- 879Share sekarang!
- Email13
- Facebook866
- Share
Tentu ramai rakyat Malaysia yang pernah ke Bali, kan? Selain jadi tempat pelancongan yang terkenal dengan pantai dan budaya yang unik, kat Bali ni ada satu lagi tempat yang mungkin sesetengah orang tak tahu. Di sini jugalah terletaknya sebuah penjara yang terkenal dengan keadaannya yang teruk dan menempatkan beberapa penjenayah terkenal dunia. Penjara ini dinamakan Penjara Kerobokan yang dibuka pada tahun 1979.
Baru-baru ni, 4 orang tahanan luar negara berjaya lepaskan diri dari Penjara Kerobokan. Salah seorangnya ialah rakyat Malaysia. Diorang sanggup merangkak keluar melalui terowong sempit yang digali 12 meter panjang.
Tapi, 2 orang tahanan dari Bulgaria dan India dah berjaya ditangkap di Dili, Timur Timor. Manakala 2 orang lagi iaitu dari Malaysia dan Australia masih lagi terlepas.
Penjara Kerobokan ni memuatkan 1300 orang tahanan, iaitu 4 kali lebih ramai daripada jumlah asal yang sepatutnya. Penjara ini dikenali juga sebagai ‘United Nations of Prisoners’ sebab kat sini bukan saja ada tahanan dari Indonesia, tapi ada lebih 100 orang tahanan daripada 26 buah negara. Muhibahlah kiranya.
Walaupun Penjara Kerobokan ni dikelilingi oleh pantai yang cantik, vila-vila mewah dan restoran terbaik di Bali, tetapi kehidupan di dalam penjara tu taklah seindah di luar. Kat penjara ni, tak ada pemisahan antara penjenayah. Maknanya psychopaths, pembunuh bersiri, pedofil akan duduk sekali dengan pencuri dan pelancong yang ditangkap kerana terbabit dengan pil ekstasi kat kelab-kelab malam sekitarnya. Kat penjara ni, 78 peratus banduan disabitkan atas kesalahan sangkut paut dengan dadah.
Kat sini kitorang ada senaraikan 5 lagi cerita menarik tentang Penjara Kerobokan.
1. ‘Ratu Ganja’ dari Australia akhirnya pulang ke negara asal
Schapelle Corby merupakan pendandan kecantikan dari Australia. Sejarah hitam dalam hidup Schapelle bermula pada 8 Oktober 2004. Schapelle masa tu ke Bali untuk sambut hari lahir kakak dia yang ke-30. Tapi semasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai Bali, dia ditahan atas kesalahan menyembunyikan 4 kg marijuana dalam beg bodyboard dia. Schapelle yang waktu tu baru berusia 27 tahun telah dijatuhi hukukam penjara selama 20 tahun di Penjara Kerobokan. Tapi, Schapelle tetap berkeras yang dia tak bersalah.
Kes Schapelle ni mendapat liputan meluas terutama sekali oleh media-media Indonesia dan Australia. Media Indonesia beri gelaran ‘Ratu Ganja’ (Ganja Queen) kepada Schapelle. Kebanyakan media Australia pula percaya yang Schapelle tak bersalah. Sampaikan kes dia kat mahkamah dibuat khusus untuk sebuah rancangan TV. Ia berkenaan seorang gadis Australia yang jadi mangsa korupsi di sebuah negara Asia yang dipandang penuh kecurigaan dan ketakutan setelah membunuh ramai rakyat Australia di pengeboman Bali 2002.
Di Australia pula, kempen ‘Free Schapelle’ diadakan. Diorang buat demonstrasi di luar Kedutaan Indonesia. Rancangan bual bicara kat radio penuh dengan perasaan amarah rakyat Australia dan ada juga mencadangkan supaya rakyat Australia boikot untuk melancong ke Bali. Pihak Indonesia pula menegaskan yang Schapelle memang terang-terang bersalah dan menganggap rakyat Australia ni terlalu nasionalis.
Pada 2012, Presiden Indonesia pada waktu tu, Susilo Bambang Yudhoyono telah beri pengurangan tempoh penahanan sebanyak 5 tahun kepada Schapelle. Semasa dia kat Penjara Kerobokan, keadaan kesihatan mental Schapelle merosot teruk. Menurut salah seorang pakar psikiatri terkenal Australia yang melawat Schapelle, Schapelle boleh jadi gila dan tak dapat diselamatkan kalau dia terus diletakkan di Penjara Kerobokan. Pakar tersebut beritahu yang Schapelle mengalami halusinasi teruk. Sebelum tu, Schapelle pernah dihantar ke hospital di Indonesia lepas dia beritahu yang ada orang cuba intai dia di penjara.
