Kerana terlalu obses dengan tuala wanita, lelaki ini ditinggalkan oleh ibu dan isterinya

Kalau korang masih ingat lagi, masa GST nak diperkenalkan di Malaysia tahun 2015 dulu, tuala wanita antara senarai barang keperluan yang turut dikenakan GST. Hal ni mengundang reaksi tak puas hati beberapa pihak. ADUN PKR Kuala Sepetang menyatakan yang kenaikan harga tuala wanita melanggar hak asasi wanita untuk mendapat bantuan kebersihan.

Ahli Parlimen BN dari Bintulu pun bimbang dengan kenaikan tuala wanita ni terutama untuk wanita dari kawasannya yang terpaksa bayar harga tinggi untuk tuala wanita. Sampaikan ada kempen dalam talian yang menggesa tuala wanita dikecualikan daripada GST yang dinamakan ‘Stop Taxing Women for Their Period’.

Kempen minta kerajaan tak caj GST pada tuala wanita.

Jadi, penting sangat ke hal tuala wanita sehinggakan ahli parlimen dan ADUN pun bersuara pasal ni? Bukan ke cerita tentang haid dan tuala wanita ni satu perkara yang tabu untuk dibincarakan secara umum?

Di kebanyakan tempat, nak bercakap pasal haid pun dianggap sebagai tabu

Penjagaan kebersihan sewaktu haid adalah sangat penting pada kesihatan kaum perempuan. Kalau tak jaga elok-elok, seseorang tu boleh dapat macam-macam jangkitan yang serius, malah ia juga boleh boleh menghalang kesuburan pada wanita.

Malangnya kat kebanyakan tempat di seluruh dunia, wanita sering dimomokkan dengan macam-macam salah faham tentang haid. Sehinggakan ada perempuan yang dinafikan hak untuk ke sekolah dan tempat kerja kalau datang haid. Yang menyedihkan, wanita dan gadis dari negara-negara mundur tak ada akses untuk tuala wanita yang bersih. Tandas khas untuk diorang pun tak ada di sekolah. Jadi, nak tak nak diorang terpaksa ponteng kelas.

Ada wanita yang kena duduk luar rumah bila datang haid.

Tapi di India, ada seorang lelaki dengan nama Arunachalam telah berhempas pulas untuk memecahkan tabu ini, sehingga hampir kehilangan keluarga. Nama dia adalah Arunachalam, juga dikenali sebagai ‘Menstrual Man’.

Apa agaknya yang membuatkan dia minat sangat pasal perkara haid ni?

Terkesan bila melihat isteri guna kain buruk je untuk membersihkan diri

Arunachalam Muruganantham datang dari keluarga miskin di Caimbotare, Tamil Nadu. Setelah kematian ayahnya ketika Arunalam berumur 14 tahun, dia terpaksa berhenti sekolah untuk menyara hidup keluarga.

Arunachalam Muruganantham.

Ia bermula pada tahun 1998. Masa tu Arunachalam baru berkahwin, jadi kehidupan dia memang berkisar tentang isteri (Shanthi) dan emaknya saja. Satu hari Arunachalam nampak Shanthi sorokkan sesuatu kat belakang badan dia. Shanthi tak nak beritahu tapi suami dia tahu itu kain buruk yang kotor. Memandangkan Arunachalam ada dua orang adik perempuan, dia memang dah biasa nampak kain buruk penuh darah yang ditinggalkan dalam tandas.

Arunachalam kata yang dia sendiri pun tak sanggup nak guna kain buruk tu untuk lap skuter dia. Dia tanya Shanthi, kenapa tak guna saja tuala wanita? Isterinya hanya menjawab kalau dia beli tuala wanita, dia tak mampu pula nak beli susu atau barang keperluan rumah yang lain.

Kebanyakan wanita India hanya mampu ada sehelai kain buruk untuk haid je.

Arunachalam pun pergi ke pekan untuk beli tuala wanita. Dia hairan bila tengok tuala wanita yang dengan nilai 10 paisa (RM 0.01), tapi dijual pada harga 4 rupee (RM 0.27) – 40 kali ganda lagi mahal! Jadi, dia ambil keputusan untuk cipta tuala wanita yang murah.

