- 371Share sekarang!
- Email2
- Facebook369
- Share
Sejak beberapa hari lepas, kita dilaporkan tentang perjumpaan antara Dr Mahathir dan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) dengan 16 duta negara-negara Kesatuan Eropah (EU). Disebabkan tindakan mereka ni, maka muncullah macam-macam dakwaan dan teori. Naib Presiden UMNO, Hishammuddin Hussein kata tindakan Dr Mahathir tu macam ‘cakap tak serupa bikin’.
“Masa dulu lagi teruk apabila beliau pernah menyekat duta daripada berjumpa menteri, walaupun sudah dijelaskan tidak akan ada perbincangan politik, sebaliknya hanya isu dua hala tetapi tetap dihalang.” – Datuk Seri Hishammuddin Hussein, katanya kepada BH Online.
Selain tu, ada juga yang kata tindakan pemimpin-pemimpin PH jumpa dengan duta-duta EU ni akan undang campur tangan asing serta jejaskan maruah dan kedaulatan negara. Sebelum tu, pihak PH ada kata yang perjumpaan tu sebenarnya nak minta Eropah tekan PM Najib Razak untuk laksanakan pilihan raya yang adil.
Betul ke EU akan campur tangan dalam urusan negara kita? Sebelum kita jawab soalan tu, SOSCILI nak kita sembang tentang apa benda Kesatuan Eropah (EU) ni dulu sebenarnya. Sejak bila ia ditubuhkan, dan kenapa?
Kesatuan Eropah ditubuhkan setelah penat berperang sesama sendiri
Kesatuan Eropah (EU) adalah salah satu organisasi antarabangsa yang mempunyai 28 anggota negara. Kesemua negara ni berkongsi dasar ekonomi, sosial dan keselamatan yang sama. Tapi ia taklah muncul macam tu je, sebab kesatuan ni sebenar hanya mula diusahakan lepas tamatnya Perang Dunia Kedua (WW2).
Sebabnya, kesan dari WW2, berjuta-juta orang Eropah dah terkorban akibat berperang sesama sendiri. Jadinya, pada tahun 1948 dah diadakan Kongress Hague di Belanda yang melibatkan enam buah negara – Belgium, Belanda, Luxembourg, Jerman Barat, Itali dan Perancis. Tujuan utamanya adalah untuk kepentingan ekonomi.
Pada tahun 1951, negara-negara ni dah membentuk European Coal and Steel Community (ECSC). Akhirnya pada tahun 1958, tertubuhlah European Economic Community (EEC) yang kemudiannya dikenali sebagai Kesatuan Eropah (EU). Lepas tu banyaklah negara-negara lain sekitar Eropah yang masuk, sampailah jadi 28 buah negara sekarang ni (tapi akan jadi 27 sebab Britain akan keluar pada 2019). Kesatuan yang dulunya bertujuan untuk ekonomi, akhirnya juga menjadi kesatuan politik.
Tapi korang tahu tak macam mana Kesatuan Eropah (EU) ni berfungsi?
EU ada Parlimen diorang sendiri yang akan bincang macam-macam perkara
Sebenarnya ada empat institusi yang jadi tonggak utama berjalannya EU, ia adalah – Majlis Kesatuan Eropah, Parlimen Eropah, Suruhanjaya Eropah dan Mahkamah Keadilan Eropah. Ini penerangannya untuk lebih faham:
- Majlis Kesatuan Eropah – Menetapkan polisi dan cadangkan undang-undang baru.
- Parlimen Eropah – Ahli Parlimen akan membahaskan cadangan undang-undang tersebut dan melulus atau menolak undang-undang tersebut. Ahli Parlimen ni akan dipilih untuk setiap lima tahun.
- Suruhanjaya Eropah – Melaksanakan keputusan Parlimen Eropah dan Majlis Kesatuan Eropah.
- Mahkamah Keadilan Eropah – Menafsirkan undang-undang dan memastikan ia dilaksanakan secara saksama di setiap negara EU.
Dengan adanya kerjasama ni, ia dah menghapuskan kawalan sempadan di antara negara-negara anggota EU. Aliran keluar masuk barang pun dijalankan secara bebas (kecuali dadah dan barang-barang tertentu). Segala teknologi dan apa-apa perkara yang boleh dimanfaatkan, akan dikongsi bersama-sama di antara negara-negara EU.
Selain tu, cukai antara negara-negara EU juga diseragamkan dan semua pengamal perkhidmatan (sama ada undang-undang, perubatan, pelancongan, insuran dan perbankan) boleh beroperasi kat semua negara EU dengan bebas. Pada tahun 2004, mata wang Euro dah diperkenalkan dan digunakan oleh 19 negara EU yang dipanggil Eurozone.
Parlimen Eropah juga dah naikkan kuasa EU untuk buat perundingan atau perjanjian antarabangsa. Hal ini kemudiannya meningkatkan kuasa EU dalam kawalan sempadan, imigresen, kerjasama kehakiman dan polis.
