- 1.2KShare sekarang!
- Email38
- Facebook1.2K
- Share
Pada tarikh 9 September 2017 ini, maka genaplah ulang tahun ke 16, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Amerika Syarikat (AS) ranap menyembah bumi. Menurut laporan, kejadian tu berlaku apabila 19 militan yang dikaitkan dengan kumpulan al-Qaeda merampas empat buah kapal terbang dan dua dari kapal terbang tu dah dibawa untuk merempuh WTC.
Serentak dengan itu, pesawat ketiga pulak dihempaskan di Pentagon dan pesawat keempat pulak terhempas di kawasan berdekatan Pennsylvania. Serangan tu dah mengejutkan dunia, apatah lagi satu negara yang selama ini dikenali dan nak dikenali sebagai kuasa besar dunia telah diserang. Akibat dari serangan itu, dikatakan ebih kurang 3000 nyawa terkorban, termasukah 19 perampas pesawat tersebut.
Kesan utama peristiwa 9/11 ni, isu keganasan mula menjadi topik utama media di seluruh dunia. Umat Islam juga mula menjadi sasaran media antarabangsa dalam mengaitkan mereka dengan pengganas. Pentadbiran AS di bawah George W. Bush (Januari 2001 – Januari 2009) juga dah mengambil satu dasar yang agresif apabila melancarkan perang anti-keganasan terhadap Afghanistan (2001) dan Iraq (2003).
Afghanistan: Dari pencerobohan British, Soviet Union ke Amerika Syarikat
Kalau kita tengok dari segi sejarah Afghanistan, negara itu pernah cuba diceroboh beberapa kali sebelum kedatangan AS. Antarannya adalah cubaan British untuk menguasai negara itu pada abad ke-10 dan pencerobohan Soviet Union pada akhir abad ke-20. Tapi malangnya, pihak British dua kali kalah dengan Afghanistan, iaitu pada 1839-42 dan 1878-80.
Punca kenapa British nak jajah Afghanistan masih lagi banyak versi dan pendapat. Antara pendapat yang terkenal adalah disebabkan untuk meluaskan pengaruh di kawasan Asia Tengah oleh dua kuasa iaitu British dan Rusia.
Masa zaman Soviet Union pula, hampir sejuta warga Afghanistan terbunuh. Antara punca kenapa Soviet cuba menjajah Afghanistan adalah apabila kuasa dunia tu nak mempertahankan pemerintahan komunis, People’s Democratic Party of Afghanistan (PDPA) yang menghadapi pemberontakan.
AS pula masa tu mula meluaskan pengaruhnya di banyak negara seperti Mesir, Arab Saudi, Pakistan dan sebagainya. Dengan perjuangan mujahideen Afghanistan dan kejatuhan Soviet sendiri pada 1991, maka akhirnya Afghanistan gagal dijajah. Apa yang lebih menarik, masa Soviet kuasai Afghanistan, AS bagi macam-macam bantuan dan senjata kepada para pejuang Afghanistan.
Tapi lepas je 9/11, AS pulak yang ceroboh Afghanistan dengan alasan Al-Qaeda (dikatakan bertanggungjawab dalam kes 9/11) dan Osama Bin Laden dilindungi oleh Taliban. Dengan bantuan dari negara-negara bersekutu seperti United Kingdom (UK) dan NATO, serangan ke atas Afghanistan dimulakan hanya beberapa minggu selepas 11 September.
“Kerajaan Afghanistan juga dituduh melanggar hak asasi masnusia berkaitan dengan hak-hak wanita dan kebebasan agama yang berkaitan dengan runtuhnya patung-patung penganut Buddha… Nama Osama bin Laden yang selama ini menjadi topik dan fokus utama tenggelam begitu sahaja sesudah kejatuhan Afghanistan.
…Pada masa yang sama, Washington juga ingin menunjukkan kepada Moscow secara sinis bahawa mereka boleh mengalahkan Afghanistan yang diterajui oleh kepimpinan mujahidin Islam.” – Dipetik dari jurnal – Keganasan Antarabangsa: Suatu Tinjauan Awal.
Dalam waktu sama, persoalan juga timbul adakah Osama Bin Laden betul terlibat dalam serangan 9/11. Ini kerana, walaupun adanya video yang menunjukkan Osama mengaku dia melakukannya. Tapi, secara hakikatnya Osama dah beberapa kali menafikan penglibatannya. Malah, video-video yang Osama muncul juga dikatakan palsu oleh ramai pakar.
Akhirnya pada 2 Mei 2011, AS melaporkan yang diorang dah berjaya membunuh Osama dalam satu serangan di villa mewahnya yang hanya 1km dari Akademi Tentera Pakistan. Tapi kematian Osama tak menghentikan pencerobohan AS ke negara itu. Terbaru adalah pada 13 April lepas apabila pentadbiran Donald Trump menjatuhkan bom bukan nuklear terbesar yang dipanggil ‘Ibu Segala Bom’. Bom tu menyasarkan terowong-terowong yang menjadi tempat persembunyian kumpulan Daesh.
Kini, hampir 104,000 kematian dilaporkan di Afghanistan sejak bermulanya pencerobohan pada 2001. Pada tahun lepas pula, PBB telah merekodkan kematian orang awam tertinggi di negara itu. Iaitu hampir 11,500 orang awam terkorban dengan satu pertiga darinya adalah kanak-kanak.
Lancarkan serangan terhadap Iraq kerana dendam
Melihat pada sejarah Iraq, negara tu juga pernah berperang dengan negara jirannya iaitu Iran. Ia bermula apabila Iraq di bawah pimpinan Saddam Hussein bertindak menyerang Iran pada 1980. Hal ni jadi bila Iraq menuntut hak kedaulatan kawasan yang kaya dengan minyak, Khouzestan di barat daya Iran. Kawasan tu juga ada jumlah penduduk Arab yang besar.
Dalam perang ni, Iraq secara terbuka dapat bantuan dari Arab Saudi, Kuwait dan negara-negara jirannya. Dalam masa yang sama, secara diam-diam Amerika Syarikat (AS) dan Soviet Union pun sebenarnya bagi sokongan. Tapi nampaknya perang ni tamat pada 1988, apabila Iran bersetuju menerima Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membawa kepada genjatan senjata pada 20 Ogos 1988.
Tapi pada 1990-1991, jadi pula Perang Teluk yang dipimpin oleh bekas Presiden AS, George H. W. Bush (bapa George W. Bush) dan Setiausaha Negara AS, Colin Powell, yang juga masa tu adalah Pengerusi Ketua Turus Bersama Tentera Bersekutu.
“Matlamat awal AS dan sekutunya waktu itu sekadar mahu menghalau keluar tentera Iraq yang menceroboh Kuwait pada 2 Ogos 1990. Perang selama 42 hari itu berakhir dengan tentera Iraq pimpinan Presiden Saddam Hussein menyerah kalah.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.
Bagaimanapun ada persoalan timbul selepas itu. Ia jadi apabila AS bertindak masuk ke kawasan Iraq walaupun selepas tentera Iraq berundur dari Kuwait. Tindakan AS ni boleh dikatakan sebagai ada muslihat lain. Ini terbukti bila AS tetap terus-menerus melancarkan serangan ke tempat yang dikatakan ada senjata kimia, sedangkan ia terbukti adalah tempat awam.
Parti Baath pula terus berkuasa di Iraq dan ia menghalang hasrat Bush yang nak menukar rejim pemerintahan Iraq kepada yang ikut telunjuk AS. Iraq juga lepas tu dikenakan sekatan selama 11 tahun. Jadinya, masa zaman George W. Bush (anak George H. W. Bush) jadi presiden, usaha menyerang Iraq diteruskan dengan mendakwa negara itu ada senjata pemusnah besar-besaran. Ada yang mengatakan serangan terhadap Iraq itu sebagai membalas dendam atas kegagalan bapanya dulu.
“Dalam ucapannya, Presiden Bush telah menamakan tiga buah negara yang didakwa terus menaja keganasan iaitu Korea Utara, Iran dan Iraq. Dia memanggilnya dan sekutu pengganasnya sebagai ‘paksi kejahatan’ dan berkata sikap tak ambil peduli terhadap mereka sebagai boleh membawa kepada ‘bencana’. ” – Dipetik dari GlobalSecurity.org.
Jadinya, serangan ke atas Iraq pun dimulakan pada Mac 2003, dengan operasi yang diberi nama ‘Operasi Kebebasan Iraq’. Sebulan lepas tu (April), Iraq akhirnya jatuh ke tangan AS dengan menamatkan pemerintahan 24 tahun Saddam. Usaha mencari Saddam diteruskan selepas itu dan akhirnya dia ditangkap pada 14 Disember 2003.
Satu lagi perkara yang menarik, sepanjang pencerobohan ini berlaku, Dr Mahathir antara pemimpin yang paling lantang mengkritik AS dan sekutunya. Tapi sebelum pencerobohan itu, Dr Mahathir tak pernah pergi ke Iraq dan berjumpa dengan Saddam Hussein. Menurut Dr Kassim Ahmad, kemungkinan Dr Mahathir rasa malu untuk berjumpa dengan Saddam kerana pendiriannya masa Perang Teluk.
“Seperti orang Islam di mana juga, sentimen dan sokongan orang Melayu di Malaysia kuat melulu kepada Iraq dan Saddam Hussein. Bagaimanapun negara berada dalam keadaan tidak boleh tunduk kepada sentimen ini. Apabila Presiden Bush sendiri menelefon Dr Mahathir yang ketika itu berada di Tokyo untuk mengetahui pendirian Malaysia, Dr Mahathir menyedari akibat bagai masa depan negara jika beliau mengambil pendirian yang tidak menyenangkan Amerika Syarikat dan sekutunya.
Sekalipun suaranya begitu lantang menentang Amerika Syarikat dan negara-negara Barat dalam beberapa hal, malah beliau dianggap sebagai suara berani dunia ketiga tetapi bila berkaitan dengan kepentingan ekonomi negara, Dr Mahathir sanggup untuk menyesuaikan diri dengan keperluan semasa.” – Dipetik dari Surat daripada Dr. Mahathir.
Akhirnya, perang ini ditamatkan oleh AS pada 2011 dengan menyaksikan lebih dari satu juta nyawa yang terkorban. Kematian Saddam juga tak sekali pun membuatkan Iraq kembali aman. Sehingga ke hari ini masih banyak siri-siri serangan di Iraq. Tuduhan yang mengatakan Iraq menyimpan senjata pemusnah besar-besaran juga nampaknya masih tak dapat dibuktikan.
Tony Blair apabila ditanya: Adakah Perang Iraq satu kesilapan? menjawab…
“Saya memohon maaf kerana fakta perisikan yang kami terima ketika itu silap. Saya memohon maaf kerana kesilapan dalam membuat perancangan dan sudah tentunya, kesilapan kami untuk memahami apa yang akan berlaku sebaik kita menggulingkan Saddam. Tapi saya merasa sukar untuk memohon maaf kerana menggulingkan Saddam.” – Tony Blair, Bekas Perdana Menteri United Kingdom. Dipetik dari The Telegraph.
Kos kedua-dua perang ini dianggarkan mencapai AS$4 trilion!
Walaupun AS mungkin boleh berbangga dengan kejayaannya menakluk Afghanistan dan kekejamannya terhadap Iraq, keputusan negara itu melancarkan ‘perang anti-keganasan’ hakikatnya adalah satu tragedi dan sangat merugikan rakyat AS, mahupun dunia. Sepanjang pemerintahan Bush, perbelanjaan pertahanan AS mencapai rekod paling tinggi.
Ia juga menyebabkan hutang negara tu naik berlipat kali ganda. Menurut Dr Shakila Yacob, dari Fakulti Sains Sosial dan Sastera Universiti Malaya, penubuhan Department of Homeland Security dan perbelanjaan keselamatan sepanjang dekad lalu telah mencapai AS$360 bilion.
“Ditambah dengan perang di Iraq yang juga dikenali sebagai ‘The Three Trillion Dollar War’ maka kos menentang keganasan ini telah mencapai hampir AS$4 trilion mengikut sumber yang dipercayai. Ini termasuk perbelanjaan di Pentagon, kos faedah hutang peperangan, kos kesihatan untuk veteran perang dan sebagainya.” – Dr Shakila Yacob, dipetik dari Utusan Malaysia.
