Kitab tafsir sebelum ke tali gantung & karya-karya yang ditulis dari penjara

*Artikel ini asalnya diterbitkan pada 14 November 2016. 

Buku memang ada pengaruhnya yang tersendiri. Kalau kita tengok orang-orang yang hebat sejak zaman dulu, diorang ni mesti akan tulis buku. Kalau tak pun, mesti akan ada buku biografi pasal diorang. Tapi korang pernah dengar tak, kebanyakan buku yang hebat-hebat dan kontroversi di dunia ni sebenarnya ditulis dari dalam penjara. Malah, ada buku yang sampai sekarang ni masih jadi rujukan dan masih dikaji isinya.

Imej dari holyford.org
Imej dari holyford.org

Oleh tu, kali ni SOSCILI akan ceritakan sedkit tentang buku-buku yang pernah dihasilkan dalam penjara dan buku-buku ni dah bagi pengaruh yang cukup kuat dalam sejarah dunia mahupun masyarakat.

1. Mein Kampf: Buku yang membunuh berjuta Yahudi

Hitler ketika Pemberontakan Munich. Imej dari gcsehistory.org.
Hitler ketika Pemberontakan Munich. Imej dari gcsehistory.org.

Siapa yang tak kenal dengan Adolf Hitler, dia mula menggemparkan dunia selepas Perang Dunia Kedua apabila Nazi berjaya menguasai Jerman dan tindakannya yang bunuh hampir 6 juta orang berbangsa Yahudi. Segalanya bermula bila Hitler dipenjara selepas gagal dalam satu pemberontakan di Munich pada November 1923. Dia dah dihukum penjara selama 5 tahun tapi disebabkan bantahan dan tekanan dari penyokong Parti Nazi, dia dibebaskan selepas 9 bulan.

Masa dalam penjara, Hitler gunakan peluang tu untuk tulis buku yang dimuatkan dengan ideologi, pemikiran dan semangatnya. Maka dengan itu muncullah falsafah Nasional Sosialisme dalam masyarakat Jerman. Dalam Mein Kampf (Perjuangan Ku), Hitler dah dedahkan sikapnya yang anti-Yahudi.

Matlamatnya adalah untuk mengusir orang Yahudi dan menyatukan orang Jerman untuk membina Greater Germanic Reich. Akhirnya, Jerman dah catatkan sejarah hitam bila berlakunya Holocaust yang mengorbankan berjuta nyawa.

Buku asal Mein Kampf. Imej dari od43.com
Buku asal Mein Kampf. Imej dari od43.com

Buku yang diterbitkan dengan 2 jilid ini dah diharamkan di Jerman dan sebahagian besar negara Eropah selepas kejatuhan Nazi. Tapi, sekarang buku ni dah tak diharamkan lagi dan boleh dibeli serta dibaca dengan bebasnya. Jadi, bagi sesiapa yang nak baca tu, bolehlah beli.

2. Lima karya dari penjara (dah kena penjara dengan Belanda, kena penjara pula dengan Soeharto…)

Pramoedya terus menulis hingga ke akhir hanyatnya. Imej dari Batam News.

Mungkin nama ni kurang dikenali oleh generasi muda sekarang, tapi dia pernah menggemparkan Indonesia sejak zaman penjajahan Belanda hinggalah ke zaman pemerintahan Soeharto. Dia adalah Pramoedya Ananta Toer (Pram), seorang pejuang, sasterawan, pemikir dan pengkritik.

Pramoedya adalah seorang penulis yang memperjuangkan kebebasan Indonesia. Dia mula dipenjara oleh Belanda dari tahun 1947 hingga 1949 kerana terlibat dalam gerakan revolusi Indonesia. Ketika dalam penjara, dia ada menulis novel Perburuan.

Imej dari Goodreads.
Imej dari Goodreads.

Selepas peristiwa Gestapu (yang menyaksikan Soeharto menggantikan Soekarno), sekali lagi dia ditangkap dan dipenjarakan. Kali ni dia dituduh sebagai komunis kerana kedudukannya sebagai ketua kepada sebuah pertubuhan kebudayaan yang ada hubungan dengan Partai Komunis Indonesia (PKI). Menyaksikan Pram dipenjara dari 1965 hingga 1979.

