Kalau kerajaan wajibkan bagi DNA untuk bank data, korang nak bagi tak?

(This article is a translation. For the original, visit: CILISOS)

Korang mesti terfikir dengan adanya teknologi dekat MyKad kita, tak ada orang yang boleh palsukannya. Tapi nampaknya anggapan tu salah, sebab kita selalu je dengar pasal isu MyKad palsu. Antara yang terbaru adalah kes penangkapan 20 individu termasuk Penolong Pegarah JPN Pulau Pinang yang terlibat dalam penjualan dokumen pengenalan diri dan sijil kelahiran kepada warga asing.

Kalau macam ni, tengok pun dah tahu palsu. Imej dari Cilisos.

Kes ni betul-betul serius, sampaikan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin gelarkannya sebagai pengkhianatan kepada negara. Akibatnya, kerajaan buat langkah serta-merta untuk mengawal dan membanteras isu ini.

Antaranya seperti – memberhentikan serta-merta pendaftaran lewat kelahiran, menukar pegawai JPN secara pusingan serta mengusulkan diwujudkan bank data DNA dan dimasukkan dalam sijil kelahiran agar dapat mengekang ketirisan.

“JPN mencadangkan penubuhan bank data DNA sebagai penyelesaian jangka panjang untuk mencegah ketirisan. Kerajaan menerusi kementerian melihat kes jualan MyKad dan sijil kelahiran dengan serius,” Muhyiddin Yassin, dipetik dari The Star.

Tapi buat masa sekarang, ia cuma cadangan je dan kita tak tahu lagi bila ia akan dilaksanakan. Dengan pelbagai isu, seperti – anak-anak tanpa kerakyatan, undang-undang kerakyatan yang diperdebatkan dan sebagainya, nampaknya cadangan ni macam tinggi sangat. Tapi, korang jangan terkejut pula bila dapat tahu…

Kita dah ada bank data DNA sejak tahun 2015

Tak tahulah kalau korang pernah pergi sini. Tapi, kita sebenarnya ada Jabatan Kimia Malaysia. Imej dari JKM (FB).

Sebenarnya, perkataan DNA bermaksud asid deoksiribonukleik (deoxyribonucleic acid) iaitu satu komponen utama kehidupan. Ia mengandungi set-set arahan biologi dalam badan manusia, haiwan, mahupun tumbuhan. Dengan DNA ini, kita dapat kenal pasti bagaimana rupa paras orang tu, bagaimana sikapnya, berapa lama dia hidup, dia ada penyakit tak dan sebagainya.

Dengan DNA juga kita boleh kenal pasti identiti seseorang. Sebab itulah, DNA ni sangat penting, terutamanya untuk tujuan forensik. Kalau ahli forensik dapat kenal pasti DNA suspek, mudahlah pihak berkuasa mengesan suspek. Tapi kalau dah ada sampel DNA, lagilah senang nak kesan, dan sebab itulah idea bank data DNA ni datang.

Apa yang menariknya, kitorang ada jumpa Akta Identifikasi DNA 2009. Melalui akta ini, ia memberi kuasa kepada pihak polis untuk mengambil DNA dari suspek jenayah dan memperuntukkan penubuhan bank data DNA negara. Ia juga dipanggil sebagai – Bank Data DNA Forensik Malaysia (FDDM).

Walaupun tak ada drama politik, cadangan memperkenalkan Akta Identifikasi DNA ni agak kontroversi juga. Sebabnya, wujud kebimbangan kalau ia digunakan secara salah oleh kerajaan, selain kurangnya – perlindungan tentang privasi dan kebebasan peribadi. Seperti mana yang kita tahu, DNA ni cukup penting, jadinya orang pun agak risau nak bagi DNA mereka macam tu je.

*Lawak hambar*. Imej dari me.me

Apa-apa pun, pada tahun 2012 – Peraturan-Peraturan Identifikasi DNA dah digazetkan, dan ia memperincikan tentang prosedur pengambilan DNA (polis perlu meminta izin dalam beberapa kes), serta prosedur penyimpanan dan pelupusan sampel DNA dan data. Dengan undang-undang dan peraturan ini, bank data DNA (FDDM) secara rasminya ditubuhkan pada Disember 2015.

