Sejak bila sebenarnya ideologi pengganas wujud di Malaysia?

Sejak beberapa tahun kebelakangan ni, saban hari, ada je yang ditahan sebab didakwa mempunyai kaitan dengan kegiatan militan ISIS atau Daesh. Semasa artikel ni ditulis pun, Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police) baru je keluarkan kenyataan tentang penangkapan enam suspek yang dikatakan terlibat dalam kumpulan pengganas.

https://www.facebook.com/TSDSMFuzi/photos/pcb.328661834420590/328661641087276/?type=3&theater

 

Tapi pernah ke korang terfikir, macam mana rakyat Malaysia boleh terlibat, dan sejak bila agaknya?

Ideologi pertama juga bermula seawal Perang Afghanistan-Rusia pada tahun 1979

Walaupun penapakan militan ISIS di Malaysia hanya mula dikesan pada tahun 2014, tapi ideologi ni sebenarnya bermula masa Perang Afghanistan-Rusia selama sedekad pada tahun 1979. Menurut IMAN Research juga, peperangan tu juga yang menjurus ‘pejuang’ ke arah ekstremisme dalam bentuk ideologi Islam radikal yang berlaku di Malaysia.

Keratan majalah pasal Perang Afghanistan-Rusia dari warungarsip

Pada masa tu, umat Islam agak bersimpati terhadap apa yang berlaku kepada saudara seagama mereka kat sana. Terdorong dengan rasa perpaduan dan kekeluargaan agama lah yang membuatkan mereka nak ke Afghanistan untuk memerangi Tentera Soviet ni. Lagipun, objektif masa tu juga lebih bersifat keagamaan, sebab tu la ia mampu menarik perhatian golongan profesional untuk turut ‘berjuang’ membantu saudara seagama mereka yang terkorban.

Bila perang tu berakhir, mereka kembali semula ke tanah air, dan terbawa-bawa pula bila mereka nak teruskan ‘perjuangan’ menentang ‘musuh tempatan’ yang dikatakan dikawal oleh kuasa Barat (bukan Islam).

Daripada ideologi-ideologi macam ni la yang membawa kepada penubuhan pergerakan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) di negara ni. Antara nama-nama yang pernah terlibat dalam ‘perjuangan’ tu adalah Zulkifli Hir alias Marwan, Lotfi Ariffin, dan Nik Adli Nik Aziz, anak kepada Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Nik Adli dibebaskan dari tahanan ISA di Kem Kemunting Perak 5 tahun selepas penahanannya pada tahun 2001. Imej dari Utusan

Mereka ni la antara 11 orang tahanan ISA yang dikatakan terbabit dengan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dan Jemaah Islamiah. Mereka ditahan di bawah Seksyen 73(1) Akta ISA 1960 berkuat kuasa 24 September 2001 kerana mengancam keselamatan negara.

KMM dan JI ni lah yang memainkan peranan penting dalam mengukuhkan gerakan jihad di Malaysia, yang selalu dikaitkan dengan Al-Qaeda. Matlamat utama mereka adalah untuk melancarkan jihad terhadap kerajaan sekular yang nak menyatukan rantau ini di bawah khalifah tunggal Islam.

Penangkapan graduan yang membongkarkan penapakan militan di Malaysia, 16 tahun sebelumnya

Kalau nak diikutkan, ideologi pengganas ISIS ni sebenarnya merupakan serpihan dari Al-Qaeda. Ia mula dikenali pada pertengahan tahun 2014 dari Timur Tengah bila Al-Qaeda sendiri mengumumkan perkara tu lepas beberapa bulan mengalami perbalahan dalaman sesama mereka pada tahun yang sama, yang akhirnya merebak ke negara kita. 

Kumpulan militan pertama yang bertapak di Malaysia adalah sejak tahun 1985, tapi hanya berjaya dibongkarkan pada tahun 2001 dengan penahanan seorang graduan Bio-Chemistry dari California State University, Yazid Sufaat. Dia didakwa diminta membina senjata biologi, iaitu antraks oleh Hambali Rasimudin, salah seorang pemimpin al-Qaeda Asia Tenggara.

Yazid Sufaat, pernah menjadi kapten dalam Angkatan Tentera Malaysia sebelum memilih untuk menjadi ahli perniagaan. Imej dari jamestown

Yazid ditahan pada 9 Disember 2001 di Bukit Kayu Hitam, Kedah. Dia cuba untuk masuk ke Malaysia dari Bangkok, Thailand selepas menyertai kumpulan militan terkenal Afghanistan, iaitu Al Qaeda. Hasil penyiasatan tersebut juga membongkarkan hubungannya dengan kumpulan militan di rantau Asia Tenggara, yang akhirnya membawa kepada penahanan 132 anggota JI di seluruh negara sejak Disember 2001 hingga 2010.

Pemantauan terhadap Yazid sebenarnya dah dilakukan beberapa tahun lebih awal sebenarnya, iaitu pada tahun 1999 apabila mereka berjaya mengesan kemasukan salah seorang anggota militan dari Arab Saudi, iaitu Khalid Al Midhar pada Januari 2000.

Imej Midhar dan Majed Moqed, yang dikatakan terlibat dalam serangan 11 September 2001. Imej dari kamera pengawasan di Washington, D.C.’s Dulles Airport pada pagi 11 September.

Pengaruh awal dari Indonesia yang lari dari rejim Suharto

Bagaimanapun, pengaruh awal sebenarnya bukanlah dari militan Arab Saudi tersebut, tapi daripada pengaruh yang dibawa anggota militan Pertubuhan Darul Islam (PDI) dari Indonesia yang seludup masuk ke negara ni melalui jalan laut.

Masa tu, mereka cuba untuk melarikan diri dari regim Suharto sekitar April tahun 1985. Ia adalah akibat clamp down regime Suharto terhadap sesiapa yang terlibat dalam rusuhan Tanjung Priok, Indonesia akhir tahun1984 sehingga awal 1985. Seramai 20 anggota PDI dari Solo (belah Jawa, Indonesia) berjaya lari, dan akhirnya tiba ke Pelabuhan Klang, Selangor.

Antara tokoh dalam PDI tersebut adalah Abdullah Sungkar, Abu Bakar Bashir dan Mohamad Iqbal Abd. Rahman. Mereka kemudiannya menetap di Malaysia, dan mengembangkan perjuangan Darul Islam (DI) dalam masyarakat Indonesia di Kuala Pilah. DI ni lah yang kemudiannya disertai Hambali @ Riduan Isamuddin, yang akhirnya menjadi  wakil Al-Qaeda bagi Asia Tenggara.

Abu Bakar Bashir. Imej dari coconuts.co

Tapi nampaknya ada perbalahan yang berlaku dalam PDI tu, di mana Abdullah Sungkar kemudiannya pada 1993, keluar dari PDI dan menubuhkan Jemaah Islamiah (JI) yang dikatakan bertanggungjawab dalam pengeboman di Bali pada tahun 2002 dan kes pengeboman Hotel Marriott di Jakarta pada 2003.

Dia juga yang mengasaskan Sekolah Luqman Nul-Hakiem di Johor Bahru, Johor bagi melatih anak-anak JI menjadi ‘Mujahidin Islam’ dengan menyebarkan pengaruh JI menukar konsep daripada memperjuangkan Negara Islam Indonesia (NII) kepada Daulah Islamiah Nusantara (DIN) yang merupakan kumpulan pengganas.

Haih, kecik kecik dah kena brainwash.

Tak cukup dengan tu, beberapa  pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai dan beberapa rakyat Singapura juga direkrut, dan kemudiannya dihantar ke Afghanistan.

Dengan tertangkapnya Yazid pada 2001, Malaysia terus melancarkan operasi penentangan terhadap JI dengan menumpukan tempat-tempat yang mampu menjadi sasaran serangan kumpulan JI. Operasi tersebut berjaya melumpuhkan mereka, dan akhirnya membawa kepada pengembalian pemimpin JI ke Indonesia.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan majalah yang diterbitkan pengganas.

Menurut laporan daripada Asia Conflict Watch dan Geopolitical Monitor, Malaysia merupakan sebuah negara Asia Tenggara yang mengambil perhatian terhadap ancaman militan ni secara serius. Malah, counter terrorism kita antara yang terhebat, dan kita selalu berjaga-jaga sebelum perkara yang lebih buruk terjadi.

Dari ideologi kepada perekrutan mereka yang rasa tersisih dalam masyarakat

Kalau sebelum-sebelum ni antara mereka yang terlibat dalam keganasan ni merupakan yang mempunyai kepakaran tertentu untuk menghasilkan bom dan virus macam Azhari Husin dan Yazid Sufaat, malah ada yang mempunyai latar belakang ketenteraan, tapi nampaknya modus operandi dan mangsa yang direkrut seterusnya dah berubah. 

Pembabitan Azhari dan Noordin dalam pergerakan militan dikesan apabila Polis Diraja Malaysia berjaya melumpuhkan Kumpulan Militan Malaysia (KMM).Imej dari erhabi.blogspot

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh IMAN salah satu daripadanya adalah mereka memilih untuk merekrut golongan belia yang ‘vulnerable’, atau tersisih yang biasanya terdiri daripada keluarga yang bermasalah.

