Lee Lam Thye dianugerah tokoh Maulidur Rasul? 5 lagi tokoh bukan Islam dapat pengiktirafan sama

*Artikel asal disiarkan pada 12 November 2019*

Nampaknya esok, kita akan menyambut Maulidur Rasul 1443 Hijrah, dan merupakan sambutan orang yang beragama Islam. Dan macam biasalah saban tahun, akan ada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan dan ada negeri yang akan memberikan anugerah kepada tokoh-tokoh yang selayaknya.

Tapi tahukah korang yang Anugerah Maulidur Rasul ni bukan semata-mata untuk orang Islam je? Contohnya penerima Anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan pada tahun 2019 adalah seorang tokoh bukan beragama Islam, iaitu Tan Sri Lee Lam Thye.

Para penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan. Lee Lam Thye (berbaju Melayu biru). Imej dari Sinar Harian

Merupakan seorang aktivis kemanusiaan, pengiktirafan yang diraihnya adalah melalui penglibatan aktif dan sumbangannya dalam memupuk kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai betapa pentingnya mengamalkan budaya keselamatan. Malah, antara sumbangan yang diambil kira adalah apabila dia membangunkan buku panduan bagi membantu institusi tahfiz menangani isu berkaitan keselamatan.

Tapi nampaknya, ada yang tak menyenangi perkara ni dengan menyifatkan yang orang Islam tak sepatutnya terima anugerah tersebut. Mungkin, mereka tak tahu yang sebelum ni pun, ada je orang bukan Islam yang pernah menerima anugerah yang sama:

Dr Lim Swee Tin, pakar bahasa Melayu

Kalau korang ambik PMR dan SPM, mungkin korang pernah dengar nama ni. Dr Lim Swee Tin, di mana karyanya pernah dimuatkan dalam buku KOMSAS kita, iaitu teks puisi dalam antologi ‘Anak Bumi Tercinta‘ yang merupakan antologi Komponen Sastera Dalam Bahasa Melayu bagi Tingkatan 3.

Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) pada tahun 2000, pakar Bahasa Melayu ni juga selalu memberi ceramah penulisan kreatif di dalam dan luar negara. Dia juga menerima Anugerah Maulidur Rasul pada tahun 2016.

Mithun Jay Langgim, jurulatih pendaki

Mithun Jay Langgim, imej dari The Star

Pada tahun 2015 pula, seorang jurulatih pendakian, Mithun Jay Langgim menerima anugerah yang sama.

Ini kerana usahanya menyelamatkan 135 pendaki (105 pengembara, dua penjaga dan 28 pemandu gunung) yang terkandas di puncak Gunung Kinabalu selepas kejadian gempa bumi yang melanda Sabah pada 5 Jun tahun tersebut.

Wee Soon Yen, satu-satunya pelajar bukan Islam dapat A dalam mata pelajaran Bahasa Arab

Wee Soo Yen, dua dari kanan. Imej dari Mstar

Baru berusia 16 tahun pada masa tu, Wee Soon Yen telah dipilih sebagai tokoh Maulidur Rasul 2011 berdasarkan pencapaian akademiknya.

Merupakan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok, Kelantan, Wee Soon Yen bukan saja memperolehi 8A dalam PMR, tapi juga berjaya mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Arab, dan merupakan satu-satunya pelajar bukan Islam yang mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Arab.

Dr Tan Swee Lian, Pegawai Penyelidik MARDI

Dr Tan Swee Lian. Imej dari thepetridish.my

Merupakan pakar dalam Pembiakan Tanaman dan Genetik, khususnya ubi kayu dan keledek, Dr Tan Swee Lian juga merupakan saintis penyelidikan selama 37 tahun oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Dia berperanan dalam membangunkan pakej-pakej teknologi pengeluaran bagi ubi kayu yang semakin berkembang di kedua-dua tanah mineral dan tanah gambut. Perkhidmatan kebangsaannya dalam bidang pertanian telah diiktiraf melalui pemberian Anugerah Persekutuan Kesateria Mangku Negara pada tahun 1993, dan Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada tahun 2010. Dia dilantik sebagai Felo di Akademi Sains, Malaysia pada tahun 2009.

Liew Tong Sin, Pegawai Bomba dan Penyelamat

Liew Tong Sin, berpakaian tentera. Imej dari The Star

Bagi Liew Tong Sin pula, dia menerima anugerah Maulidur Rasul ni pada tahun 2004. 

“Saya tidak menjangka ini. Apa pun yang saya lakukan adalah sebahagian tugas saya ke negara saya,” Liew,  dipetik dari The Star

Liew merupakan seorang pegawai di Jabatan Bomba dan Penyelamat Alor Star, dan sudah berkhidmat selama 25 tahun setakat tahun 2004. 

Sebab penganugerahannya adalah mengambil bahagian dalam banyak operasi yang mencabar, dan mengancam nyawa termasuk memadamkan kebakaran hutan dan mengetuai satu pasukan untuk membunuh babi yang dijangkiti virus Nipah pada tahun 1999.

Nabi Muhammad pun pernah dipilih tokoh paling berpengaruh di Amerika Syarikat

Setiap penerima anugerah Maulidur Rasul kebiasannya dipilih oleh Jawatankuasa Anugerah Maulidur Rasul pada setiap tahun atas sumbangan mereka yang tersendiri untuk negara. Jadi, perkara kecil sebegitu tak perlu dipersoalkan.

Malah, pengarang dari Barat, Michael H Hart meletakkan Nabi Muhammad SAW sebagai manusia pada kedudukan paling teratas dan berpengaruh dalam bukunya berjudul 100 Most Influential People In The World

“Manusia perlu mencontohi setiap yang ada pada diri Rasulullah SAW sebagai sumber inspirasi dalam menjalani kehidupan demi kesejahteraan di dunia dan akhirat” – Michael H Hart, pengarang Barat dalam bukunya, 100 Most Influential People In The World.