Tak seperti bank data DNA yang dicadangkan baru-baru ni, iaitu hendak digunakan untuk tujuan pengenalan dan pendaftaran, kegunaan data DNA dari FDDM ni hanya digunakan untuk siasatan forensik. Sehingga tahun 2017, FDDM dah menyimpan sekitar 74,570 data DNA orang, atau secara kasarnya sekitar – 0.23% populasi Malaysia. Data DNA ni kebanyakan milik penjenayah yang disabitkan kesalahan, suspek jenayah dan orang yang terlibat dengan dadah.

Tentang kegunaannya dalam siasatan, antara tahun 2016 dan 2018 – hanya 21 yang kesepadanan direkodkan (di mana 8 adalah daripada kes rogol), atau hanya 0.03% dari jumlah data yang disimpan dalam FDDM. Tapi hal ni taklah mengejutkan sangat, sebab data yang dikumpul tu taklah besar sangat. Jika nak dibandingkan, data bank DNA di UK mempunyai kesepadanan 13%, tapi data tu sendiri mempunyai maklumat 2.4 juta orang.

Jadinya, kalau kerajaan sekali lagi nak kumpulkan DNA data, ia bukanlah perkara baru sebenarnya.

Kebanyakan negara dengan data DNA adalah untuk jenayah, tapi ada pengecualian (yang tak berapa jalan)

Imej dari WSJ.

Pangkalan data DNA bukanlah pelik sangat, sebab 64 negara (termasuk Malaysia) ada pangkalan data forensik DNA. Antara pangkalan data terbesar adalah di China, USA dan UK.

Tapi hampir kesemuanya digunakan untuk tujuan forensik. Jadi, kebanyakan negara-negara ni tak cuba untuk kumpulkan DNA setiap rakyatnya – tapi cuma penjenayah dan suspek jenayah je (ditambah yang derma secara sukarela). Tapi tu bermakna yang tiada satu pun negara yang pernah cuba. Sebagai contoh, UK pernah cadangkan supaya DNA setiap rakyat dan pelawat yang datang ke negara tu diambil pada tahun 2016. Bagaimanapun, ia tak dapat sambutan atas beberapa alasan:

  • Penubuhan pangkalan data akan menjadikan sumber penggunaan yang lemah, melihat kadar padanan rendah dan bilangan orang yang tidak bersalah di pangkalan data.
  • Kemungkinan kehilangan kepercayaan orang ramai.
  • Keperluan untuk menjenayahkan warganegara dan pelawat yang enggan memberikan DNA mereka secara sukarela.
  • Potensi digunakan secara salah oleh polis, kerajaan atau penggodam.
  • Peningkatan risiko kesilapan dan padanan palsu dengan tempat jenayah DNA kerana pangkalan data berkembang besar.

Ada juga negara yang pernah buat benda sama, tapi tak lama. Pada tahun 2015, Kuwait berdepan dengan serangan bom pengganas, dan kerajaan negara itu memperkenalkan undang-undang yang mewajibkan setiap warganegara, warga asing dan pelawat sementara ke negara tu memberikan DNA mereka. Jika gagal, mereka boleh didenda dan dipenjara.

Undang-undang ini, dikatakan yang pertama seumpamanya di dunia, menerima kritikan yang cukup hebat di peringkat antarabangsa, dan akhirnya ditolak oleh Mahkamah Perlembagaan pada 2017. Undang-undang ini dikatakan melanggar artikel dalam Perlembagaan Kuwait yang menjamin hak kebebasan dan privasi peribadi.

“Undang-undang itu adalah satu tindakan yang terlalu luas yang tidak mempunyai perlindungan atau sekatan asas, dan membuka pintu kepada penyalahgunaan kerajaan.” – Sarah Leah Whitson, Pengarah Human Rights Watch’s Middle East.

Promosi Haduma Namba di Kenya. Imej dari KenyaBuzz.

Selain tu, pada awal tahun ini – Kenya juga datang dengan sistem pendaftaran identiti warganegara kontroversi, yang dipanggil sebagai Huduma Namba. Dengan sistem baru ini, antara lainnya – penduduk Kenya kena bagi koordinat GPS rumah mereka, data biometrik seperti cap cari, bentuk tangan dan telinga, corak retina dan iris mereka, gelombang suara dan data DNA mereka.

