- 4.5KShare sekarang!
- Email3
- Facebook4.5K
- Share
(This article is translation. For original, visit our sister site, CILISOS)
Ni soalan untuk korang: waktu korang kat sekolah menengah, korang ambik aliran apa? Aliran Sastera ataupun aliran Sains? Tak kisahlah apa pun aliran yang korang belajar, jadikanlah ia sebagai memori untuk korang bagitahu kat anak cucu korang nanti. Sebabnya, mungkin waktu diaorang masuk ke sekolah nanti, semuanya akan berubah.
Sebelum ni, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ada bagitahu satu rancangan untuk menggabungkan kedua-dua aliran. Dan mewujudkan sekolah tanpa aliran yang pelajar akan datang bukan hanya belajar aliran Sains, tapi diaorang boleh belajar mata pelajaran Seni dan Sastera jugak. Pelan ni dah dicadangkan oleh jawatankuasa kajian Dasar Pendidikan Nasional, yang dah lama ditubuhkan untuk membina ‘idea baru dan inovatif untuk sistem pendidikan’.
“Kami tidak akan meletakkan pelajar ke dalam aliran Sains dan Sastera lagi. Dalam kurikulum baru yang akan kami laksanakan, kami bukan sahaja akan menekankan subjek Sains, tetapi juga Sastera (dan budaya) kerana ilmu adalah satu, ia tidak boleh dipisahkan dan harus disepasukan,” – Dr Maszlee Malik, sumber dari The Star.
Baru-baru ni, Dr Maszlee dilaporkan ada buat pendedahan kat diaspora Malaysia di Jerman yang pelaksanaan rancangan tu akan dijalankan mulai tahun depan (2020).
“Jadi bermula tahun depan, pelajar aliran Sains dan Sastera boleh memilih dan menggabungkan subjek yang mereka suka. Saya usahakan untuk rancangan ini. Ramai ibu bapa membuat anak-anak mereka mengejar dan memenuhi impian mereka sendiri, yang cara itu adalah tidak betul,” – Dr Maszlee Malik, sumber dari Malay Mail.
Bila bercakap pasal pendidikan STEM (singkatan bagi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan STREAM (tambahan Sastera dan Pembacaan) ni, korang mungkin tertanya-tanya …
Kat negara lain ada aliran macam ni jugak ke?
Biasanya kat Malaysia, bermula pada tingkatan 4 (16 tahun) pelajar boleh pilih sama ada nak masuk aliran akademik, aliran vokasional/teknikal, atau aliran keagamaan. Tapi untuk artikel ni kitaorang terangkan pasal pecahan kat aliran akademik lah.
Dalam aliran akademik, pelajar boleh pilih antara nak masuk aliran Sains ataupun Sastera, yang membezakannya hanyalah mata pelajaran yang diambil. Pelajar aliran Sains umumnya akan ambik subjek Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi. Untuk aliran Sastera pulak, diaorang boleh ambik subjek selain subjek sains termasuklah Geografi, Muzik, Seni Visual, Perakaunan dan Ekonomi.
Sesetengah negara ada susunan sistem aliran yang serupa macam kat Malaysia. Kat India, pelajar umur 16 tahun (Gred 10) diaorang boleh pilih aliran Sastera, Sains atau Perdagangan. Mexico [39] jugak ada beberapa bentuk aliran dalam tempoh persediaan di antara umur 15-17 tahun, tapi hanya untuk pelajar tahun akhir, bila diaorang betul-betul berkemahiran sama ada dalam aliran Sains Fizikal ataupun Sains Sosial. Kat Jepun [2], diaorang boleh pilih sama ada kursus umum, khusus / vokasional ataupun kursus bersepadu untuk pelajar menengah atas (bermula umur 15 tahun).
[Nota: Nombor lepas nama negara tu menunjukkan kedudukan diaorang dalam 40 sistem pendidikan terbaik di dunia, menurut Pearson. Kedudukan ni menyeluruh kat semua peringkat pendidikan, dari peringkat rendah ke peringkat menengah. Sekiranya sesebuah negara tu tak tersenarai, nombor akan jadi kosong.]
Kat negara lain pulak, ada beberapa jenis pengkhususan, tapi diaorang lebih ke arah keupayaan akademik dan bukannya subjek. Kat Kanada [7], pelajar Gred 9 dan 10 (14 dan 15 tahun) boleh pilih sama ada diaorang nak belajar dalam aliran akademik ataupun aliran penggunaan. Subjek yang ditawarkan untuk aliran tu adalah sama, tapi pendekatan untuk pembelajaran dan hasil yang diharapkan adalah berbeza.
