Kisah kewafatan 4 Khulafa ar-Rasyidin

Bila cakap soal kematian, takde sorang pun manusia atau hidupan di dunia ni yang dapat terlepas darinya. Kematian jugak selalunya akan mendatangkan pelbagai perasaan kepada kita, sama ada rasa sedih, kehilangan, penderitaan dan sebagai.

Walaupun macam tu, Islam larang umatnya untuk mengharapkan kematian, sebab dengan kematian segala amalan seseorang tu akan terputus. Sedangkan kalau kita masih hidup, kita masih lagi boleh lakukan amal dan mencari pahala dari Allah SWT.

“Janganlah sekali-kali salah seorang di antara kamu semua mengharapkan dan berdoa agar kematian segera tiba, padahal belum ajalnya! Sesungguhnya jika salah seorang dari kamu semua meninggal dunia maka terputuslah amalnya. Dan tidaklah usia seorang mukmin itu bertambah selain kebaikan.” – Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan Ibnu Hibban.

Tanah Perkuburan Baqi, di Madinah. Imej dari muzir.wordpress.

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, pada 12 Rabiulawal tahun 11 hijrah. Dunia Islam diperintah pula oleh 4 orang sahabat yang dikenali sebagai Khulafa ar-Rasyidin. Mereka adalah Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib.

Jadinya kali ni, mari kita buka balik sejarah bagaimana para sahabat Rasulullah SAW yang dah dijanjikan syurga ini menghadapi hari-hari terakhir mereka. Semoga dengan kisah ni, kita akan menjadi umat yang lebih kuat imannya dan dapat pengajaran darinya.

1. Betul ke Saidina Abu Bakar meninggal dunia kerana diracun?

Siapa yang tak kenal dengan Saidina Abu Bakar As-Siddiq sahabat nabi yang paling rapat dan yang paling setia. Selain tu, Abu Bakar jugak adalah bapa mentua Nabi apabila anaknya, Saidatina Aisyah berkahwin dengan Rasulullah SAW. Untuk maklumat, nama sebenar beliau adalah Abdullah bin Abi Quhafah dan berasal dari Bani Tamim.

Lepas kewafatan Rasulullah SAW, Abu Bakar dilantik menjadi khalifah umat Islam pertama. Sepanjang pemerintahannya, pelbagai isu berjaya diselesaikan, termasuklah memerangi golongan murtad, meluaskan empayar Islam, mengumpul ayat al-Quran dan menetapkan Saidina Umar sebagai penggantinya.

Bagaimanapun, ada kontroversi dan perbahasan tentang kematian Abu Bakar. Ada riwayat yang kata Abu Bakar meninggal dunia kerana demam dan ada satu lagi riwayat yang kata beliau sebenarnya diracun oleh orang Yahudi. Diceritakan yang Abu Bakar dah termakan daging yang diracun. Tapi cerita tersebut tak sahih sebenarnya. Sebab itulah ia tak boleh dijadikan hujah.

Makam Abu Bakar disebelah makam Rasulullah SAW. Imej dari mosthdwallpapers.com

Menurut sejarah, Saidatina Aisyah jugak tak pernah kata yang bapanya diracun. Begitu jugaklah dengan para sahabat yang menziarah Abu Bakar pun tak pernah kata yang Abu Bakar diracun. Riwayat yang sahih sebenarnya datang dari Aisyah sendiri mengenai punca kematian bapanya.

Menurut Aisyah, Saidina Abu Bakar mula jatuh sakit, bila beliau mandi pada hari Isnin 7 Jamadil Akhir ketika cuaca yang sejuk. Akibatnya, beliau demam dan tak dapat solat di masjid. Akhirnya beliau meninggal dunia pada 2 Ogos 634 Masihi bersamaan dengan hari Selasa, 22 Jamadil Akhir tahun 13 Hijrah. Ketika tu beliau berusia 63 tahun dan pegang jawatan khalifah selama lebih kurang 2 tahun 3 bulan.

“Jarir bin Abdullah r.a mengatakan: Suatu ketika aku bersama Muawiyah bin Abi Sufyan. Dia menyatakan, ‘Nabi SAW meninggal dunia dalam usia 63 tahun, Abu Bakar meninggal dunia dalam usia 63 tahun dan Umar bin Al-Khattab meninggal dunia dalam usia 63 tahun.” – Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Saghir.

Begitulah perginya sebaik-baik sahabat Rasulullah yang telah menghabiskan seluruh hidupnya di jalan Allah SWT. Bergembiralah Saidina Abu Bakar As-Siddiq menemui sahabatnya Nabi Muhammad SAW di syurga, seperti mana yang pernah dijanjikan Rasulullah SAW bahawa tempat Abu Bakar itu adalah syurga.

https://www.youtube.com/watch?v=ioYCGJ4aHug

2. Saidina Umar dibunuh seorang lelaki Majusi

Dialah yang digelar sebagai ‘al-Faruq’ (pemisah antara kebenaran dan kepalsuan). Dialah yang terkenal dengan ketegasan dan keberaniannya berjuang di jalan Allah. Dialah yang menjadi sahabat dan berjuang melindungi Rasulullah SAW. Dia adalah Umar bin Al-Khattab bin Nufail bin Abdul Uzza bin Ribaah bin Abdillah bin Qarth bin Razaah bin ‘Adi bin Kaab.

Selepas kematian Abu Bakar As-Siddiq, tiba pula giliran Saidina Umar mengambil alih jawatan Khalifah umat. Kehebatan, keberanian dan kecekapannya terbukti apabila beliau berjaya menakluk wilayah-wilayah dan meluaskan empayar Islam dari Timur hingga ke Barat. Sampaikan pada tahun 637, Baitulmaqdis berjaya dikembalikan kepada Islam.

Masjid Saidina Umar di Baitulmaqdis (Jerusalem). Bersebelahan dengan Gereja Holy Sepulchre. Imej dari Wikipedia.

Selain itu, Saidina Umar jugak berjaya menawan Parsi dalam Perang Nihawand. Hasilnya, ramai dari tawanan perang itu diambil menjadi hamba termasuklah seorang lelaki Majusi bernama Abu Lu’lu’ah (juga dikenali sebagai Piruz Nahavandi). Dia dijadikan hamba kepada Gabenor Busra ketika itu yang bernama al- Mughirah bin Shu’bah. Dikatakan yang Abu Lu’lu’ah ni seorang tukang dan pakar pahat yang membuat penggiling gandum.

“Abdullah bin Umar r.a berkata: Umar membawa masuk Abu Lu’lu’ah ke dalam rumah untuk memperbaiki palang pintu rumahnya. Abu Lu’lu’ah berkata: ‘Perintahkanlah majikanku Al-Mughirah bin Syu’bah agar meringankan uftiku (cukai)!’ Umar berkata: ‘Sesungguhnya kamu perolehi upah yang besar. Maka bersabarlah dan bertakwalah kamu kepada Allah!” – Diriwayatkan oleh Ibnu Syabbah.

Bermula dari situlah Abu Lu’lu’ah mula berdendam dengan Saidina Umar. Dia jugak mula rancang nak bunuh Saidina Umar dengan buat belati bermata dua yang diletakkan racun. Akhirnya, ketika Saidina Umar bertakbir untuk mengimamkan solat subuh, Abu Lu’lu’ah terus menikam bahu dan perut Saidina Umar hingga menyebabkan beliau terjatuh. Abdul Rahman bin Auf terus menggantikan Umar sebagai imam.

Dalam waktu sama, Abu Lu’lu’ah tikam pulak jemaah kat situ, yang akhirnya menyaksikan 7 mati dan 6 cedera. Tapi, salah seorang jemaah kat situ terus melemparkan kain penutup kepalanya ke Abu Lu’Lu’ah sampai membuatkan kain tu menutup mata dan kepala Abu Lu’lu’ah. Abu Lu’lu’ah pun rasa panik dan bunuh diri kat situ jugak.

Makam Abu Lu’lu’ah di Iran. Imej dari ipernity.com

Dikatakan yang Saidina Umar pengsan selepas ditikam itu. Tapi sedar balik bila dengar perkataan solat.

“Diriwayatkan oleh Al-Miswar r.a bahawa Umar setelah ditikam jatuh pengsan. Lalu ada yang mengatakan: ‘Kamu semua hanya dapat menyedarkannya dengan solat, jika dia memang masih hidup.’ Ibnu Abbas berkata: ‘Solat, wahai Amirul Mukminin! Solat sudah dilaksanakan.’ Mendengar perkataan solat Umar sedar lalu berkata: ‘Ya, solat.

Tidak ada bahagian dalam Islam bagi orang yang meninggalkan solat.’ Maka Umar pun menunaikan solat sementara darah terus mengucur dari lukanya. – Hadis sahih, diriwayatkan oleh Ibnu Sa’ad, Ibnu Asakir dan Ibnu Abi Syaibah.