Kegagalan berbuat demikian akan membuatkan mereka tak boleh menerima perkhidmatan kerajaan. Sistem ini nampaknya menerima kritikan hebat tentang kegunaannya dan ada kebimbangan tentang keselamatan semua data yang dikumpulkan (Kenya tak ada undang-undang melindungi data), kebocoran dan potensi data itu digunakan untuk mendiskriminasi etnik yang memang menjadi masalah di sana. Ada juga yang kata ia berpotensi untuk data itu disalahgunakan oleh pegawai yang tidak bertanggungjawab.

Oleh disebabkan kekhuatiran dan kritikan itu, mahkamah kemudiannya memutuskan yang sistem itu masih boleh diteruskan, tapi kerajaan tak boleh ambil data DNA dan koordinat GPS, serta perkhidmatan kerajaan tak boleh menafikan hak rakyat yang gagal mendaftar dengan sistem itu.

Imej dari Giphy.

Walaupun negara lain tak cuba untuk dapatkan data DNA rakyat mereka, tetap ada isu dan kontroversi dengan sistem ini. Contohnya, UK cuba ambil lebih banyak profil DNA, tapi pada 2008 Mahkamah Eropah memutuskan – menyimpan DNA orang yang tidak bersalah sebagai melanggar Konvensyen Hak Asasi Manusia. Lepas tu, UK padam berjuta profil DNA dan sampel dari pangkalan data mereka. Sejak itu, UK juga mengetatkan cara mengambil dan menyimpan DNA.

“…pengekalan yang menjadi isu [profil DNA, sampel biologi dan cap jari] merupakan gangguan yang tidak seimbang dengan hak pemohon untuk menghormati kehidupan peribadi dan tidak boleh dianggap perlu dalam masyarakat demokratik.” – sebahagian dari keputusan Grand Chamber.

Untuk China pula, mereka mungkin ada pangkalan data DNA terbesar setakat ini, tapi cara mereka yang dibuat secara sembarangan juga mendapat kritikan dari kumpulan hak asasi manusia. Jadi, dengan semua isu dan kes ni, korang mungkin tertanya-tanya…

Adakah cadangan kerajaan ni idea yang baik?

Mungkin persoalan pertama yang akan muncul bila kita bincangkan isu ni adalah: Adakah korang akan serahkan DNA korang (atau anak korang) kepada kerajaan dan biarkan mereka simpan?

Walaupun banyak kritikan terhadap sistem ini, tak dapat juga kita nafikan yang ia ada kelebihannya. Contohnya seperti membanteras kad pengenalan palsu, disebabkan sampel DNA ni memang sukar nak dipalsukan. Tak ke ni berguna untuk keselamatan negara?

Tapi, sebenarnya taklah juga, sebab saintis dari Israel ada buat pendedahan tentang bolehnya sekarang ini sampel DNA dipalsukan. Mereka boleh buat sampel darah dan air liur yang mengandungi DNA yang mereka mahu, dengan merujuk kepada pangkalan data DNA.

“Anda boleh membuat tempat kejadian. Mana-mana graduan biologi boleh melakukan ini.” – Dan Frumkin, pengkaji. Dipetik dari New York Times.

Imej dari imgflip.com

Walaupun begitu, masih ada pihak yang kata sampel palsu DNA tu sebenarnya sukar nak dibuat seperti mana yang didakwa. Tapi, tanpa mengira kesulitan tu, JPN juga perlu mempertimbangkan kemungkinan berlakunya pemalsuan DNA.

Dalam masa sama, kebimbangan terhadap privasi dan hak asasi manusia juga akan dibangkitkan bila cadangan ini diperkenalkan nanti. Makanya, mungkin kita boleh renung sedikit pandangan yang diberikan oleh penganalisis jenayah, P. Sundramoorthy kata:

“Jika kita tidak mempunyai pegawai yang jujur, sistem putaran atau mana-mana undang-undang yang dilaksanakan tidak akan berguna. Dari hari pertama proses pengambilan, kita perlu menekankan perkara ini,” – P. Sundramoorthy, dipetik dari Malay Mail.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.