Jenayah & Undang-undang

5 eksperimen mengerikan Unit 731, yang digelar Auschwitz of Asia

Perkataan ‘Holocaust’ berasal dari perkataan Yunani, di mana ‘holos’ (keseluruhan) dan ‘kaustos’ (dibakar), digunakan untuk menggambarkan pembunuhan manusia pada skala  besar, terutamanya disebabkan oleh kebakaran atau perang nuklear.

Holocaust yang paling popular dalam sejarah dunia pula adalah kem tahanan Nazi yang dikenali sebagai Auschwitz-Birkenau yang dibuka pada tahun 1940 hingga 1945. Dikenali sebagai kem tahanan dengan kematian terbesar oleh Nazi, kem tahanan ni la antara paling kejam di seluruh dunia dengan kematian yang dianggarkan sebanyak 1.1 juta menggunakan gas beracun, dan mangsa dibakar hidup-hidup di dalam krematorium.

Pembunuhan beramai-ramai dalam chamber, letak racun dan bakar mangsa hidup-hidup di kem tahanan Nazi di Auschwitz-Birkenau, selatan Poland. Imej dari YouTube

Tapi, tahu tak korang yang Asia juga mempunyai ‘Auschwitz’ tersendiri, yang dinamakan Unit 731, berlaku antara China dan Jepun?

Unit 731, atau dipanggil Asian Auschwitz

Kalau Auschwitz merupakan kem tahanan dan kematian terbesar Nazi sekitar tahun 1940-1945, Unit 731 ni juga sebenarnya lebih kurang juga, cumanya ia dijalankan oleh pihak Jepun terhadap China. Malah sebenarnya, operasinya adalah 5 tahun lebih awal daripada kem tahanan Auschwitz! Tapi kenapa ia tak sepopular kem tahanan Nazi? Nanti kita cerita lebih lanjut.

Imej dari thoughtco.com

Zaman tu, negara-negara lain sibuk membangunkan pelbagai senjata api, Jepun pula adalah negara pertama yang fikirkan cara untuk menggunakan senjata biologi dan kimia untuk peperangan, iaitu seawal tahun 1932.

Kalau korang nak tahu, Unit 731 ni bukanlah apa yang dirancang pada mulanya, sebab ia bermula sebagai kilang kayu. Lepas tu, ia ditukarkan kepada Jabatan Penyulingan Air dan Pencegahan Epidemik oleh Jepun yang menyelia kawasan yang berada di Pingfang, China. Tapi apa yang orang tak tahu adalah tujuan sebenarnya sebagai kawasan penyelidikan bagi peperangan biologi yang menggunakan kuman, merupakan penempatan khas untuk tujuan menyebarkan kuman dan parasit. 

Merupakan seorang pegawai perubatan tentera Jepun dan ahli mikrobiologi, Jeneral Shiro Ishii dilantik sebagai pengarah Unit 731, iaitu ketua peperangan biologi Tentera Jepun. Misinya adalah untuk menjalankan eksperimen rahsia pada subjek, iaitu manusia di kem penjara rahsia yang terdiri daripada tahanan perang orang China, Rusia, bersama beberapa orang Mongol dan Korea.

Jeneral Ishii Shiro. Imej dari dirkdeklein.net

Dibiayai oleh kerajaan Jepun, Unit 731 juga mempunyai lebih dari 150 bangunan yang dibina meliputi lebih dari 2 batu persegi dan mampu menampung hingga 400 tahanan. Di sekelilingnya ada sebuah tembok yang dibina Jepun. Punyalah berahsia, takde siapa pun yang tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam Unit 731 tu semasa tahun-tahun pembukaannya, kecuali bala tentera Jepun dan mangsa yang ada di dalam unit tu. Malah, mana-mana helikopter yang terbang rendah akan ditembak oleh tentera Jepun.

Kalau kat Tanah Melayu zaman penajahan Jepun, nenek moyang kita selalu bercerita pasal kekejaman tentera Jepun di Tanah Melayu pada zaman tu. Ada pelbagai peperangan, seksa tawanan perang, dipaksa minum sabun, dirogol, dan pelbagai lagi seksaan lain.

Penduduk Malaya yang diseksa Jepun. Imej dari orangperlis.com

Di China pula siap ada satu penjara khas untuk penyelidikan Jepun. Unit 731 dibahagikan kepada lapan bahagian, antaranya adalah penyelidikan mengenai wabak, kajian penyakit berjangkit, bubonic, kolera, antraks, tifoid dan tuberkulosis yang menggunakan subjek manusia secara langsung di dalam penjara di mana tahanan diseksa dengan sangat kejam, sehinggakan dikenali sebagai ‘Kilang Kematian’.

Dan antara kekejaman yang dilakukan adalah…

1. Penternakan tikus untuk tujuan wabak bubonic

Bagi eksperimen kuman, para doktor tersebut juga melakukan eksperimen di mana mereka cuba untuk menjangkiti subjek (banduan) dengan pelbagai jenis penyakit. Tujuannya adalah untuk melihat bagaimana tubuh mereka akan bertindak balas terhadap patogen.

*Patogen adalah bakteria, virus, atau mikroorganisma lain yang boleh menyebabkan penyakit.

Salah satu daripadanya adalah ‘Bilik Pembiakan Tikus’, di mana sebuah bilik yang besar digunakan untuk membiakkan tikus yang memang dikenali sebagai haiwan pembawa penyakit. Sebuah bilik khas digunakan untuk tujuan ni, di mana setiap sangkar dipenuhi dengan tikus pembawa penyakit, yang tak lain tak bukannya untuk menghasilkan wabak bubonic yang kemudianya dilepaskan kepada ratusan ribu orang China.

Pembiakan tikus di Harbin, China semasa eksperimen Unit 731. Imej dari Trip Advisor

Dengan menggunakan mangsa sebagai subjek, saintis mula menyuntik kuman yang berbeza untuk melihat bagaimana mereka bertindak balas terhadap tubuh manusia dalam usaha mencipta penyakit baru, di mana mereka bercadang untuk menyebarkan kuman dan parasit kepada pihak lawan.

Pegawai Unit 731 menjalankan ujian bakteriologi kepada subjek mereka di Nongan County timur laut wilayah Jilin China. November 1940. Imej dari allthatsinteresting.com

Kalau Amerika dulu pernah sebarkan beberapa kuman macam smallpox melalui selimut yang diberikan kepada bangsa asal negara tu iaitu Red Indian, Jepun juga buat perkara yang sama.

Mereka memberikan pakaian dan bekalan kepada perkampungan China dengan tujuan yang sama, menjangkiti mereka sebagai ‘tikus makmal’. Perkara ni dalam masa yang sama dah mengakibatkan kematian sebanyak yang mungkin.

2. Ujian Frostbite, mencelup tangan ke dalam air serta dibekukan

Salah satu eksperimen kejam yang dijalankan adalah ujian frostbite, yang dilakukan ahli fisiologi, iaitu Yoshimura Hisato. Eksperimen yang dilakukan terhadap mangsa adalah dengan mencelupkan tangan mangsa ke dalam air, dan seterusnya membekukan tangan mangsa.

Eksperimen Unit 731: Ujian Frostbite untuk mengkaji macam mana cara terbaik untuk merawat frostbite. Imej dari allthatsinteresting.com

Bila tangan dah cukup beku, dia kemudiannya buat testimoni kepada pegawai Jepun yang lain di mana dia mengetuk tangan yang beku tu, dan bunyinya tak ubah macam kayu yang diketuk.

Antara pameran yang ada mengenai kekejaman yang tak berperikemanusiaan. Imej dari Trip Advisor

Dalam kes lain, ada tangan beku tersebut yang dimasukkan ke dalam tong yang berisi air panas. Tujuannya adalah untuk bereksperimen tentang penyakit gangren yang biasa dialami oleh pesakit diabetes.

Tak cukup dengan tu, ada juga mangsa yang mengalami perkara yang lebih sadis daripada tu, iaitu eksperimen kejam di mana isi lengan mangsa ditarik sampai nampak tulang je.

Mangsa bagi frostbite ni tak kira lelaki atau perempuan, malah dari dewasa atau kanak-kanak. Dalam sebuah dokumen yang ditemui, antara kekejaman yang dilakukan pihak Jepun terhadap banduan China ni adalah dengan membekukan bayi yang hanya berumur TIGA hari, sehingga mati.

3. Vivisection, atau operasi pembedahan untuk tujuan penyelidikan saintifik

Kalau korang cari maksud vivisection, ia bermaksud ‘operasi pembedahan pada haiwan hidup untuk tujuan penyelidikan saintifik’. Tapi malangnya di China, ia berlaku kepada manusia hidup sendiri di mana mangsa akan dipotong anggota badannya, kemudian disambung kepada bahagian lain. Contohnya seperti seorang mangsa yang dipotong kakinya, dan disambungkan kepada lengannya.

Vivisection yang dijalankan. Imej dari yahoo.com

Selain tu juga, doktor juga sengaja menjangkiti pesakitnya dengan penyakit, dengan tujuan melihat kepantasan kuman boleh tersebar ke dalam organ. Untuk tujuan ni, anggota badan mangsa akan dibelah, supaya mereka dapat tengok dengan lebih jelas, dan mengkaji kuman tersebut. Dalam dokumen yang lain juga, ada juga doktor yang membelah anggota badan manusia untuk melihat mengkaji pasal kehilangan darah dan juga kesan pembengkakan yang berlaku.

Vivisection unit 731. Imej dari csglobe.com

Dalam kes lain, ada doktor yang dilatih untuk melakukan appendectomies (operasi pembedahan berkaitan usus) dan tracheotomies (menghiris saluran udara untuk melegakan halangan untuk bernafas). Bunyinya macam bagus, tapi masalahnya,kesemua eksperimen yang dilakukan, terutama sekali pembedahan yang dilakukan ke atas banduan ni langsung tak menggunakan ubat bius. Jadi korang bayang je la macam mana peritnya tahanan ni menahan kesakitan.

Alasan bagi kajian vivisection ni adalah untuk mengkaji kesan patogen pada organ manusia hidup dan untuk mengelakkan penguraian.

4. Dipaksa rogol dan mengandung tanpa kerelaan mangsa tahanan

Bagi mengkaji lebih lagi tentang kuman, ada tahanan lelaki dan wanita disuntik dengan penyakit kelamin, malah ada yang dijangkiti melalui rogol.

Dalam kajian penyakit kelamin yang dipanggil sifilis ni, rogol adalah yang paling kerap berlaku dalam unit ni. Caranya, banduan lelaki yang dijangkiti sifilis daripada suntikan akan dipaksa untuk merogol tahanan wanita dan juga tahanan lelaki untuk melihat macam mana penyebaran sifilis di dalam badan mereka berlaku.

Imej dari didoisux.wordpress

Tahanan wanita memang sengaja dirogol supaya mengandung tanpa kerelaan mereka. Malah, pengalaman trauma terjadi kepada mereka disengajakan untuk melihat macam mana anak dalam kandungan, termasuk tahanan wanita terkesan akibat perbuatan tersebut.

Yang paling kejam sekali, dalam beberapa kes, tahanan wanita yang mengandung akan dibelah perutnya hanya untuk melihat perkembangan bayi/fetus tersebut.

Imej dari didoisux.wordpress

5. Ujian bilik gas untuk melihat jangka hayat mangsa

Antara sebab dia dipanggil Auschwitz Asia adalah penderaannya di mana mereka turut menggunakan bilik gas, atau gas chamber macam apa yang berlaku di Auschwitz.

Salah satu eksperimen yang dilakukan Jepun adalah dengan memasukkan seorang tahanan perempuan bersama anaknya di dalam bilik gas, atau gas chamber. Sementara doktor pula menunggu dan memerhati dari luar ruangan tersebut. Tujuannya adalah untuk tengok berapa lama masa diambil untuk kedua-dua mereka mati apabila gas dilepaskan ke arah mereka.

Gambaran yang berlaku di Unit 731. Imej dari Trip Advisor

Selain tu, satu eksperimen lain yang bunyinya sangat mental adalah dengan mengunci tahanan yang masih hidup di dalam bilik dengan mayat. Tujuannya pula untuk melihat berapa lama masa yang diambil untuk penyakit merebak kepada tahanan yang masih hidup tu.

Kalau nak diikutkan banyak lagi kekejaman yang dilakukan terhadap tahanan ni dengan penggunaan pelbagai gas berbahaya macam phosgene dan potassium cyanide yang dilepaskan, suntikan udara ke dalam saluran darah, malah darah kuda yang disuntik ke dalam ginjal tahanan. 

Imej dari csglobe

Kita rasa Nazi tu dah cukup kejam, tapi bayangkanlah Adolf Hitler sendiri pun ngeri dengan perang biologi tu, sampaikan dia sendiri mengeluarkan arahan supaya tiada penyelidikan yang sama akan dilakukan Nazi (juga dikenali sebagai Third Reich).

Walaupun bilangan banduan yang ada dalam Unit 731 ni lebih kecil kalau nak dibandingkan daripada yang ada dalam tahanan Auschwitz-Birkenau, tapi ia beroperasi untuk tempoh yang lebih lama, iaitu sampai 10 tahun (1935-1945)! Apa yang menyedihkan…

Jepun mendapat imuniti dari Amerika untuk pertukaran ilmu

Sebelum Jepun menyerah diri dalam Perang Dunia Kedua akibat bom di Hiroshima dan Nagasaki pada  Ogos 1945, mereka sedar yang mereka hampir kalah dalam peperangan dunia tersebut. Jadinya, Unit 731 pun ditamatkan secara rasmi. Takut dengan apa yang bakal mereka hadapi, jadi beberapa pegawai Jepun membakar kebanyakan bukti yang berupa dokumen penyelidikan Unit 731 tersebut.

Kalau korang nak tahu, angka kematian akibat Unit 731 adalah sebanyak 250,000 orang, lebih ramai daripada mangsa kematian Hiroshima dan Nagasaki kalau digabungkan bersama iaitu masing-masing sebanyak 150,000 dan 75,000 orang.

Imej dari csglobe.com

Dari September 1945 sampai November 1948 di mana Jepun menghadapi pendakwaan di atas kekejaman mereka, Amerika Syarikat pula nampaknya membuat pakatan rahsia dengan Jepun. Jeneral Shiro Ishii dan kebanyakan pegawai-pegawai kanannnya diberi imuniti dari jenayah peperangan yang dilakukan mereka dengan pertukaran pengetahuan mereka.

Dokumen data eksperimen dalam peperangan biologi dan kimia pun bertukar tangan. Amerika menggunakannya untuk menambah baik asas pengetahuan mereka tentang program peperangan kuman (germ warfare) ni. Alasan Amerika pula adalah supaya ia tak jatuh ke tangan Rusia.

Soviet dan Amerika yang bersaing sejak dulu lagi.

Tak cukup dengan tu, selepas beberapa tahun menerima penghormatan tertinggi untuk pencapaian saintifik mereka. Dr Hisato Yoshimura yang membekukan banduan hingga mati dilantik sebagai penasihat ekspedisi kutub Jepun,

Dr Masaji Kitano, yang juga mendapat imuniti bekerja untuk syarikat farmaseutikal Jepun Green Cross, menjadi ketua pengarah syarikat pada tahun 1959 dan mengetuai semua sekolah perubatan universiti utama dan Persatuan Perubatan Jepun. Mereka buat macam takd ada apa yang berlaku, padahalnya mereka tak dedahkan pasal kekejaman yang mereka lakukan terhadap tawanan perang.

Dr Masaji Kitano (kiri) dan Dr Hisato Yoshimura (kanan)

Kebanyakan bukti yang datang tu pun bukannya daripada Jepun sendiri, tapi dari Amerika Syarikat di mana rekod yang diserahkan komander Unit 731 dibongkarkan. Bukti-bukti tersebut juga dikatakan disimpan di cawangan peperangan kimia dan biologi Amerika Syarikat di Dugway, Utah. Manakala arkib dari pihak Jepun pula dikatakan masih lagi disembunyikan.

Walaupun Jepun pada hari ni berulang kali meminta maaf diatas kekejaman mereka yang dah menyebabkan pelbagai kerosakan dan penderitaan yang besar semasa Perang Dunia Kedua, tapi…

Matlamat tak pernah menghalalkan cara

Kalau nak diikutkan, kekejaman yang dilakukan mereka ni dah pun melanggar Konvensyen Persenjataan Geneva 1925, dan setiap prinsip hak asasi manusia yang difahami secara antarabangsa.

Tambahan pula eksperimen ke atas manusia yang dilakukan oleh para doktor bertauliah, dan juga penyelidik akademik. Mereka ni pernah menjadi pensyarah atau profesor di sekolah perubatan Jepun terkemuka, dan bekerja secara sementara dengan tentera Jepun semasa peperangan berlangsung. Selaku doktor yang sepatutnya menyelamatkan nyawa, mereka dah melanggar kod etika doktor dengan menjalankan eksperimen ke atas mereka.

“Saya mahu anda periksa nilai-nilai teras saya”

Walaupun ada antara eksperimen yang dilakukan tu akhirnya digunakan untuk tujuan perubatan pada masa kini, tapi kita tak boleh lupakan saja kekejaman yang dilakukan terhadap tahanan perang. Penting bagi kita untuk menyebarkan kesedaran tentang kekejaman ni supaya ia takkan berulang lagi.

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend