Animasi Malaysia mencetus fenomena kerana Usop Sontorian? Ini kisahnya…

UPDATE 11/12/2019: Pengasas Animasi Digital dan tokoh penglipur lara animasi Malaysia Kamaruddin Ismail atau nama panggilan Kamn Ismail meninggal dunia pada usia 63 tahun. Semoga Allah mencururi rohnya bersama orang beriman atas segala jasanya.


Korang mesti pernah dibesarkan dengan cerita-cerita kartun macam Dragon Ball, Naruto, Anak-anak Sidek, Usop Sontorian, Kampung Boy, Keluang Man dan macam-macam lah. Masa cuti sekolah siap sanggup bangun pagi semata-mata nak tengok cerita favourite korang tu. Bukan setakat tu je malah kalau tengah main kat luar pun sanggup balik rumah awal semata-mata tak nak terlepas tengok siri animasi yang korang follow tu.

Sanggup menahan mata semata nak tengok rancangan feveret korang

Sebenarnya perkembangan bidang animasi kat Malaysia ni pun tak kurang hebatnya dan bila kitorang kaji, kitorang nampak ada jugak yang dipasarkan kat luar negara, bukan je kat Indonesia tapi siap sampai kat Eropah tu.

Tapi korang pernah terfikir tak dari mana dorang dapat idea buat kartun ni sebabnya ada yang mengatakan asal usul animasi ni berasal dari seni wayang kulit. Eh betul ke?

1. Suara dalang dan muzik cukup mengaitkannya sebagai animasi

Korang tahu tak yang wayang kulit merupakan salah satu animasi terawal yang terdapat di alam Melayu,malah dunia sekali. Ini kerana persembahan gerakan watak wayang kulit itu dikawal sendiri oleh pemainnya yang digelar sebagai ‘Dalang’ melalui sendi tangan, leher dan mulut yang digerak-gerakkan.

Korang rasa berapa lama Dalang nak kena hafal skrip semua tu?
Imej dari The Star.

“Elemen yang terdapat pada wayang kulit seperti menggunakan layar, ada imej yang bergerak, suara dalang dan muzik sudah cukup mengaitkannya sebagai animasi.” – Hassan Abd. Muthalib, Tokoh filem animasi. Dipetik dari Utusan.

Seni gerakan ni hampir sama seperti yang digunakan bagi menggerakkan watak kartun animasi di dalam pembikinan ‘animasi guntingan’ atau ‘cutout animation’ seperti siri animasi ‘South Park’.

“Mengimbas kembali sejarah, contoh pertama animasi di dunia ialah wayang kulit yang pada ketika itu banyak mengetengahkan karakter dewa-dewa.” – Shamsaimun Ezil, Setiausaha Persa­tuan Animasi Malaysia (Animas). Dipetik dari Kosmo.

Malah kalau korang nak tahu, juru animasi dari Jerman, Lotte Reiniger mendapat ilham membuat filemnya yang berjudul ‘The Advantures Of Prince Achmed’ pada tahun 1926 berasaskan wayang kulit!

2. Malaysia mengeluarkan animasi pertamanya pada tahun 1978

Imej dari Maimunahlai.

Korang pernah tengok tak kartun Hikayat Sang Kancil? Kartun ni femes kat Malaysia sekitar tahun 80-an dan 90-an tau. Haa kalau korang nak tahu, perkembangan animasi kat Malaysia bermula sejak 1978 melalui cerita Hikayat Sang Kancil ni lah, hasil garapan Anandam Xavier.

“Xavier telah melakukan sesuatu yang luar biasa apabila berjaya menghasilkan sebuah filem animasi pendek pertama negara walaupun tanpa memiliki banyak pengetahuan mengenai bidang tersebut.” – Hassan Abd. Muthalib, tokoh filem animasi. Dipetik dari Utusan.

Meskipun animasi Hikayat Sang Kancil ni berjaya disiapkan pada 1978 namun ia ditayangkan kepada umum pada Hari Raya Aidilfitri tahun 1983. Ia jugak bukan sekadar kartun semata-mata sebab setiap ceritanya penuh dengan pengajaran dan kisah-kisah teladan.

Cerita Hikayat Sang Kancil ni ada banyak episod, antaranya ialah Sang Kancil dan Buaya, Sang Kancil dan Monyet, Sang Kancil,Kerbau dan Buaya. Dalam setiap cerita, Sang Kancil merupakan watak utama dan digambarkan sebagai seekor binatang yang bijak dalam menghadapi masalah dengan menggunakan pelbagai tipu helah.