Solat tiang agama. Imej dari iqradigital.com

Bila diberitahu kepada Saidina Umar, orang yang menikamnya itu Abu Lu’lu’ah. Saidina Umar berkata:

“Segala puji bagi Allah yang tidak menetapkan kematianku melalui tangan orang yang mengaku sebagai Muslim.”

Akhirnya, Saidina Umar meninggal dunia pada usia 63 tahun pada 26 Zulijjah tahun 23 Hijrah. Jenazahnya dikebumikan di sisi makam Rasulullah dan makam Saidina Abu Bakar as-Siddiq. Berbahagialah Umar di syurga Allah SWT, sebagai balasan atas segala pengorbanannya pada Islam dan segala keadilannya semasa menjadi Khalifah. Amin.

3. ‘Zun Nuurain’ terbunuh kerana fitnah

Saidina Uthman bin Affan dilahirkan pada tahun 576 Masihi dan berasal dari Bani Umaiyah. Beliau jugak terkenal sebagai sahanat yang kaya raya tapi pemurah dan dermawan. Habis segala hartanya itu digunakan hanya untuk menegakkan Islam.

Disebabkan dia berkahwin dengan dua orang anak Rasulullah (Rugayah dan Ummi Kalsum) maka dengan itu dia digelar sebagai Zun Nurrain (pemilik dua cahaya). Selepas kewafatan Saidina Umar Al-Khattab, beliau dilantik menjadi khalifah ke 3, pada 23 Hijrah. Zaman pemerintahan beliau terbahagi kepada 2 tahap iaitu tahap kegemilangan selama 6 tahun dan zaman fitnah selepas itu.

Masa zaman kegemilangannya, dunia Islam dah tunjukkan kehebatan dalam macam-macam perkara termasuklah politik, sosial, ketenteraan dan sebagainya. Pemerintahan Islam jugak berjaya sampai kat beberapa daerah di Parsi dan Afrika. Saidina Uthman jugak berjaya mengumpul semua ayat al-Quran dan dibukukan, seperti mana yang kita kenal sebagai Mushaf Usmani (atau Mushaf al-Imam).

Mushaf Usmani yang terawal. Imej dari darulkautsar.net

Tapi tahap kedua pemerintahan Saidina Uthman pulak penuh dengan huru-hara, masalah dan fitnah. Ada yang kata perkara ni jadi sebab cara politik Saidina Uthman agak lembut berbanding dengan Khalifah sebelumnya.

Oleh tu, banyak timbul fitnah, antaranya ada pihak yang tuduh Saidina Uthman buat kenduri kahwin anaknya dengan mewah sebab guna duit negara, dibangkitkan isu yang beliau lantik ahli keluarganya dalam pemerintahan, ada yang fitnah beliau bagi harta kerajaan kepada kaum kerabatnya, ada jugak dakwaan yang kata ramai gabenor-gabenornya memerintah secara tak adil dan begitu jugak dengan isu beliau melantik orang muda sebagai panglima-panglima perang.

Saidina Uthman masa tu berada di Madinah, tapi isu-isu ni bangkit di Mesir, Iraq dan beberapa lagi negara Islam. Tapi bila isu ni sampai ke Syam (Syria), isu ni tak berapa jalan sebab kat situ ada Muawiyah bin Abi Sufyan yang sangat tegas dalam pemerintahannya. Bila dengar fitnah-fitnah tu, Saidina Uthman bagi surat ke seluruh negara Islam menerangkan perkara sebenar.

Tapi bila sampai musim haji, ketika ramai para sahabat dan penduduk Madinah tengah tunaikan haji kat Mekah. Beribu pemberontak dari Mesir, Kufa dan Basrah mula menuju ke Madinah dan mengepung rumah Saidina Uthman. Tapi dengan sikap Saidina Uthman yang baik dan lembut tu, beliau kata kat sebahagian sahabat yang tengah berkawal kat depan rumah Khalifah:

“Uthman berkata: Wahai sesiapa yang melihat, wajib untuk mereka taat kepada Khalifah. Baliklah, duduk di rumah dan jangan masuk campur.”

Jadinya, sahabat-sahabat yang berkawal tu semuanya simpan semula senjata mereka dan balik. Tapi bila para pemberontak tu dengar yang Muawiyah mula siapkan tentera untuk menyelamatkan Saidina Uthman. Mereka panik dan bertindak menceroboh masuk ke rumah Saidina Uthman.

