Kisah sistem “Kongkek” yang dilaksanakan oleh Kerajaan Johor dahulu

*Artikel ni pada asalnya disiarkan pada 6 Julai 2020*

Korang tahu tak pokok gambir ini apa? Ia merupakan sejenis tanaman dari keluarga Rubiaceae yang banyak ditanam di Malaysia dan Indonesia. Gambir mempunyai banyak jenis tetapi ada dua sahaja yang terkenal di Malaysia iaitu Gambir Sarawak dan ia digunakan sebagai ubat untuk membuang angin dalam badan, merawat sakit tekak dan kadangkala digunakan untuk membesarkan saiz “piston” lelaki tetapi ada kesan sampingan.

Selain itu, lada hitam merupakan rempah yang digunakan oleh rakyat Malaysia sama ada dalam masakan ataupun ubatan tradisional yang boleh merawat sakit perut, demam dan membantu sistem pencernaan. Lada hitam juga digunakan dalam masakan kerana dikatakan dapat memberikan lebih aroma dalam makanan.

Lada hitam ditanam di Vietnam, Indonesia, China, Sri Lanka, Brazil, Ecuador, Kampuchea dan juga Malaysia. Tapi, korang tahu tak yang dua tumbuhan ini telah menjadikan Johor sebagai pengeksport yang terbesar di dunia pada suatu masa yang dulu.

Temenggong Daeng Ibrahim membuka pintu kepada penanam Cina untuk memajukan gambir dan lada hitam

Imej dari The Origin of Kangchu System

Pada akhir abad ke-19, ekonomi pertanian negeri Johor berkembang dengan pesat dan memberikan hasil yang sangat lumayan. Sebahagian besar kejayaan ekonomi pertanian ini adalah hasil perusahaan penanaman gambir dan lada hitam. Johor telah mengeksport sebanyak 316,063 pikul (satu pikul bersamaan dengan 60.48kg) gambir dan 56,203 pikul lada hitam melalui pelabuhan Singapura dan selepas tiga tahun, dianggarkan terdapat 4,000 kilang di negeri itu.

Kalau korang nak tahu, selepas kemerosotan ladang-ladang lada hitam dan gambir di Riau dan ladang-ladang rempah di Singapura, ramai imigran Cina yang terdiri dari penanam telah memasuki Johor terutamanya di kawasan-kawasan sungai yang menghala ke Selat Johor. Mereka ini tertarik untuk berhijrah ke Johor kerana tanah di situ sesuai untuk ekonomi pertanian lebih-lebih lagi di kawasan lembah sungai.

Imej dari giphy

Penghijrahan mereka ini telah disambut mesra oleh Temenggong Daeng Ibrahim dan penanam-penanam Cina ini percaya bahawa mereka akan mendapat naungan keselamatan sebagaimana mereka dapat di Singapura. Oleh itu, ramai penanam-penanam Cina telah datang ke Johor untuk memajukan perusahaan penanaman gambir dan lada hitam.

Bukan itu sahaja, Johor juga telah menerima penghijraan dari orang Jawa yang ditugaskan untuk bekerja di ladang gambir dan ini juga merupakan salah satu sebab kenapa wujudnya kaum Jawa di Johor. Pada tahun 1860, sebanyak 1,200 ladang gambir dan lada hitam yang diusahakan oleh 15,000 pekerja yang majoritinya terdiri dari penanam-penanam Cina.

Sistem Kangchu yang membenarkan penanam Cina untuk menjual babi dan arak

Imej dari The Origin of Kangchu System

Selepas berkembangnya aktiviti-aktiviti orang Cina di Johor, perlbagai sub-sistem dalam sistem pajak diperkenalkan dan apa yang kami mahu fokuskan di sini ialah Sistem Kangchu. Ia merupakan salah satu cabang sistem ekonomi pertanian yang diperkenalkan selepas gambir dan lada hitam menjadi bahan asas di Johor, sistem ini juga digunakan bagi mengawal orang Cina yang jumlahnya lebih banyak dari jumlah penduduk asal Johor.

“Kejayaan ini membuktikan kebolehan pentadbiran mengurus pembangunan tanah di negeri Johor” – Carl A. Trocki, Ahli sejarah Asia Tenggara dan China, dipetik dari Sejarah Pentadbiran dan Pembangunan Tanah di Negeri Johor dari 1900 hingga 1970.

Peneroka-peneroka Cina yang ingin membuka ladang gambir dan lada hitam akan diberikan satu surat kebenaran dari pemerintah Johor dan ditandatangani oleh Sultan Johor, surat ini dipanggil “Surat Sungai”. Orang yang menerima surat ini akan dipanggil sebagai “Kangchu” dan mereka juga mempunyai hak-hak monopoli yang besar antaranya:

  1. Menjual arak
  2. Menjual babi
  3. Mengadakan tempat perjudian dan pajak gadai
  4. Mengimport beras
  5. Mendapat komisen dari gambir dan lada hitam
Kaya tak kaya lah diorang ni lepas sistem Kangchu diperkenalkan. Imej dari giphy

Seorang Kangchu bertanggungjawab untuk menjaga keamanan di kawasan ladangnya dan mereka juga akan mendapat bantuan dari pegawai polis yang mendapat gaji dari cukai hasil jualan. Mereka juga perlu menyediakan keperluan untuk pekerja-pekerjanya termasuklah bekalan candu.