Dalam waktu sama, pasca 9/11 juga menyaksikan berlakunya Islamophobia di AS. Menurut kajian, Islamophobia ini bukannya muncul lepas 9/11 je, tapi nampaknya lebih awal iaitu sejak 1994 lagi.
“… Mereka memandang serong terhadap penduduk Islam termasuk cara penampilan seperti bertudung, berjubah atau menyimpan janggut panjang.
Difahamkan, golongan Sikh juga menjadi sasaran kerana biasanya lelaki Sikh memakai serban yang juga dijadikan stereotaip Muslim di mata Barat. Cercaan, serangan di masjid dan pembunuhan Balbir Singh Sodhi, seorang pemilik stesen minyak di Arizona yang ditembak mati pada 15 September tahun sama dilaporkan kerana disangka sebagai Muslim.” – Dipetik dari Sinar Harian.
Tapi ada juga laporan yang menunjukkan kebanyakkan rakyat AS mula mengenal Islam selepas berlakunya 9/11. Ini kerana, selepas peristiwa itu, perasaan ingin tahu tentang Islam mula berkembang.
“Bagi saya Islam adalah agama keamanan, tidak kisah berapa segelintir ekstremis yang dikatakan. Jadinya, saya memilih untuk masuk Islam pada November 2001. Saya mula memakai hijab dan datang ke masjid.” – Theresa Corbin, Aktivis. Dipetik dari Washington Post.
Kita juga ada bawa mereka yang terlibat ni ke dalam tribunal perang
Akibat daripada peristiwa 9/11 ini, ia sedikit sebanyak memberikan kesan di rantau Asia Tenggara. Ini kerana, ada juga kumpulan-kumpulan ekstremis yang muncul dan dikaitkan dengan keganasan. Ia seperti kumpulan Abu Sayyaf di Selatan Filipina yang dikaitkan dengan rangkaian Al-Qaeda – Jamaah Islamiyyah.
Menurut Dr Hazmi Rusli, dari Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), akibat dari peristiwa 9/11, kita telah memperketatkan sistem keselamatan pesawat, kapal laut, lapangan terbang dan tempat awam di negara ini.
“…peristiwa 9/11 mempengaruhi Asia Tenggara dari segi aftermath, Bali bombings, pengeboman di Jakarta, dan Bangkok…peristiwa 9/11 juga banyak memberikan persepsi buruk kepada muslim…seolah-olah kita pengganas. Ini juga memburukkan keadaan di Selatan Thailand dan Selatan Filipina yangg sememangnya sedang bergolak (di antara pihak pemisah muslim dan kerajaan pusat)
…secara umumnya peristiwa 9/11 memang mempengaruhi Asia Tenggara dari segi keselamatan dalam negeri, hubungan antarabangsa serta persepsi terhadap Muslim terutamanya di Selatan Thailand dan Filipina.” – Dr Hazmi Rusli, Fakulti Syariah dan Undang-undang, USIM. Katanya kepada SOSCILI.
Pada 2007, Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur dah ditubuhkan untuk membicarakan penjenayah perang, khususnya di Iraq, Lebanon dan Palestin. Antara yang dibicarakan di tribunal itu adalah George W. Bush (Presiden AS), Tony Blair (Perdana Menteri UK) dan John Howard (Perdana Menteri Australia).
Pada 2011, Bush dan Tony Blair didapati bersalah dengan melancarkan perang terhadap Iraq hingga membuatkan 1.4 juta rakyat negara itu terkorban. Pada 2012 pulak, Bush sekali lagi didapati bersalah ‘melakukan jenayah penderaan dan jenayah perang’. Selain Bush, 7 lagi individu juga didapati bersalah:
- Dick Cheney (bekas naib presiden Amerika Syarikat)
- Donald Rumsfeld (bekas Setiausaha Pertahanan)
- Alberto Gonzales (bekas penasihat Presiden Bush)
- David Addington, (bekas ketua penasihat kepada naib presiden)
- William Haynes (bekas ketua penasihat kepada Setiausaha Pertahanan)
- Jay Bybee (bekas Penolong Peguam Negara)
- John Yoo (bekas timbalan penolong Peguam Negara)
“Sudah disahkan Iraq tidak mempunyai WMD (senjata pemusnah besar-besaran). Iraq juga tidak memberi sebarang ancaman kepada mana-mana negara lain ketika tempoh kejadian yang membolehkan justifikasi kepada serangan awal. Campur tangan atas alasan kemanusiaan bukan asas kepada penaklukan.
