Jemaah Islamiah diasaskan di Malaysia? 4 suspek pengganas yang ditangkap di Asia Tenggara

Sejak beberapa minggu lepas kita dilaporkan dengan kes membabitkan bekas pelajar Universiti Malaya, Siti Noor Aisyah yang ditahan dibawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) kerana dituduh terlibat dalam gerakan pengganas. Perkara ni terjadi bila Aisyah didapati ada 12 buah buku yang berunsur keganasan dan dikaitkan dengan pengganas.

Aisyah menafikan yang dia terlibat dalam mana-mana gerakan pengganas dan kata semua buku-buku tu adalah untuk kajian masternya. Tapi nampaknya alasan tu tak diambil oleh pihak polis dan terus menahan Aisyah. Pada bulan lepas, Aisyah sekali lagi ditahan dibawah SOSMA.

Ibu & bapa Siti Noor Aishah yang menuntut keadilan untuk anak mereka. Imej dari Malaysia Dateline.

Dari apa yang terjadi ini, kita dapat nampak yang pihak berkuasa sangat tegas dalam membanteras jenayah khususnya berkaitan aktiviti keganasan. Perkara ni mungkin jadi disebabkan beberapa peristiwa dan kes yang pernah berlaku kat negara ini. Jangan terkejut kalau kumpulan ektremis Jemaah Islamiah diasaskan di Malaysia! Mungkin kita boleh mula dengan mastermindnya…

1. Abu Bakar Basyir – bapa ideologi Jemaah Islamiah

Abu Bakar Basyir adalah seorang guru agama dan pemimpin agama di Indonesia. Dia dan beberapa orang lagi dah menubuhkan Pertubuhan Darul Islam (PDI) yang dianggap cuba membina Daulah Islamiyah di Indonesia. Tapi gerakan ni dapat tekanan daripada pemerintahan Soeharto, malah Abu Bakar sendiri pernah dipenjara pada lewat 70-an.

Pada tahun 1985, seramai 20 orang PDI lari ke Malaysia dengan mendarat di Pelabuhan Klang, termasuklah Abu Bakar dan Abdullah Sungkar (antara pengasas PDI). Masa kat Malaysia, diorang cuba kembangkan perjuangan diorang kat orang Indonesia di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Lepas tu pada 1993, Abdullah Sungkar keluar dari PDI dan tubuhkan Jemaah Islamiah (JI) yang berselindung disebalik Sekolah Luqman Nul-Hakiem di Johor. Kat sinilah diorang latih anak-anak JI sebagai ‘Mujahiddin Islam’ atau kader jemaah.

Dari kiri: Abu Bakar dan Abdullah Sungkar. Imej dari Tribunnews.com & totalwar-ar.wikia.com

Tapi bila Abdullah Sungkar meninggal dunia pada 1999, Abu Bakar ambil alih jawatan tersebut. Bila pemerintahan Soeharto jatuh pada 1998, Abu Bakar balik semula ke Indonesia dan aktif sampaikan ceramah kat sana. Sampailah, dia ditahan pada 2004 bila didakwa terlibat dalam kegiatan pengganas.

Abu Bakar dah dikaitkan dengan peristiwa pengeboman Bali (2002) dan pengeboman Marriott Hotel, Jakarta (2003). Dia jugak dikaitkan cuba membunuh Presiden Indonesia, Megawati Sukarnoputri. Pengeboman Bali (2002) dah mengorbankan 202 orang, manakala 12 orang nyawa dalam pengeboman Hotel Marriott.

Abu Bakar seterusnya dihukum penjara 30 bulan atas kesalahan konspirasi pengeboman Bali tapi tak bersalah dalam kes pengeboman Hotel Marriott. Pada 2010, dia sekali lagi ditahan dan dihukum 15 tahun penjara kerana terlibat dalam membiayai sebuah kumpulan pengganas yang merancang menyerang orang Barat dan pemimpin politik di negara itu.

Seorang pegawai kedutaan Australia di Indonesia sedang susun gambar mangsa yang terkorban dalam kes pengeboman Bali. Imej dari Daily Mail.

Kini, Abu Bakar tengah menjalani hukuman penjara di Penjara Nusakambangan kat sebuah pulau terpencil di Cilacap, Indonesia. Walaupun begitu, ideologinya masih lagi kuat dan utuh, terutama pemahamannya tentang jihad. (Boleh baca temuramah Utusan Malaysia dengan Abu Bakar kat sini)

“Jihad adalah perjuangan sama ada dilakukan secara jemaah (berdakwah) atau individu. Individu bermaksud dengan cara mengorbankan diri seperti menjadi pengebom berani mati.”

Ya (jihad seperti itu). Ini berlandaskan ayat al-Quran, iaitu jihad menuntut pengorbanan harta dan nyawa. Syaratnya, harus menguntungkan umat Islam. Jika ada orang Islam terkorban, mereka yang terlibat (dalam pengeboman) harus berpuasa selama dua bulan.” – Abu Bakar Basyir, jawapannya kepada Utusan Malaysia.

Abu Bakar kat bilik tahanannya. Imej dari klikkabar.com

2. Mas Selamat – berenang dari Singapura ke Johor

Negara Singapura yang terkenal dengan sistem keselamatan antara terbaik di dunia mula tercalar imejnya. Apa taknya, seorang suspek pengganas yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) negara tu berjaya lepaskan diri dari Pusat Tahanan Jalan Whitley yang terkenal dengan kawalan maksimum di Singapura pada 27 Februari 2008.

Suspek pengganas itu adalah Mas Selamat Kastari yang lahir di Indonesia sebelum keluarganya berhijrah ke Singapura. Dia jugak dah berkahwin dan ada 5 orang anak. Pada tahun 1990an, Mas Selamat mula masuk Darul Islam dan seterusnya menjadi ahli Jemaah Islamiah Singapura. Dia jugak dah pergi ke Afghanistan 2 kali dan belajar sistem kerajaan Taliban di sana sebelum balik semula ke Singapura.

Gambar Mas Selamat dalam macam-macam gaya. Imej dari allsingaporestuff.com

Dia jugak dikatakan dah jumpa pemimpin tertinggi JI, Hambali dan bincang macam-macam rancangan serangan. Hal ni termasuklah rancangan merampas sebuah kapal terbang di Bangkok dan hempaskan kapal terbang tu kat Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura. Pihak berkuasa Singapura lepas tu jalankan operasi besar-besaran menahan ahli kumpulan JI. Tapi Mas Selamat dapat larikan diri ke ke Malaysia, Selatan Thailand dan Indonesia.

Akhirnya dia ditangkap pihak berkuasa Indonesia pada tahun 2003 dan mengaku cuba nak gulingkan kerajaan Singapura masa disoalsiasat. Dia dihukum penjara 18 bulan atas kesalahan guna identiti palsu. Masa kat penjara dia ada cuba nak larikan diri, sampai satu kakinya tempang akibat terjun dari bangunan tinggi. Dia dibebaskan pada 2005.

“Bagaimanapun dia sekali lagi ditahan pada 20 Januari 2006 di Indonesia ketika melawat anaknya di sebuah sekolah agama. Singapura kemudiannya meminta supaya Mas Selamat diekstradisi dan dia kemudiannya diletakkan di bawah tahanan ISA.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Tapi satu perkara yang tak disangka mula jadi bila Mas Selamat berjaya larikan diri dari Pusat Tahanan Jalan Whitley yang terkenal dengan kawalan maksimum di Singapura. Perkara ni membuatkan ramai orang pelik, macam mana dia boleh loloskan diri dari penjara yang kuat kawalannya, malah keadaan Mas Selamat sendiri yang tempang sebelah kaki. Perkara ni jugak mencalarkan imej Singapura yang terkenal dengan sistem keselamatan terbaik di dunia.

Imej dai Giphy.

Mas Selamat dikatakan berenang dari Woodlands, Singapura menuju ke Johor. Operasi mencari Mas Selamat kat seluruh Singapura pun menemui kegagalan. Tapi setahun lepas tu, pada 1 April 2009 Mas Selamat ditangkap semula oleh pihak berkuasa Malaysia di Kampung Tawakal, sebuah kampung kecil di Johor.

“Saya tangkap dia, menggari tangannya dan bacakan haknya. Dan dia hanya mendiamkan diri dan sesekali berkata ‘Awak tahu segalanya tuan’, ‘Awak tahu segalanya tuan’. Mereka telah dilatih untuk bertenang dan biasanya jawapan yang dibagi adalah sama.” – Pegawai Perisikan, Polis Diraja Malaysia.

Penangkapan Mas Selamat dah jadi tajuk utama berita tempatan dan dunia. Perkara ni jadi lebih mengejutkan bila penduduk kampung sendiri tak tahu yang selama ini ada suspek pengganas kat kampung diorang. Mas Selamat lepas tu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Malaysia, sebelum dihantar balik ke Singapura. Sehingga sekarang, dia masih lagi ditahan dibawah ISA Singapura.

https://www.youtube.com/watch?v=7TXJgkzhak0&t=2162s

3. Mohd Amin – guru silat yang ketuai kumpulan mencuri senjata tentera

Pada 2 Julai 2000, Kem Batalion 304 Askar Wataniah gempar bila 119 senjata api di kem itu dilaporkan hilang. Dikatakan sebelum itu, 15 orang menyamar dengan berpakaian tentera dah masuk ke kem tentera dan merampas senjata-senjata tersebut. Rupa-rupanya rampasan senjata ni dibuat oleh satu kumpulan yang dikenali sebagai Persaudaraan Ilmu Dalam Al-Ma’unah atau nama ringkasnya, Al Maunah.

Kumpulan Al-Maunah ni memang kumpulan yang berdaftar dan selalu buat latihan silat kat padang sekolah secara terbuka. Mereka dipimpin oleh seorang guru yang memang terkenal dalam dunia persilatan Malaysia, Mohd Amin Razali. Dia jugak terkenal sebagai seorang bomoh dan ada kelebihan yang luar biasa.

“Mereka kata yang Amin boleh terbang atas tiang elektrik, boleh berjalan atas air. Disebabkan perkara ini, mereka katakan yang Amin ni wali Allah. ‘Rahsia dalam rahsia’ (yang diperkenalkan oleh Amin) bermaksud apa sahaja arahan yang datang dari pemimpin, mereka tak boleh persoal dan kena taat. Sebab mereka percaya apa sahaja yang ada dalam kepala pemimpin hanya Allah sahaja yang tahu.” – Zabidi Mohamed, penulis buku: Al-Ma’unah-The Naked Truth.

Mohd Amin ketua Al-Maunah. Imej dari Youtube.

Lagi satu strategi Amin adalah dia bagitau kepada pengikut-pengikutnya kalau diorang nak ilmu persilatan dan perubatan yang tinggi, diorang kena ikut 7 fasa yang dia tetapkan. Jadi bila pengikut-pengikutnya ni berjaya sampai fasa ke 7, Amin akan kata yang tentera akan sama-sama buat training dengan diorang.

Lepas berita kehilangan senjata tu tersebar, orang kampung bagitau pihak polis yang diorang dengar bunyi tembakan kat Bukit Jenalik, Sauk, Perak. Tapi malangnya, dua orang anggota polis yang buat siasatan kat tempat kejadian dah ditahan oleh pihak Al-Maunah. Diorang jugak tahan seorang anggota tentera dan seorang penduduk kampung yang kebetulan tengah cari durian masa tu.

Polis dan pihak tentera mulakan operasi diorang mengepung tempat Al-Maunah ni. Setelah beberapa hari dan arahan dari Dr Mahathir (PM masa tu) yang nak perkara ni diselesaikan segera, akhirnya pihak polis dengan kerjasama tentera berjaya menumpaskan diorang ini. Tapi malangnya 2 dari 4 tahanan dah terbunuh ditangan kumpulan ini.

