Macam mana seorang ‘macai’ bekerja? Pengakuan seorang bekas cybertrooper

Akaun palsu atas nama Harris Hannif. Imej dari Facebook Harris Hannif.

Pepatah Melayu kata, harimau mati menginggal belang, manusia mati meninggalkan nama. Tapi dalam zaman social media sekarang ni, manusia mati meninggalkan profile picture. Sampaikan baru-baru ni, viral pasal komen yang diberi kat FB page Najib menggunakan profile picture orang yang dah lama meninggal dunia. Dan ini bukanlah kali pertama benda ni kantoi sebenarnya.

fake-account

Kami tak tau sapa yang rajin sangat download gambar orang lain pastu spam #RespectMyPM ni semua. Apa yang kami tau, ketua penerangan UMNO, Ahmad Maslan daripada dulu cakap yang dia memang nak buat ‘cybertrooper’ kat Internet untuk membaiki imej kerajaan.

Dan kami kat SOSCILI bernasib baik sebab kami dapat interview seorang cybertrooper iaitu Ahmad Marzuki (bukan nama sebenar). Ahmad Marzuki kini dah kembali ke jalan yang benar, tapi dia bagitau kami sedikit sebanyak pasal kisah sebenar di sebalik seorang cybertrooper, iaitu…

Cybertrooper hanyalah seorang yang ambil upah untuk buat kerja, macam syarikat PR atau advertising je

Begitulah hendaknya. Mereka hanyalah sebuah agensi. Biasanya kalau nak tangkap gambar kawen kita upah photog, kalau nak buat website kita upah web designer, so kalau nak buat post kat social media… kita upahlah agensi. Itu je. Takde misteri, takde teori konspirasi.

Oleh kerana identiti agensi ini harus kami rahsiakan, Ahmad Marzuki tolong kami dalam membongkar cara-cara cybertrooper berfungsi kat social media, termasuklah…

1. Buat grafik untuk sebarkan mesej/propaganda

Korang ingat asalkan selalu main Facebook je dah boleh apply part-time jadi cybertrooper? Sebenarnya dorang punya job scope agak profesional jugak OK, antaranya adalah membuat visual yang korang selalu nampak kena share kat social media. Kena tau design, kena tau copywriting, kena tau mesej apa yang nak dimasukkan.

Contohnya kita tengok post kat sebuah page pro-Kerajaan paling popular, Friends of BN:

parti-baru-pembangkang

Daripada pihak pembangkang pun ada jugak, contohnya daripada page Suara Rakyat:

najib-doj-mo1

Tapi apa yang paling menarik sekali, kadang-kadang sesebuah agensi tu buat kerja untuk KEDUA-DUA pihak! Menurut Ahmad Marzuki, dorang tau je yang agensi ni jugak ambik upah untuk buat kerja bagi pihak yang lagi satu tu, tapi dorang tak kisah.

So macam yang kami kata tadi, agensi ni hanyalah sebagai ‘gun for hire’. Mungkin dorang sendiri takde sebarang pendirian politik yang kukuh, cuma sekadar makan gaji…

2. Fake account untuk bagi sokongan dan puji-pujian

Cer bukak page Najib Razak kat Facebook, skrol bawah sikit dan pilih la mana-mana post, mesti korang jumpa komen yang penuh dengan hashtag, macam ni:

cybertrooper-respect-my-pm

Cuba klik kat akaun sorang-sorang, dan korang perasan yang kat profile dorang tak banyak pun maklumat yang ada. Contohnya si Khalid Noordin kat atas ni yang takde gambar, takde member, dan penuh dengan berita-berita yang menyokong satu pihak sahaja.

cybertrooper-fake-account02

Kadang-kadang korang mungkin perasan yang kononnya profile dorang memang dah lama buat (acah-acah profile orang sebenar) tapi sebenarnya senang je nak detect hehe…

cybertrooper-fake-account01

Ntah gambar siapa la yang kena guna untuk fake account ni semua, kami mintak maaf la ye…

3. Delete komen-komen negatif kat FB page

Of course mana-mana admin pun ada polisi dalam mengendalikan page FB masing-masing. Kat CILISOS dan SOSCILI sendiri, kami akan hide kalau ada komen-komen yang mencarut, rasis, dan sebagainya.

Tapi ada sesetengah page yang akan hide apa-apa komen yang berbunyi sedikit negatif sekalipun. Contohnya kat post di page Najib Razak ni. Bila mula-mula kena publish, komen-komen kat bawah ni keluar:

komen-negatif-facebook-pm

Tapi tak sampai sejam lepas post tu live, komen-komen ni hilang. Jadi kalau korang pergi kat Facebook Najib Razak atau mana-mana tokoh lain yang admin dia buat stail yang sama, mungkin korang akan beranggapan tokoh-tokoh ni semua memang disayangi ramai.

Cuma satu je benda yang admin page tak boleh delete… iaitu reactions. So kalau tengok mana-mana post, korang boleh tengok berapa ramai yang guna reaction marah, huhu…

facebook-reaction-marah-najib

4. Cuba ‘lawan’ berita-berita negatif kat portal alternatif

 

Ramai tau yang kebanyakan surat khabar tradisional adalah dimiliki oleh kerajaan, termasuklah Utusan, The Star, dan New Strait Times. Senior editor kat NST sendiri kata yang kerajaan telah melarang surat khabar daripada cover pasal cerita 1MDB apa semua.

Malah sumber berita online pun ada yang kena ban termasuklah The Malaysian Insider dan Sarawak Report.

So, macam mana pulak website yang tak kena ban lagi (tapi mungkin tunggu masa je) macam Free Malaysia Today? Kami perasan kat artikel-artikel yang keluar pada website popular macam FMT ni, akan ada komen yang lain macam je bunyinya… Contohnya artikel pasal Dr M ni:

pengomen-macai-fmt-01

Cuba perati tiga komen kat atas tu. Korang boleh check profile Dian Melankolik, Andika Wisnu, dan Ilham yang dibuat sebagai page. Dan ketiga-tiga page ni dibuat pada 8 Oktober 2015, dan ada profile photo dan cover photo je.

fake-account-02.jpg

Sebab tu la perkataan yang digunakan dalam ketiga-ketiga komen kat atas main reycle je. Berbanding dengan spam ‘#respectmyPM’ kat atas tadi, cara ni susah  sikit la sebab kena banyak rujuk kamus untuk mempelbagaikan kosa kata.

5. Alihkan perhatian orang ramai dengan post viral

Pernah tak dengar pasal “strategy of distraction”? Mengikut Noam Chomsky, strategi ni digunakan untuk mengalihkan pandangan orang ramai daripada isu-isu penting, dengan membanjirkan media dengan benda-bernda lagha dan maklumat yang tak penting.

Mengikut Ahmad Marzuki, dorang sendiri menggunakan taktik ni untuk mengalihkan perhatian pembaca dengan post yang viral. Sebab tu kat page macam Friends of BN, biasanya hari-hari penuh dengan hal politik, tak semena-mena korang boleh jumpa post kelakar ala Siakap Keli:

frensofbn-distraction

Tapi kalau nak diikutkan, dorang tak payah buat distraction macam ni pun takpe.. sebab media kita memang dah penuh dengan gosip dan berita-berita selebriti…. kan, kan, kan? Jadi, pengajarannya…

Nilai sendiri apa yang korang baca di media sebelum percaya bulat-bulat

sivarasa-time-magazine
Sivarasa yang dikritik kerana share berita fake.

Awal tahun ni, Ahli Parlimen PKR, Sivarasa Rasiah share imej di mana muka PM Najib jadi cover majalah TIME dengan headline “Global Corruption Explained”. Imej tu sebenarnya palsu, tapi dah terlambat sebab sekejap je post tu terus jadi viral. Jadi ramailah yang mengkritik Sivarasa kerana tindakannya yang sangat tidak bertanggungjawab, nak lagi bagi seorang ahli politik.

Dan dengan kewujudan cybertrooper terutamanya kat social media, lagilah kita kena check dulu sebelum share apa-apa kat Facebook, Whatsapp, mahupun bila bersembang dengan member. Pastikan sumber yang kita dapat tu bertauliah, Google dulu kalau nampak benda-benda yang sangat pelik. Janganlah jadi seperti Sivarasa.

Sebab kita sebagai pembaca/pengeshare pun ada tanggungjawab dalam menyebarkan kebenaran, setuju?

(UPDATE 8/8/2016: Pembetulan telah dibuat terhadap parti Sivarasa, iaitu PKR dan bukannya DAP. Juga terhadap ejaan nama. Inilah akibatnya kalau kita tak check dulu apa yang kita baca mahupun tulis. Belajarlah daripada penulis ini sendiri. Thanks to Tyra Hanim for the corrections!)

About MK Zainal 36 Articles
Editor di SOSCILI, hari-hari tengok movie.