Surat Sungai dah macam hak kuasa yang diberikan oleh orang Cina dan ia membuatkan Kangchu membawa orang-orangnya membuka kawasan di sungai dan anak-anak sungai. Dalam masa yang singkat wujudlah perkampungan orang Cina yang dipanggil “Kangkar” iaitu kaki sungai atau tebing sungai.

Pada tahun 1873, satu undang-undang telah dikuatkuasakan yang menentukan dengan lebih sempurna susunancara dan tanggungjawab seorang Kangchu. Beberapa pindaan telah dibuat pada tahun 1880 untuk menghadkadkan luas sesebuah kawasan penanaman gambir dan lada hitam iaitu “100 kebun sahaja”. Hal ini kerana Surat Sungai yang diberikan bukanlah sebagai “hak pemilik” tetapi sebagai memberi kebenaran sahaja untuk menanam pokok-pokok tertentu dalam masa yang tertentu.

Selain daripada Sistem Kangchu, sistem Pajak Sungai atau Pajak Kampung yang telah membuka pintu kepada orang Cina untuk menceburi bidang ekonomi pertanian Johor. Melalui sistem ini juga, mereka bukan sahaja dapat menanam gambir dan lada hitam malah ubi kayu juga ada ditanam. Kebenaran penanaman ini diperolehi melalui tender yang diberikan oleh kerajaan Johor.

Sistem Kongkek yang dilaksanakan bagi mengawal barangan eksport

Imej dari The Origin of Kangchu System

Sebelum korang “triggered” dengan perkataan kongkek yang ditulis dalam artikel ini, sila baca artikel ini dengan penuh teliti. Sejak perkembangan awal penanaman gambir dan lada hitam, majoriti Kangchu-Kangchu, dan taukeh-taukeh pemajak sungai dan kampung telah menerima modal pendahuluan dari pedagang-pedangang Singapura dan sebilangan kecil dari pedagang Melaka.

Modal yang diperolehi berdasarkan jaminan bahawa hasil-hasil keluaran yang akan dikeluarkan akan dijual kepada pemodal-pemodal asal dengan harga tertentu yang sudah ditetapkan tetapi dengan harga yang lebih rendah. Dari sini jugalah tercetusnya satu pakatan yang dipanggil “Kongsoh” iaitu satu persetujuan antara pemodal-pemodal dengan kerajaan Johor dalam menjaga kepentingan bersama.

Oleh itu, daripada persetujuan ini juga telah terciptanya satu sistem pengawasan yang dipanggil “Sistem Kongkek”. Ahli-ahli yang melaksanakan sistem ini dilantik oleh kerajaan dan mereka dipanggil sebagai “Pegawai Kongkek” atau “Kongkek” sahaja. Mereka dipertanggungjawabkan untuk memastikan setiap tongkang (sejenis kapal yang membawa barangan di Asia Tenggara) yang membawa hasil muatan eksport sampai ke tangan pemodal-pemodal asal. Kongkek juga mempunyai kuasa untuk merampas hasil eksport sekiranya dijual kepada saudagar-saudagar lain.

Stor penyimpanan dibina bagi menyimpan hasil pengeluaran gambir dan lada hitam yang akan dieksport, Pegawai Kongkek ini ditugaskan untuk mengawal hasil gambir dan lada hitam itu sama dengan anggaran kasar hasil pengeluaran ladang yang dibuka. Mereka juga akan bekerjasama dengan pegawai kerajaan tempatan supaya tiada berlakunya penipuan dalam barangan eksport seperti meletakkan pasir atau air dalam hasil muatan.

Kadangkala, mereka juga akan bekerjasama dengan pegawai tempatan untuk menyelesaikan pergaduhan antara Kangchu-Kangchu kerana kawasan ladang mereka berdekatan. Mereka ini selalu bergaduh tentang perebutan kawasan sempadan ladang.

Imej dari meme generator

Penanaman nenas dan getah yang memusnahkan industri gambir dan lada hitam

Imej dari Karya Tani

Johor merupakan sebuah pengeksport lada hitam dan gambir terbesar di dunia pada pertengahan dan akhir abad ke-19. Johor menumpukan ekonomi pertanian dengan kerjasama imigran Cina yang terdiri dari penanam kerana negeri ini kekurangan sumber bijih timah.

Korang tahu tak, kemajuan perusahaan penanaman lada hitam dan gambir ini mengalami zaman kegelapan apabila penanaman getah dan nenas diperkenalkan di Johor pada abad ke-20. Oleh itu, Lada hitam dan gambir semakin hari semakin hilang di Johor dan sukar untuk dijumpainya. Kalau pergi ke Johor pun tiada lagi korang dapat lihat ladang lada hitam dan gambir yang besar.

Walau bagaimanapun, penanaman nenas dan getah memberikan faedah kepada rakyat Johor kerana memberikan keuntungan besar. Jika pergi ke Johor, korang dapat melihat terdapat segelintir tempat menanam pokok getah dan nenas di satu kawasan yang sama.

Penanaman ini telah diusahakan oleh kerjasama antara LPNM dan RISDA dalam “Projek Intergasi Tanaman Nanas Jenis MD2” yang bermula pada tahun 2015 sebagai membantu peneroka mendapat pendapatan tambahan. Dengan itu, tanaman pokok getah dan nanas menjadi tanaman asas untuk Negeri Johor sampai sekarang.