Sebarang penggunaan kekerasan (tindakan ketenteraan) perlu mendapat kelulusan Majlis Keselamatan PBB. Mana-mana negara tidak boleh menggantikan peranan PBB untuk menggunakan kekerasan.” – Datuk Haji Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan & Pengerusi Tribunal. Dipetik dari Berita Harian.
Bagaimanapun, tribunal ni sebenarnya hanya bersifat pengisytiharan dan tak ada kuasa untuk penguatkuasaan. Ini termasuklah, tiada kuasa dalam kenakan apa-apa hukuman seperti penjara.
“…pemakaian undang-undang antarabangsa tertakluk kepada kedaulatan negara…negara tidak boleh dipaksa tunduk kepada mana-mana undang-undang antarabangsa atau apa-apa yang ditentukan oleh mana-mana tribunal melainkan mereka bersetuju…jadi tribunal ini boleh bertindak sebagai suatu leeway atau petunjuk bahawa dunia tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh individu-individu ini.
…tapi tidak banyak yang dapat dilakukan kerana semua ini tertakluk kepada ‘kedaulatan’ negara…ini berbeza fengan tribubal perang setelah Jepun kalah perang…waktu itu jepun telah kalah dan tidak banyak ‘bargaining power’ yang boleh diberikan melainkan menurut keputusan tribunal perang pada ketika itu.” – Dr Hazmi Rusli, Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM. Katanya kepada SOSCILI.
Oleh itu, apa yang boleh dilakukan adalah tribunal menyerahkan keputusan dan rekod prosiding tersebut kepada Ketua Pendakwaan Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan PBB.
Dunia Islam perlu bersatu dan menggunakan akal mereka
Peristiwa 9/11 memang tak dapat dinafikan menjadi antara punca pandangan serong dunia terhadap Islam. Pergolakan dunia Arab menambahkan lagi masalah dalam hal ini. Krisis di antara Arab Saudi, Bahrain dan beberapa negara lain di rantau itu dengan Qatar juga nampaknya masih belum ada penyelesaian. Ia tak termasuk lagi krisis yang ada di Libya, Syria, Iraq dan Palestin.
Pemerhati juga menganggap kegagalan dunia Islam dalam membebaskan Palestin dari ditindas Yahudi Zionis sejak 1948, adalah satu perkara yang amat memalukan. Hubungan yang rapuh sehingga terlalu mudah untuk sesama sendiri bertelagah dan sentiasa mencari alasan untuk bertelagah juga telah merosakkan dunia Islam seperti mana yang kita dapati hari ini.
Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) juga nampaknya gagal menjalankan tanggungjawab mereka dalam menyatukanpadukan umat Islam di seluruh dunia. Pada 2003, Tun Dr Mahathir telah menyampaikan ucapan di OIC dan meminta supaya negara-negara OIC dan umat Islam menggunakan akal mereka.
“Kita tidak dapat melawan mereka dengan kuasa kudrat sahaja. Kita juga perlu menggunakan akal kita…Mereka (Yahudi) terselamat daripada pembunuhan kaum selama 2,000 tahun bukan dengan cara menyerang balas tetapi dengan berfikir. Mereka mencipta dan berjaya menyebarkan fahaman sosialisme, komunisme, hak asasi manusia dan demokrasi supaya sebarang tindakan menindas mereka akan dilihat sebagai perbuatan yang salah demi membolehkan mereka menikmati hak yang sama dengan orang lain.
Kita menguasai 57 daripada 180 negara di dunia. Undi kita boleh memperkuat atau melemahkan pertubuhan antarabangsa. Tetapi kita nampaknya lebih lemah daripada kumpulan kecil Jahilliah yang memeluk Islam dan menerima Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pemimpin mereka.” – Tun Dr Mahathir Mohamad. Dipetik dari Utusan Malaysia.
https://www.youtube.com/watch?v=-PJ9u8h3Gzw
- 1.2KShare sekarang!
- Email38
- Facebook1.2K
- Share