Bagi korang yang tak pernah tengok Hikayat Sang Kancil ni, korang boleh tengok video kat bawah ni, pendek je ceritanya

Walaupun durasinya pendek je, hanya lima minit tapi korang kena tahu bukan senang tau nak hasilkan animasi ni. Malah menurut Mohd Zarin Abdul Karim selaku Penyelia Rendering, untuk menghasilkan animasi yang mengambil masa beberapa minit, je perlukan masa bertahun-tahun untuk menyiapkannya.

“Untuk menghasilkan sebuah animasi selama satu saat memerlukan sebanyak 12 keping lukisan, bayangkan berapa keping lukisan diperlukan untuk tempoh lima minit.” – Hassan Abd. Muthalib, tokoh filem animasi. Dipetik dari Kosmo.

3. Usop Sontorian merupakan animasi bersiri pertama kat Malaysia

Usop Sontorian merupakan animasi bersiri pertama kat Malaysia yang mula disiarkan pada tahun 1993. Ia diadaptasikan daripada karya kartunis Ujang bersama Presiden Animas, Kamn Ismail di bawah produksi Kharisma Pictures.

“Hasil usahasama dan gabungan idea yang digarap akhirnya telah menghasilkan siri animasi pertama Malaysia iaitu Usop Sontorian sehingga mencetuskan fenomena luar biasa.” –  Ameir Hamzah Hasim, Timbalan Presiden 1 Animas. Dipetik dari Kosmo.

Usop Sontorian mengisahkan tentang seorang kanak-kanak bernama Usop yang tinggal di Kampung Parit Sonto, Ayer Hitam, Johor. Dia tinggal bersama ibu bapanya dan merupakan anak bongsu dalam keluarga. Usop mempunyai beberapa orang kawan sekampung seperti Abu, Dol, Ah Kim, Vellu dan Singh. Dia juga memiliki seekor ayam yang selebet bernama Selebet.

Siri Usop Sontorian telah dihasilkan sebanyak 49 episod dan telah mencipta sejarahnya yang tersendiri dengan melatih dan mengembangkan bakat-bakat pelukis yang dicungkil dari anak tempatan seluruh negeri dalam beberapa siri jelajah temuduga.

Mereka ni lah teraju utama animasi bersiri Usop Sontorian, Dari kiri: En. Kamn Ismail, Mr. Michael Lum, En. Md. Othman Yusof (MOY) dan En. Ibrahim Anon (Ujang). Imej dari AkuJohan

Animasi Usop Sontorian telah diterbitkan dalam bentuk 2D dimana dorang telah menggunakan kaedah komputer (penggunaan teknologi digital) sepenuhnya berbanding cara tradisional. So dorang dah tak perlukan masa yang terlalu lama untuk menghasilkannya.

Malah kaedah yang lama tu turut memerlukan  kos yang tinggi sehingga mencecah ratusan ribu ringgit untuk membayar kos tenaga kerja yang ramai kerana setiap pergerakan selama satu saat, memerlukan sebanyak 24 lukisan.

“Perkembangan itu (penggunaan teknologi digital) sekali gus mendorong kemunculan pelbagai siri animasi yang lain antaranya Yokies, Sang Wira, Frootees, Anak-anak Sidek dan Keluang Man.” – Hassan Abd. Muthalib, tokoh filem animasi. Dipetik dari Utusan.

Imej dari wikipedia

4. Karya animasi Malaysia mula berada kat pawagam sejak tahun 1998

Kalau korang rasa cerita Putih (Bawang Putih dan Bawang Merah) yang menggunakan suara Erra Fazira tu sebagai filem animasi pertama Malaysia, korang silap. Ini kerana filem animasi pertama Malaysia adalah cerita Silat Lagenda.

Imej dari imdb

Untuk pengetahuan, filem Silat Lagenda ni bernilai RM6 juta dan ianya telah ditayangkan kat pawagam pada tahun 1998. Filem ni diarahkan oleh Hassan Mutalib yang merupakan seorang pembikin filem animasi ulung negara dengan mengambil masa selama dua tahun untuk menyiapkannya.

Silat Lagenda ni sebenarnya mengisahkan tentang ekspedisi Hang Tuah dan rakan-rakanya Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu pada abad ke 21 yang mengemukakan pertentangan antara kuasa baik dan jahat dengan berisi motif perjuangan, kesetiakawanan , disiplin dan dendam yang tak sudah. 

Selain menggunakan suara latar pelakon Noorkumalasari dan Hamid Gurkha. Filem animasi ini jugak mempunyai muzik latar yang telah dinyanyikan oleh artis-artis tempatan seperti KRU, Ella, Elite dan Zainal Abidin.

5. Filem animasi pertama Malaysia yang menggunakan teknik Hybrid Motion-Capture

Pada tahun 2014, Malaysia telah mula menggunakan teknik ‘Hybrid Motion-Capture’ didalam pembikinan filem animasi melalui cerita Supersquad: The Movie. Kalau korang nak tau, teknik ni dah digunakan oleh produksi animasi luar negara seperti filem Avatar dan The Adventures of Tin-Tin.

Imej dari NetCarboncorp

Mesti korang tertanya-tanya kan apa tu Hybrid Motion-Capture kan? Ok ini penerangan oleh CEO Netcarbon Sdn Bhd (pengasas animasi SuperTot dan Super Squad) mengenai Hybrid Motion-Capture;

“Animasi 3D ada 2 teknik utama, iaitu keyframing dan motion-capture. Keyframing terjadi bila animator menggerakkan watak secara manual, iaitu 24 kali untuk setiap saat.

Motion capture pula menggunakan pelbagai kamera infra-merah dan penanda reflektif untuk mengesan pergerakan watak. Pergerakan ini dibaca oleh perisian khas yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam animasi.

Tapi dalam SuperSquad The Movie, kedua-dua teknik ni telah digabungkan untuk mencapai kedua-dua pergerakan yang lebih realistik dan membenarkan watak-watak melakukan tindakan akrobatik sebagai adiwira.” – Mohd Rashdan Ramlee, CEO Netcarbon Sdn Bhd. Ketika diinterview oleh SOSCILI.

Filem animasi Super Squad adalah sebuah filem yang berdasarkan siri animasi 3D Supertots yang telah berjaya merangkul anugerah Animasi 3D Terbaik di Anugerah NEF-AWANI pada tahun 2010. Antara artis yang terlibat menyumbang suara dalam filem ni ialah Aaron Aziz, Dafi dan Diana Danielle.

Diana dan Aaron gigih merakam suara di studio rakaman. Imej dari Kosmo

Filem ni mengisahkan tentang ketabahan dan kecekalan sekumpulan lima adiwira muda iaitu Kapten Danny, Elly, Blinq, Sasha dan Alan yang berjuang untuk mempertahankan negara dan planet Bumi daripada serangan makhluk asing dan cuba menyelamatkan bapanya. Jadi dorang ni pun terpaksa merentasi kembali kepada masa lampau dan dalam perjalanan tersebut, kapal angkasa yang dorang naiki telah terhempas di dalam hutan di sebuah perkampungan.

Imej dari Netcarboncorp

Ia memaparkan pengembaraan di angkasa untuk memberi nafas baru dalam memastikan animasi tersebut sentiasa segar dan tidak mempunyai persamaan dengan animasi tempatan lain sehingga mendapat tindak balas positif daripada stesen-stesen penyiar di luar negara.” – Mohd Rashdan Ramlee, CEO Netcarbon Sdn Bhd, syarikat Animasi Supertot & Super Squad.

Selain menghasilkan filem Super Squad,Netcarbon ni juga turut menghasilkan siri animasi bertajuk Supertot. Menurut Ceo Netcarbon lagi, animasi ni telah berjaya memasuki lebih 20 buah negara. Antaranya ialah Singapura,Sweden,Italy, Sepanyol, Perancis, Venezuela, USA, Kanada,Chile,Turki, Lebanon, Kazakhstan, Turkeminstan, Uzbekistan, Azerbaijan, Armenia,Morocco,Algeria,Tunisia,Equador dan Uruguay.

6. Animasi Malaysia berjaya ke luar negara

Antara syarikat yang berjaya menempa nama dalam dunia industri animasi ialah syarikat Creatvtoon Studios, apabila  ia dipilih oleh syarikat produksi filem terkenal antarabangsa, Lucasfilm (produksi filem Star Wars) untuk menjalankan siri animasi ‘Lego Star Wars: The Freemaker Adventures’.

Rasanya dah ramai orang tahu yang animasi Upin dan Ipin ni telah menjadi satu fenomena yang besar bukan je kat Malaysia, malah di luar negara seperti Indonesia, Turki, Brunei, dan Thailand. Malah filem Upin Ipin telah mendapat kutipan sebanyak RM6.3 juta dan menjadi duta untuk mengukuh serta mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia – Indonesia.

Kejayaan Upin & Ipin menembusi pasaran antarabangsa kerana ceritanya yang boleh difahami oleh masyarakat Indonesia yang memiliki akar budaya yang sama dengan Malaysia.

“Pada tahun sama (2009), Upin Ipin turut ditayangkan di saluran Disney dan disiarkan di 17 negara.” – Burhanuddin Md Radzi, Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd. Dipetik dari Sinar Harian.

Mungkin beginilah wajah Upin Ipin dalam dunia realiti. Imej dari tribunnews

Bukan itu je, malah animasi Supertot dan filem animasi Supersquad pun berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

“Animasi bersiri Supertot telah memasuki pasaran 26 buah negara manakala bagi filem animasi Supersquad telah memasuki 6 buah negara.” – Mohd Rashdan Ramlee, CEO Netcarbon Sdn Bhd, syarikat Animasi Supertot & Super Squad. Ketika diinterview oleh SOSCILI.

