Di pejabat Utusan Melayulah, Lee Kuan Yew berbincang menubuhkan PAP

UPDATE 9/10/2019: Setelah 80 tahun beroperasi, akhirnya Utusan Melayu disahkan akan memberhentikan operasinya bermula 9 Oktober 2019. Pekerja dan wartawan Utusan juga dimaklumkan mengani hari terkahir ini dan tamat perkhidmatan pada 31 Oktober.

Bagi mengenang sejarah panjang akhbar ini, kami da menulis fakta penting menganainya yang ramai tak tahu…

___________________________________________________________________

Pada hari ini, kita mungkin hanya kenal akhbar Utusan Malaysia (dulunya Utusan Melayu), sebagai salah satu akhbar arus perdana yang ada di Malaysia. Selain jadi akhbar yang kuat menyuarakan isu-isu Melayu, Utusan Malaysia jugak tak terlepas dari kontroversi seperti condongnya akhbar itu kepada pihak kerajaan, dituduh rasis dan kadang-kadang ekstrem.

Walaupun begitu, kita masih tak boleh menafikan yang Utusan adalah antara akhbar tertua yang pernah wujud di negara ini. Sebenarnya, Utusan menyimpan satu sejarah yang amat panjang. Mungkin ramai yang tak pernah sangka bahawa akhbar ini pernah dikuasai oleh golongan sosialis, radikal dan nasionalis.

Antara tajuk Utusan Malaysia yang pernah jadi kontroversi. Imej dari helenang.wordpress

Pada 29 Mei yang lalu, genaplah umur Utusan Malaysia (Utusan) yang ke 78 tahun. Oleh itu, SOSCILI kali ini akan menceritakan perjalanan Utusan sebagai sebuah akhbar yang pernah membangkitkan semangat nasionalisme dan kemerdekaan pada suatu masa dahulu.

Tertubuhnya akhbar Melayu tulen dari usaha sekumpulan anak Melayu

Sebelum Perang Dunia ke-2, berlaku konflik di Singapura dalam mentafsirkan takrif sebenar Melayu. Maka ketika itu muncul istilah seperti Darah Keturunan Arab (DKA) dan Darah Keturunan Keling (DKK). Perasaan anti terhadap golongan keturunan Arab dan Jawi Peranakan (Melayu keturunan Arab atau India) juga wujud apabila mereka ini didakwa telah mengeksploitasi ekonomi orang Melayu.

“Sebelum Utusan Melayu ditubuhkan, tidak ada akhbar yang dimiliki oleh orang Melayu dan memperjuangkan nasib orang Melayu.

Ketika itu Warta Malaya dimiliki oleh orang keturunan Arab dan isu-isu mengenai orang Melayu menjadi terpinggir.” – Tan Sri Zainuddin Maidin, Bekas Ketua Pengarang Utusan. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Bapa kewartawanan Melayu, Abdul Rahim Kajai antara orang yang aktif menulis dalam mentafsirkan takrif sebenar Melayu ini. Makanya, muncullah sekumpulan anak Melayu (lebih kurang 20 orang) yang berusaha nak menubuhkan sebuah akhbar Melayu tulen yang menjadi milik 100% orang Melayu.

Abdul Rahim Kajai lahir pada 1894, akan kekal dikenang sebagai Bapa Kewartawanan Melayu. Imej dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Antara mereka yang ada dalam kumpulan ini adalah Yusuf Ishak yang juga akhirnya nanti menjadi Presiden pertama Singapura. Akhirnya pada 15 Jun 1938, Utusan Melayu Press Limited berjaya ditubuhkan. Akhbar Utusan Melayu pula diterbitkan setahun kemudian iaitu pada 29 Mei 1939. Yusuf Ishak ketika itu menjadi Pengarah Urusan dan Pengarang Utusan yang pertama.

Apabila British memperkenalkan Malayan Union yang akan merampas Tanah Air ini secara total, Utusan menjadi akhbar yang paling kehadapan menentang cadangan ini. Utusan juga masa tu mula terbuka pada golongan DKA dan DKK. Malah Utusan Melayu jugalah yang memulakan idea untuk menubuhkan UMNO.

