Lanun-lanun di laut Malaysia-Singapura memanjat kapal perdagangan hanya dengan buluh

Jasa tentera Malaysia dalam operasi Black Hawk Down akan sentiasa terpahat dalam hati kita sebagai satu keberanian. Di mana tentera Malaysia berjaya menyelamatkan pasukan tentera US ketika misi keamanan di Somalia. Walaupun dalam filem Black Hawk Down tak sebut langsung penglibatan tentera Malaysia dalam operasi tu. Sedar tak sedar, tentera Malaysia bukan sahaja menyumbang di darat, malah, di lautan antarabangsa.

Lanun Somalia tengok lambang ni pun cuak. Imej dari Mudah.

Ianya terbukti melalui OP Fajar yang diketuai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam kerja-kerja mematahkan serangan lanun terhadap kapal perdagangan di laluan tersibuk dunia, Teluk Aden. OP Fajar pada tahun 2011, berjaya menghalang rampasan lanun ke atas kapal dagang Malaysia, MT Bunga Laurel. Bukan setakat tu, pasukan OP Fajar juga bantu kapal perdagangan China (Zhen Hua 4) dan India (MT Abul Kalam Azad) dalam mengagalkan cubaan rampasan lanun.

Sebenarnya, OP Fajar ni bukanlah tiba-tiba ada. Semuanya bermula selepas negara kita digemparkan dengan kejadian di Teluk Aden suatu masa dulu.

Dua kapal perdagangan Malaysia dirampas lanun Somalia dalam sebulan

Pada 19 Ogos 2008, negara kita dah digemparkan dengan rampasan kapal perdagangan Bunga Melati 2 milik Malaysian International Shipping Corporation (MISC) oleh lanun Somalia di Teluk Aden. Dalam kapal tu memuatkan 39 anak kapal yang 29 orang terdiri dari orang Malaysia manakala selebihnya warga Filipina.

10 hari lepas tu, satu lagi kapal MISC, Bunga Melati 5 pulak dirampas oleh lanun Somalia di kawasan yang sama. Kapal itu memuatkan 41 anak kapal yang mana 36 warga Malaysia dan 5 warga Filipina. Kapal ni dalam perjalanan dari Yanbu, Arab Saudi ke Singapura dengan membawa 30,000 Metrik tan bahan petrokimia.

Aku sebuah kapal. Aku pernah diculik. Imej dari Kosmo.

Pada 27 September 2018, akhirnya kapal Bunga Melati 5 dibebaskan dan dua hari kemudian, barulah kapal Bunga Melati 2 pula dibebaskan. Semua ini berlaku selepas MISC membayar wang tebusan berjumlah AS 2 juta untuk setiap kapal. Dalam kedua-dua kejadian tu, semua anak kapal terselamat kecuali seorang anak kapal warga Filipina dari kapal Bunga Melati 2. Dia mati terkena sebutir peluru yang tersasar.

Kalau nak diikutkan, Teluk Aden ni bukan buat Malaysia je risau. Satu dunia tak senang duduk bila fikir pasal keselamatan kapal mereka sebab aktiviti lanun yang berleluasa buat serangan dan rompakan. Sampaikan PBB dah luluskan satu resolusi yang membenarkan tentera laut dari macam-macam negara untuk hantar kapal perang. Tujuannya untuk mengiringi kapal perdagangan negara-negara masing waktu lalu kawasan ni.

Di Teluk Aden ni juga, lanun-lanun dia bukan biasa-biasa. Mereka berkebolehan menawan kapal-kapal bersaiz besar. Mereka juga dilengkapi dengan senjata berteknologi seperti pelancar grenade dan senjata automatik yang digunakan tentera. Disebabkan lanun-lanun ni, dunia pernah dikejutkan dengan serangan lanun ke atas kapal tangki gergasi Arab Saudi, Sirius Star yang membawa 1 tan minyak mentah pada November 2008.

Punyalah sesak Teluk Aden ni. Imej dari BBC UK.

