Kisah jururawat Malaysia yang pernah dicabut kuku oleh tentera Jepun dulu

*Artikel ini pernah diterbitkan pada 17 Mei 2019 dan disiarkan sempena Hari Jururawat Sedunia.*

Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitaorang, SALAM SEJARAH-TERA.

Dulu waktu zaman sekolah, bila tiba masa sepasukan jururawat dengan doktor gigi datang sekolah, mesti macam-macam alasan yang kita bagi untuk skip sekolah kan. Bukannya apa, sebab takut gigi rongak. (Hehe). Bila nampak orang bersuit putih, semua pakat nak ponteng sekolah kan?

Bila cakap pasal jururawat, mesti semua orang anggap tu kerjaya khas untuk perempuan, tapi bukan lagi sekarang. Kat hospital tu dah dipenuhi dengan encik-encik kumbang yang membantu pesakit jugak.

Dan… hari Ahad 12 Mei 2019 haritu merupakan hari sambutan jururawat sedunia jadi kali ni Soscili nak cerita sikit pasal kisah jururawat tempatan yang berjaya dapat pengiktirafan antarabangsa atas pengorbanan dia waktu Perang Dunia Kedua dulu.

Nasib kau lah dik… Imej dari The Vocket

Kenapa orang dulu panggil misi?

Kalau kita perhatikan mesti atuk nenek kita dulu-dulu panggil jururawat tu sebagai misi kan? Tapi korang pernah terfikir tak kenapa pulak misi?). Ada kena mengena ke visi dengan misi? (Hehe). Dan bila tanya atuk nenek kita pun, diaorang tak tahu nak jelaskan macam mana boleh dapat nama misi tu.

Pada asalnya, panggilan misi ni wujud waktu zaman penjajahan British. Sebenarnya perkataan misi tu daripada perkataan Bahasa Inggeris iaitu ‘Missy’ yang digunakan sebagai panggilan kepada wanita muda ataupun gadis-gadis.

Memandangkan negara kita dijajah oleh pihak British, jadinya pihak yang berkuasa pada ketika itu adalah orang British jugak termasuklah pegawai perubatan dan juga doktor. Dan pada ketika tu, doktor-doktor British akan memanggil jururawat sebagai misi. Panggilan misi ni merupakan cara sopan untuk panggil jururawat yang tak tahu namanya. Yelah, doktor pun mesti tak mampu nak ingat nama jururawat yang ramai-ramai tu kan, panggil misi je senang.

Misi dulu-dulu. Imej dari Kementerian Kesihatan Malaysia

Dan, waktu dulu panggilan misi ni memang digunakan secara menyeluruh untuk jururawat yang berkhidmat di pusat perubatan mahupun hospital. Kalau kita perhatikan, sampai sekarang pun masih ada yang panggil jururawat tu sebagai misi.

Dulu kerjaya jururawat dianggap sebagai kerjaya kelas rendah

Kerjaya jururawat ni mula bertapak kat Malaysia sejak tahun 1900-an lagi. Tapi ketika tu, kerjaya jururawat ni bukanlah kerjaya pilihan. Penubuhan Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura yang membantu perkembangan kerjaya bidang kejururawatan kat Malaysia waktu tu.

Dulu, tugas jururawat ni hanya menguruskan pesakit, tak sama macam sekarang yang jururawat pun kena lakukan tugas doktor. Dan bidang kerja jururawat pada ketika itu akan dipantau oleh ‘matron’ iaitu ketua jururawat kanan.

Kalau korang nampak nurse yang pakai baju biru gelap, tu lah matron

Tapi lain pulak dengan situasi sekarang ni, bidang kejururawatan dah semakin popular dan banyak aspek yang memerlukan khidmat jururawat pakar. Bidang kejururawatan sekarang ni pun dah di bahagikan dalam pelbagai cabang perubatan seperti perbidanan, rawatan intensif, trauma dan juga pemulihan. Apa yang kita boleh nampak, jururawat sekarang ni semakin berkebolehan dan mahir dalam melaksanakan bidang tugas perubatan ni.

Jururawat dah dianggap sebagai tulang belakang dan tangan kanan pusat-pusat perbuatan mahupun doktor. Kalau kita perhatikan kat hospital, mesti kita akan cari jururawat dulu untuk mintak bantuan. Diaorang pun akan tolong kita dulu sebelum doktor datang nak buat pemeriksaan lanjut.

Setelah tertubuhnya banyak institusi yang menawarkan bidang kejururawatan sekarang ni, pertumbuhan industri kerjaya dalam bidang kejururawatan semakin banyak dan popular. Dan kerjaya sebagai jururawat tidak dikhususkan hanya pada kaum wanita, sekarang ni ramai jugak kaum lelaki yang menggalas tugas jururawat ni.

“Jururawat lelaki penting dan sangat diperlukan dalam memberikan bantuan fizikal yang lebih berbanding jururawat perempuan dalam situasi sebenar di hospital,” – Paramesevary L Subramaniam, Ketua Program Ijazah Kejururawatan Kolej SEGi, sumber dari MyMetro.

Eh apa diri je kat situ? Pergi buat kerjalah! Imej dari kisahbudakhingusan.blogspot

Dari seorang jururawat, terpaksa menjadi tahanan Jepun

Cabaran profesion jururawat ni sangat besar. Tugas jururawat ni bukan saja untuk menguruskan fizikal pesakit, tapi macam-macam yang mereka bantu untuk pastikan kelestarian pesakit tu sendiri. Kadang-kadang untuk penuhi kehendak pesakit, diaorang pun terpaksa jadi bahan untuk diherdik pesakit.

Bila cakap pasal jururawat ni, korang tahu tak dulu ada rakyat negara kita diberi gelaran sebagai ‘pahlawan yang tak didendangkan’ sebab jasa dia dalam merawat mangsa-mangsa dan tentera-tentera tempatan sewaktu perang dunia kedua dulu? Dia merupakan seorang jururawat yang menentang pendudukan Jepun di Tanah Melayu melalui memberikan akses rawatan kepada tentera gerila dan maklumat mengenai pergerakan tentera Jepun. Disebabkan penentangan terhadap tentera Jepun menerusi pertolongan yang diberikan itulah, dia ditangkap oleh tentera Jepun dan didera sehingga mengakibatkan kecederaan dan kecacatan kekal.

Yang penting dia bukan yang ni tau. Imej dari Vecteezy

Sybil Kathigasu merupakan seorang jururawat yang berbangsa Serani dan berketurunan Ireland-India yang berupaya bertutur dalam bahasa Kantonis. Kisah sejarah ringkas dia ni sebenarnya dah pernah difilemkan dalam telefilem Apa Dosaku? yang pernah ditayangkan sempena sambutan kemerdekaan negara.

Filem tersebut sebuah diskripsi mengenai kecekalan dan etika dia seorang jururawat demi menyelamatkan warga tempatan dan tanah air daripada terus dipijak oleh kezaliman kuasa asing dalam perebutan kuasa dunia. Filem tersebut juga berasaskan sumber legit yang telah dibiografikan olehnya sendiri dalam tulisannya; No Dram of Mercy.

Buku No Dram of Mercy. Imej dari AbeBooks

Secara ringkas, dalam mengimbas kembali khidmat dan jasa jururawat ni, dia mencerminkan pengorbanan sebenar seorang jururawat. Sewaktu pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1942, pada ketika tu ramai nyawa dibunuh dan didera tanpa belas kasihan oleh tentera Jepun terutamanya kaum Cina.

Dia dengan suami dia, Dr Abdon Clement Kathigasu memberikan bantuan perubatan secara sembunyi dan tertutup kepada tentera-tentera MPAJA. Dia jugak menyalurkan maklumat mengenai gerakan bawah tanah tentera Jepun kepada warga tempatan menerusi perkhidmatan perubatan percuma yang dia jalankan.

Sybil dengan suami dia, Dr Abdon Clement Kathigasu. Imej dari New Straits Times

Maklumat tersebut didapati dari siaran radio BBC yang disembunyikan dan untuk kaburkan tentera Jepun, radio tu dipanggil sebagai ‘Josephine’. Pada ketika tu, segala bentuk media dan informasi memang disekat dan dilarang daripada pihak Jepun sebab mereka taknak rakyat Tanah Melayu tak patuh kepada mereka.

Kuku dicabut, anak pulak hampir dibakar hidup-hidup

Sewaktu penjajahan Jepun, pihak British waktu tu lebih tumpukan perhatian kat peperangan di Eropah. Selain tu, Jepun pun ada target dia sendiri dengan gunakan sentimen Asia untuk orang Asia.

Bayangkan kalau hari-hari kena macam ni. Imej dari Safurara

Dan, kita pun tahu Jepun waktu ketika tu memang tak suka dengan kaum Cina atas sebab sejarah diaorang dulu-dulu. Disebabkan yang banyak berlawan dan memberikan penentangan dengan tentera Jepun ni adalah dari tentera MPAJA yang majoritinya daripada kaum Cina, tentera MPAJA ni jadi mangsa kekejaman tentera Jepun.

Atas rasa simpati dan tanggungjawab sebagai seorang jururawat dan pakar perubatan pada ketika tu, dia dah berikan bantuan perubatan yang secukupnya kepada mangsa-mangsa perang. Bukan sahaja mangsa perang, tapi kalau ada orang kampung yang nak dapatkan bantuan pun dia tolong jugak.

Ni lah rumah Sybil yang dijadikan tempat rawatan mangsa-mangsa perang, Imej dari Malay Mail

Bukan saja pertolongan perubatan dan penyebaran berita yang diberikan olehnya, dia pun ada bekalkan makanan untuk penduduk tempatan. Zalimnya tentera Jepun waktu tu, sampai makanan pun disekat dan dirampas. Disebabkan pertolongan yang diberikan dari rumah diaorang yang digelar sebagai dispenseri, kegiatan tersebut dapat dihidu oleh pihak Jepun dan diaorang pun terkantoi lah.

Bila dah terkantoi dan kena tangkap oleh tentera Jepun, dia dengan suami dia pun dikenakan hukuman tanpa belas kasihan dan didera sehinggakan dia kehilangan upaya untuk berjalan. Korang boleh tengok jenis penderaan dan seksaan dia kat sini. (Kitaorang ada tulis jugak dulu).

Disebabkan tentera Jepun ni memang benci sangat dengan tentera MPAJA, dia dengan suami dia terus-terusan kena seksa dengan tentera Jepun atas sebab mereka taknak bagitahu nama tentera MPAJA yang mereka dah rawat tu. Dia rela kena seksa daripada bagitahu situasi sebenar sehinggakan kuku dia kena cabut dan dicucuk jarum lepas dicabut tu. Erghhh sakitnya. Kalau kita sekarang ni mungkin dah surrender awal-awal.

Waktu kuku Sybil kena cabut. Imej dari sedutan filem Apa Dosaku? Astro Gempak

Ada sampai satu hari tu, anak dia yang baru umur 5 tahun ditangkap oleh tentera Jepun dan digantung kat pokok yang penuh dengan kerengga. Dan dia jugak diugut, kalau dia masih taknak bagitahu cerita sebenar dan bekerjasama dengan tentera Jepun, anak dia tu akan dibakar hidup-hidup. Cuba korang bayangkan macam mana situasi waktu tu. Sama ada nak selamatkan negara dan rakyat ataupun anak sendiri.

