- 904Share sekarang!
- Email29
- Facebook875
- Share
Baru-baru ni kita dikejutkan dengan kematian seorang ilmuwan terkenal, Stephen Hawking. Dia merupakan saintis yang pakar dalam fizik dan kosmologi. Kosmologi ni bidang ilmu tentang angkasa, tengok bintang, planet dan WhatsApp alien. Dia lahir pada 8 Januari 1942 dan baru je meninggal 14 Mac 2018 lepas.
Masa umur Stephen Hawking 21 tahun, dia menghidap penyakit Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS). Penyakit ni buatkan saraf yang mengawal otot seseorang tu tak berfungsi. Dari sini kita boleh nampak Stephen Hawking adalah seorang fighter, dia mampu hidup lebih daripada 50 tahun lepas dia menghidap ALS.
“Sebelum saya sakit, saya sangat bosan dengan kehidupan. Sepertinya tidak ada yang berguna untuk dilakukan.” – Stephen Hawking, dipetik dari Biography
Kalau korang tak kenal lagi siapa Stephen Hawking ni, jangan bersedih. Inilah kisah orang yang dikatakan akan hidup setakat 2 tahun setengah lepas dapat penyakit, tapi akhirnya berjaya buktikan ramalan tu salah…
Asalnya Stephen Hawking nak ambil kursus matematik, tapi masa tu tak ditawarkan lagi
Ayah dan ibu Stephen Hawking ni bukan calang-calang orang, mereka terpelajar. Ke mana lagi tumpahnya kuah kari kalau tak ke nasi kan? Ibunya antara perempuan pertama yang berjaya dapat ijazah dari Universiti Oxford dan ayahnya pulak penyelidik ilmu perubatan. Ayah Stephen Hawking nak dia jadi doktor perubatan, tapi dia tak minat sebab lebih suka nak belajar tentang angkasa.
Dia dihantar ke St. Albans School, tapi macam biasalah – budak genius ni selalunya tak minat belajar. Dia lebih berminat untuk lihat persekitaran di luar kelas dan cipta benda baru. Asalnya dia nak belajar matematik, tapi Universiti Oxford takde kursus tu. Hmmm…siapa yang suka matematik ni, memang dia bijaklah. Sebab kursus matematik tak ditawarkan, dia pun ambil kursus kimia dan fizik.
Stephen Hawking dapat ijazah kelas pertamanya pada tahun 1962, dan melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD dalam bidang kosmologi. Pada tahun pertama dia sambung pengajian PhDnya, kadang-kadang dia tiba-tiba jatuh dan suara dia makin tak jelas. Awal-awal dia buat dekk je, tapi apabila ayah dia dah mula perasan, dia dihantar untuk pemeriksaan kesihatan. Akhirnya, dia disahkan menghidap penyakit ALS, macam yang kami dah cakap awal-awal tadi.
Dia diramal ada dua tahun setengah je untuk hidup. Kalau korang ada masa dua bulan lagi nak hidup, korang nak buat apa? Mestilah beribadahkan. Stepen Hawking pulak, makin dia tahu dia nak mati, dia fokus sepenuhnya untuk siapkan thesis. Mungkin masa tu dia fikir pepatah Melayu – harimau mati meninggalkan belang, Hawking mati meninggalkan PhD. Akhirnya dia berjaya siapkan PhD dia pada tahun 1966, korang boleh download PhD dia kalau korang nak.
Dapat masuk Fellow of the Royal Society pada usia muda
Thesis PhD Stephen Hawking ni bukan main gempak, tahun 1968 dia jadi ahli Institusi Astronomi Cambridge. Ada satu saintis kaji angkasa yang bernama Roger Penrose, mamat ni keluarkan teori tentang “Black Hole”. Teori ni buat Stephen Hawking rasa teruja, masa ni Stephen Hawking yakin teori ni akan bantu kita tahu asal-usul alam semesta. Kawan baik moyang kita pun kita dah tak kenal siapa, Stephen Hawking siap nak cari asal usul alam semesta.
https://www.youtube.com/watch?v=XnFSia31Pl0
Minat dia pada Black Hole semakin menyerlah apabila dia berjaya kemukan 4 prinsip dalam “Black Hole Mechanics“. Tahun 1973 dia siap pergi Moscow untuk jumpa dengan saintis lain supaya dia boleh buktikan Black Hole ni boleh bersinar. Kalau korang nak tahu, fenomena ni dinamakan Hawking Radiation, sempena nama dia. Pergh, mesti best kalau ada SOSCILI radiationkan?