Walaupun Teluk Aden ni antara laluan perairan yang sibuk, Selat Melaka adalah yang kedua tersibuk di dunia. Semestinya di kawasan ni jugak ada lanun yang akan buat cubaan menyerang dan merompak kapal yang lalu. Dilaporkan lanun di Selat Melaka tahapnya berbeza dengan di Teluk Aden. Mereka hanya beroperasi secara kecil-kecilan menggunakan bot dan senjata kecil. Kapal yang diserang pun adalah kapal bersaiz kecil macam kapal penunda dan kapal feeder kontena.

Apa barang lanun Selat Melaka. Hehe. Imej dari Everydaynodaysoff.

Tapi, negara kita tetap pernah digemparkan dengan lanun di selat ini apabila…

Kapal Nepline Delima milik Malaysia cuba dirampas lanun dari Indonesia

Pada 14 Jun 2005, kapal tangki Nepline Delima yang memuatkan 19 anak kapal yang kebanyakan orang Malaysia diketuai seorang kapten warga Indonesia dah dirampas oleh sekumpulan lanun. Kapal itu dalam perjalanan dari Singapura menuju ke Myanmar, namun, dirampas diperairan Langkawi.

Kapal itu dirampas pada pukul 4 pagi, tapi pada pukul 5 pagi, salah seorang anak kapal berjaya melepaskan diri. Mohamed Hamid salah seorang krew yang berjaya melepaskan diri dah berkongsi pengalamannya dalam sebuah dokumentari.

“Kapten buat announcement, “Tolong! Tolong! Lanun naik kapal! Bangun anak-anak, bangun.”…Bila pecah bilik, diorang parang kapten. Semua orang lari. Saya sembunyi waktu tu. Lepas tu saya dengar kawan-kawan saya, kena tangkap kena pukul. Ada terfikir yang lanun ini datang mesti dengan kapal.”- Mohamed Hamid

Dia pun perlahan-lahan pegang dinding kapal dan menuju ke bot yang dibawa lanun. Dia kemudiannya menggunakan bot laju milik lanun tadi senyap-senyap menuju ke arah Pulau Langkawi dan kemudiannya buat laporan kepada polis marin di Pangkalan Marin Bukit Malut.

Akhirnya, gabungan polis marin, Unit Udara Polis Diraja dan pengadu dari anak kapal berjaya mengesan kedudukan kapal tersebut. Selepas rundingan selama 3 jam, barulah polis berjaya memujuk kumpulan lanun yang terdiri dari 10 orang Indonesia itu untuk menyerah diri. Para lanun minta jaminan supaya meraka tak dipukul jika menyerah diri. Salah seorang anak kapal warga Indonesia juga dah ditahan reman kerana disyaki bersubahat dengan kumpulan lanun.

Mohamed Hamid pulang sebagai wira. Imej dari The Star.

Jadi memang betul-betul ada lanun di perairan laut kita ni. Sebelum berbincang lebih lanjut pasal lanun. Eloklah kita tahu macam mana boleh wujud kumpulan yang buat aktiviti lanun ni di Selat Melaka sejak dulu lagi.

Orang Melayu dulu jadi lanun kerana ditindas kerajaan Belanda

(Subtopik ini banyak merujuk jurnal bertajuk Pelanunan Di Selat Melaka Abad ke-19 keluaran Kolej Universiti Islam Selangor)

Dalam istilah Melayu Lama, tak pernah muncul perkataan lanun untuk merujuk kegiatan merompak di laut . Kalau dalam Hikayat Melayu Lama macam Tuhfat Al-Nafis pun perkataan Lanun merujuk kepada suku kaum yang datang dari Tempusuk yang membantu Sultan Mahmud untuk halau Belanda dari Riau sekitar tahun 1781.

Sampai sekarang buku ni dicetak lagi. Imej dari Amazon.

Selepas abad ke-19, barulah perkataan lanun digunakan secara meluas merujuk kepada rompakan di laut. Perkataan ni digunakan apabila di suku akhir abad ke-18. Kawasan nusantara masa tu memang selalu sangat dengar pasal kaum Iranun atau Illanun dari pulau Mindanao, selatan Filipina yang suka sangat merompak di laut. Mereka juga menyerang kampung-kampung untuk dapatkan harta dan hamba abdi. Disebabkan famous amos zaman tu, maka, masyarakat Melayu gunakan perkataan ‘lanun’ untuk gantikan perkataan ‘perompak laut’.

Walaupun perkataan lanun lambat muncul, namun, aktiviti merompak laut dah lama aktif di Selat Melaka. Sewaktu zaman kerajaan Melayu Melaka, catatan-catatan Cina melaporkan yang Selat Melaka dan pantai Semenanjung ni memang sarang perompak laut dari abad ke-14 dan 15 Masihi.

Aktiviti merompak laut makin berleluasa bila datangnya kuasa Barat macam Portugis ke Melaka serta runtuhnya kerajaan Melayu Melaka. Walaupun Melaka tewas, perang tak tamat dan masih berpanjangan yang menyebabkan banyak kapal perdagangan yang berdagang dengan kuasa Barat akan dirompak orang tempatan yang tanahnya sudah dijajah. Ianya berkemungkinan usaha kerajaan-kerajaan Melayu dulu untuk melumpuhkan kekuatan Portugis.

Jangan main-main dengan pendekar Melaka. Imej dari Uzukinokaze.devianart.

Walaupun pada mulanya atas motif perebutan kuasa atau politik, aktiviti rompakan atas bukan motif politik berleluasa apabila kuasa barat makin banyak bertapak di Nusantara. Macam Sepanyol di Filipina, Belanda di Jawa dan Melaka (selepas Portugis kalah). Menurut S. Raffles, orang-orang Melayu menjadi lanun waktu tu sebab penindasan dari kerajaan Belanda yang menghalang mereka daripada berdagang dengan bebas.

Walaupun kemudiannya, situasi politik dah berubah seperti sekarang, nampaknya, Selat Melaka tetap pernah menjadi sarang lanun di zaman moden sebelum dibanteras secara serius.

Serangan lanun di Selat Melaka membawa kerugian berjuta US Dollar

(Subtopik ini banyal merujuk jurnal tulisan Bo Jiang bertajuk Maritime Piracy in Malacca Straits And South China Sea: The Deterrence And Reactance Model)

Selat Melaka ini sangat penting diperingkat global kerana laluannya yang menjadikan perjalanan pendek di antara Lautan India dan Lautan Pasifik.  Sebab itulah, setiap tahun, 20,000 kapal tangki minyak yang mewakili sepertiga minyak mentah dunia melalui selat ini.

Payah nak lari ni. Imej dari Nippon Faundation.

Pada tahun 2005, International Martitime Organization (IMO) menganggarkan 40% serangan lanun di seluruh dunia datangnya dari Selat Melaka. Serangan di kawasan ni juga dah menyebabkan kerugian 3 billion US Dollar. Serangan lanun yang banyak ni ada sebabnya yang tersendiri.

Walaupun dengan bot-bot kecil, lanun-lanun ni tadi boleh kejar kapal-kapal ni. Mana taknya, kapal perdagangan yang lalu di selat ni akan lalu dengan kelajuan yang perlahan serta rapat dengan persisiran pantai. Semestinya dalam kapal ni juga menyimpan wang tunai untuk gaji-gaji krew kapal dan hasil-hasil lainnya.

Kalau kita dengar macam tak banyak je boleh dapat untuk rompak kapal ni. Tapi, dilaporkan harta-harta yang dirompak kapal ini boleh menampung kehidupan satu kampung di kawasan terpencil Indonesia. Mereka akan merompok untuk dapatkan makanan, rokok dan barangan-barangan lain. Lagi pun, lanun-lanun ni tadi juga mewakili orang kampung yang mana keuntungan akan dibahagikan bersama.

Satu kampung, satu kapal kita rompak. Satu kampung kita share.

Nampaknya, ada beberapa pengkaji yang dah turun padang sendiri untuk tengok kawasan perkampungan yang sekepala jadi lanun ni.