Pada ketika tu jugak, ada segelintir masyarakat yang takde pendirian, jadi tali barut tentera Jepun. Sebabnya mereka taknak terus diseksa dan nak hidup tenang. Ada jugak yang ambil kesempatan waktu suasana tegang tu, ada yang mencuri, merompak dan merogol. Kita pun tahu waktu tu semua orang dah tak fikir kemewahan dan kesenangan dah, yang mereka tahu cuma nak selamat je.

Gambaran sebenar waktu anak Sybil digantung dari sedutan filem Apa Dosaku? Imej dari Towwwge’s Terminal

Dapat anugerah bertaraf antarabangsa

Dia dianugerahkan pingat King George IV yang merupakan anugerah khas dari United Kingdom dan peringkat Komanwel atas keberanian diri yang hebat dalam tangani situasi yang dihadapi. Dia dapat anugerah tu sebab ketabahan dan perjuangan dia untuk menyelamatkan bangsa dan memelihara keamanan negara. Perjuangan tersebut menerusi rawatan yang diberikan serta melindungi tentera-tentera MPAJA dengan tidak membocorkan nama-nama mereka kat tentera Jepun.

Pingat yang Sybil dapat. Imej dari Iluminasi

Tapi anugerah yang dia dapat tu merupakan anugerah yang diberikan oleh negara luar. Malaysia dulu ada jugak keluarkan petisyen untuk masukkan sejarah perjuangan dia ni dalam silibus subjek Sejarah, tapi mungkin untuk jangka masa yang akan datang.

Dia merupakan satu-satunya warga Malaysia yang diiktiraf dengan diberikan penghargaan pingat tersebut. Sebelum dia dapat anugerah tu, dia dibebaskan atas khidmat pertolongan tentera British. Lepas 3 minggu perang berakhir, Kapten David datang ke Tanah Melayu untuk berjumpa dan membebaskannya kat Penjara Batu Gajah. Bila dia dah dapat pembebasan tu, dia terus diberikan bantuan perubatan di England atas kecederaan teruk yang dialami untuk diberikan rawatan lanjut.

Dulu Google pun pernah buat ikon memperingati Sybil. Imej dari MStar

Tapi sebab faktor kesihatan yang teruk akibat didera tu, akhirnya dia meninggal dunia pada tahun 1948 di Scotland. Kecederaan teruk dekat tulang rahang dengan tulang belakang menyebabkan dia menderita. Organ dalaman dia jugak rosak teruk dan tak boleh berfungsi dengan baik. Hanya untuk perjuangkan nasib rakyat dan keberaniannya menentang tentera Jepun, dia sanggup korbankan diri dia sendiri.

Profesion jururawat perlulah sentiasa dihargai

Walaupun tugas jururawat ni hanya pembantu doktor je, tapi kita kena ingat sebenarnya banyak tugas berat yang dia kena selesaikan. Mana taknya, nak jaga pesakit, uruskan pesakit, pastikan ubat-ubatan, nak pantau pesakit lain lagi. Bukannya senang tu.

Jadi jururawat ni bukan saja perlu banyak bersabar dalam melaksanakan tugas, emosi diri diaorang ni pun diaorang kena kawal supaya diaorang dapat berikan perkhidmatan dan layanan yang baik kepada pesakit-pesakit. Kalau perhatikan betul-betul, banyak pengorbanan yang diaorang dah buat untuk pastikan pesakit kat hospital tu sentiasa dalam keadaan baik. Nilailah dari aspek layanan dan keikhlasan hati diaorang tu.

 “Peranan seorang jururawat bukan sekadar membantu doktor, tetapi apa yang lebih penting adalah memastikan tugas memberi perkhid­matan terbaik kepada orang ramai dapat dilaksanakan dengan penuh keikhlasan,” – Datuk Hamisa Samat, ADUN Tanjong Batu, Tawau, sumber dari Utusan Online.

Selamat Hari Jururawat Sedunia! Imej dari Astro Awani

About Nadiya Othman 84 Articles
Hai! Saya suka baca buku tapi saya lagi suka kalau awak baca artikel ni sampai habis :)