Menurut kajian dari IMAN Research lagi, mereka yang rasa tersisih dan berdepan dengan pelbagai masalah juga lebih tinggi kemungkinannya untuk mencari ‘persaudaraan’ baru dengan kumpulan atau organisasi yang mampu memberi mereka perhatian dan bantuan yang mereka cari selama ni.

Contoh yang diberikan adalah Wanndy Mohd Jedi. Kalau nak diikutkan, dia bukanlah salah seorang yang mengikuti kelas agama pun. Tapi dia dibesarkan oleh ibu tunggal, di mana ayahnya meninggal semasa dia masih kecil lagi, dan ibunya pula meninggal pada tahun 2003 disebabkan kanser.

Manakala Aishah Mohd Atam yang ditahan kerana memiliki buku haram juga dibesarkan oleh bapa tunggal, di mana dia nak keluar dari hidupnya dengan berkahwin dengan salah seorang anggota pengganas Daesh, dan berhijrah ke Syria, melalui surat yang dijumpai dalam bukunya.

Klik untuk baca tentang kes Aishah Atam dan Wanddy Jedi.

ISIS: “Ini adalah dunia yang jelas dikendalikan oleh orang dewasa, dan mereka mahu menjadi sebahagian daripada itu” – (Aslam, 2017), melalui IMAN Research

Mungkin pada fikiran diorang, ‘they got nothing to lose’ pun untuk mereka sertai aktiviti pengganas, apatah lagi kalau mereka terkorban dalam serangan yang membolehkan mereka mati syahid, yang dijanjikan oleh ketua mereka dan juga perekrut yang menerapkan idea tersebut sejak awal lagi.

Dan antara mereka yang tertarik untuk masuk kumpulan pengganas ni adalah melalui media sosial macam Facebook di mana mereka akan di’grooming’ terlebih dulu dan tunjukkan yang mereka peduli. Malah dengan menggunakan YouTube dengan memuat naik video yang boleh trick minda korang pasal ‘jihad suci’ mereka. Tak ketinggalan, aplikasi pencarian jodoh, iaitu… Tinder juga digunakan untuk merekrut perempuan sebagai hamba seks untuk ‘pejuang jihad’.

Korang boleh baca lebih lanjut lagi cara diorang rekrut kat sini.

18% masyarakat kita berpendapat pengebom berani mati adalah wajar?!

Selain daripada mencari rekrut, terdapat juga simpatisan yang wujud adalah hasil daripada frontlines Syria yang mana merupakan orang Asia juga, yang mana dikenali sebagai Katibah Nusantara.

Imej dari riauonline.co

Katibah Nusantara ni jugalah yang cuba untuk meyakinkan orang Melayu tentang naratif ISIS di mana mereka yang sebenarnya dianiaya oleh kuasa Barat macam Amerika. Jadinya tak hairanlah wujudnya simpatisan yang membuat sumbangan untuk mengumpulkan dana kepada mereka yang berperang di negara-negara bergolak tersebut.

Tapi, sejauh mana ideologi ni dah menjadi barah dalam masyarakat kita? Kajian Global Attitudes Survey yang dijalankan oleh Pew Research Centre pada tahun 2015 nampaknya menunjukkan seramai 11% masyarakat Islam di Malaysia bersimpati dengan perjuangan ISIS. Tapi apa yang lebih mengejutkan, laporan yang sama juga mendedahkan yang 18% masyarakat kita berpendapat yang pengebom berani mati juga adalah wajar.

Manakala kajian terbaru yang dijalankan sejak 2016 hingga 2018 pula mendapati yang sebanyak 21% daripada pelajar universiti di Malaysia menganggap yang keganasan adalah strategi yang berkesan untuk mencapai matlamat.

Apa nak jadi ni?

Ideologi yang digunakan di atas tiket agama

Kat sini juga dah menunjukkan walaupun tak ramai, tapi idea tu membimbangkan kalau kita tak cegah dari awal. Nak pula ideologi ni digunakan atas ‘tiket agama’ di mana mereka menjanjikan mati syahid dalam kalangan pengikutnya. Padahalnya, membunuh mereka yang tak berdosa, dan juga membunuh diri dengan melakukan pengeboman berani mati tak pernah disebut pun dalam Al-Quran.

“Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata” (QS Al Ahzab : 58)

Sebab tu, penting untuk kita menghayati ajaran Islam yang sebenar supaya kita tak terpesong dari ajaran Rasulullah dan Al-Quran. Jadi dengan kegagalan kita memahami Islam, kita bukan je boleh menimbulkan masalah, malah akan memburukkan imej Islam itu sendiri.