“Pengarang yang juga pengasas Utusan Melayu, Yusof Ishak pernah menerima ucapan terima kasih daripada Dato’ Onn kerana peranan dalam menggerakkan penentangan terhadap Malayan Union.” – Zainuddin Maidin. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Pejabat Utusan Melayu di Singapura. Imej dari Singapura Stories.

Lee Kuan Yew pernah jadi peguam pertama Utusan Melayu

Sebagai akhbar Melayu, maka akhbar ini juga disertai oleh para nasionalis-nasionalis bangsa. Antara mereka yang masuk Utusan adalah Abdul Rahim Kajai (bapa kewartawanan Melayu), Ishak Hj Muhammad/Pak Sako (nasionalis & sasterawan) dan A Samad Ismail (nasionalis & tokoh wartawan). Samad Ismail masuk Utusan masa berumur 16 tahun.

Selain mereka, beberapa lagi tokoh yang menyertai Utusan adalah seperti Othman Wok (akhirnya menjadi menteri kabinet pertama Singapura), Aziz Ishak, Salim Kajai, Usman Awang (Sasterawan Negara), Melan Abdullah (Tokoh Wartawan Negara), Said Zahari (nasionalis) dan ramai lagi. Manakala, Yusuf Ishak masa jadi pengarang, terkenal dengan sifatnya yang tegas dan garang.

“Yusof tidak memaafkan pekerja yang ponteng, yang datang lambat, yang melakukan kesilapan, yang malas dan yang lembap. Mereka yang bersalah dibuang kerja begitu saja dan selalunya secara yang amat kasar, diusir dari pejabat sebagai pengkhianat.

‘Awak pengkhianat bangsa sendiri!’ dia berteriak sekuat hatinya.” – Di Depan Api di Belakang Duri: Kisah Sejarah Utusan Melayu, m/s 23.

Dari kiri: Ishak Hj Muhammad (Pak Sako), Melan Abdullah dan Aziz Ishak. Imej dari Goodreads, Arkib Negara & Wikipedia.

Apa yang ramai tak tahu adalah, Lee Kuan Yew (bekas PM Singapura) pernah jadi peguam Utusan Melayu yang pertama pada sekitar tahun 50-an. Dia jugak banyak membela para pekerja dan kakitangan Utusan. Hal ini jugalah yang jadi faktor kepada hubungan baik di antaranya dan Yusuf Ishak.

“Kalau tidak kerana Lee Kuan Yew. Yusof Ishak, Pengasas Utusan Melayu di Singapura, tidak akan menjadi Yang Di Pertuan dan juga Presiden Singapura yang pertama dengan sokongan dari Othman Wok, Timbalan Ketua Pengarang Utusan Melayu yang menjadi kawan setia Lee Kuan Yew (LKY) sehingga ke akhir hayat.” -Zainuddin Maidin. Dipetik dari Zamkata.

Yusof Ishak dan Lee Kuan Yew masa meraikan perkahwinan Devan Nair yang juga seterusnya menjadi Presiden Singapura ke-3. Imej dari mole.my

Malah salah seorang wartawan Utusan, A Samad Ismail (Pak Samad) menjadi antara pengasas Parti Tindakan Rakyat (PAP) bersama – sama dengan Lee Kuan Yew. Lee Kuan Yew juga pernah menjadi peguam dalam kes Pak Samad yang ketika itu ditahan oleh pihak penjajah.

“Mereka turut berbincang mengenai penubuhan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di pejabat Utusan… Namun kemudian A. Samad Ismail bergaduh dengan Lee Kuan Yew.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, hubungan Lee Kuan Yew dan Pak Samad tak berpanjangan apabila berlakunya pertembungan ideologi antara mereka berdua. Ini kerana, Pak Samad dikatakan seorang komunis. Pak Samad meninggalkan PAP pada 1957.

“Saya percaya A. Samad adalah seorang Marxist-Nationalist tetapi tidak semestinya seorang Marxist tidak percaya kepada Tuhan. Itu adalah momokan penjajah British.” – Zainuddin Maidin. Dipetik dari Di Depan Api di Belakang Duri: Kisah Sejarah Utusan Melayu.