7. Kegawatan ekonomi punca hilangnya animasi Malaysia pada tahun 90-an

Bagi korang yang peminat animasi Malaysia macam Usop Sontorian, Anak-anak Sidek dan Keluang Man ni mesti tertanya-tanya kan kemana hilangnya kartun ni? Ok menurut Pengarah Urusan Anithink Studios yang pernah terbabit dalam pembikinan siri animasi Usop Sontorian dan Keluang Man ni ada menyatakan bahawa kegawatan ekonomi pada tahun 1997 hingga 1998 merupakan salah satu sebabnya.

Krisis kegawatan ekonomi tu telah memberi kesan yang agak ketara kepada seluruh penerbitan.

“Siri animasi Keluang Man misalnya dihentikan setelah tiga tahun bersama masyarakat. Beberapa karyawan pula berpindah ke produksi-produksi animasi lain bagi meneruskan kerjaya masing-masing.”- Ameir Hamzah Hashim, Pengarah Urusan Anithink Studios. Dipetik dari Utusan.

Siapa tengok cerita Keluang Man, kita geng!

Malah stesen penyiaran jugak terpaksa mengurangkan slot siaran untuk siri animasi sehingga menyebabkan syarikat animasi ni tak dapat meneruskan penerbitan dorang kerana takde platform untuk siaran kartun.

Selain itu, dorang ni jugak turut menghadapi masalah dari segi modal yang besar.

“Kos yang tinggi dan kekurangan modal menyebabkan perniagaan syarikat penerbitan animasi tidak dapat bertahan. Untuk menghasilkan sebuah karya yang berkualiti membabitkan penggunaan tenaga yang ramai, teknologi, peralatan dan perisian yang canggih.” – Ameir Hamzah Hashim, Pengarah Urusan Anithink Studios. Dipetik dari Utusan.

Tambah beliau lagi, pendapatan syarikat animasi ni tak boleh bergantung pada bayaran dari stesyen televisyen je sebab bayaran tu tak cukup nak menampung kos penerbitan. So dorang ni kena mempelbagaikan perniagaan yang berasaskan produk animasi tu sendiri. Tapi semua ni pun memerlukan modal yang banyak. Sebab tu banyak syarikat animasi ni tak dapat nak bertahan. Ditambah pula dengan sambutan yang kurang memberangsangkan oleh masyarakat.

“Penonton atau penggemar animasi tempatan tidak ramai dan ‘taksub’ seperti di negara lain.” – Ameir Hamzah Hashim, Pengarah Urusan Anithink Studios. Dipetik dari Utusan.

Sejak itu, dunia animasi tempatan dilihat suram daripada karya-karya yang mampu mencetuskan fenomena dan kegilaan dalam kalangan peminat siri kartun tempatan sehingga munculnya siri animasi Upin dan Ipin sekitar tahun 2007.

Karya anak tempatan tak kurang hebatnya

Tapi kini, dengan sokongan dan dana yang diberi oleh Industri Kreatif Negara, perkembangan animasi kat Malaysia dilihat semakin baik. Malah kalau korang nak tahu, Malaysia merupakan antara negara yang ‘top’ dalam penghasilan karya animasi di rantau Asia Tenggara.

Seperti tanggungjawab yang diberikan oleh Lucasfilm terhadap CreatvtoonStudios jelas menunjukkan bahawa syarikat antarabangsa yakin terhadap kerja-kerja animasi yang dilakukan animator tempatan dan secara tak langsung ia telah melonjak nama Malaysia dalam industri animasi di peringkat global.

Bukan tu je,malah dorang siap menjalin kerjasama dengan pembekal kandungan kreatif terkemuka Jepun P.I.C.S. Co Ltd (P.I.C.S.) untuk menggabungkan kepakaran kedua-dua syarikat.

“Usaha sama Creatvtoon dan P.I.C.S. adalah sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk membantu syarikat Malaysia menghasilkan kandungan kreatif yang bermutu tinggi sejajar dengan matlamat Dasar Industri Kreatif Malaysia.” – Kamil Othman, Naib Presiden Multimedia Kreatif MDeC. Dipetik dari Mstar.

Jelas kelihatan yang sebenarnya banyak karya keluaran tempatan yang jauh lebih baik, tapi disebabkan oleh sikap segelintir rakyat Malaysia yang suka menyanjung karya luar hingga menyebabkan bakat-bakat tempatan yang berpotensi besar ni terkubur cam tu je.

 

 

About Irma Musliana 73 Articles
Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan :)