Saidina Umar tangguhkan lawatan kerana tersebarnya wabak penyakit. Ini kisahnya

Sebelum ni negara kita pernah berdepan dengan banyak wabak berjangkit yang berpunca dari sebaran negara luar. Contohnya seperti selsema burung dan SARS. Kini, seluruh dunia sedang berjaga-jaga dengan wabak yang datang dari Wuhan iaitu Novel Koronavirus.

Pihak berwajib di Malaysia pula masing-masing bekerja keras memastikan pelancong dari China yang masuk ke Malaysia mesti disaring dahulu. Usaha ni berjaya mengesan beberapa pelancong yang masih lagi negatif terhadap virus ini. Alhamdulillah!

Walaupun begitu, di media sosial ramai yang mula mengetengahkan semula kisah pada zaman Nabi dalam menangani wabak taun ketika itu. Mungkin ada yang sekadar menulis tanpa memahami secara mendalam apa yang berlaku. Dan mungkin ramai tak tahu, wabak taun yang berlaku pada zaman Saidina Umar?

Eloklah kiranya kami menceritakan semula kisah wabak yang berlaku pada zaman lampau ni. Kita mulakan dengan…

Nabi minta penggembala di Madinah keluar mencari tempat yang selamat

Ini penggembala di Indonesia. Imej dari Apahabar

Seorang ilmuwan Islam bernama Ibn al-‘Arabi ada menjelaskan bahawa orang-orang Islam wajib berhijrah dalam beberapa keadaan. Ini termasuklah berhijrah dari negara bidaah, berhijrah dari negara yang dominan melakukan perkara haram, berhijrah bagi mengelakkan ancaman bahaya terhadap tubuh badan dan melarikan diri daripada pencerobohan terhadap harta.

Selain tu, satu daripadanya adalah orang Islam wajib berhijrah demi menjaga kesihatan diri daripada penyakit berbahaya.

Suasana apabila orang bermigrasi zaman sekarang. Imej dari The Guardian

Perkara ni adalah berdasarkan peristiwa di mana Rasulullah SAW memberikan kebenaran kepada para penggembala di Madinah untuk keluar mencari tempat yang selamat. Ini sehinggalah keadaan Madinah pulih daripada wabak penyakit.

“Bagaimanapun, sekiranya seseorang itu telah pun menghidapi penyakit berjangkit yang berbahaya, maka makruh baginya untuk keluar daripada tempat atau negara tersebut.

Ini kerana mengelakkan daripada merebaknya penyakit tersebut sehingga mendatangkan mafsadah yang besar.” Petikan dari jurnal ‘Penghijrahan Muslim Dari Perspektif Islam’

Wabak taun Amwas pada zaman pemerintahan Umar

Kisah Umar yang diadaptasikan dalam sebuah siri TV. Imej dari Wiki

Dalam satu kitab tulisan ilumuwan Islam, Al-Tahawi dicatatkan bahawa Saidina Umar menuju ke Syam atas sesuatu urusan kerana Syam sedang dilanda wabak taun. Setelah perbincangan dibuat, beliau telah mengambil keputusan untuk tidak memasuki Syam.

“Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini telah dibaca oleh ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf kepada Khalifah Umar Al-Khattab. Ketika itu Umar bercadang ingin pergi ke Syam semasa wabak taun sedang merebak di sana. Mendengar bacaan hadis ini, beliau membatalkan niatnya ke sana dan berpatah balik.

Wabak ini mula tersebar apabila ramainya mayat-mayat yang terbunuh sewaktu peperangan menentang Rom. Begitu ramai yang mati kerana besarnya jumlah tentera Rom yang menyerang. Disebabkan mayat terlalu ramai dan tak terurus maka tersebarnya taun.

Cara elak taun. Imej dari WHO Europe

Wabak ini juga dah menyebabkan ramai sahabat menjadi mangsa dan mati seperti Abu Ubaidah Ibnu Jarrah, Syurahbil Bin Hasanah dan lain-lain lagi.

Sebenarnya, keputusan Saidina Umar untuk membatalkan lawatannya ke sana dah menerima kritikan beberapa sahabat lain.

“Maka ada sahabat-sahabat yang menempelak Saidina Umar, adakah awak takut kepada Qada’ dan Qadar Allah?…

Saidina Umar menjawab, aku keluar daripada Qada’ Allah masuk pada Qada’ Allah, kata Saidina Umar. Aku tak masuk pun Qada’ Allah, aku melarikan diri daripada Ta’un pun Qada’ Allah.” – Abdul Hadi Awang, petikan dari Transkrip Kuliah Jumaat “Kitab Tauhid: Beriman Kepada Hari Akhirat”

Agama bukan sekadar hukum-hakam, ia juga mengajar erti etika pencegahan

“Tamadun manusia telah menyaksikan bahawa sebelum kedatangan Islam ke Tanah Arab, keadaan kesihatan awam pada ketika itu amat daif.

Penyakit berjangkit seperti cirit-birit, batuk kering, taun dan lain-lain amat mudah berlaku, bahkan secara berleluasa.” – Khairul Azhar Bin Idris, petikan dari Institut Kefahaman Islam Malaysia

Antara buku tulisan barat yang menjadikan Nabi Muhammad sebagai tauladan. Imej dari Pustaka Iman

Rasulullah SAW juga telah memberi penekanan terhadap kesihatan dan penjagaan kesihatan yang sempurna. Segala contoh tauladan baginda untuk perkara ini telah dibukukan oleh seorang perawi hadith Abu Abdullah Muhammad al Dhahabi (meninggal pada 1348 Masihi) di dalam kitabnya At-Tibb An Nabawi.

Dalam ajaran Islam, pencegahan menjadi asas utama kepada penjagaan kesihatan yang baik. Dalam masa yang sama aktiviti kehidupan dilakukan secara bersederhana dan tidak berlebih-lebihan. Tidak lupa juga, bidang perubatan dan kesihatan moden berasaskan kaedah saintifik yang memberi tekanan terhadap pencegahan dan rawatan.

Jadi, sudah menjadi tugas individu dan masyarakat Islam untuk wajib mencegah sebarang perilaku dan aktiviti yang mengundang kepada kemudaratan dan kehinaan.

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT