Berjuta-juta pekerja haram kat Malaysia, korang mesti terkejut bila tau siapa yang kaut untung…

(This article has been translated from our sister’s site, Cilisos)

Dua bulan lepas, Al Jazeera 101 East buat pertama kalinya menyiarkan pendedahan mereka tentang pekerja asing yang masuk ke Malaysia secara haram. Perkara ni menguntungkan ramai orang-orang ternama, dan dalam masa yang sama menyebabkan pekerja asing jadi miskin dan berhutang. Episod yang bertajuk ‘Malaysia’s Migrant Money Trail’ ni dirakam oleh wartawan 101 East, Chan Tau Chou dan ditayangkan pada 20 Julai.

Dokumentari ni bermula dengan kisah sedih seorang pekerja Bangladesh iaitu Nasir (bukan nama sebenar), yang bersetuju untuk ditemuramah Chan selagi identitinya dirahsiakan. Disebabkan terdesak untuk bekerja, Nasir dan berjuta-juta pendatang daripada negara-negara miskin di seluruh Asia tertarik untuk datang ke Malaysia. Kalau nak tahu, ada lebih kurang 4 juta pekerja asing yang dianggarkan bekerja di sini secara haram, dan 2 juta lagi adalah secara sah. Nasir cuma salah seorang daripada berjuta pekerja asing yang tertipu dengan ejen tak bertanggungjawab…

Diorang ingat diorang datang secara sah, tapi bila sampai, baru tahu diorang dah ditipu

Nasir setuju ditemu ramah, asalkan identitinya dirahsiakan. Imej dari Youtube

Macam pekerja asing lain, Nasir buat pinjaman duit yang tinggi untuk bayar agensi pengambilan pekerja yang akan carikan kerja untuk dia. Dia fikir benda ni sah dan terjamin. Padahal, agensi pengambilan pekerja ni scam biasa yang terjadi kat negara-negara Asia. Salah satu contohnya adalah kes berprofil tinggi Mary Jane Veloso, seorang rakyat Filipina yang ditipu ejen. Ejen tu bagitahu Mary yang dia akan diambil bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia. Tapi kemudiannya dia dibawa ke Indonesia dan bekerja sebagai keldai dadah.  Dia tertangkap dengan pihak berkuasa, dan sekarang menunggu hukuman mati di negara tersebut.

Selain Bangladesh dan Filipina, kes macam ni juga berlaku kat NepalVietnam, dan Cambodia. Baru-baru ni, pekerja dari China pun kena scam yang lebih kurang sama sebab diorang bayar ejen untuk bekerja di projek Forest City di Johor. Benda scam macam ni dipanggil sebagai pemerdagangan manusia (human trafficking).

“Seorang ejen pekerjaan menawarkan saya peluang pekerjaan di Malaysia. Dia akan menguruskan semua benda yang menelan belanja sebanyak 4,300 dollar. Dia akan hantar visa perlancongan, sediakan semua dokumen dan dapatkan pekerjaan untuk saya. Dia kata gaji yang saya dapat juga membolehkan saya untuk hantar sebanyak 370 dollar sebulan, jadi saya pun setuju.- Nasir memberitahu wartawan 101 East, Chan Tau Chou untuk Malaysia’s Migrant Money Trail

Nasir dan sekumpulan Bangladesh yang lain terbang ke Malaysia pada Ogos 2016 dengan ejen tersebut. Tapi lepas kenalan imigresen dia takde kat airport, ejen bagitahu yang diorang kena pergi Indonesia sebelum masuk Malaysia. Diorang kemudiannya dibawa ke pesawat yang menuju ke Jakarta, di mana sindiket daripada Indonesia bawa diorang ke Medan. Bila sampai je kat sana, diorang semua di bawa ke sebuah rumah. Nasir terkejut bila tengok ada ramai lagi orang Bangladesh yang lain dalam rumah tu.