Yusuf Ishak dan Lee Kuan Yew dalam satu pertemuan. Imej dari straitstimes.com

Berlakunya krisis dalam Utusan Melayu

Lepas Perang Dunia ke-2, Utusan Melayu mula dipenuhi oleh golongan sosialis, nasionalis, anti feudal dan radikal. Hubungan antara Yusuf Ishak dan Timbalan Pengarang, Pak Samad juga mula renggang. Hal ni jadi bila Yusuf terkenal dengan sikapnya yang anti-sastera sebab anggap sastera tak akan bawa keuntungan pada akhbar. Sedangkan, Pak Samad adalah orang yang kuat menyokong sastera.

Disebabkan hubungan ini dan masuk campur Lee Kuan Yew (menurut Pak Samad), akhirnya Yusuf ambil tindakan pindahkan Pak Samad ke Jakarta. Pak Samad dan penyokong dia pun mula rasa tak puas hati.

“Utusan memindahkan beliau (Pak Samad) ke Jakarta. Beliau berhenti daripada Utusan dan menyertai Berita Harian. Sa­mad keluar daripada PAP dan menjadi ketua UMNO Singapura.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Pak Samad ditahan di dalam ISA pada 1976 hingga 1981. Imej dari rmaf.org

UMNO pula di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman semakin berasa tak puas hati dengan Utusan Melayu. Utusan yang pada asalnya menjadi akhbar pendorong kepada penubuhan UMNO kini semakin condong menyokong haluan kiri. Perkara ni disemarakkan lagi bila Said Zahari menjadi Pengarang Berita Utusan Melayu.

“Said (Zahari) telah membakar perasaan pembaca dengan isu-isu rakyat yang bersifat politik, ekonomi dan sosial yang condong ke kiri, bersifat anti-kapitalis dan anti-kerajaan.” – Di Depan Api di Belakang Duri: Kisah Sejarah Utusan Melayu, m/s 98.

Mogok Utusan dan diambil alih oleh UMNO

Disebabkan sikap Utusan yang semakin kiri, Tunku masa tu ada nasihat Yusuf untuk mengawal akhbar itu dari terus bersikap anti-kerajaan. Bagaimanapun, nampaknya Yusuf gagal menasihati Said Zahari dalam hal ini.

“Akhirnya Tunku merasakan semua ini berlaku adalah kerana Yusuf sebagai Pengarang tidak dapat lagi mengawal kakitangannya. Maka itu Yusuf perlu disinggkirkan.

Lembaga Pengarah Utusan Melayu yang pengerusinya Senator Hashim Awang adalah orang UMNO telah diarahkan untuk memanggil mesyuarat tergempar bagi mengundi tidak percaya terhadap Yusuf.” – Di Depan Api di Belakang Duri: Kisah Sejarah Utusan Melayu, m/s 102.

Akhirnya Yusuf tersingkir pada 1959 dari akhbar yang diasaskannya sendiri. Penyingkiran Yusuf seterusnya dah bagi peluang yang amat besar kepada Said Zahari untuk mengawal hala tuju Utusan Melayu ke arah yang lebih pro-sosialis dan pro-Indonesia. Disebabkan perkara ini, pada 1961 Tunku pun hantar Pegawai Penerangan UMNO, Ibrahim Fikri supaya menjadi Ketua Pengarang dan Pengarah Utusan yang baru.

Ibrahim Fikri. Imej dari Di Depan Api, Di Belakang Duri: Kisah Sejarah Utusan Melayu.

Ibrahim Fikri pun masa tu buat tindakan tegas dengan pindahkan Said Zahari ke Singapura serta-merta. Akibatnya, ramai kakitangan Utusan menentangnya dan mereka pun lancarkan mogok mulai 21 Julai 1961. Mogok tu sendiri diketuai oleh Said Zahari. Tujuan mogok ini adalah nak menghalang kemasukan wakil UMNO untuk menguasai Utusan dari golongan kiri.

“Mogok Utusan Melayu tidak ada kena mengena dengan perjuangan menuntut kebebasan akhbar. Saya berani kata, ia sama sekali bukan kerana kebebasan akhbar.

Mogok Utusan Melayu tercetus selepas Tunku mahu membersihkan Utusan Melayu daripada perjuangan Melayu Raya (menyatukan Malaysia & Indonesia).

