Kenapa Thailand dengan Kemboja sekarang berperang? Apa puncanya?

Pada 24 Julai lepas, satu lagi konflik tercetus antara Thailand dan Kemboja kat kawasan sempadan kedua-dua negara. Serangan roket yang dilancarkan Kemboja dilaporkan kena kawasan dalam wilayah Thailand, termasuk kawasan yang dekat dengan rumah orang awam.

Thailand pada hari yang sama buat serang balas dengan Tentera Udara Diraja Thailand hantar pesawat F-16 untuk bom kedudukan tentera Kemboja. Serangan tu katanya berjaya lemahkan kedudukan tentera Kemboja. Setakat ni, dua-dua pihak saling tuduh-menuduh antara satu sama lain pasal siapa yang mulakan dulu.

Peta tunjuk kawasan sempadan yang jadi tempat pertempuran. Imej asal dari Britannica

Mungkin ramai diantara kita yang tak tahu tapi konflik sempadan antara Thailand-Kemboja ni bukan yang pertama kali jadi. Antara tahun 2008 sampai 2011 pernah juga jadi pertempuran sempadan. Hujung Mei lepas pulak, insiden tembak-menembak terjadi kat kawasan Kuil Preah Vihear sampai seorang tentera Kemboja dilaporkan terbunuh.

Tapi tau ke korang yang sebenarnya…

Benda ni jadi sebab Perancis yang buat hal

Untuk faham sempadan dua negara ni jadi panas, jom semak sikit sejarah.

Kedudukan Kemboja dalam Empayar Siam pada tahun 1805. Imej Shuuranattha “Caphtaain” Ashvajayajita via wikimedia

Pada abad ke-19, ada dua kuasa besar kat tanah besar Asia Tenggara ni iaitu Siam dan Vietnam. Siam pada waktu tu tengah luaskan kuasa diorang dan ambil banyak kerajaan kecil jadi naungan diorang termasuklah Laos dan Kemboja.

Pada masa yang sama, kuasa barat tengah rancak nak jajah Asia Tenggara. Kalau kita yang kat Malaysia ni biasa dengan British dan Belanda, kat tanah besar Asia Tenggara, Perancis yang jadi penjajah. Diorang mula jajah Vietnam dan luaskan kuasa diaorang ke arah barat perlahan-lahan dan tubuhkan Indochina Perancis

Raja Kemboja pada waktu tu, Raja Norodom nampak peluang ni untuk bebaskan negara dia daripada pengaruh Siam dan minta untuk bernaung di bawah Perancis seawal 1863, menjadikan negara diorang sebahagian daripada Indochina Perancis.

Peta yang tunjuk bila wilayah-wilayah kat Indochina masuk Indochina Perancis. Imej Wikimedia

Tapi kenapa Siam tak buat apa-apa? Sebenarnya diorang tengah pening kepala dengan British kat Burma, tambah lagi dengan negeri utara Melayu dan Perancis yang mula ambik wilayah dia. Tak mampu nak lawan dan nak kekalkan kemerdekaan, Siam pun tandatangan Perjanjian Franco-Siamese pada tahun 1907 dan setuju nak serahkan wilayah Battambang, Siem Reap dan kawasan sekitar Kuil Preah kat Kemboja. Kawasan tu terus kekal sebagai wilayah Kemboja dalam French Indochina dan nilah punca kepada konflik yang berlaku dalam tahun-tahun mendatang. 

Thailand tuntut balik kawasan diorang berdasarkan sejarah

Lepas Kemboja merdeka pada 1953, pertikaian sempadan jadi makin ketara terutamanya kat kawasan Kuil Preah Vihear yang terletak betul-betul kat puncak tebing kat sempadan. Thailand dakwa kuil tu diorang punya sebab dahulunya Kemboja kat bawah naungan Siam, sementara Kemboja pulak tegaskan yang kawasan tu Siam bagi kat diorang pada tahun 1907.

Kuil Preah Vihear, sebuah kuil Hindu yang terletak di tebing sebuah bukit. Imej Viator

Taknak panjangkan lagi benda ni, Kemboja bawak kes ni ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan kuil tu diputuskan sebagai milik Kemboja. Tapi, dalam penghakiman tu, kawasan sekitar termasuk Bukit Phnom Trap (Phu Makua) tak disebut dalam keputusan tu. Disebabkan tu, dua-dua pihak nampak peluang untuk terus kekalkan tuntutan diorang kat kawasan tu.

Isu ni kembali panas bila Kemboja berjaya daftarkan kuil tu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Dari tahun 2008 hingga 2011, beberapa pertempuran sempadan terjadi melibatkan serangan roket, mortar dan tembakan. Dalam konflik tu, sekurang-kurangnya 13 askar dan beberapa orang awam terbunuh manakala ramai penduduk terpaksa berpindah.

Walaupun ICJ keluarkan tafsiran baru untuk isu ni pada 2013 yang sekali lagi memihak kat Kemboja, konflik ni tak pernah selesai pun sampai…

Konflik ni panas balik dan Malaysia cuba jadi orang tengah untuk damaikan

Pada bulan Mei yang lepas, konflik ni mula panas balik. Berlaku insiden tembak-menembak kat kawasan yang dipertikai sampai menyebabkan seorang tentera Kemboja terbunuh. Lepas insiden tu, ketegangan antara dua negara terus meningkat. Diorang mula hantar pasukan tambahan ke kawasan sempadan. Kawasan sekitar kampung sempadan jadi zon bahaya dan ratusan penduduk mula berpindah dari kawasan tu. 

@worldarmynavy

ล่าสุดทหารกัมพูชาลงคลิปเพิ่มอีก! เห็นได้ชัดว่า ทหารกัมพูชาใช้ถนนสัญจรของชาวบ้านในจังหวัดอุดรมีชัยเป็นตำแหน่งเปิดฉาก ระดมยิงระบบจรวดหลายลำกล้อง BM-21 Grad 122 mm. โจมตีอำเภอปราสาท จังหวัดสุรินทร์ของประเทศไทย เมื่อวันที่ 27 กรกฏาคมที่ผ่านมา อย่างไรก็ตาม เหตุการณ์นี้ บ้านเรือนประชาชนและคอกวัวในอำเภอปราสาท จังหวัดสุรินทร์ ถูกทำลายด้วยจรวด BM-21

♬ เสียงต้นฉบับ – Army Military Force


Kemuncak konflik ni berlaku pada 24 Julai. Menurut Thailand, diorang kesan sebuah dron Kemboja masuk ruang udara Thailand. Lepastu sekumpulan 6 orang tentera Kemboja lintas sempadan dan serang pos tentera Thai kat sempadan diikuti dengan serangan roket BM-21 ke arah kawasan penduduk awam di Thailand. Thailand balas balik dengan lancarkan serangan darat dan udara melibatkan penggunaan jet pejuang dan kereta kebal. Setakat artikel ni ditulis, kira-kira 43 orang terbunuh dan lebih 300,000 lagi terpaksa pindah dari kawasan konflik dalam masa seminggu.

7E kat Thailand pun kena
Tentera Kemboja sasarkan tempat awam waktu serangan pertama haritu. 7E pun kena. Imej Royal Thai Army via Al-Jazeera

Disebabkan tahun ni Malaysia jadi Pengerusi ASEAN. Jadi adalah sangat tak bagus untuk imej negara kita dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk duduk dan tengok je konflik ni sampai meletus jadi perang yang lebih besar.

Jadi, PM Anwar Ibrahim telefon PM Thailand, Phumtham Wechayachai dan PM Kemboja, Hun Manet dan ajak dua-dua pemimpin ni duduk semeja untuk berunding selesaikan konflik ni. Rundingan tu dibuat kat Putrajaya. Menariknya, wakil Amerika dan China (sekutu Kemboja) pun ada sekali jadi pemantau. 

Hasil dari rundingan tu, Thailand dan Kemboja setuju untuk adakan gencatan senjata tanpa syarat, laksana pengunduran tentera dari kawasan panas dan tubuh ASEAN Border Monitoring Committee di mana Malaysia jadi pengerusi.

Imej asal oleh Mohd Rasfan, pool, AFP via France 24

Tapi, tak sampai 24 jam lepas gencatan senjata berlaku, Thailand dakwa yang Kemboja langgar gencatan senjata dengan lepaskan tembakan kat diorang. Kemboja kata Thailand yang provoke dulu. Serangan terus berlaku sampai ke hari ni. Thailand siap tawan beberapa kawasan lagi. 

Semua ni bawa kepada satu persoalan…

Apa pula yang akan jadi lepas ni?

Walaupun perang ni jadi kat Thailand dan Kemboja, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ni kena ‘kerja lebih masa’ untuk bantu selesaikan konflik ni. Bukan apa, kalau kuasa besar macam China dan Amerika masuk campur terus dalam hal ni, perang ni ada potensi untuk jadi lebih besar memandangkan Kemboja adalah sekutu China dan Amerika sentiasa cari peluang nak kekang pengaruh China.

Kalau perang besar meletus, risiko dia tak kecil. Gelombang pelarian dari negara jiran mungkin terpaksa masuk ke negara sekitar termasuklah Malaysia. Kita dah cukup pening kepala dengan pelarian Rohingya, ni bertambah lagi. Perang ni pun boleh merebak kalau ada pihak yang cuba tarik sekutu diorang masuk campur.

Sekarang ni, atas kertas memang ada gencatan senjata, tapi kat lapangan lain cerita. Thailand dan Kemboja masih lagi bertempur sampai hari ni. Gencatan senjata haritu macam ‘buat syarat’ je.

Tiada siapa yang pasti apa akan berlaku seterusnya tapi kita cuma boleh harapkan kekuatan diplomatik kita mampu untuk bantu selesaikan konflik ni dari jadi lagi parah dan bawak perang besar ke Asia Tenggara.

About Hafiz Sabran 25 Articles
"Badan sihat, otak....ooootakkk....otakkkkkkkkk"