Kursus akademik berbentuk teori, dan sebagai satu platform untuk pelajar ke pendidikan tinggi. Sebaliknya, kursus-kursus penggunaan, adalah lebih praktikal (dan ada yang cakap ia lebih senang), dan ditujukan untuk mendapatkan pekerjaan lepas sekolah menengah.
Sistem aliran kat Singapura [3] pulak bermula seawal Tingkatan 1 (13 tahun). Ia berdasarkan keputusan Primary School Leaving Examinations (PSLE), pelajar akan disusun mengikut empat aliran yang berbeza: Ekspres, Normal (Akademik), Normal (Teknikal), dan Program Bersepadu.
Ia agak rumit, tapi aliran Normal merangkumi empat tahun kursus dengan subjek yang berbeza sama ada dalam Akademik ataupun Teknikal. Dan diaorang perlu melalui peperiksaan N-level, dengan berkemungkinan ada tahun tambahan dan berakhir dengan peperiksaan O-level.
Sebagai rujukan, SPM sama macam O-level, dan STPM pulak lebih kurang macam A-level. N-level sebelum O-level. Aliran Ekspres jugak merangkumi kursus empat tahun, tapi ia berakhir dengan O-level pada tahun keempat terakhir tu, jadi ia setahun lebih cepat daripada aliran Normal.
Dan Program Bersepadu pulak melangkaui O-level dan terus ke peringkat A-level ataupun peringkat Ijazah (International Baccalaureate Diploma) lepas enam tahun bersekolah. Sistem aliran Singapura adalah lebih kurang sama macam kat Belanda [8], tapi kitaorang tak jelaskannya dengan lebih lanjut. Korang boleh baca pasal tu kat sini.
Walaupun negara yang berbeza dan mempunyai dasar yang tersendiri mengenai pendidikan menengah, boleh dikatakan tema yang digunakan lebih kurang sama: menyediakan pendidikan pada tahap yang sesuai untuk kepentingan dan keupayaan setiap pelajar. Dan, sebenarnya idea STREAM tu bukanlah idea asal Malaysia sendiri tapi kitaorang tak jumpa contoh pun dari mana-mana negara yang menggabungkan Sastera dan Sains dalam satu aliran.
Majoriti pelajar Malaysia takkan (atau tak boleh) ambik aliran Sains
Tapi sebenarnya ada sesetengah orang yang tak setuju dengan idea penggabungan aliran Sains dan Sastera ni sebab diaorang risau pelajar yang berorientasikan aliran Sastera tak dapat betul-betul fahami subjek berasaskan Sains. Dan ia 100% salah.
Untuk masuk ke aliran Sains, pelajar perlu mendapatkan gred yang baik dalam PT3 untuk Matematik dan Sains, dan ia tak ada pra-syarat untuk masuk ke aliran Sastera. Dan hal ni berikan tanggapan yang aliran Sains adalah khas untuk pelajar pandai, dan aliran Sastera pula untuk pelajar yang biashe-biashe je.
Itu mungkin tak betul, sebab ada je pelajar yang layak ambik aliran Sains tapi sebaliknya diaorang pilih aliran Sastera (sebanyak 15% daripada calon pada tahun 2014, ia meningkat dari tahun sebelumnya). Walau bagaimanapun, ada jugak yang mengatakan ia lebih senang untuk skor dalam SPM kalau ambik aliran Sastera.
“Itulah persepsi pada masa ini. Mata pelajaran Sains harus diajar dengan cara yang menarik di sekolah. Terdapat banyak teori pada masa ini. Pelajar sukar untuk memahami subjek itu.” – Prof Teo Kok Seong, pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, sumber dari FMT.
Mungkin ni lah sebabnya walaupun kerajaan dan mensasarkan nisbah 60:40 pelajar Sains kepada pelajar Sastera, pelajar yang mengambil Sains tetap rendah, dengan nisbahnya 21:79 pada tahun 2015. Sehingga tahun lepas, nisbah tu meningkat sikit, iaitu 22:78.
Kat sesetengah tempat, mungkin nisbahnya lebih rendah, dengan hanya 4.5% pelajar Sabah belajar aliran Sains berbanding lebih 90% pilih aliran Seni, dalam laporan 2016. Ia sangat berbeza dengan negara-negara lain macam Korea Selatan [1], Finland [5] dan India, yang peratusan pelajar aliran Sains masing-masing adalah 70%, 50% dan 73%.
Malaysia memang sangat perlukan lebih banyak pelajar aliran Sains yang boleh masuk aliran STEM lepas peringkat menengah. Sebab pada tahun 2016 kita mempunyai kurang daripada 3% tenaga kerja yang bekerja dalam sektor STEM. Ia 30% jauh daripada pemegang ekonomi global macam Jepun, Singapura, US dan Jerman.
Berdasarkan laporan Akademi Sains Malaysia 2015, Malaysia perlukan sekurang-kurangnya 270,000 pelajar Sains yang ambik SPM setiap tahun, tapi kita hanya ada lebih kurang 90,000 orang je. Ada jugak ahli akademik yang mencadangkan agar ia diwajibkan untuk pelajar yang skor dalam PT3 untuk ambik aliran Sains.
Bila habis sekolah menengah, pelajar Sains ada pilihan untuk ke bidang berkaitan dengan Sastera (sesetengahnya pilih aliran Sastera dalam Tingkatan 6 sebab ia ‘lebih mudah’). Tapi pelajar Sastera tak boleh ambik bidang yang berkaitan dengan Sains hanya kerana diaorang ‘tak pernah belajar sains tulen waktu SPM’. Pelan baru untuk hapuskan aliran tu boleh buka lebih banyak peluang untuk pelajar dan berpotensi meningkatkan bilangan orang yang terlibat dalam STEM. Tapi, ada satu perkara yang kita boleh perhatikan ialah…
Sistem pendidikan kita akan lebih bergerak ke hadapan … tapi ke mana?
Awal tahun hari tu, ada sesetengah sekolah dah mula membuang sistem kelas beraliran dan tak meletakkan pelajar pandai kat kelas teratas, dan yang kurang pandai kat kelas bawah. Langkah ni dikatakan merupakan usaha untuk kurangkan jurang pencapaian antara pelajar.
Walaupun langkah tu menerima pelbagai reaksi daripada ibu bapa, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) mengalu-alukan langkah tu dengan mengatakan kelas aliran yang berdasarkan pencapaian akademik tak menggalakkan perpaduan dan integrasi kat sekolah.
“Di peringkat sekolah rendah, kebanyakan sukatan pelajaran melibatkan kerja kumpulan dan jika murid-murid bercampur-campur, maka nilai moral dapat dipupuk,” – Kamarozaman Abd Razak, presiden NUTP, sumber dari Today Online
Dengan cara ni, langkah tu dapat mengubah fokus pendidikan rendah daripada pencapaian akademik ke pendekatan yang lebih baik. Pelan STREAM kalau betul dilaksanakan beri impak positif kepada pelajar yang membolehkan diaorang dapat memikirkan apa yang diaorang nak buat dalam jangka masa panjang. Walaupun terdapat kebaikan dan keburukan untuk dipertimbangkan, inisiatif baru ni macam bagi isyarat terhadap pergerakan dalam sistem pendidikan kita. Tapi sama ada untuk lebih baik atau buruk, kita kenalah tunggu dan lihat.
Setiausaha agong NUTP, Harry Tan ada cadangkan supaya kerajaan buat kajian perintis dulu sebelum betul-betul melaksanakan pelan dan rancangan tu.
“… untuk hal ini, kami percaya bahawa pentadbir mesti mengkaji projek perintis dengan teliti dan kemudian memastikan semua pihak berkepentingan terlibat dan mereka dapat menemukan cara untuk atasi masalah yang ada,
dan kemudian sebelum itu mereka dapat memastikan bahwa semuanya dapat dilaksanakan dengan baik sebelum mereka menjalankan pelan itu di seluruh negara,” – Harry Tan, sumber dari BFM.
Pelan ni perlu dikaji secara menyeluruh, guru perlu tahu apa yang diajar
Banyak komen yang mengatakan ia akan timbul kesan buruk dalam sistem pendidikan kita kalau ia dilaksanakan. Kitaorang ada tulis artikel mengenai kontroversi Malaysia’s 2015 PISA scores (Program Penilaian Pelajar Antarabangsa), bila ada pelajar pandai yang didakwa dipilih dalam ujian tu tapi skornya masih di bawah purata global. Dan tentunya, perkara macam ni ada sesuatu yang perlu dilakukan.
“Mungkin sudah tiba masanya kita fokus semula dan menekankan semula pengetahuan kandungan pedagogi. Guru mesti tahu subjek mereka. Mereka mesti membiasakan diri dengan kaedah dan teknologi pengajaran terkini untuk memberikan pengajaran yang lebih baik.
Mereka mesti memberikan pemahaman penuh tentang topik yang diajar kepada pelajar mereka. Sekiranya pelajar tidak memahami sesuatu topik, tidak ada kemahiran berfikir yang dapat membantu menyelesaikan masalah Matematik atau Sains yang perlukan pengetahuan asas dan pemahaman tentang komponen yang terlibat.” – Liong Kam Chong, sumber dari NST.
- 4.5KShare sekarang!
- Email3
- Facebook4.5K
- Share