Pendatang daripada Bangladesh ditempatkan di sebuah rumah kecil di Medan. Imej dari Youtube

Mereka kemudiannya tinggal di Medan selama dua minggu. Dah la pasport dan handphone mereka semuanya dirampas, makanan yang diberi tak cukup pula tu. Dalam kelaparan dan ketakutan, mereka turut diugut pukul kalau berani melawan. Akhirnya, sindiket pemerdagangan tu bawa mereka ke dalam sebuah bot menuju ke Melaka, dengan perjalanan selama 3 hari! Mereka cuma bertahan dengan air yang sikit dan beras mentah je.

“Kami ramai, tapi dimasukkan dalam bot yang kecil. Cuaca pun teruk. Ia adalah sebuah penyeksaan. Salah seorang lelaki Indonesia pukul seorang lelaki di kepala sampai berdarah. Mereka kata kalau ada sesiapa yang berani menjerit, mereka akan campak kami ke dalam laut”- Nasir

Dalam keadaan keletihan, mereka dipaksa pula turun daripada bot dan berenang ke pantai. Ejen Indonesia dalam bot tu kata ada seorang ejen lain yang menunggu kat darat. Tapi last-last, takde orang pun yang datang walaupun dah berjam-jam menunggu. Disebabkan mereka semua ditinggalkan oleh ejen tanpa sebarang pengenalan diri, mereka akhirnya menjadi pendatang tanpa izin.

Lakon semula di dalam bot yang membawa mereka selama 3 hari. Imej dari Youtube

Nasir kemudiannya dapat kerja di sebuah tapak pembinaan di KL. Kerjanya sangat susah dan bayaran juga sangat murah, iaitu RM200 sebulan. Tapi disebabkan dia dibebani hutang dan ada keluarga yang perlu disara kat Bangladesh, dia takde pilihan lain. Nasir berharap yang dia tak pernah datang Malaysia.

Rupa-rupanya, kehadiran pekerja pendatang tanpa izin dah mencipta sejenis perniagaan baru di Malaysia yang menjadikan mereka sah!

Tiga syarikat swasta yang diketuai oleh anggota senior UMNO boleh ‘halalkan’ pekerja haram

Syarikat swasta MyEG diberi tugas mendaftarkan pekerja asing tanpa izin. Imej dari The Star

Sekarang ni, kerajaan membenarkan majikan mendaftarkan pekerja asing (pendatang tanpa izin) dan kemudiannya mengambil mereka bekerja semula secara sah. Kerajaan dah lantik 3 syarikat swasta supaya majikan boleh ‘menghalalkan’ pekerja diorang yang datang secara haram melalui – MyEG, Iman dan Bukit Megah Sdn Bhd.

Beberapa ahli politik mempersoalkan kenapa gunakan sumber luar (syarikat swasta) untuk mendaftar pekerja asing, padahal itu adalah tugas Kementerian Dalam Negeri, dan sepatutnya percuma. Tapi sekarang majikan pula dikenakan bayaran sebanyak RM38 untuk setiap pekerja. Dan kalau nak tahu, ketiga-tiga syarikat tu pula diketuai oleh ahli-ahli senior UMNO 

“Pengimportan pekerja asing ke Malaysia bukannya menyokong perniagaan tempatan, tapi lebih kepada perniagaan sendiri.” – Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam (DAP) kepada 101 East

Selain tu juga, MyEG dan Iman pernah dikaitkan dengan pelbagai skandal. Laporan Ketua Audit Negara mendapati yang sistem MyEG secara automatik memperbaharui hampir 9,000 permit kerja pada tahun 2013 tanpa pemeriksaan dan persetujuan daripada pegawai imigresen. Iman pula disyaki merasuah seorang pegawai Kedutaan Indonesia untuk mengeluarkan beberapa pasport dan visa. Dwi Widodo, pegawai Kedutaan Indonesia tersebut dituduh terlibat dengan rasuah di Jakarta.

Pengarah BM Abdul Halim Suleiman, Pengarah MyEG ialah Raja Munir Shah dan Pengerusi Iman Azri Mohd Zain. Imej dari Youtube

Selain daripada mengesahkan pekerja asing yang memang dah ada kat sini, mereka juga dapat ‘buat duit’ bila bawa masuk pekerja asing yang lain. Malah, kerajaan dah lantik beberapa syarikat lain dalam hal ni. Steven Sim panggil mereka sebagai the Big Five Super-Agents, di mana para pengarah semuanya ada kena mengena dengan UMNO. Mereka semua diberi kontrak melalui rundingan langsung, tak ada proses tender terbuka yang telus, kata Steven lagi. Bila mereka buat macam ni, kerajaan dah menswastakan kerja Kementerian Dalam Negeri (kroni), tambah Steven lagi.

“Sebenarnya, pekerja asing adalah salah satu ATM penting bagi ahli politik.” – Alex Tong, aktivis, kepada 101 East

Salah satu syarikat tu, Synerflux, adalah sebuah portal online yang dapat kontrak untuk merekrut 1.5 juta pekerja Bangladesh. Ia berdasarkan perjanjian Malaysia yang ditandatangani dengan Bangladesh pada Februari 2016. Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi mengklasifikasikan kontrak Synerflux sebagai rahsia negara!

Synerflux, yang dilantik untuk merekrut pekerja Bangladesh, juga diklasifikasikan sebagai rahsia negara. Imej dari Youtube

Syarikat-syarikat yang terlibat juga memonopoli, atau mempunyai pemilikan eksklusif untuk perkara ni. Sebagai contoh, majikan diwajibkan untuk menghantar kesemua pekerja untuk pemeriksaan kesihatan dan diorang takde pilihan lain dan terpaksa melalui satu syarikat ni, yang bernama FomemaDan baru-baru ni jugalah kerajaan tambah satu lagi pemeriksaan kesihatan baru di mana pekerja perlu melalui syarikat kedua bernama Bestinet. Dengan cara monopoli macam ni la para majikan terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk ambik pekerja asing bekerja.

“Bila pengimportan buruh asing tu disebabkan keuntungan peribadi dan bukannya sebab keperluan industri atau ekonomi, itulah sebenarnya masalah kita sekarang ni”- Steven

Tujuan syarikat-syarikat yang dapat kontrak kerajaan ni wujud sebenarnya untuk menghentikan pemerdagangan manusia dan ejen-ejen yang tak bertanggungjawab, tapi nampaknya rasuah pulak yang tak berhenti. Kat sini, Chan berjaya mendedahkan yang operasi ni masih berlaku dengan bantuan orang-orang kenamaan.

Chan juga sempat berbual dengan dua ‘orang dalam’ yang berjanji untuk dapatkan pekerja asing

Chan bercakap kepada ejen Bangladesh (baju biru) di mamak (kiri) dan orang tempatan yang mempunyai hubungan dengan orang dalam Imigresen

Dengan menyamar sebagai majikan yang mencari 100 orang pekerja binaan, beberapa pekerja asing dan ‘orang dalam’ bawa Chan jumpa ejen Bangladesh yang berpusat di Malaysia. Dia kemudiannya bagitahu Chan yang dia merasuah pegawai imigresen daripada Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri, dengan bayaran lebih kurang RM3,000-RM5,000 untuk seorang pekerja.

Semasa dalam penyamaran juga, Chan sempat berbual dengan ‘orang dalam’ yang juga penduduk tempatan, iaitu Saiful Akmal yang merupakan bekas pegawai imigresen. Saiful terangkan yang bila dia buat permohonan, pegawai yang jaga portal tu kenal akaun dia bila dia login, dan permohon yang dia buat mesti akan diterima dalam masa seminggu je. Berapa pula harga yang dia caj? Kesemuanya adalah RM7,000. Dia siap hantar gambar dan screenshot setiap permohonan yang dia buat.

“I tak cakap I pandai, tapi dalam itu saya punya grup. Actually I memang cakap sama you, I ex-Imigresen. So banyak benda yang I buat… RM6,000 untuk kelulusan dan untuk bayaran pas. Tapi you kena ingat, you nak buat permohonan dulu you kena bayar bank guarantee, you kena buat documentation everything. Mesti satu orang kena habis RM7,000 baru boleh jadi.” – Saiful, ketika dirakam oleh kamera tertutup

Korang boleh tengok perbualan Chan dengan ejen Bangladesh dan Saiful dalam pendedahan ni.