“Jabir bin Abdillah meriwayatkan semasa pembunuhan Uthman: Uthman didatangi oleh beberapa orang lalu mereka berkumpul di sekelilingnya. Tiba-tiba seorang lelaki Habsyi dari mereka menghampirinya lalu menikamkan anak panah di antara dada kanannya sementara di pangkuan Uthman terdapat mushaf Al-Quran. Semasa itu usia Uthman sudah amat lanjut. Lalu dia rebah dan meninggal dunia.” – Diriwayatkan oleh Ibnu Syabbah.

Selain tu, masih ada beberapa versi lain bagaimana Saidina Uthman dibunuh. Tapi diceritakan yang masa tangannya ditebas oleh pemberontak, darahnya dah mengalir ke mushaf al-Quran pada Surah Al Baqarah ayat 137.

Mushaf dan ayat ini menjadi saksi pembunuhan Saidina Uthman bin Affan. Imej dari surah.my

“Abu Soleh r.a berkata” ‘Apabila peristiwa terbunuhnya Uthman disebut-sebut di sisi Abu Hurairah dia menangis dan berkata, Seakan-akan aku mendengarnya merintih, ‘Haah…! Haah…!’ Sambil bernafas sekuat-kuatnya.” – Diriwayatkan Ibnu Sa’ad dan Ibnu Abi Syaibah.

Kematiannya juga diratapi oleh ramai sahabat dan para tabiin.

“Dan aku mendengar Abdullah bin Salam berkata pada hari terbunuhnya Uthman: ‘Demi Allah, tidaklah kamu semua menumpahkan darah sebanyak darah bekaman, melainkan kamu semua semakin jauh dari Allah SWT.” – Diriwayatkan oleh Ibnu Sa’ad dan Ibnu Asakir.

Makam Saidina Uthman bin Affan di Madinah. Imej dari hadithlistcollection.blogspot

Sememangnya zaman fitnah tu cukup dahsyat sebenarnya.

“Tawus bin Kaisan mengatakan: ‘Ketika fitnah berlaku pada masa pemerintahan Uthman, seorang lelaki berkata kepada keluarganya: ‘Ikatlah aku kerana aku sudah gila, agar tidak mengganggu kamu semua!’ Maka mereka pun mengikatnya.

Dan setelah Uthman terbunuh dia berkata: ‘Lepaskan ikatanku kerana aku sudah sedar! Dan segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan aku dari fitnah pembunuhan Uthman.” – Diriwayatkan oleh Abdul Razaq dan Ibnu Asakir.

Maka pergilah Saidina Uthman mengadap Ilahi pada malam 18 Zulhijjah tahun 36 Hijrah bersamaan hari Jumaat pada usia 82 tahun. Selepas pembunuhan Saidina Uthman, dunia Islam tak pernah lagi aman.

https://www.youtube.com/watch?v=GhGmg9El66g

4. Perginya Khulafa ar-Rasyidin terakhir

Dunia Islam tak akan pernah lupa dengan nama Saidina Ali bin Abu Talib bin Abdul Muthalib. Dialah pahlawan Islam, sepupu, menantu dan bapa kepada dua orang cucu Nabi Muhammad SAW. Dia jugalah yang digelar sebagai ‘Singa Allah’.

Selepas kewafatan Saidina Uthman, Saidina Ali pula dilantik sebagai khalifah umat Islam. Bagaimanapun, semasa Saidina Ali mengambil alih jawatan khalifah, dunia Islam sudah tidak aman lagi sejak pembunuhan Saidina Uthman. Fitnah masih lagi bertaburan di dunia Islam.

Antaranya adalah bila berlakunya konflik antara Saidina Ali dan Muawiyah bin Abi Sufyan. Hal ini berlaku bila Muawiyah hendakkan kes pembunuhan Uthman disiasat dan orang yang bertanggungjawab dihukum. Tapi Saidina Ali pula berpendapat yang keadaan sepatutnya diamankan dulu sebelum perkara itu dilakukan.

Sebelum tu, telah jadi Perang Jamal antara Saidatina Aisyah dan Saidina Ali. Imej dari quranalonebesthadith.wordpress

Maka berlakulah perang saudara antara umat Islam (Perang Siffin) di antara Saidina Ali dan Muawiyah. Sebenarnya segala peperangan ini berlaku ketika umat Islam menghadapi zaman fitnah besar. Bermula dari sini jugalah munculnya golongan seperti Syiah yang taksub dengan Saidina Ali dan Khawarij yang menolak Saidina Ali dan Muawiyah.