  1. Korporal R. Saghadevan (mati ditembak)
  2. Komando Tentera Mathew anak Medan (mati ditembak)
  3. Sarjan Mohd Shah Ahmad (terselamat)
  4. Penduduk kampung, Jaafar Puteh (terselamat)
Anggota berkuasa yang terkorban, dari kiri: Korporal R. Saghadevan & Mathew anak Medan. Imej dari Youtube.

Mohd Amin dan pengikutnya dah ditahan dalam operasi itu. Amin dan 2 orang utama kumpulan itu dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh mahkamah atas kesalahan melancarkan perang ke atas Yang Dipertuan Agong. Amin menjalani hukuman gantung pada 4 Ogos 2006. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ngor, Perak.

Tiga orang dihukum mati. Imej dari bookukita.blogspot

4. Dr. Azhari Husin – pakar bom buruan Indonesia dan Malaysia

Dunia khususnya Asia Tenggara tak akan dapat melupakan tragedi pegeboman Bali (2002) dan pegeboman Hotel Marriott, Jakarta (2003). 202 nyawa terkorban dalam pengeboman Bali dan 12 pulak terkorban dalam letupan di Hotel Marriott. Siasatan dijalankan dan hasilnya mendapati seorang pensyarah dari Malaysia disyaki terlibat dalam kedua-dua kejadian ini. Orang itu adalah Prof. Madya Dr. Azhari Husin, pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia.

Dr Azhari Husin. Imej dari Wikipedia.

Dr Azhari dilahirkan di Melaka pada 1957. Dia mendapat PHD dalam bidang pengurusan hartanah dari University of Reading, UK sebelum dilantik jadi pensyarah di UTM. Menurut Dr Azmi Hassan (yang jugak bekas kawan Dr Azhari), Dr Azhari selalunya emosional dalam berhujah isu Palestin dan umat Islam waktu itu. Walaupun begitu, Dr Azmi tak nampak apa-apa yang ganjil dengan sifat Dr Azhari ini.

”Pada 1983, saya mengajar subjek Ukur Tanah sementara Azhari mengajar Pengurusan Harta. Beliau menggemari aktiviti lasak seperti menunggang motosikal berkuasa tinggi dan memanjat gunung. Beliau juga pernah mengajak saya menyertai acara Maraton Kuala Lumpur pada waktu itu.” – Dr Azmi Hassan, dipetik dari Utusan Malaysia.

Tapi kata Dr Azmi, pada tahun 1996 dia selalu dapati yang Dr Azhari ni kerap masuk kelas agama pada setiap hujung minggu kat Sekolah Islam Luqmanul Hakiem di Ulu Tiram, Johor Bahru. Penceramahnya pulak masa tu adalah Abdullah Sungkar dan Abu Bakar Basyir.

Walaupun begitu, Dr Azhari tak pernah ajak dia untuk masuk sekali dalam kelas agama tu. Dr Azhari jugak selalu cerita padanya yang dia buat lawatan ke Selatan Filipina dan Afghanistan untuk buat latihan tentera. Tapi Dr Azmi anggap perkara tu macam biasa je, malah dia rasa yang Dr Azhari ni saje nak bergurau.

”Saya juga tidak pernah mendengar para pelajar mengadu mengenai Azhari bercakap mengenai jihad dan sebagainya ketika mengajar. Sebab itulah, tidak ada sesiapa mengesyaki sesuatu atau curiga dengannya. Lagipun kesedaran mengenai militan dan keganasan tidak seperti sekarang.” – Dr Azmi Hassan, dipetik dari Utusan Malaysia.

Gambar Dr Azhari & orang kanannya, Noordin Mat Top di jalan-jalan Indonesia. Imej dari Kosmo.

Tapi menurutnya, Dr Azhari mula jadi pendiam sebelum hilangkan diri pada 2002. Rupa-rupanya Dr Azhari dah terlibat dalam gerakan Jemaah Islamaiah (JI). Dia jugak dah dapat latihan buat bom selama 6 bulan kat Kem Faruq, Afghanistan. Siasatan dapati yang Dr Azhari seorang yang pakar dalam membuat bom dan sentiasa pastikan bom tu meletup secara maksimum.

“Dalam kes di Hotel JW Marriot, Dr. Azhari melilit puluhan sabun mandi di keliling enam tabung berisi minyak petrol. Tabung ini mengelilingi tiga bekas kedap udara tupperware yang di dalamnya berisi bahan bom berdaya letupan tinggi.

Sabun mandi digunakan sebagai bahan sampingan bagi memastikan api dapat membakar dengan cepat. Malah beberapa buah bom yang ditemui di bilik sewanya di Bandung tidak dapat dimatikan sehingga perlu diletupkan di kawasan padang.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Selama beberapa tahun menjadi buruan pihak berkuasa, Dr Azhari dikatakan dah bersembunyi di beberapa tempat di Indonesia untuk mengelak dari ditangkap. Dia jugak bergerak berasingan dari orang kanannya iaitu Nordin Mat Top (yang juga orang Malaysia). Tapi pada 9 November 2005, dia terbunuh dalam serbuan pihak polis dan tentera kat sebuah rumah sewa di Batu Malang, Jawa Timur selepas berbalas tembakan dengan pihak berkuasa Indonesia. Orang kanannya, Nordin Mat Top pulak dilaporkan terbunuh pada 8 Ogos 2009 dalam serbuan polis di Jawa Tengah, Indonesia.

Adik Dr Azhari, Bani Yamin Husin bercakap dengan media selepas menuntut jenazah abangnya. Imej dari AP Archive.

Terorisme dalam kalangan umat Islam disemarakkan oleh tindakan Barat sendiri

Istilah terorisme boleh dimaksudkan sebagai penggunaan kekerasan dalam mencapai segala matlamat yang nak dicapai. Ia termasuklah dengan cara menculik, merampas, membunuh dan berperang. Secara amnya ia adalah ganas dan melampaui batas. Walaupun begitu, kemunculan kumpulan-kumpulan pengganas ni lebih aktif lepas berlakunya tragedi 9/11.

Lepas berlakunya 9/11, pihak Amerika, beberapa buah negara dan North Atlantic Treaty Organization (NATO) dah bertindak memburu Osama Bin Laden dan hantar tentera yang ramai ke Afghanistan. Selain tu, pencerobohan Barat ke Iraq, campur tangan mereka di Libya dan Afghanistan serta sikap Barat yang tak kisah dengan krisis Palestin juga tak mengubah apa-apa pada negara-negara tersebut, malah memburukkan lagi keadaan.

Dilaporkan hampir setengah juta nyawa terkorban akibat penaklukan AS terhadap Iraq. Imej dari dailyherald.com

Oleh tu, muncullah kumpulan-kumpulan pelampau yang nak membalas dendam, mahupun mengambil kesempatan. Walaupun begitu, cara kumpulan-kumpulan ni sebenarnya salah sebab Islam melarang umatnya dari melampaui batas. Istilah ‘jihad’ yang digunakan jugak nampaknya dah lari dari maksudnya yang sebenar.

“Ahli falsafah Islam seperti Ibn Miskawayh (m. 1030M) menekankan bahawa pembersihan jiwa manusia perlulah diberikan keutamaan dalam melahirkan akhlak yang berkualiti, seterusnya melaksanakan ‘jihad’ secara adil, cermat dan ikhlas (Ibn Miskawayh 1961). Namun, ia bukanlah ‘jihad’ yang memfokuskan kepada peperangan mengangkat senjata, sebaliknya adalah peperangan melawan hawa nafsu.” – Dipetik dari jurnal: Terorisme sebagai cabaran ideologi Muslim masa kini : satu analisis dari perspektif falsafah.

Oleh itu, marilah kita menghayati ajaran Islam yang sebenar supaya pengetahuan kita tak terpesong dari ajaran Rasulullah dan Al-Quran. Ini kerana, kegagalan kita memahami Islam bukan je akan menimbulkan masalah, malah akan memburukkan imej Islam itu sendiri.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.