Walaupun dihalang untuk menulis, Pram berjaya menghasilkan empat buah karya (dikenali sebagai Buru Quartet) iaitu Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah dan Rumah Kaca. Bumi Manusia dah diterjemah kepada 33 buah bahasa.

Malah novelnya yang bertajuk ‘Keluarga Gerilya‘ pernah jadi novel komponen Sastera (Komsas) untuk pelajar sekolah menengah di Malaysia. Dia juga telah terima anugerah Fukuoka Asian Culture Prize (2000) dan Pablo Neruda Award (2004)Pram meninggal dunia pada 30 April 2006 ketika berusia 81 tahun.

“Orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah. Menulis adalah bekerja untuk keabadian.” – Pramoedya Ananta Toer.

Empat karya agung Pramoedya dari penjara. Imej dari abighifari.wordpress
Empat karya agung Pramoedya dari penjara. Imej dari abighifari.wordpress

3. Fi Zilal al-Qur’an: Kitab tafsir yang ditulis sebelum ke tali gantung

Imej dari Open Democracy.
Sayyid Qutb, pemimpin Ikhwanul Muslimin kedua paling berpengaruh selepas Hassan al-Bana. Imej dari Open Democracy.

Fi Zilal al-Qur’an (Di Bawah Naungan Al-Quran) adalah kitab tafsir yang ditulis oleh Sayyid Qutb, seorang penulis, pemikir dan penggerak utama Ikhwanul Muslimin di Mesir. Dia memulakan kerjayanya sebagai seorang guru sebelum melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat (AS).

Lepas balik dari AS, dia ada terbitkan sebuah tulisan bertajuk ‘The America that I Have Seen’. Dalam penulisannya itu, dia ada berikan pandangannya yang kritikal terhadap sifat perkauman, sistem ekonomi, kebebasan individu dan sebagainya yang ada di AS (boleh baca di sini, dalam fail PDF).

Qutb yang pada asalnya menerima sekularisme beralih arah ke Islamis bila melihat ramai dari ahli Ikwanul Muslimin dipenjara dan diseksa. Pengalamannya di Amerika Syarikat juga mengajarnya yang hanya melalui Syariah Islam sahaja dapat membina sebuah masyarakat dan negara yang baik.

Qutb terus menulis bila jadi Ketua Editor dekat majalah mingguan ‘Al-Ikhwan al-Muslimin’. Pada Julai 1952, kerajaan pro-Barat Mesir digulingkan oleh Gamal Abdel Nasser dan Qutb sendiri menyokong gerakan itu.

Tapi nampaknya, Gamal tak buat seperti mana yang diharapkan Ikhwanul Muslimin, apabila fahaman sekular Gamal sangat bertentangan dengan pegangan Islamis Ikhwanul Muslimin. Qutb jadi antara orang yang paling kritikal mengkritik Gamal.

Qutb akhirnya ditangkap pada 1954, atas tuduhan ‘plot untuk membunuh Gamal’, dia dihukum penjara selama 15 tahun. Dia dah diseksa dengan teruk dan kerana kesihatannya yang semakin teruk, dia dibebaskan pada 1964.

Fi Zilal Al-Quran (Dibawah Naungan Al-Quran). Imej dari Islamic Human Right Commission.
Fi Zilal Al-Quran (Dibawah Naungan Al-Quran). Imej dari Islamic Human Right Commission.

Ketika dalam tahanan penjara, dia dah tulis satu buku yang terkenal iaitu Fi Zilal al-Qur’an yang dianggap sebagai rujukan tafsir al-Quran. Kitab ni jadi antara karya terulung Sayyid Qutb dalam hidupnya. Kitab ini juga membuktikan Qutb sebagai seorang pemikir Islam yang hebat dan berjaya membangkitkan gerakan Islam dunia.

Tapi tak sampai setahun dibebaskan, dia ditangkap lagi atas tuduhan ‘plot untuk menggulingkan kerajaan’ dan dihukum mati. Pada 29 Ogos 1966, dia telah dihukum gantung sampai mati. Maka berakhirlah riwayat seorang pejuang yang cekal, tapi masih meninggalkan ilmu kepada masyarakat.

4. Live from Death Row: Dipenjara kerana cuba mendedahkan korupsi dan rasuah Amerika

Mumia ketika dalam tahanan pada tahun 1990an. Imej dari philly.com
Mumia ketika dalam tahanan pada tahun 1990an. Imej dari philly.com

Live from Death Row adalah buku yang ditulis oleh seorang aktivis politik, wartawan radio dan penulis, Mumia Abu Jamal. Dia menulis buku ini ketika berusaha mempertahankan dirinya dari tuduhan bersalah kerana membunuh.

Pada 1982, Mumia dah dijatuhkan hukuman mati atas dakwaan membunuh seorang anggota polis Philadelphia, Daniel Faulkner. Mengikut cerita, ketika peristiwa tu berlaku, Mumia dijumpai di tempat kejadian Faulkner ditembak. Malah Mumia sendiri turut terkena tembakan dari Faulkner dan dibelasah teruk oleh polis di tempat kejadian.

Ketika dalam perbicaraan, banyak perkara yang meragukan telah berlaku contohnya polis mendakwa yang Mumia dah buat pengakuan bersalah masa malam kejadian. Tapi, dalam laporan pegawai polis yang berada ditempat kejadian mengatakan “lelaki kulit hitam ini tidak buat sebarang kenyataan”. Pendakwa raya juga ambil banyak juri dari orang kulit putih dan reject juri dari orang kulit hitam.

Sebenarnya, Mumia sebelum itu adalah orang yang sangat lantang melapor dan mendedahkan kegiatan rasuah di kalangan polis Philadelphia dan mula jadi target polis walaupun takde rekod jenayah. Jabatan Polis Philadelphia juga dilaporkan sebagai jabatan polis paling korup di AS.

Buku Live from Death Row adalah buku yang memuatkan koleksi tulisan Mumia ketika dalam penjara menunggu hukuman mati. Buku ini menceritakan kekejaman dan kehinaan hidup di dalam penjara. Buku ini juga memberikan kritikan pedas terhadap sistem kehakiman AS yang berat sebelah dan bersifat perkauman. Buku ni boleh dikatakan sebagai pendedahan terhadap diskriminasi kaum di AS.

Imej dari deathpenaltyinfo.org
Imej dari deathpenaltyinfo.org

Pada 1995, 10 hari sebelum hukuman dilaksanakan, telah berlaku satu bantahan besar-besaran dari dalam dan luar negara sehingga kerajaan terpaksa mengambil keputusan untuk tangguhkan hukuman. Pada tahun yang sama juga, buku tersebut telah diterbitkan hingga membuatkan lebih banyak lagi sokongan masyarakat dunia terhadap Mumia.

Pada 1999, seorang lelaki bernama Arnold Beverly dah buat satu affidavit dengan mengaku dia yang membunuh Faulkner. Akhirnya, pada 2011 mahkamah tarik balik hukuman mati Mumia dan diganti dengan hukuman penjara seumur hidup. Kini Mumia masih ditahan di sebuah penjara di Pennsylvania.

5. Tafsir al-Azhar: Karya agung Hamka ketika dipenjarakan oleh Soekarno

Hamka juga terkenal dengan karyanya seperti: ‘Di Bawah Lindungan Kaabah’ dan ‘Tenggelamnya Kapal van der Wijck’. Imej dari muslimobsession.com

Tafsir al-Azhar adalah karya agung dari Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka), seorang pejuang, sasterawan, pemimpin dan ulama Nusantara. Nama Hamka memang masyhur sebagai seorang novelis terkenal dan penggerak gerakan Kaum Muda Nusantara.

Tafsir ni mula ditulis sejak tahun 1959, melalui syarahan yang Hamka sampaikan di Masjid Al-Azhar, Jakarta. Kerana tu jugalah, kitab ni dinamakan sebagai Tafsir Al-Azhar. Sebagai pengerak gerakan Islah, tafsir ni dipengaruhi dengan pemikiran Sheikh Muhammad Abduh, salah seorang pelopor gerakan Islah dunia. (Boleh baca artikel kami pasal gerakan Islah/Kaum Muda di sini.)

Tafsir al-Azhar diterbitkan dengan 9 jilid. Imej dari pts.com.
Tafsir al-Azhar diterbitkan dengan 9 jilid. Imej dari pts.com.

Terdapat beberapa kaedah tafsiran dalam kitab ni antaranya adalah:

  1. Mentafsir ayat Al-Quran dengan ayat Al-Quran yang lain
  2. Berdasarkan hadis-hadis yang sahih
  3. Pengaruh pemikiran Sheikh Muhammad Abduh

Pada 1964, Hamka telah ditangkap dan dipenjara kerana fitnah yang menuduhnya ingin menjatuhkan Soekarno. Dalam jangka masa lebih 2 tahun 4 bulan dalam penjara inilah Hamka menyiapkan Tafsir al-Azhar yang seterusnya diangkat sebagai karyanya yang paling hebat.

Ketika Soekarno meninggal dunia, dia dah mewasiatkan agar Hamka menjadi imam solat jenazahnya. Hamka tak menolak dan bersedia menjadi imam kepada orang yang pernah memenjarakannya. Ketika ditanya kepada Hamka sama ada dia tidak berdendam dengan Soekarno yang memenjarakannya? Hamka menjawab:

“Saya tidak pernah dendam kepada orang yang pernah menyakiti saya. Dendam itu termasuk dosa. Selama dua tahun empat bulan saya ditahan, saya merasa semua itu merupakan anugerah yang tiada terhingga dari Allah kepada saya, sehingga saya dapat menyelesaikan Kitab Tafsir al-Quran 30 juz.” – Hamka, Ayah, p257.

Akhirnya, Tafsir al-Azhar menjadi karya ulung Hamka yang terus menjadi rujukan tafsir di Nusantara dan dunia. Karya-karya Hamka tak akan ditelan zaman kerana ketokohan dan pemikiranya yang mendahului zaman.

Banyak lagi karya dari penjara yang kita boleh baca

Mandela sendiri pernah tulis buku masa dalam penjara. Imej dari pbs.org
Mandela sendiri pernah tulis buku masa dalam penjara. Imej dari pbs.org

Kalau ikutkan fikiran yang waras, penjara bukanlah tempat yang kita nak masuk atau pergi. Tapi nampaknya mereka yang hebat-hebat ni masih lagi dapat luahkan pemikiran mereka dalam bidang penulisan, walaupun di penjara.

Sebagai contoh, Pramoedya Ananta Toer pekak sebab dihentak dengan senapang ketika ditangkap dan Sayyid Qutb yang akhirnya mati digantung. Semua tu tak dapat halang diorang untuk berkarya.

Selain buku-buku diatas, banyak lagi buku yang dihasilkan dalam penjara. Antaranya adalah: Letter from Birmingham Jail (Dr. Martin Luther King Jr), The Travels of Marco Polo (Marco Polo) dan Conversations with Myself (Nelson Mandela).

Sejarah dah buktikan yang penulisan merupakan senjata utama dalam melahirkan pemikiran, ideologi, falsafah mahupun kritikan. Di negara kita sendiri, seorang sasterawan dan pejuang nasionalisme Ishak Hj Muhammad (Pak Sako) pernah dipenjara 2 kali kerana tulisannya yang tajam dalam perjuangan nasionalisme.

Nasionalis, Ishak Hj Muhammad (Pak Sako) pernah dipenjara dua kali kerana tulisan dan perjuangannya. Imej dari pnmdigital.gov
Nasionalis, Ishak Hj Muhammad (Pak Sako) terkenal dengan karyanya, Putera Gunung Tahan. Imej dari pnmdigital.gov

Oleh itu, jangan kita ingat yang seseorang itu dapat kita bisukan dengan cara tangkap atau penjarakan mereka. Mungkin perkara itu akan buatkan mereka lebih bersemangat dalam memerah otak mereka untuk menulis sesuatu yang lebih hebat.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.