Dokumen dari Kementerian Dalam Negeri, ejen Bangladeshi menunjukkan Chan (kiri) dan gambar-gambar yang diluluskan daripada permit yang diluluskan daripada Saiful

Selain daripada tu, Special Branch mendedahkan bahawa 80% daripada pengawal sempadan mengambil rasuah. Tahun selepas tu pulak, pihak berkuasa menumpaskan sindiket ‘orang dalam’ yang melumpuhkan pemeriksaan pasport di lapangan terbang. Sejak kes tu, imigresen yang terlibat dengan rasuah akan ditahan. Tapi, takde sesiapa pun yang pernah ditahan sebab bawa masuk pekerja asing secara haram, menurut laporan dari 101 East.

Dalam pendedahan tu juga, wartawan 101 East dah cuba untuk hubungi Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri banyak kali, tapi takde respon pun.

Kementerian Dalam Negeri menafikan tuduhan selepas 101 East menyiarkan rakaman

Menteri Dalam Negeri Zahid dan Timbalan Nur Jazlan bertindak balas terhadap rakaman daripada 101 East. Klik untuk membaca artikel dari Malaysiakini (atas) dan The Malaysian Insight. Imej dari MalaysiaKini

Beberapa hari selepas pendedahan 101 East disiarkan, Menteri Dalam Negeri, Zahid dan timbalannya, Nur Jazlan Mohamed panggil dokumentari tu sebagai ketinggalan zaman. Zahid kata,

“Berdasarkan siasatan saya terhadap program Al Jazeera, mereka melakukan rakaman program itu enam bulan yang lalu dan kini dengan sistem aplikasi dalam talian, isu-isu seperti itu tak lagi berlaku.”

Tapi itu la apa yang 101 East cuba buktikan. Termasuklah sistem online, dan rasuah yang berleluasa (macam kes ejen Bangladesh dan Saiful Akmal)!

Tambahan lagi, Nur Jazlan mempersoalkan kesahihan surat-surat yang didakwa dihantar oleh Kementerian Dalam Negeri kepada Jabatan Imigresen:

“Terdapat banyak persamaan antara Kementerian Dalam Negeri dan Imigresen. Kami bimbang beberapa (surat) mungkin palsu. Kami sedang mengawasi kes-kes surat kelulusan palsu Kementerian Dalam Negeri yang dibuat oleh ejen yang tak bertanggungjawab untuk menipu pekerja asing. Kami akan menyiasat surat arahan yang dikatakan itu untuk mengetahui sebab sebenar. “- Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan memberitahu Malaysiakini

Syarikat swasta sepatutnya dihentikan daripada menguruskan pekerja asing?

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago terlebih dulu mencadangkan yang syarikat swasta (macam MyEG, Iman, Bukit Megah Sdn Bhd, etc.) dihentikan daripada mengendali pekerja asing. Lepas tu, tugas ni diberikan kepada Kementerian Sumber Manusia dan bukan Kementerian Dalam Negeri, walaupun mereka tahu industri ni perlukan pekerja-pekerja ni dan dalam masa yang sama boleh kesan pergerakan mereka.

Pelan negara itu menyatakan yang jumlah pekerja asing di negara ini akan ditetapkan pada 15% menjelang tahun 2020. Buat masa ini, Zahid perlu memaklumkan kepada Parlimen tentang macam mana kementeriannya merancang untuk mencapai sasaran memandangkan kita mempunyai kira-kira dua setengah tahun lagi. “- Charles Santiago, The Edge Markets

Sebulan kemudian pada akhir bulan Julai, kerajaan melakukan tindakan keras besar-besaran, di mana mereka menahan 3,300 orang pekerja asing tanpa dokumen yang sah bersama 84 orang majikan. Tapi sebenarnya, tak guna kalau kerajaan sendiri tak ambil serius dengan kes rasuah yang berlaku.

“Sekiranya kita cuma melakukan proses perundangan bagi pendatang tanpa izin yang dah berada di Malaysia tanpa menjaga sempadan kita, jadi kita sebenarnya menggalakkan lebih banyak imigresen haram. Sebab kalau mereka dah masuk, lagi senang mereka ni disahkan.” – Steven Sim