Setahun lepas tu terus dia dapat “Fellow of the Royal Society” pada usia 32 tahun. Antara yang yang termuda dapat penghormatan tu. Bagi sesiapa yang belajar sains tapi tak kenal Isaac Newton, kira macam satu dosalah. Kalau korang nak tahu, pada tahun 1979 dia dilantik sebagai professor matematik dekat Cambridge, sama macam Newton pernah jadi!
10 juta naskah buku tulisan Stephen Hawking terjual
Kalau korang rasa apa yang dia capai pada umur 32 tahun tu dah gempak, tu baru permulaan. Kalau korang nak tahu, Stephen Hawking hilang keupayaan nak bercakap pada tahun 1985. Kalau kita hilang keupayaan nak bercakap, mesti kita rasa down gila. Pada tahun 1988, dia terbitkan buku yang gempak, tajuk buku tu “A Brief History of Time”. Buku ni dah terjual hampir 10 juta dan dah diterjemahkan ke 40 buah bahasa.
Pada tahun 1989, Stephen Hawking dapat anugerah “Princess of Asturias Awards“. Anugerah dari Sepanyol ni diberikan untuk orang-orang yang ada penemuan gempak dalam sains, kemanusiaan dan hal ehwal awam. Dia mula kumpulkan tulisan dia pasal angkasa dan tulis satu buku yang bertajuk “Black Holes and Baby Universes and Other Essays“.
Buku ni sembang macam mana korang nak faham angkasa kita dengan lebih luas. Dia siap kata tak mustahil Black Hole lahirkan “bayi angkasa”. Kami pun tak terfikir macam mana angkasa ni boleh siap beranak lagi.
“Masa dan ruang adalah terhad, tetapi mereka tidak mempunyai batas atau penghujung. Mereka akan menjadi seperti permukaan bumi, tetapi dengan dua lagi dimensi.” – Stephen Hawking, dipetik dari buku Black Holes and Baby Universes and Other Essays
Dia hasilkan 14 buah buku, semuanya buku yang gempak-gempak. Pada tahun 2004, dia siap kata akan selesai masalah Black Hole ni. Pada tahun 2009, dia dapat “Presidential Medal of Freedom“. Anugerah ni kira anugerah tertinggi yang orang awam boleh dapat. Sepanjang hayat Stephen Hawking, 16 anugerah dia dapat, power betul.
Ada yang dakwa isteri kedua Stephen Hawking dera dia
Pada tahun 1963, dia jumpa dengan seorang gadis – Jane Wilde. Masa ni Stephen Hawking baru je tahu dia ada masalah kesihatan. Lepas dua tahun diorang dating, akhirnya diorang ambil keputusan untuk kahwin. Stephen Hawking ada tiga orang anak dengan isteri dia yang pertama ni, Robert, Lucy dan Timothy.
Perkahwinan pertama dia mula bermasalah pada tahun 1990, bekas isteri dia cakap masalah diorang bermula bila buku pertama Stephen Hawking diterbitkan. Lepas buku tu diterbitkan, nama Stephen Hawking naik gila-gila sampai nama dia terkenal kat seluruh dunia.
“Saya rasa keluarga saya ditinggalkan. Kepada saya, Stephen adalah suami saya dan bapa anak-anak saya; seseorang tidak mengatakan kepada suami, ‘Oh, anda pandai! Saya mesti menyembah di bawah kaki anda, atau dalam kes ini, roda.” – Cik Wilde dalam temubual dengan Radio Times.
Lepas dia bercerai dengan isteri pertama dia, Stephen Hawking mula ada hubungan dengan jururawat yang jaga dia. Ramai yang kata isteri kedua ni kahwin dengan Stephen Hawking sebab duit, tapi dah sah-sah isteri dia tu nafikan. Diorang berpisah pada tahun 2006, ramai orang tak tahu apa sebab utama perpisahan ni terjadi. Ceh…macam lagulah pulak.
Kalau korang nak tahu, pernah ada laporan yang kata isteri kedua dia ni siap dera Stephen Hawking. Anak Stephen Hawking siap buat laporan polis, ni antara dakwaan anak dia;
- Memecahkan pergelangan tangan Stephen Hakwing dengan menghentak di kerusi roda.
Tapi semua tuduhan ke atas isterinya tu digugurkan kerana Stephen Hawking kata benda ni tak terjadi. Korang rasa betulkah ke tuduhan yang dilemparkan pada isteri kedua ni? Jangan-jangan pasal benda ni diorang berpisah…
Stephen Hawking percaya alien, tapi tak percaya tuhan
Kalau orang yang tak famous mati, selalunya keluarga dan kawan-kawan je lah yang sedih. Tapi kalau orang ternama mati, satu dunia ikut bersedih. Kebanyakan orang memberikan reaksi sedih bila dapat tahu Stephen Hawking meninggal dunia.
Macam-macamlah komen orang, terutamanya ahli sains dan akademik.Tapi macam biasalah, semua orang akan ambil peluang nak ucapkan takziah. Korang kenal tak Gal Gadot? Pelakon ni siap kena kecam sebab dikatakan beri ucapan sensitif pada kematian Stephen Hawking.
“Kekangan fizikal tidak menghalangnya daripada mengubah dunia. Orang kurang upaya tidak mengharapkan mati untuk bebas dari cabaran mereka. Mereka ingin dihargai untuk apa yang mereka boleh lakukan, bukan mengasihani apa yang mereka tidak boleh lakukan.” – Dipetik dari USA Today
Tapi betul jugak, walaupun Stephen Hawking ada cabaran tersendiri untuk meneruskan kajiannya, tapi dia tetap lakukan sehabis baik. Tak macam kebanyakan kita ni, badan je sihat tapi tak adalah function mana. Bukan setakat orang luar negara je, orang Malaysia pun ada respon macam-macam.
Perdana Menteri kita pun siap ucap takziah pada Stephen Hawking, menandakan dia memang seorang yang dikenali. Kalau kami sebut nama Perdana Menteri, kami tahu ada yang akan kata kami macai. Jadi kami nak beritahu, Tun Mahathir pun ada ucapan sweet untuk Stephen Hawking.
“Dalam keterbatasannya, Stephen Hawking telah membuka alam semesta kepada kita semua dengan penemuan saintifiknya. Dia memberi inspirasi kepada saya untuk menjalani kehidupan tanpa alasan – dan itulah teori saya tentang segala-galanya.” – Tun Mahathir Mohamad
Apa yang lebih menarik, masih ramai je orang kita yang tak tengok sangat pun penemuan-penemuan yang dilakukan Stephen Hawking. Diorang lebih fokus nak kecam agama Stephen Hawking. Hmm…korang rasa macam mana? Patutkah dia kena kecam sebab dia tak percaya tuhan? Atau kita tak setuju dia dengan agama dia, tapi hargai apa yang dia lakukan. Itu terpulang koranglah nak pilih yang mana.
Stephen Hawking buktikan yang kecatatan bukan penghalang untuk berjaya
Ramai je yang ucapkan takziah masa Stephen Hakwking meninggal, tapi tak ramai pun yang cuba nak faham kajian-kajian yang dia buat. Kami tak adalah suruh korang buat PhD pasal teori dia, tapi kurang-kurang cubalah tahu serba sedikit kenapa orang kagum dengan Stephen Hawking, ni tak habis-habis nak hantar dia ke neraka.
Kami rasa cerita Stephen Hawking ni buktikan masalah kesihatan yang ada tak halang dia daripada mendapat kejayaan. Kalau korang pernah rasa down sebab ada banyak masalah dan halangan dalam kejar cita-cita, jangan pernah mengalah. Kalau Stephen Hawking boleh lakukan dengan masalah kesihatan yang dia ada, takkan korang tak bolehkan?
Kalau korang ada kawan-kawan yang ada masalah kecatatan, jangan lupa untuk beritahu diorang tentang cerita kami ni. Kalau tak ada otak yang genius pun tak semestinya tak boleh berjaya dalam bidang lain. Contohnya kat Malaysia ni kita ada ramai je atlet-atlet paralimpik yang power, siap pernah menang emas kat sukan paralimpik di Brazil tempoh hari.
“Kejayaan dua atlet paralimpik ini bukan sahaja berjaya mengharumkan nama negara, tetapi juga menjulang martabat serta nama Malaysia dalam menonjolkan atlet golongan OKU yang berprestasi tinggi dan berwibawa.” – Datuk Seri Rohani Abdul Karim, dipetik dari ASTRO Awani
- 904Share sekarang!
- Email29
- Facebook875
- Share