UMNO mahu menguasai Utusan Melayu tetapi gagal kerana semangat Melayu Raya terlalu kuat di Utusan Melayu.” – Zainuddin Maidin. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Mogok Utusan yang tercetus pada 1961. Imej dari The Nut Graph.

Mogok tu berjalan selama 3 bulan, tetapi akhirnya menenemui kegagalan. Said Zahari pula selepas tu dihalang oleh kerajaan daripada memasuki Malaya/Malaysia. Said kemudiannya meneruskan perjuangan politik berhaluan kirinya di Singapura. Tapi lepas tu Said ditahan di bawah ISA Singapura selama 17 tahun (1963-1979). Pada 1989, Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri menarik balik larangan kemasukan Said ke Malaysia dan akhirnya Said dapat kembali ke Malaysia. Said meningal dunia pada 2016.

“Apa pun yang dikatakan tentangnya tetapi tidaklah dapat dinafikan bahawa Said Zahari adalah seorang pengarang yang sanggup berkorban, sanggup ditahan bertahun-tahun di dalam penjara, sanggup berpisah dengan anak-isterinya demi untuk menegakkan kepercayaannya.

Sukar lagi untuk dicari di zaman ini seorang pejuang berani dan senantiasa bersemangat  tinggi memperjuangkan ideologinya.” – Zainuddin Maidin. Dipetik dari mStar.

Dengan kegagalan mogok Utusan, maka bermulalah episod penguasaan UMNO di akhbar ini. Bagaimanapun, kegagalan ini juga disokong oleh salah seorang bekas pemogok, Rosedin Yaacob mengatakan mogok itu sendiri sebagai satu kesilapan.

“Katanya, tidak ada kebenaran dalam dakwaan yang mengatakan mogok itu untuk mempertahankan kebebasan akhbar sedangkan Jabatan Pengarang Utusan Melayu mengikut telunjuk luar.

Malah ada pihak dalam Utusan ketika itu mendapat bayaran bulanan tetap dari Indonesia.” – Di Depan Api di Belakang Duri: Kisah Sejarah Utusan Melayu, m/s 121.

Said Zahari juga digelarkan sebagai benteng Melayu Raya terakhir di Utusan. Imej dari The Nut Graph.

Utusan kini hadapi banyak cabaran

Utusan Melayu pada asalnya diterbitkan dengan bertulisan jawi, tapi diberhentikan penerbitannya pada 31 Disember 2003. Kemudiannya diterbitkan seminggu sekali sebagi sisipan dalam Utusan Malaysia. Tapi sekarang ia dah tak dicetak lagi dan hanya diterbitkan secara digital. Utusan Malaysia (bertulisan rumi) pula diterbitkan pada 1 September 1967.

Utusan sampai hari ni pun tak terlepas daripada kontroversi. Pada tahun lepas editor kanan Utusan, Ku Seman Ku Hussain meletakkan jawatan disebabkan sikapnya yang kritikal dalam isu 1MDB dan derma 2.6 bilion. Malah, bekas Ketua Pengarang Utusan, Zainuddin Maidin pada hari ini adalah antara mereka yang lantang mengkritik Utusan dan kerajaan.

“Mereka (rakyat) merasa harapan dan amanah yang diletakkan kepada kepimpinan negara telah dikhianati.

Bagaimanakah rakyat akan diyakinkan semula jika semua media kerajaan tidak lagi diyakini. Berita TV3 tidak lagi ditonton, akhbar-akhbar harian arus perdana tidak terjual.” – Zainuddin Maidin. Dipetik dari Zamkata.

Utusan Malaysia satu!

Kekalahan Utusan kepada saman-saman yang ditujukan kepada akhbar itu juga sedikit sebanyak telah melemahkan kepercayaan rakyat. Perjuangan Utusan selalu dikaitkan sebagai Alif, Ba, Ta iaitu Alif untuk agama, Ba untuk bangsa dan Ta untuk tanah air. Persoalannya, adakah perjuangan ini masih ada?

[Artikel ini banyak merujuk buku tulisan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Zainuddin Maidin: Di Depan Api di Belakang Duri: Kisah Sejarah Utusan Melayu.]

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.