“EU ini seperti ASEAN, ianya hanya pertubuhan yang dianggotai pelbagai negara dan hanya secara umumnya bergerak sebagai pemerhati.” – Dr Hazmi Rusli, Universiti Sains Islam Malaysia. Katanya kepada SOSCILI.
EU agak sama dengan ASEAN, tapi EU siap ada mata wang sendiri
Bila Dr Hazmi kata EU ni sama macam ASEAN, itu bukan bermakna sama seratus peratus. Apa yang sama antara EU dan ASEAN adalah pertubuhan ni dianggotai pelbagai negara. Mungkin kita boleh tengok dulu persamaan dan perbezaan antara EU dan ASEAN.
PERSAMAAN
- Kedua-dua organisasi ni adalah bersifat serantau dan ditubuhkan untuk mengelakkan konflik dan ketegangan antara negara-negara serantau dengan tujuan utama kerana ekonomi.
- Kedua-dua organisasi ni nak promosikan keamanan.
- Kedua-dua organisasi ni berkongsi komitmen dalam hal hak asasi manusia. EU ada Charter of Fundamental Rights dan ASEAN ada Declaration of Human Rights.
- EU dan ASEAN dah buat banyak perjanjian perdagangan bebas dan perjanjian perkongsian ekonomi dengan negara-negara lain.
- EU dan ASEAN selalu buat dialog politik dan ekonomi dengan rakan-rakan kongsi luar.
Walaupun macam tu, masih banyak perkara membezakan EU dan ASEAN. Antaranya adalah:
- ASEAN adalah organisasi antara kerajaan, tapi EU adalah organisasi supranasional yang mana anggotanya dah bersetuju dalam hal-hal tertentu macam perdagangan, cukai dan sebagainya.
- EU ada mata wang sendiri, tapi negara-negara ASEAN masih kekal dengan mata wang masing-masing.
- EU ada Parlimen sendiri, tapi ASEAN takde.
- EU ada sekretariat yang cukup berkuasa iaitu Suruhanjaya Eropah, tapi ASEAN punya sekretariat kecil je dan agak lemah.
- Segala keputusan ASEAN dibuat secara konsensus (persetujuan bersama), tapi EU buat keputusan dengan undian.
Dalam kes mata wang, sebenarnya ASEAN sebelum ni takde pun apa-apa cadangan nak buat mata wang yang seragam. Tapi lepas jadinya Krisis Kewangan Asia 1997, ASEAN bersama-sama dengan China, Jepun dan Korea Selatan ada buat inisiatif yang dipanggil sebagai Inisiatif Chiang Mai. Projek ni dah bawa 13 Menteri Kewangan dan gabenor-gabenor bank berbincang sama-sama dalam menggalakkan kerjasama kewangan yang lebih besar.
Itulah sedikit sebanyak persamaan dan perbezaan antara EU dan ASEAN. Tapi macam mana pulak dengan dakwaan yang kata pertemuan Dr Mahathir dengan duta-duta EU ni akan undang campur tangan asing dalam urusan negara?
EU tak akan masuk campur dalam urusan hal ehwal Malaysia
Menurut Geostrategis, Azmi Hassan, kalau nak dibandingkan dengan Amerika Syarikat (AS), penglibatan EU dalam mempengaruhi politik tempatan negara lain adalah sangat sedikit dan jarang sekali berlaku. Sebabnya, Parlimen EU ni sebenarnya susah sangat nak setuju secara majoriti dengan keputusan atau cadangan untuk campur tangan.
“Apabila PH kata hendak guna EU sebagai tekanan kepada Najib, itu hanyalah percaturan persepsi kerana tidak mungkin EU akan campur tangan urusan domestik Malaysia.” – Azmi Hassan, katanya kepada SOSCILI.
Perkara ni juga diakui oleh Dr Hazmi Rusli, pensyarah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
“EU tidak boleh melakukan apa-apa, melainkan hanya jadi pemerhati. Pilihanraya adalah hal dalaman negara kita dan tak boleh dicampuri oleh mana-mana negara sekalipun.” – Dr Hazmi Rusli, katanya kepada SOSCILI.
Menurut Azmi Hassan lagi, kalau nak ditinjau dari pilihan raya – pilihan raya sebelum ni, jarang sekali EU mengkritik sistem demokrasi Malaysia. Manakala menurut Dr Hazmi pula, beliau yakin yang EU akan dengar cerita dari kedua-dua pihak dan buat penilaian dengan bijak.
“Sebagai negara anggota PBB sejak 1957, kedaulatan Malaysia adalah mutlak. Masakan pilihan raya Korea Utara yang sememangnya tak adil – kerana dalam senarai calon hanya ada Kim Jong Un sahaja sebagai calon pun negara-negara lain tak boleh campur tangan, apa lagi Malaysia.” – Dr Hazmi Rusli, katanya kepada SOSCILI.
