Kami interview pelajar MARA yang dijemput mengarah Avengers 5 dan terkejut bila tahu…

Minggu lepas, trailer terakhir filem superhero Avengers: Infinity War dah dikeluarkan oleh Marvel Studios, sempena filem itu yang akan ditayangkan di pawagam pada bulan April depan. Ramai yang teruja dengan filem Marvel terbaru ni, sampai dah pecah rekod penjualan tiket presale yang hanya ambil masa 6 jam selepas dibuka untuk orang ramai.

Kat Malaysia pun ada yang tak sabar, sampai ada sekumpulan pelajar dari Kolej MARA Seremban buat trailer Avengers: Infinity War sendiri.

Walaupun video tu hanyalah tugasan untuk kelas Bahasa Inggeris A-Level, diorang tak sangka yang ia ditonton dan dikongsi sendiri oleh Russo Brothers, pengarah Marvel Studios yang mengarah filem Captain America dan Avengers: Infinity War. Russo Brothers siap ajak pelajar-pelajar ni untuk mengarah filem Avengers 5 pada masa akan datang. ?

Disebabkan video tu dah meletup dan jadi viral di media sosial, kami dari SOSCILI pun terus menghubungi pelajar-pelajar kreatif disebalik video ni untuk dapatkan reaksi diorang. Pelajar yang kami hubungi tu adalah Aiman Sany, salah seorang pelajar A-Level Kolej MARA Seremban yang juga editor video tu. Ini apa yang dia kongsikan kepada kami.

Dia terpaksa memainkan watak Black Widow  dan Thor  sebab tak cukup pelakon

Aiman pegang watak Black Widow dan Thor dalam video tu.

Kalau korang tengok video tu, mesti perasan takda pelakon perempuan yang memegang watak-watak dalam trailer parodi tu. Sebabnya, perempuan sekelas diorang semua nak buat video tutorial makeup lah, apa lah, jadi, kumpulan lelaki kenalah cari idea lain. Tugasan ni pulak kena disiapkan dalam masa tiga minggu dan diorang pilihlah kawan-kawan yang ada untuk bincang idea dan cipta video.

Ada kumpulan lain yang memilih parodi sebagai idea diorang, macam video muzik, dan lain-lain. Jadi idea kitorang pon berkembang dari situ.” – Aiman, dalam temu bual bersama SOSCILI.

Jadi, disebabkan diorang semua peminat filem-filem Marvel, Aiman bersama sebelas pelajar lain dalam kumpulan dia pun bersetuju untuk membuat parodi video Avengers: Infinity War yang dah dikeluarkan beberapa bulan lalu. Disebabkan bilangan pelakon tak cukup untuk mainkan watak-watak dalam trailer tu, terpaksalah beberapa orang main lebih daripada satu watak.

Malah, pelakon-pelakon tu pon kena jadi jurukamera sekali! Imej dari Luqmanul Hakim, pelakon Thanos.

Antara pelajar lain yang melakonkan lebih daripada satu watak adalah Amir Haziq, yang jadi Black Panter , Loki , dan Rocket ; Umar Muhammad, yang jadi Vision  dan Groot ; Ammarul Mubsyir, jadi watak Spider-Man  dan Star Lord ; Khairil Abu Bakar, sebagai Captain America  dan Mantis ; Khafiz Khairul Anwar, jadi watak Scarlet Witch  dan Gamora ; Salman Noor Azri, sebagai Iron Man  dan Falcon ; dan Adam Muqhriz, sebagai Bucky  dan Drax .

Bajet pun tak ada sampai terpaksa gunakan balik pelakon yang sama berkali-kali. Sementara kat industri filem kita, ada pulak studio yang dapat bajet punyalah besar, tapi rugi pun berjuta-juta. Tapi untuk tahu lagi pasal proses pelajar-pelajar ni buat video, ada benda lain yang mengagumkan bila kami tanya Aiman sendiri. Benda tu adalah…

Pelakon-pelakon kena fikirkan cara nak buat special effects diorang sendiri

Sampai katil roboh pon diorang gunakan sebagai set rakaman. Imej dari Farhan Mirza, pelakon Dr Strange.

Disebabkan diorang hanya diberi masa seminggu untuk siapkan projek ini, kumpulan pelajar ni tak dapat la nak cari set atau pun alat-alat canggih untuk dijadikan prop. Menurut Aiman, rakaman segala klip yang digunakan dalam video itu mengambil masa tiga ke empat hari, manakala, dia terpaksa edit semuanya sekali dalam masa satu malam sampai tak tidur supaya tak langgar deadline tugasan.

Untuk watak diorang masing-masing, setiap ahli kumpulan terpaksa menggunakan kreativiti diorang sendiri untuk mencipta special effect dalam video itu. Contohnya macam gunakan pinggan sebagai perisai sihir, kain pelekat untuk menunjukkan warna rambut watak masing-masing, dan penyepit baju sebagai Infinity Stones pada sarung tangan penjahat.

Tapi special effect yang paling win dan buat orang ketawa adalah bila diorang gunakan Koko Krunch untuk gantikan segerombolan tentera atas padang.

Patut la iklan Koko Krunch pon sebut “mencurah-curah ke ladang gandum”.

Sebenarnya, klip ni paling susah untuk kitorang sebab… ye lah. Mana nak cari seribu orang? Mula-mulanya, kitorang ingat nak lari lima orang, lima orang. Tapi lepas tu kita tengok padang pon tak cukup besar, jadi kita pon setuju ok lah. Guna je Koko Krunch.” – Aiman, ketika dihubungi SOCILI.

Dengan kreativiti yang tahap dewa macam tu, kitorang ingatkan pelajar-pelajar ni memang bercita-cita nak jadi pengarah filem atau pelakon terkenal. Tapi, apa yang mengejutkan…

Diorang semua ni pelajar MARA dalam bidang kejuruteraan

Walaupun sekarang diorang dah terkenal sebagai pelakon-pelakon parodi trailer Avengers: Infinity War, tapi, setiap ahli kumpulan ni sebenarnya adalah bakal pelajar kejuruteraan di UK pada akhir tahun ni. Malah, tugasan video ini hanya merupakan aktiviti untuk seronok-seronok yang diberikan oleh cikgu kelas Bahasa Inggeris. Aktiviti ni cikgu diorang buat lepas ambil ujian IELTS diorang beberapa minggu lepas.

Boleh lah nak main-main dengan pistol mainan kalau exam dah habis. GIF dari rakaman yang tak diguna dalam video.

Kitorang tanya pulak pasal reaksi diorang selepas mendapat tahu video tu ditonton oleh pengarah filem Avengers sendiri. Kata Aiman, diorang sampai bermesyuarat lagi macam mana nak balas tweet dari akaun Russo Brothers tu. Tambahan pula, pelakon penolong Dr Strange, Benedict Wong, juga telah membalas video kumpulan Aiman itu.

Kitorang tanya Aiman lagi  sama ada dia berminat atau tak untuk terus buat lagi video parodi lepas ni, dia pun cakap:

Saya rasa saya akan hanya teruskan sebagai jurutera kot. Sebenarnya seronok jugak menjadi pengarah, tapi bagi saya, tu bukanlah cita-cita saya sejak dari kecil lagi. Mungkin saya akan mengubah fikiran saya pada masa depan, tapi saya tak tau lagi.” – Aiman, ketika dihubungi SOSCILI.

Sejak video diorang menjadi viral tanpa dijangka, Aiman berkata ahli-ahli kumpulannya yang lain juga rasa kagum dengan bakat diorang sendiri. Tapi, diorang rasa akan hanya bagi tumpuan diorang kepada kejuruteraan pada masa sekarang, walaupun ada jugak dalam kumpulan tu yang mungkin akan cuba aktiviti lain pada masa depan jika diberi peluang.

Agaknya kalau Avengers ada kat Malaysia, macam ni lah rupa dia kot.

Sekarang ni, kita ucapkan je lah tahniah kepada pelajar-pelajar cemerlang kita ni. Sekurang-kurangnya kalau jemputan Russo Brothers tu hanya ajak-ajak ayam, diorang dah dapat lah jugak tawaran kena belanja tengok wayang. Ni pon tak termasuk lagi markah A yang sepatutnya diorang dapat untuk tugasan kelas ni.

About Iqbal Fatkhi 10 Articles
Pandai buat meme je. Tulis artikel beshe-beshe je.