Pada Februari 2014, Schapelle akhirnya bebas, tapi dengan parol. Maknanya dia tak boleh balik ke Australia hingga tempoh tertentu dan dalam pengawasan polis. Kakaknya, Mercedes datang ke Bali untuk tinggal dengan Schapelle. Salah sebuah stesen TV Australia pernah cuba nak buat temuramah eksklusif lepas dia bebas, tapi Kerajaan Indonesia bagi amaran yang parolnya akan dibatalkan dan dia akan ditahan semula kalau ditemuramah.
Tony Wilson, seorang bekas wartawan yang mengikuti kes Schapelle beritahu sewaktu dalam parol, Schapelle masih mengalami masalah kesihatan mental yang serius. Schapelle benci orang ramai pandang dan ambil gambar dia. Dia dilihat hidup dalam ketakutan dan paranoid bimbang kalau ada sesiapa yang cuba letak dadah kat dalam beg dia sehinggakan dia sanggup pasang kamera untuk keselamatan.
Pada Mei 2017 lepas, Schapelle akhirnya kembali pulang ke Australia selepas tamat parolnya. Sehari selepas dia dibebaskan dari Bali, Schapelle terus saja buka akaun Instagram dan sekarang ni dah ada lebih daripada 200 ribu orang pengikut.
2. ‘Bali Nine’ yang cuba seludup heroin bernilai RM 13 juta akhirnya ditangkap
Siapakah ‘Bali Nine’ ni sebenarnya? ‘Bali Nine’ merupakan gelaran untuk 9 orang rakyat Australia yang terdiri daripada 8 orang lelaki dan seorang wanita. Diorang ni ditangkap pada April 2005 di Bali setelah dapat maklumat daripada Australian Federal Police (AFP) yang diorang ni cuba untuk seludup 8.3 kg heroin ke Australia.
Pada 2006, 2 orang ahli ‘Bali Nine’ iaitu Andrew Chan dan Myuran Sukumaran telah didakwa atas kesalah merekrut 7 orang ahli yang lain. Kedua-duanya dijatuhkan hukuman mati dan 7 yang lainnya dihukum penjara antara 20 tahun dan seumur hidup.
Sepanjang berada di Penjara Kerobokan, Andrew dan Myuran banyak melakukan perubahan pada diri sendiri. Diorang berdua dah dianggap macam ketua dalam kalangan banduan kat sana.
Andrew yang sebelum ni seorang ateis dah memeluk agama Kristian dan menjadi pengikut yang taat. Bukan tu je, dia pun ambil kursus teologi untuk jadi pastor dan ajar bahasa Inggeris di gereja Penjara Kerobokan. Dia beritahu, kepercayaan dan keimanan membantu dia untuk hadapi hari-hari mendatang dalam penjara. Myuran yang ada ijazah dalam bidang seni halus menggunakan bakatnya untuk melukis dan dia juga ada buka kelas seni untuk banduan-banduan kat sana.
Pada 2012, Andrew dan Myuran memohon pengampunan daripada Presiden Indonesia pada waktu tu (Susilo Bambang Yudhoyono) supaya tidak dihukum mati. Tapi pada 11 Disember 2014, Presiden Indonesia yang terkini; Joko Widodo menyatakan bahawa tak ada pengampunan untuk kesalahan pengedaran dadah. Sampaikan Perdana Menteri Australia waktu tu (Tony Abbot) sendiri menghantar surat kepada Joko Widodo supaya kedua-dua tahanan tersebut tak dihukum mati.
Setelah permohonan pengampunan gagal, pada 29 April 2015, Andrew dan Myuran telah dihukum tembak mati di Penjara Nusa Kambangan, sebuah penjara di sebuah pulau dengan pengawasan ketat.
Apa yang menariknya, sepanjang berada di penjara, beberapa ahli ‘Bali Nine’ telah bertemu cinta masing-masing. Tan Duc Thanh Nguyen yang merupakan ahli ‘Bali Nine’ yang paling low profile telah bertunang dengan seorang sukarelawan dari Itali iaitu Lyudmyla Karpova. Pada mulanya Lyudmyla memang terkejut bila dapat tahu siapa sebenarnya Tan Duc, tapi dia yakin dengan cinta diorang dan mahu berkahwin dengan lelaki itu.
Salah seorang ahli ‘Bali Nine’ yang lain, Martin Stephens pula mengahwini Christine Puspayanti, seorang wanita Jawa yang dia kenal sewaktu wanita tersebut melawat Penjara Kerobokan dengan kumpulan gerejanya. Ahli lain, Scott Rush pula pernah juga bertunang dengan peguam dari London, Nikki Butler. Cerita paling menyedihkan ialah tentang Andrew Chan. Andrew sempat berkahwin dengan tunangnya, Febyanti Herewila, seorang kerabat diraja Jawa di Pulau Nusakambangan sehari sebelum dia dihukum tembak mati.
3. Amrozi – ‘The Smiling Bomber’ yang berjaya cetuskan rusuhan di Penjara Kerobokan
Kalau korang masih ingat, pada 12 Oktober 2002 lalu, dua buah bom meletup serentak di Jalan Legian, Kuta, Bali. Bom-bom tersebut diletakkan di hadapan dua buah kelab malam popular kat sana. Letupan tersebut menyebabkan 202 orang mati termasuk penduduk tempatan dan pelancong luar negara. Bukan tu je, kereta, bangunan dan rumah pun musnah sekali. Insiden ni memberi kesan besar ke atas Bali. Jumlah pelancong yang datang ke Bali jatuh mendadak menyebabkan banyak perniagaan kat sana terpaksa ditutup sebab tak ada pelanggan.
Dikatakan pengeboman itu didalangi oleh Jemaah Islamiah (JI), sebuah pertubuhan ekstremis yang beroperasi di Asia Tenggara. 3 orang pengebom telah dijatuhkan hukuman tembak mati. Tapi apa yang mendapat perhatian ialah tentang salah seorang pengebom yang bernama Amrozi bin Nurhasyim.
Selain daripada dia mengaku terlibat dalam pengeboman Bali tu, wajah Amrozi yang sentiasa tersenyum membuatkan dia famous sampaikan digelar ‘The Smiling Bomber’. Perangai dia yang relaks ni buatkan ramai orang jadi marah. Macam orang takde perasaan je.
Malah setiap kali lepas keluar dari mahkamah, Amrozi tak lupa melepaskan tumbukan angin sambil menjerit “Allahu Akbar”. Amrozi beritahu yang dia bangga dengan insiden pengeboman Bali tu. Tujuan dia ialah untuk bunuh seramai mungkin rakyat Amerika Syarikat, tapi dia kecewa sebab yang mati ramai dari Australia.
Amrozi dan 2 orang pengebom yang dijatuhi hukuman tembak mati iaitu Imam Samudra dan Mukhlas ditempatkan di Penjara Kerobokan. Kemudian, diorang bertiga terpaksa dipindahkan di penjara Nusakambangan yang lebih ketat pengawasannya. Ini disebabkan Penjara Kerobokan terlalu penuh dan tak cukup ketat.
Pada 2005, lebih kurang 500 orang merusuh di Penjara Kerobokan supaya hukuman mati ke atas 3 orang pengebom itu disegerakan selepas beberapa kali ditunda. Punyalah marah perusuh kat 3 orang ni sampaikan diorang cabut pintu penjara tu. Nasib baiklah ada polis yang mengawal. Orang ramai yang ikut rusuhan tu siap pakai baju tradisional Bali sambil jerit; “Bunuh Amrozi! Bunuh Amrozi!” dan “Kitorang dah tunggu selama 3 tahun!”
Akhirnya, pada 9 November 2008, ketiga-tiga pengembom Bali itu ditembak mati di Nusakambangan. Menurut saksi yang mengikuti persiapan hukuman diorang dari mula hingga akhir, ketiga-tiganya berada dalam keadaan yang tenang tanpa ada teriakan atau pergaduhan. Jenazah diorang diterbangkan Tenggulun, Lamongan, dan Serang, Banten.
4. Adik chef terkenal, Gordon Ramsay dipulau keluarga lepas bebas dari Penjara Kerobokan
Siapa yang tak kenal chef selebriti asal Scotland, Gordon Ramsay yang popular dengan komen pedasnya di rancangan Hell’s Kitchen. Walaupun orang ramai nampak Gordon ni dikelilingi populariti dan kekayaan, tapi dia jugak tak terlepas daripada masalah. Masalah utama dia dan keluarga ialah pasal adik dia yang bernama Ronald Ramsay (Ronnie) yang ketagih dadah.
Pada tahun 2007, Ronnie dijatuhi hukuman 10 bulan di Penjara Kerobokan selepas polis Indonesia jumpa 100 miligram heroin dalam poket dia kat pasar raya di Bali.
Ronnie ada merayu kat abang dia, Gordon untuk bayarkan upah peguam terkenal kira-kira RM 30 ribu supaya dia boleh bebas daripada hukuman tu, tapi abang dia buat tak tahu je. Lepas tu barulah Ronnie buka cerita yang abang dan emak dia dah malas nak ambil tahu pasal dia lagi. Nak bercakap dengan dia pun Gordon dengan emak dia tak sudi walaupun dia dah balik ke Britain semula lepas jalani hukuman kat Bali.
Bagi pihak Gordon Ramsay pulak, dia beritahu yang sebelum ni dia dah tanggung kos adiknya ke pusat pemulihan sebanyak lima kali. Tapi, kali ni dia dah tak boleh buat apa-apa lagi dah. Gordon bagi tahu yang adik dia ni memang dah ketagih dengan heroin. Ronnie pernah telefon Gordon banyak kali tengah-tengah malam dan sampai ugut nak bunuh Gordon dan anak-anak dia kalau tak dapat duit nak beli heroin.
Gordon juga mengaku yang dulu dia pun pernah belikan heroin untuk adik dia sewaktu ayah diorang meninggal pada 1997 dulu. Lepas Ronnie dipulaukan oleh keluarga dia, dia terpaksa menjadi gelandangan di tepi-tepi jalan di Plyamouth. Untuk sara hidup dia, Ronnie ambil upah dengan menjual majalah Big Issue.
5. Iwan Thalib, pengedar dadah yang hidup umpama VVIP di Penjara Kerobokan
Di Bali, jumlah wang yang korang ada boleh menentukan tempoh korang dikenakan hukuman. Contohnya untuk kes Iwan Thalib. Iwan Thalib ni merupakan seorang pengedar dadah yang berkuasa kat Bali.
Pada 2002, dia kena tangkap dengan polis. Polis jumpa 80 ribu tablet ekstasi, 600 gram kokain, 1 kg heroin dan beberapa kg serbuk dadah. Bukan tu je,malah polis turut jumpa beberapa buah mesin yang digunakan untuk buat ekstasi. Jadi, Iwan telah membayar sejumlah wang kepada pihak polis supaya hukuman dia dikurangkan. Iwan sepatutnya kena penjara 13 tahun dan boleh dikenakan hukuman mati, tapi dengan kuasa duit segala-galanya beres.
Iwan Thalib dipenjarakan di Penjara Kerobokan. Walaupun duduk dalam penjara, hidup dia kat dalam tu macam raja. Memandangkan dia ada kuasa duit, dia boleh ubah suai sel dia macam bilik hotel lima bintang. Dia boleh panggil pekerja-pekerja dia untuk buat satu perabot khas nak letak kat dalam sel dia. Itu belum lagi bawa karpet mahal dari luar negara dan cat dinding sel. bBukan tu je, sel dia ada home theatre siap sekali dengan 8 buah speaker, DVD dan Playstation. Kat hujung sel dia ada pulak peti ais nak letak beer, freezer dan microwave. Pekerja-pekerja dia diarah untuk besarkan pulak sel dia supaya boleh bersambung dengan tandas yang dah diubah suai jadi lebih mewah.
Iwan siap upah seorang banduan gay nama Dedi untuk jadi pembantu dia, bersihkan sel dia dan basuh baju-baju dia. Walaupun sel dia kat Penjara Kerobokan tu dah serupa hotel mewah, dia sebenarnya boleh suka hati keluar masuk dalam penjara tu sebab pengaruh dia kat penjara tu lebih kuat daripada pengawal-pengawal kat situ.
Salah seorang banduan kat situ beritahu yang Iwan ialah orang utama yang taja Penjara Kerobokan. Kalau pihak penjara nak ubah suai penjara atau nak bina taman, Iwan akan bagi duit. Malah, kalau ketua penjara nak pergi mana-mana misalnya nak ke Jakarta, Iwan dengan rela hati akan bayarkan hotel dan tambang pergi balik.
Bukan Iwan je,malah kalau ada mana-mana banduan yang mempunyai wang, diorang boleh buat apa yang diorang nak. Kalau nak jual dadah kat dalam penjara pun okey je. Janji kau bayar duit kat ketua penjara.
(Diambil daripada buku The Shocking Inside Story of Bali’s Most Notorious Jail: Hotel K oleh Kathry Bonella).
Alasan kenapa korupsi berleluasa kat Penjara Kerobokan ni ialah kerana gaji pegawai-pegawai polis ni terlalu kecil. Kalau diorang hanya bergantung kat gaji bulanan je, diorang memang tak akan mampu beli rumah, kereta atau nak hantar anak-anak sambung belajar. Kekurangan wang menyebabkan seseorang tu melakukan jenayah dan keadaan ni berlaku di seluruh dunia.
Secara umumnya, polis di Indonesia memang cuba untuk menghentikan kegiatan dadah ni kat negara diorang, tapi ada dua jenis polis iaitu polis baik dan polis jahat. Polis jahat memang selalulah berurusan dengan pengedar dadah. Ada sumber beritahu, polis Bali tahu siapa pengedar dadah paling berkuasa tapi diorang hanya tangkap ‘ikan kecil’ je. Polis akan bekerja dengan pengedar-pengedar dadah yang besar ni untuk dapatkan keuntungan hasil jual dadah juga.
6. Dua kumpulan besar Bali saling berbunuhan dalam Penjara Kerobokan
Selain daripada rusuhan yang berlaku semasa Amrozi ditahan, memang ada beberapa rusuhan lain pernah berlaku kat Penjara Kerobokan. Salah satunya yang terkenal berlaku pada tahun 2012. Pihak polis terpaksa menyerang kawasan penjara tersebut sebab banduan-banduan dalam Penjara Kerobokan dah bakar penjara dan guna pelbagai senjata tajam dalam penjara.
Konflik yang cetuskan rusuhan ni bermula seminggu sebelumnya bila dua orang banduan bergaduh dalam penjara guna pisau. Lepas tu pergaduhan merebak jadi dua kumpulan besar pula.
Rusuhan bermula bila banduan-banduan mula serang pengawal penjara kat pintu masuk. Jadi, polis ambik keputusan untuk tembak dua orang banduan kat kaki bila diorang dah mula serang polis dengan kayu dan batu. Lepas tu, beratus-ratus orang polis terpaksa merempuh masuk dalam penjara dan lepaskan tembakan sebagai amaran.
Pada tahun 2015 pula, berlaku satu lagi rusuhan di Penjara Kerobokan. Pada mulanya ada satu pergaduhan dalam penjara antara dua orang banduan yang mewakili kumpulan Laskar Bali dan Baladika. Dua kumpulan ni memang kumpulan besar kat Bali. Kemudian, daripada dua orang, pergaduhan tersebut merebak ke 15 orang banduan pula. 4 orang telah mati dalam penjara.
Rusuhan yang berlaku kat dalam dan sekitar penjara merebak pula kat kawasan Denpasar menyebabkan orang ramai jadi panik. Apa yang menakutkan lagi, beberapa orang lelaki kat Denpasar saling bertikam antara satu sama lain.
Jalan-jalan kat sekitar Penjara Kerobokan terpaksa ditutup lepas rusuhan disebabkan beratus-ratus ahli Laskar Bali dan Baladika membanjiri kawasan sekitar dengan senjata tajam seperti tombak, pisau, pedang dan parang.
Lepas rusuhan tu juga, serbuan dibuat pihak berkuasa kat Penjara Kerobokan. Pihak berkuasa berjaya rampas 6 buah tong sampah penuh dengan senjata, dua bungkusan besar methamphteamine, baju kalis peluru dan sebuah komputer riba. Rusuhan menakutkan ni juga menyebabkan pihak Penjara Kerobokan terpaksa pindahkan lebih daripada 100 orang banduan ke penjara lain.
Sentiasa berhati-hati bila melancong ke tempat orang.
Disebabkan Penjara Kerobokan ni menempatkan beberapa orang banduan terkenal Australia seperti ‘Bali Nine’, Schapelle Corby dan Ronald Ramsay, secara tak langsung rakyat Australia yang melawat Bali akan jadikan penjara ni salah satu tempat wajib untuk diorang jejak.
Walaupun Bali merupakan tempat pelancongan yang kaya dengan budaya dan pantai yang cantik, korang yang datang ke sini kena hati-hati selalu. Di Bali, kadar jenayahnya adalah rendah walaupun ia kawasan tumpuan pelancong. Tapi, jenayah masih boleh berlaku kat sana seperti kecurian, rogol dan bunuh. Kat Bali, dadah memang senang dapat termasuk pada waktu siang. Ada marijuana, kokain, heroin, ekstasi semua boleh dapat. Tapi tak payahlah terpengaruh nak beli dadah walaupun yang menjual tu pengawal keselamatan.
Selain Malaysia, Indonesia juga ialah salah sebuah negara yang mempunyai undang-undang jenayah narkotik yang paling berat di dunia. Undang-undang Indonesia boleh menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun hingga mati untuk sesiapa yang mengedar dadah di negaranya. Jadi, kalau korang nak melawat Bali atau mana-mana tempat seluruh dunia, pastikan korang ambil tahu undang-undang setiap negara tu. Jagalah nama baik Malaysia dengan jadi pelancong yang terbaik.
- 879Share sekarang!
- Email13
- Facebook866
- Share