Sebenarnya, kalau kita tengok EU sekarang ni pun, kita boleh nampak yang EU tak masuk campur dalam mana-mana urusan negara lain. Waima negara-negara dalam Eropah sekali pun. Contohnya macam isu Catalonia yang nak keluar dari Sepanyol. EU dalam reaksinya ada kata yang diorang tak akan jadi ‘orang tengah’ dalam krisis ni dan anggap apa yang berlaku tu cuma isu dalaman Sepanyol.
“Itu (krisis Catalonia) bukan agenda kami. Setiap daripada kita mempunyai emosi, pendapat dan penilaian tersendiri… Namun, bercakap mengenai perkara itu secara rasmi, jelas tiada ruang untuk campur tangan daripada EU.” – Donald Tusk, Presiden Majlis Eropah. Dipetik dari Reuters.
Dalam isu krisis Ukraine pulak, dakwaan yang kata ia berpunca dari EU pun masih lagi boleh dipersoalkan.
“…sebenarnya peranan Department of State US di bawah Victoria Nuland adalah lebih tepat kerana bukti transkrip perbualan bagaimana dana masuk untuk bantu gerakan kanan ekstrem seperti Pravy sektor untuk mengapikan isu Revolusi Maydan.” – Wan Ahmad Fayhsal, dipetik dari Facebooknya.
Dasar tak campur tangan EU ni juga boleh kita kaitkan dengan dasar tak campur tangan ASEAN. Sebabnya, walaupun banyak negara ASEAN kutuk tindakan Myanmar terhadap etnik Rohingya, tapi sampai sekarang tak ada apa-apa tindakan yang ASEAN buat.
Malah Pengerusi ASEAN pernah kata yang menteri-menteri luar kesatuan tu sedia sokong kerajaan Myanmar dalam usaha untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan, tanpa sentuh apa-apa isu pasal Rohingya. Walaupun begitu, Malaysia tak setuju dengan kenyataan ni dan ambil pendekatan ‘memisahkan diri’.
Jadi, kita nampaknya tak payah risau pasal campur tangan EU seperti mana yang didakwa oleh sesetengah pihak. Sebabnya, dah terbukti yang Malaysia ni adalah negara yang merdeka dan berdaulat. Takde sesiapa ada hak nak buat kacau.
“Sebagaimana EU cuba menyelesaikan kemelut Ukraine sama juga bagaimana ASEAN sampai sekarang tidak berhasil menyelesaikan masalah Rohingya.
Sebab utama campur tangan tidak mungkin berlaku adalah kerana taraf kedaulatan tiap-tiap negara di dunia ini yang menjadi anggota PBB – melainkan kalau berlakunya peperangan seperti apa yang AS lakukan kepada Afghanistan dan Iraq.” – Dr Hazmi Rusli, katanya kepada SOSCILI.
Namun pertemuan PH dengan duta-duta EU ni boleh menguntungkan BN
Untungkan BN? Macam mana pulak tu? Bukan ke PH yang minta EU tekan PM Najib? Takpe jom kita tengok satu-persatu. Antara isu utamanya adalah pertemuan PH dan EU ni dah pun diperbesarkan oleh kedua-dua pihak sama ada dari BN ataupun PH.
Tapi kita jugak kena ingat, yang sekarang ni Malaysia berdepan dengan tindakan EU yang mengharamkan minyak sawit. Hal ni sedikit sebanyak akan menjejaskan jualan minyak sawit dan ekonomi kita. Disebabkan perkara ni, pihak BN boleh kata yang tindakan PH bertemu dengan duta-duta EU tu sebagai tak sensitif dengan keadaan yang dihadapi oleh pengusaha-pegusaha sawit dan ekonomi negara.
“Saya berpendapat PH tersilap langkah dalam hal ini kerana BN boleh tuduh PH sekongkol dengan EU untuk boikot sawit yang akan menjejaskan lebih dari 600,000 peneroka.” – Azmi Hassan, Geostrategis. Katanya kepada SOSCILI.
Kesimpulannya menurut Dr Hazmi, pertemuan Dr Mahathir (dan PH) dengan duta-duta EU ni taklah salah dan bukannya satu perkara yang luar biasa. Tapi jika ada tuduhan tertentu macam pilihan raya tak adil dan sebagainya, ia kenalah didatangkan dengan bukti.
“… sekiranya Tun M mula memburuk-burukkan negara dengan mengatakan pilihan raya tidak adil, beliau perlu datangkan bukti menyokong kenyataan itu. Sekiranya PRU tidak adil, masakan Pakatan boleh menang di Pulau Pinang, Kelantan (dahulu Pakatan sekarang PAS) dan juga di Selangor?” – Dr Hazmi Rusli, katanya kepada SOSCILI.
- 371Share sekarang!
- Email2
- Facebook369
- Share