untuk menghalalkan keberadaan UMNO tanpa pemilihan lebih daripada yang dibenarkan (mengikut) Fasal 10 (Perlembagaan UMNO).” – Tan Sri Rais Yatim, dipetik dari Malaysiakini.
UMNO pecat 16 orang ahlinya yang cuba bawa kes ni ke mahkamah
Dari pandangan yang kita dengar tadi, masing-masing kata yang Seksyen 13A tak terpakai dalam isu lanjutan pemilihan UMNO ni. Tu belum lagi kita baca ulasan panjang lebar Hanipah Maidin dari AMANAH. Tapi asyik dengar cakap orang politik je, macam tak adil pulak.
Jadinya, kitorang cuba tanyakan isu ni dengan peguam Fahri Azzat. Dalam hal ni, Fahri ada kata yang rujukan Seksyen 13A (4) Akta Pertubuhan dalam kes UMNO adalah salah. Sebabnya…
“…kerana peruntukkan ini berkaitan dengan lanjutan masa yang telah diberi untuk mematuhi perintah yang dibuat di bawah seksyen 13A(1) atau 13A(2). Ia bukan untuk kebenaran melanjutkan masa untuk sesuatu pertubuhan membuat sesuatu di dalam perlembagaannya.” – Fahri Azzat, katanya kepada SOSCILI.
Apa yang kita boleh nampak, pandangan Fahri agak sama juga dengan pandangan-pandangan tadi.
Selain tu, bila 16 orang ahli UMNO ni failkan semakan mahkamah terhadap UMNO tempoh hari, UMNO dengan pantas pecat diorang semua. Alasan UMNO, pemecatan tu ikut Seksyen 18C Akta Pertubuhan yang tak benarkan apa juga perkara parti dibawa ke mahkamah.
Tapi bagi Fahri, Seksyen 18C ni tak betul dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Sebabnya, ia cuba lucutkan bidang kuasa mahkamah dalam buat keputusan atas pertikaian ahli-ahli dengan pertubuhan atau isu mentafsirkan sesuatu dokumen.
Dakwaan peguam UMNO bahawa 16 orang yang bawa kes ni ke mahkamah sebagai tak ada locus standi (hak untuk ambil tindakan mahkamah) pun patut dipandang semula. Menurut Fahri, 16 orang ahli UMNO ni hanya tak ada locus standi kalau diorang tak lagi jadi ahli UMNO masa kes tu difailkan. Tapi kalau diorang masa tu masih lagi ahli, diorang ada locus standi walaupun dipecat lepas tindakan tu difailkan.
Kes ni kita serahkan kepada mahkamah untuk buat keputusan
Dalam setiap parti politik, mesti akan ada masalah dan konflik. Kadang-kadang tu ada masalah yang boleh diselesaikan cara baik dan ada juga yang agak susah. Macam satu kes kat Selangor, bila Pengarah Pilihan Raya AMANAH – Cikgu Jaafar letakkan jawatan serta merta sebab rasanya dirinya tak dihargai. Tapi tak lama lepas tu, Cikgu Jaafar masuk AMANAH balik bila dipujuk oleh kepimpinan.
Masalah ni nampak macam senang diselesaikan, tapi ada juga yang agak susah dan itulah yang kita nampak apa jadi kat UMNO sampai diharamkan pada tahun 1988 dulu. Nampaknya, isu ni dibangkitkan sekali lagi sekarang dengan isu yang berbeza.
Buat masa sekarang, kes ni dijangka akan dibicarakan pada 26 April ni. Jadinya, sebagai rakyat Malaysia yang menjunjung Perlembagaan Persekutuan, kita serahkan kepada mahkamah dalam mentafsir dan memutuskan isu ini. Bila mana undang-undang mula dicari maknanya, maka mahkamahlah tempat terbaik dan muktamad untuknya mentafsirnya.
- 393Share sekarang!
- Email35
- Facebook358
- Share