Golongan Khawarij ini selalunya nampak macam orang yang alim dan patuh ajaran Allah. Tapi sebenarnya diorang ni ekstrim sampai menghalalkan darah orang yang tak sependapat dengan diorang. Diriwayatkan, ketika Abdullah bin Khabbah (anak sahabat Nabi bernama Khabbah bin al-Arat) tengah bermusafir dengan isterinya. Mereka dihalang oleh sekumpulan Khawarij

Mereka suami isteri ni akhirnya dibunuh oleh kumpulan Khawarij tadi tanpa belas kasihan walaupun masa tu dikatakan isteri Abdullah sedang mengandung. Begitulah, kejamnya kumpulan Khawarij. Bila berita ni sampai ke Saidina Ali, maka Saidina Ali mengarahkan pasukannya memerangi kumpulan ini.

Sebenarnya, kumpulan Khawarij ni memang dah lama merancang untuk membunuh Saidina Ali, Muawiyah dan Amr al-As. Orang yang ditugaskan untuk membunuh Saidina Ali adalah Abdul Rahman bin Muljam (Ibnu Muljam).

Maka Ibnu Muljam pun merancang untuk membunuh Saidina Ali ketika beliau sedang melaungkan azan subuh. Biasanya bila sampai lafaz ‘hayya ala solah’ beliau akan mengeluarkan kepalanya melalui bahagian pintu masjid.

“Ketika Ali mengeluarkan kepalanya lelaki Khawarij ini menghayunkan pedangnya pada kepalanya sekali libasan yang menjadikan bahagian tulang tengkoraknya bertaburan. Melihat kejadian ini orang menjerit, ‘Amirul Mukminin telah dibunuh!’ Serta merta mereka berlari ke arah Ibnu Muljam. Dia pun menyerang mereka sehingga akhirnya dia berjaya dilumpuhkan.

Ali masih hidup hari itu lalu meninggal dunia satu malam sesudahnya. Lalu kedua-dua tangan dan kaki Ibnu Muljam dipotong, kedua matanya dicungkil kemudiannya dipakaikan dua helai kain bergaris putih dan dibakar.” – Diriwayatkan oleh Abu al-Abbas ar-Rafiqi.

Maka pergilah Saidina Ali mengadap Allah SWT, sebagai Khulafa ar-Rasyidin terakhir pada 18 Ramadan tahun 40 hijrah. Itulah sejahat-jahat rancangan kaum Khawarij yang sanggup membunuh sepupu dan menantu Rasulullah.

“Diriwayatkan dari Sa’id bin Abdil Aziz As-Sulami bahawa Ali setelah dicederakan berwasiat kepada kedua anaknya. Kemudiannya tidak ada yang dia ucapkan selain kalimat ‘Laa Ilaaha Illallah’ sehingga menghembuskan  nafas terakhirnya.” – Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah.

https://www.youtube.com/watch?v=nlWft8NKP7M

Persaudaraan umat Islam boleh hancur kerana fitnah!

Dari kisah yang diceritakan tadi, cukup hebat sebenarnya perjuangan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam. Pemerintahan secara Islam ditunjukkan dengan jelas ketika zaman para Khulafa ar-Rasyidin ini. Sehingga sekarang takde sesiapa yang boleh menandingi keimanan, ketakwaan, kezuhudan dan keadilan mereka.

Walaupun begitu, fitnah berjaya memecahkan umat Islam. Kerana fitnah, Saidina Uthman terbunuh dan kerana fitnah juga berlakunya perang saudara antara umat. Sehingga sekarang jugak konflik antara Syiah dan Sunni tak pernah selesai.

Kekalkan persaudaraan Islam kita. Imej dari Berita Harian.

Kita sebagai umat Islam, diharapkan untuk sentiasa berdoa dan berusaha mempertahankan keamanan yang dituntut agama. Kita juga berdoa agar diberikan umur yang bermafaat dan jika sudah tiba ajal kita, sangat-sangat kita harapkan yang kita akan kembali kepadaNya dalam keadaan yang baik. Amin

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” – Surah A-li’Imraan:ayat 103.

[Artikel ni banyak merujuk buku: Kisah Pengajaran Daripada Para Sahabat & Solihin di Ambang Kematian (karya Syeikh Majdi Fathi As-Sayyid). Buku ni adalah terbitan Al-Hidayah House of Publisher Sdn Bhd.]

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.