Lanun-lanun ni memanjat kapal perdagangan hanya dengan buluh

Seorang pengkaji dah turun ke Kepulauan Riau dan menemu ramah sendiri lanun dan orang kampung di situ. Kesimpulan kajian itu menunjukkan bahawa orang tempatan bekerjasama dengan kegiatan lanun ini atas sebab untuk terus hidup. Lagi pun, memilih menjadi lanun ni logik sebab mereka ni nelayan yang memang ada kepakaran laut, tahu selok-belok kawasan dan ada peralatan cukup macam bot dan parang untuk merompak.

Lokasi Kepulauan Riau bagi yang tak tahu. Imej dari Bucathyjalanjalan.

Untuk tahu lebih mendalam, Ross Kemp dalam dokumentarinya dah turun sendiri ke kawasan di Kepulauan Batam, Indonesia. Dilaporkan ada 10 kumpulan lanun yang beroperasi di kawasan ni. Dalam dokumentari tu, seorang lanun yang ditemu ramah ada berkongsi macam mana dia tahu bot mana yang nak dirompak.

Kawasan Pulau Batam kalau yang tak tahu. Imej dari Adedansasa.

“Informasi dari captain atau chief officer yang selalu order dan juga kadang-kala dari krew kapal itu. Mereka kasi koordinat di laut dan ambil”Seorang lanun yang diinterviu Ross Kemp.

Kapal yang dirampas ni tadi, mereka akan jual kepada pembeli sama ada di Eropah mahupun Asia. Kadang-kadang mereka juga akan dapat arahan supaya rampas kapal tu dan sorokkan atau hilangkan. Krew yang berkomplot dalam tu akan dapat duit insurans untuk beli kapal baru. Jadi, lanun tadi boleh ambil terus kapal yang mereka sorokkan.

Menurut lanun-lanun di Kepulauan Batan yang diinterviu lagi, mereka ada istilah khas untuk merompak kapal-kapal ini tadi.

1) Shopping: Aktiviti ni maksudnya lanun ni tadi panjat, ambil duit dan tinggalkan kapal tu. Biasanya kapal yang mereka sasarkan adalah yang membawa tunai US Dollar. Bila dah cukup USD 15,000, mereka akan berhenti dan balik. Aktiviti ni biasanya dua atau tiga kali sebulan.

Saiz kapal yang lanun dari Batam biasa buat shopping. Imej dari dokumentari Ross Kemp.

2) Hijacking: Aktiviti merampas kapal yang ada kerjasama dengan krew kapal.

Cara mereka merompak nampaknya juga sangat simple. Kapal yang tinggi-tinggi ni tadi, mereka akan panjat hanya dengan menggunakan buluh. Buluh panjang ni akan disambungkan sebatang kayu kecil dihujung sebagai penyangkut.

Lanun Batam tunjuk demo panjat buluh. Video dari Dokumentari Ross Kemp.

Kisah-kisah operasi lanun yang dikongsi dalam kajian mahupun dokumentari ni memang merisaukan kita semua. Tapi, nampaknya, Selat Melaka tempat yang mudah bagi lanun-lanun sejak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dah mula beroperasi pada tahun 2006.

Selat Melaka bebas lanun dan peranan Malaysia diiktiraf dunia

Dari tahun 2006 sampai 2014, hanya ada 38 kes serangan lanun di Selat Melaka. Menurut Datuk Seri Shahidan Kassim, dari tahun 2009 dan seterusnya dah tiada kes rompakan terhadap kapal-kapal perdagangan di Selat Melaka. Hanya ada beberapa kes rompakan yang terkawal berdekatan perairan Singapura.

Pasukan Maritim Malaysia power. Imej dari ejawatan.

Pada tahun lepas, Selat Melaka sudah pun diumumkan oleh Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai bebas dan selamat dari ancaman lanun. Semua ini terjadi dengan kerjasama dari negara jiran iaitu Indonesia dan Singapura. Apa yang membanggakan, dunia juga mengiktiraf sumbangan Malaysia dalam sektor maritim antarabangsa apabila dipilih kali ketujuh berturut-turut sebagai Ahli Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa untuk tempoh 2018 hingga 2019.

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT