Lapangan Terbang Alor Setar dijadikan tempat persinggahan acara perlumbaan pesawat udara dunia

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah menjadi kebanggaan rakyat Malaysia sebab ia antara yang terkenal di dunia dan menjadi lapangan terbang utama di Malaysia. Sebagai rumah yang ingin menjemput tetamu, rumah tu mesti lah cantik dan moden kan? Jadi sama lah dengan konsep KLIA yang dibina oleh idea Tun Dr. Mahathir Mohamad ni!

KLIA layout plan, guide on getting around the Kuala Lumpur International Airport – klia2.info
Suasana dalam KLIA yang membuatkan ramai orang rindu untuk travel. Imej dari www.klia2.info

Walaupun satu dunia tahu sejarah dan kewujudan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, korang pernah tak dengar pasal sejarah lapangan terbang di Tanah Melayu yang tak diiktiraf dan merupakan…

Lapangan Terbang Pertama — Lapangan Terbang Alor Setar

British merekodkan Sungai Besi sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa pertama Malaysia bila pesawat penumpang Imperial Airways mendarat pada tahun 1933. Sebenarnya, disebalik sejarah ni, 23 tahun sebelum wujudnya perkhidmatan penerbangan Malayan Airways Ltd atau 5 tahun sebelum pembinaan Lapangan Terbang Taiping, Perak, pernah wujud satu lapangan terbang yang pertama dibina di Tanah Melayu!

Imperial Airways : The Definitive Newsreel History 1924-1939 - Civil Aviation - YouTube
Kapal terbang Imperial Airways. Imej dari Youtube

Kalau korang nak tahu, Lapangan Terbang Alor Setar atau sekarang dikenali sebagai Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim merupakan lapangan terbang pertama yang dah wujud pada tahun 1924! Lapangan terbang ni terletak di tengah-tengah sawah Kepala Batas, kira-kira 14 km dari pusat bandar Alor Setar. Walaupun menjadi lapangan terbang pertama, tak ada siapa yang tahu kenapa fakta ni tak dicatat dan disembunyikan oleh British. Apa agaknya agenda British sebenarnya?

Imej dari imgflip

Actually… ada satu bukti menerusi satu tarikh yang lebih awal — sebelum pembinaan Lapangan Terbang Sungai Besi (1933) dan sebelum pembinaan Lapangan Terbang Taiping (1929), sebuah kapal terbang Royal Dutch Airlines (KLM) telah mendarat di Kepala Batas, Alor Setar pada tahun 1924. Ia menjadikan Royal Dutch Airlines (KLM) penerbangan

Haa ni lah bukti kapal terbang KLM pernah mendarat di Alor Setar. Screenshot dari en.prnasia.com

Penerbangan Antarabangsa pertama ke Tanah Melayu

Lapangan Terbang Alor Setar di Kedah merupakan tempat mendarat kapal terbang Royal Dutch Airlines (KLM) — syarikat penerbangan tertua di dunia sejak tahun 1924. Kapal terbang pertama yang mendarat di Alor Setar adalah jenis Fokker F.VII yang membawa 3 krew dan beberapa bungkusan kargo mel udara. Selain itu, kapal terbang Royal Dutch Airlines (KLM) pernah berlepas dari Amsterdam pada 1 Oktober 1924 dan mendarat di Kepala Batas, Alor Setar pada 21 November 1924.

Kapal terbang Fokker F.VII. Imej dari www.scmp.com

Pada tahun 1928, seperti yang dicatat dalam buku Touring The Tropics At Top Speed, Royal Dutch Airlines (KLM) melalui operasi ejennya KNILM (KLM Hindia Belanda) memulakan penerbangan penumpang berjadual seminggu sekali dari Medan, Indonesia ke Alor Setar. Selepas itu, penumpang akan transit di Alor Setar sebelum meneruskan penerbangan ke destinasi utama, Amsterdam.

Peta transit ke Amsterdam. Imej dari yusrinfaidz.blogspot.com

Pernah direkodkan pada tahun 1931, seorang pelakon filem Hollywood, Will Rogers pernah bermalam di Alor Setar sementara menunggu kapal terbang Royal Dutch Airlines (KLM) untuk ke Bangkok. Dikatakan Will Rogers suka naik kapal terbang dan mendapatkan lesen juruterbang (sampai macam tu sekali minat dia dengan kapal terbang). Kalau korang nak tahu, pada 29 Mei 1933, Lapangan Terbang Alor Setar pernah menjadi hab persinggahan bagi penerbangan British — Imperial Airways dan akhirnya, penerbangan British memulakan perjalanan dari London ke Australia.

Korang boleh tengok peta perjalanan udara Imperial Airways pada tahun 1935. Imej dari Wikipedia

Selain menjadi tempat transit, Lapangan Terbang Alor Setar juga dijadikan tempat persinggahan acara perlumbaan pesawat udara dunia MacRobertson Air Race pada Oktober 1934. Acara ni bermula dari Croydon, England dan tamat di Melbourne, Australia. Mungkin korang tertanya-tanya, apa sebenarnya MacRobertson Air Race ni? Perlumbaan pesawat udara yang dirancang oleh Lord Mayor of Melbourne, Sir Harold Gengoult Smith dan hadiah sebanyak £15,000 disediakan oleh Sir Macpherson Robertson, pengeluar gula-gula Australia yang kaya-raya.

Dalam perlumbaan ni, terdapat 5 perhentian wajib — Baghdad, Allahabad, Singapura, Darwin dan Charleville, Queensland yang dijadikan sebagai check point. Peserta juga boleh memilih laluan diorang sendiri untuk dijadikan tempat perhentian. Selain itu, tempat perhentian tambahan diberikan stok bahan bakar dan minyak yang disediakan oleh Royal Dutch Shell dan Standard Oil Co. Macam perlumbaan Formula 1 tapi lagi advanced!

Sebenarnya, Lapangan Terbang Alor Setar menjadi transit bagi penumpang udara antarabangsa yang lebih awal dari Lapangan Terbang Sungai Besi di Kuala Lumpur. Kalau korang perasan, Lapangan Terbang Alor Setar banyak berjasa kepada penerbangan antarabangsa tapi kenapa tak pernah dijadikan sejarah yang hebat?

Tak ada struktur bangunan yang menjadikan ia sebagai pusat penerbangan pertama

Menurut seorang peguam serta ahli kaji sejarah, Yusrin Faidz, Lapangan Terbang Alor Setar tak ada struktur bangunan dan cuma ada landasan kapal terbang yang dikelilingi sawah bendang ditepi jalan utama. Jadi, disebabkan tak ada infrastruktur, lapangan terbang ni tak diiktiraf sebagai lapangan terbang yang pertama di Tanah Melayu.

Selepas beberapa tahun, Lapangan Terbang Taiping mengambil gelaran lapangan terbang tertua di Malaysia yang mula dibina pada tahun 1929, namun ia digunakan untuk penerbangan komersial bukan ketenteraan.

Lapangan Terbang Taiping, Malaysia - Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas
Kapal terbang yang berada di Lapangan Terbang Taiping. Imej dari Wikipedia

Kalau diikutkan dalam laporan Foreign Aeronautical News, 1931, British tengah bina lapangan terbang yang lain pada awal tahun 1931 di sekitar Alor Setar dan pada tahun 1938, siap lah lapangan terbang yang baru iaitu Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang. Disebabkan ia mempunyai landasan lebih luas dan lebih selesa, Royal Dutch Airlines (KLM) dan penerbangan antarabangsa yang lain memilih untuk mendarat di Lapangan Terbang Bayan Lepas. Boleh jadi sebab tu, sejarah Lapangan Terbang Alor Setar terkubur dan dibiarkan begitu je…

Foreign Aeronautical News 1931. Imej dari www.thevocket.com

Lepastu, Lapangan Terbang Alor Setar pula diambil alih oleh Tentera Udara DiRaja British (RAF) dan dijadikan sebagai Pangkalan Udara RAF Utara Malaya. Pada tahun 1964, ia diambil alih oleh Sekolah Latihan Penerbangan TUDM (kini Kolej Tentera Udara). Seterusnya, digunakan sebagai landasan bagi kapal terbang komersial dan milik Kerajaan Malaysia pada tahun 1970.

Lapangan Terbang Alor Setar yang sekarang. Imej dari thevocket

Iklan & KLM ‘sponsored articles‘ dalam akhbar tempatan sekitar 1930an juga menjadi sumber sejarah

Zaman kegemilangan Lapangan Terbang Alor Setar sebagai hab penerbangan antarabangsa hanya tinggal kenangan dan sejarah sebab sekarang ia digunakan untuk tujuan penerbangan pesawat domestik. Hanya disebabkan tak ada struktur bangunan, Lapangan Terbang Alor Setar tak dicatatkan dalam sejarah, malah tak dianggap lapangan terbang pertama di Tanah Melayu pada zaman tersebut.

Contoh salah satu poster KLM tahun 1930an. Imej dari yusrinfaidz.blogspot.com

Mungkin fokus British masa tu nak jadikan Sungai Besi sebagai lapangan terbang Tanah Melayu pertama yang menerima pesawat komersial. Sebabnya, sehingga ke hari ini, tak banyak website yang menceritakan sejarah Lapangan Terbang Alor Setar dengan lebih mendalam. Walaupun tak diiktiraf dalam sejarah, ia pernah menjadi tempat mendarat dan laluan kapal terbang antarabangsa. Hebat kan?

Selain Lapangan Terbang Alor Setar, mungkin ada lagi sejarah-sejarah yang pernah berlaku di Tanah Melayu yang belum kita tahu?