Johor ada tentera sendiri? Ini pecahan dan syarat untuk sertai tentera Johor

(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)

Johor adalah sebuah negeri yang unik kat Malaysia, bukan semata-mata kerana pasukan bola sepak dia yang power sejak direformasikan oleh TMJ – tapi ada banyak lagi benda yang boleh buatkan ia lain daripada yang lain. Kalau korang perasan, sejak akhir-akhir ni – macam ada isu di antara Kerabat Diraja Johor dengan Kerajaan Persekutuan. Diorang macam saling berbalas pantun.

Korang sokong siapa? Imej dari AWANI

Semua ni terjadi bila TMJ tak setuju kerajaan ambik keputusan untuk ratifikasi Statut Rom. Dari sanalah mula perang media sosial dan kenyataan di antara kedua belah pihak. Tapi hari ni kitorang tak nak lah bincang benda ni, sebab dah basi. Kitorang nak kongsikan tentang Tentera Johor (JMF) – Sebutan yang betul: Askar Timbalan Setia Johor, tapi kitorang akan guna JMF je sepanjang artikel ni.

Bagi yang tak tahu, Johor ni ada tentera diorang sendiri. Tentera ni takde kat mana-mana negeri lain, selain Johor. Kita mulakan dengan…

Sebenarnya kewujudan JMF lebih lama dari Angkatan Tentera Malaysia

(Subtopik ni dan Keluarga Diraja Johor memang selalunya special sikit kitorang rujuk artikel kembar kitorang, CILISOS)

Tentera ni dibentuk oleh datuk Sultan Ibrahim, Sultan Abu Bakar pada tahun 1886. Menariknya, tentera ni sebenarnya merupakan tentera yang paling lama kat Malaysia. Berapa banyak jumlah tentera yang ada kat JMF kitorang tak tahu, sebab ada maklumat yang berbeza-beza. The Independent kata tentera diorang sebanyak 200 orang pada tahun 1993, tapi laporan The Star kata diorang mungkin cuma ada 61 tentera sekarang. Asalnya diorang ni cuma bermula dengan 60 askar Melayu Johor dan 20 askar Punjabi.

Sultan Ibrahim tengah memeriksa perbarisan. Imej dari NST

Untuk senjata dan kereta kebal, fungsi benda tu sekarang lebih kepada majlis istiadat atau ada acara rasmi istana. Tentera ni akan jalani latihan khusus dan tugas utama diorang adalah untuk melindungi keluarga diraja, bendung keganasan dan buat peninjauan khusus. Diorang ni juga terlibat dengan Perang Dunia Pertama dan Kedua.

Sultan Abu Bakar. Imej dari Kemahkotaan Johor

Selepas Sultan Abu Bakar berunding dengan British, kedua-dua pihak akhirnya menandatangani Perjanjian Anglo-Johor pada tahun 1885. Pada masa tu British jadikan negeri-negeri yang ada kat Tanah Melayu sebagai satu. Masa tu Sultan Abu Bakar berjaya dapat ‘kemerdekaan’. Sebab tu dalam perjanjian diorang, Johor dirujuk sebagai ‘Negeri Bebas Johor‘. Dan untuk pastikan kemerdekaan tu semakin kukuh, diorang tubuhkan pasukan tentera.

Keluarga Diraja Johor memang selalunya special sikit

Kitorang yakin, mesti ramai yang tertanya-tanya dengan keistimewaan Keluarga Diraja Johor ni, apa pasal diorang ada tentera sendiri tapi kat negeri-negeri lain. Macam yang kitorang dah sembangkan tadi, keistimewaan ni sebenarnya dah diberikan kepada Johor bertahun-tahun dulu – sebelum Malaysia merdeka lagi. Benda ni juga jadi sebahagian daripada perjanjian untuk diorang sertai Persekutuan pada tahun 1948. Kira sebelum kemerdekaan lagilah.

Sultan memeriksa takhta baginda. Imej dari The Star

Raja Petra Kamarudin menulis artikel sekali mengenai keluarga kerajaan Johor di Malaysia hari ini:

“Istana Johor sentiasa mempunyai apa yang kita mungkin panggil ‘kuasa istimewa’, berbanding 8 Keluarga Diraja Malaysia yang lain. Malah Singapura ‘menutup mata’ dengan keraguan yang ada pada Keluarga Diraja Johor,”- Raja Petra, dipetik dari website peribadinya

Kalau ikut Raja Petra ni, Sultan Johor sebenarnya ada kuasa istimewa. Apakah ‘kuasa istimewa’ yang ada pada Keluarga Diraja Johor selain ada tentera sendiri? Masa The Star menemuramah Sultan Ibrahim dedahkan baginda ada perniagaan swasta. Tapi bila kitorang tengok, kitorang dapati Sultan-sultan lain juga mempunyai perniagaan. Mungkin kuasa istimewa tu bermaksud diorang amat handal dalam menguruskan perniagaan kot.

Dua wajah yang amat dikenali di Malaysia. Imej dari AWANI

Satu lagi yang istimewa tentang Keluarga Diraja Johor ni, diorang agak vokal dalam kritik kerajaan. Tu yang macam nak gaduh tu. Contoh yang paling terbaru Statut Rom ni lah. Nampaknya macam TMJ je golongan diraja yang berani kritik kerajaan secara terbuka.

Macam mana proses untuk jadi tentera di Johor?

(Untuk subtopik ni sehingga akhir artikel, kami merujuk dokumentari yang disiarkan oleh History Channel berkenaan JMF)

Kalau korang tiba-tiba rasa ada keinginan untuk jadi askar JMF, meh kitorang ceritakan serba sedikit apa yang korang perlu lakukan. Benda yang paling simple – korang kena lahir kat Johor. Kalau korang tak lahir kat Johor, korang masuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) je lah ye. Setiap tahun, diorang akan pergi ke 10 daerah yang ada kat Johor untuk cari askar baru.

Diorang akan cari calon yang berusia dari 18-23 tahun dan dah lulus Britsh O-level dan setaraf (selalunya SPM ler). Salah satu benda yang menarik lagi, diorang jugak akan utamakan calon yang boleh menulis jawi. Sebabnya, JMF masih lagi kekalkan tulisan jawi dalam dokumentasi diorang. Benda ni memang kitorang kagumlah, sebab tulisan jawi ni adalah antara ‘harta’ yang patut pelihara.

Sebab tu kot ada baju yang macam ni. Imej dari Pencetak TShirt

Hahhh…lepas tu, korang juga kena sekurang-kurangnya ada ketinggian 168 cm dan berat paling kurang 47.5 kg. Kalau korang lepas kelayakan ni, barulah korang akan dipanggil untuk latihan yang seterusnya. Selalunya diorang tak ambik banyak pun, setiap tahun berbeza-beza. Dari 50 sampailah ke 200 orang akan dipilih daripada 400-500 calon.

Untuk calon-calon yang dah layak, diorang akan diuji lagi. First, diorang kena mampu berlari sejauh 2.4 kilometer dalam masa kurang dari 14 minit. Tak sempat lagi diorang rehat, diorang terus diminta untuk lakukan aktiviti kecergasan yang lain – contohnya tekan tubi. Hahhh…kalau aktiviti kecergasan ni dah lepas, barulah diorang akan jalani latihan selamat 6 bulan sebelum bergelar askar JMF.

Nak pergi mana tu bang? Imej dari DahTahuKe

Bukan setakat menjaga istana je, diorang juga ada special force

Kalau korang nak tahu, JMF dipecahkan kepada 4 unit pengawal istana, pentadbiran, kumpulan pancaragam dan pasukan khas. Kumpulan yang terbesar untuk keempat-empat unit ni adalah pengawal istana dengan 8 platun. Menurut Sultan Johor – pasukan tentera JMF boleh terlibat dengan ATM pada waktu-waktu kecemasan. Kitorang haraplah tu tak akan muncul, sebab kitorang suka Malaysia yang masih aman.

Kalau korang fikir JMF ni cuma untuk jaga istana je, korang dah salah. Sebabnya, macam yang kitorang kata tadi – diorang ada pasukan khas (special force). Pasukan Khas JMF ni diasaskan oleh TMJ apabila baginda pulang dari India. TMJ berlatih dengan tentera berkuda kat sana. Pada tahun 2008, TMJ sendiri ketuai 20 askar untuk berlatih bersama Komando ATM selama 3 bulan. Korang tahulah kan macam mana hebatnya latihan Komando ATM, hati kena kering, semangat kena kental.

Imej dari JDT

Habis je diorang jalani latihan yang keras gila-gila ni, tertubuhlah Pasukan Khas JMF. Diorang sentiasa galakkan tentera JMF untuk sertai pasukan khas ni, terutamanya bila diorang masih lagi muda. Sebab masa tu badan tengah sedap dan stamina pun berada pada tahap yang terbaik. Bagi tentera yang dah dipilih pulak, stamina diorang akan sentiasa diuji. Cuba teka berapa umur tentera Pasukan Khas JMF yang paling tua? Hahhh…40 tahun beb.

Nak sembang punya gila ujian Pasukan Khas JMF ni, pertama diorang kena lari dalam 3.2 kilometer dalam masa 16 minit. Habis je lari, diorang tak boleh rehat dan terus lakukan tekan tubi dan sit-up. Kalau dah berjaya lalui semua ni – diorang akan masuk ke pasukan khas tu. Pasukan Khas JMF adalah pasukan yang terlatih untuk peperangan jarak dekat, perang di kawasan bandar dan hutan. Korang pernah tengok S.W.A.T? Hahhh…lebih kurang macam tu.

Pantas lagi tuntas. Via Giphy

Pernah hampir nak dihapuskan, tapi ia di luar kuasa kerajaan

Pada tahun 1994, ada cadangan untuk bubarkan JMF ni, sebab krisis berkaitan isu Kekebalan Raja-Raja Melayu. Satu Rang Undang-Undang dipanggil Johore Military Forces (Disbandment And Repeal) Bill 1994 telah digubal untuk dibahaskan kat Parlimen. Tapi Tun Salleh Abbas, bekas Ketua Hakim negara ketika tu nasihatkan Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail bahawa JMF diwujudkan jauh lebih dahulu daripada Rejimen Askar Melayu Diraja.

So, penubuhan serta pengekalan pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor adalah sebahagian daripada hak dan keistimewaan Johor.

Korang masih ingat krisis ni? Imej dari The Star

Sebab tu Tun Salleh Abbas berpendapat Kerajaan Persekutuan Malaysia tak mempunyai hak untuk batalkan keistimewaan hak tersebut tanpa persetujuan Sultan Johor. Pandangan Tun Salleh Abbas ni disokong oleh Neil Lawson, Q.C. yang jadi Penasihat Perundangan kepada Raja-Raja Melayu semasa perbincangan menuntut kemerdekaan. Atas sebab ni, rang undang-undang tak dapat dilaksanakan.

Tak kisahlah Johor ada tentera atau tak, apa yang penting kita sebagai rakyat Malaysia harus kekal bersatu. Kewujudan JMF dan ATM yang ada kat Malaysia semestinya untuk pastikan keselamatan rakyat. Rakyat kena selalu bersyukur dengan pengorbanan yang dah dilakukan oleh askar-askar kita yang dah banyak korbankan masa untuk diorang.

(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)

About Man Hamka 74 Articles
Man Hamka