Arunachalam pun mulalah reka tuala wanita daripada kapas dan dia beri kepada Shanthi. Dia kata yang dia perlukan maklum balas dengan segera. Tapi Shanthi kata kena tunggu dulu. Masa tu barulah Arunachalam tahu yang haid datang sebulan sekali. Memandangkan dia tak boleh nak tunggu sampai sebulan, dia memang perlukan sukarelawan untuk cuba tuala wanita rekaannya tu.

Ada yang guna pasir dan serbuk kayu sebagai pengganti tuala wanita

Rupa-rupanya baru Arunachalam sedar yang memang susah nak cari wanita di sekitar kampung-kampung berdekatan yang pakai tuala wanita apabila datang haid. Boleh dikatakan, tak sampai seorang pun yang pakai tuala wanita daripada 10 orang. Penemuan dia ni samalah dengan kajian yang dilakukan oleh kerajaan India – hanya 12 peratus saja wanita di India yang guna tuala wanita. Kalau di kawasan luar bandar, peratusnya lagi rendah.

Apa yang mengejutkan Arunachalam, wanita-wanita tersebut bukan saja guna kain buruk, tapi bahan-bahan yang tak bersih seperti pasir, serbuk kayu, daun malah ada yang guna abu. Tambahan lagi, wanita-wanita yang guna kain selalu rasa malu sangat nak keringkannya di bawah cahaya matahari, jadi kuman tak dapat dibasmi.

Dahlah buruk, tak bersih pulak tu.

Lebih kurang 70 peratus penyakit berkaitan pembiakan (reproduktif) di India adalah disebabkan masalah kebersihan sewaktu haid, secara tak langsung beri kesan pada kesuburan wanita juga.

Dianggap gila dan ditinggalkan keluarga sendiri kerana niat murninya

Arunachalam makin semangat nak cipta tuala wanita murah. Dia guna tuala wanita terpakai sebagai contoh untuk reka sampel tuala wanitanya sendiri. Masalahnya, dia tak boleh bergantung pada isterinya sahaja untuk jadi bahan kajian sebab isterinya hanya datang haid sebulan sekali. Jadi dia minta tolong pada adik-adiknya dan wanita-wanita di kampungnya dia untuk pakai sampel tuala wanita yang dia reka tu. Hampir kesemuanya menolak sebab bagi diorang perkara tu memalukan sangat.

Arunachalam pun bercadang untuk minta tolong daripada pelajar-pelajar perempuan di sebuah kolej perubatan. Akhirnya, dia berjaya yakinkan 20 orang pelajar untuk cuba tuala wanita ciptaannya itu. Tapi, hanya tiga orang saja yang isi borang kajiannya.

Jadi, dia nekad untuk uji sendiri produk ciptaanya itu. Caranya, dia sendiri yang akan pakai tuala wanita yang dia cipta tu. Arunachalam siap cipta ‘uterus’ daripada bola kemudian buat lubang kecil supaya dapat isi dengan darah kambing. Ada dua orang kawan yang membantunya. Kawan dia yang menjual daging akan bunyikan loceng basikal dari luar rumah kalau ada kambing yang nak disembelih. Seorang kawan lagi akan bagi bahan khas untuk dicampurkan ke dalam darah kambing supaya darah tak cepat beku. Tapi bau darah yang kuat tu tetap ada.

Macam ni la lebih kurang ‘uterus’ palsu tu.

Arunachalam akan berjalan, berbasikal dan berlari dengan ‘uterus’ palsunya sambil pakai pakaian tradisional. Pada masa sama, dia akan pam darah keluar untuk uji resapan tuala wanita dia tu. Orang sekeliling ingat dia dah gila.

Kemudian, dia selamba je basuh pakaian dia dekat perigi awam. Masa tu semua orang ingat dia terkena penyakit seksual. Kawan-kawan lain dah mula jauhkan diri daripada dia. Yang sedihnya, isteri dia pun dah fed up dengan dia dan tinggalkan dia selepas 18 bulan bersama.

Isteri kesayangan pun malu dengan dia.

Orang kampung mula rasa tak senang dengan Muruganantham. Diorang syak yang Arunachalam ni mungkin kena rasuk dengan roh-roh jahat. Sampaikan diorang nak ikat dia secara terbalik dekat pokok untuk dipulihkan oleh tukang tilik. Untuk jernihkan keadaan, terpaksalah dia keluar dari kampung tu untuk elak diikat dekat pokok. Tinggallah dia keseorangan menghadapi hari-hari seterusnya.

Walaupun dia dianggap gila, pervert, termasuk isterinya hantar notis bercerai dan maknya dah putus hubungan dengannya, Muruganantham tetap bertahan. Dia ambil peluang ni untuk luangkan lebih banyak masa dengan kajiannya itu.

Sanggup berhabis wang sendiri untuk membuat kajian terhadap tuala wanita

Misteri terbesar dalam hidup Arunachalam ialah macam mana tuala wanita ni dicipta. Dia pernah hantar sampel tuala wanita ke makmal untuk dianalisis. Jawapannya, ia diperbuat daripada kapas. Tapi kenapa kapas daripada tuala wanita ciptaannya tak sebagus di pasaran?

Kapas macam ni ke yang sesuai untuk tuala wanita?

Dia siap tulis surat kepada beberapa syarikat penghasilan tuala wanita dengan bantuan seorang profesor yang dia upah dengan melakukan kerja-kerja domestik. Dia sanggup berhabis lebih kurang 7000 rupee (RM 465.87) untuk telefon pelbagai pihak.

Akhirnya, seorang pemilik kilang tekstil di Coimbatore pun datang membantun. Beberapa minggu kemudian, barulah misteri terungkai. Tuala wanita dicipta menggunakan selulosa daripada kulit kayu pokok. Ia mengambil masa dua tahun tiga bulan untuk merungkai misteri tersebut. Tapi ada masalah lain pula. Mesin yang digunakan untuk menghasilkan tuala wanita ni sangat mahal. Arunachalam perlu cipta mesin sendiri yang lebih murah.

Usaha Arunachalam akhirnya membuahkan hasil apabila empat tahun kemudian, dia berjaya cipta mesin kos rendah untuk hasilkan tuala wanita. Tanpa dia sedar, Indian Institutes of Technology (IIT) hantar mesin ni ke sebuah pertandingan untuk menang anugerah inovasi nasional. Daripada 943 penyertaan, ciptaannya dapat tempat pertama.

Muruganantham dengan mesin ciptaannya.

Ia merupakan satu kejayaan yang besar untuk seorang yang tak dapat menghabiskan persekolahan. Kejayaannya itu menjadikan Arunachalam terkenal dalam sekelip mata.

Tolak tawaran syarikat besar, sebaliknya tolong wanita buat perniagaan sendiri

Prinsip Arunachalam yang jelas ialah dia tak nak terikat dengan mana-mana syarikat besar yang hasilkan tuala wanita. Dia mahu galakkan wanita yang kurang berkemampuan untuk hasilkan sendiri tuala wanita dan jual kepada gadis dan wanita di kampung-kampung. Impiannya mahu lihat setiap wanita di India menggunakan tuala wanita. Dia mahu sekurang-kurangnya satu bilion orang dapat kerja dengan bantuan ciptaannya itu.

Macam ni ya nak buat tuala wanita sendiri. Senang je.

Ia mengambil masa selama 18 bulan untuk Muruganantham membina 250 buah mesin. Mesin-mesin tu semua dibawa ke negeri-negeri termiskin dan paling tak membangun seperti di Bihar, Madhya Pradesh, Rajasthan dan Uttar Pradesh. Di kawasan sebegini, wanita-wanita terpaksa jalan kaki berbatu-batu untuk angkat air. Apabila diorang datang haid, dia orang tak boleh nak angkat air, menyebabkan satu keluarga jadi susah.

Perkara tentang haid ni memang sangat sensitif sampaikan Arunachalam kena minta izin suami atau ayah wanita-wanita ni kalau nak bercakap dengan diorang. Nak bercakap pun di sebalik tirai. Tapi usaha dia berbaloi. Semakin lama, semakin banyak kampung yang mula terima mesin ciptaannya sehingga mencecah 1300 buah kampung di 23 buah negeri.

Orang kampung dah boleh terima penerangan Muruganantham.

Apa yang lagi menarik, wanita-wanita ni sendiri yang pilih jenama tuala wanita yang dorang hasilkan ni. Kiranya, tuala wanita ni daripada wanita, untuk wanita, kepada wanita. Diorang akan hasilkan tuala wanita mereka sendiri termasuk menjualnya sendiri. Sebabnya, kedai-kedai selalunya dimonopoli oleh lelaki. Nak beli tuala wanita pun segan. Bila pelanggan beli daripada wanita yang diorang kenal, nak ajar cara-cara guna tuala wanita pun senang. Pelanggan pula tak semestinya kena bayar tuala wanita dengan wang. Boleh juga guna sistem barter, tukar dengan bawang atau kentang.

Inilah antara jenama tuala wanita yang wanita sendiri hasilkan.

Arunachalam juga bekerjasama dengan sekolah-sekolah tempatan. 23% gadis terpaksa berhenti belajar di sekolah apabila mereka mula datang haid. Dengan adanya mesin ciptaan Muruganantham, pelajar perempuan boleh hasilkan tuala wanita mereka sendiri.

Pelajar sekolah pun dah boleh buat tuala wanita sendiri.

Walaupun impaknya sangat besar, Arunachalam pilih untuk hidup sederhana

Arunachalam hidup dengan keluarganya secara sederhana saja di sebuah pangsapuri biasa. Dia ada sebuah jip yang boleh bawa dia naik bukit dan masuk hutan. Walaupun dia tak kumpul banyak harta dan jadi kaya raya, tapi dia kata dia kumpul banyak kegembiraan. Dia lebih suka bagi ceramah pada pelajar-pelajar universiti dan kolej walaupun bahasa Inggerisnya kedengaran lucu. Katanya, yang penting dia bercakap dari hati ke hati.

Pernah satu pentas sekali dengan Bill Gates bagi talk, ok!

Arunachalam juga memiliki perniagaan tuala wanita sendiri yang diberi nama Jayashree Industries. Syarikatnya itu telah menggaji 21,000 orang wanita. Dia juga telah diiktiraf oleh Majalah Time antara 100 orang yang paling berpengaruh di dunia pada tahun 2014. Pada 2016 pula, dia telah dianugerahkan dengan anugerah Padma Shri iaitu salah satu anugerah tertinggi yang diberikan kepada orang awam sempena Hari Republik di India.

Anugerah Padma Shri dianugerahkan oleh Presiden India.

Kisah hidup Arunachalam menghasilkan tuala wanita murah juga akan difilemkan pada tahun 2017 ini. Pelakon Bollywood terkenal, Akshay Kumar akan memainkan watak utama sebagai Arunachalam. Judul filem tersebut ialah Padman.

Kerana kegigihan, Arunachalam berjaya mengubah hidup masyarakat sekelilingnya

 

Muruganantham bersama isteri dan anak.

Apa yang paling menggembirakan sekali, Arunachalam sudah kembali bersama dengan isteri dan emaknya. Walaupun mulanya Shanthi agak segan, tapi sekarang diorang sama-sama membantu Arunachalam dalam kerja-kerja murninya.

Kami sangat kagum dengan kesungguhan Arunachalam dalam niat murninya, walaupun dia sendiri tak mengalami masalah haid sekalipun! Namun dia tetap gigih ingin membawa perubahan kepada masyarakat di sekelilingnya.

Ini menunjukkan yang isu kebersihan sewaktu haid ini sebenarnya sangat serius, dan bukan semata-mata isu tentang wanita, tetapi pihak lelaki juga perlu ambil perhatian terutama apabila melibatkan ahli keluarga masing-masing. Bukan senang jadi orang perempuan, OK?