5 kali PDRM kalah saman dengan orang awam sebab langgar prosedur

Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah kumpulan yang sentiasa menjaga keamanan dan keselamatan orang awam. Pengorbanan yang diorang lakukan untuk negara ni memang dah tak boleh disangkal lagi. Cuba bayangkan diorang takde – dah tentu-tentulah banyak jenayah yang akan berlaku dan kita pun akan rasa tak selamat.

Kalau korang perasan, selain daripada perlu mencegah dan menjaga keamanan negara, diorang juga perlu untuk lakukan tugasan-tugasan ni mengikut cara yang betul. Benda ni bermakna ada banyak Standard Operating Procedure (SOP) yang diorang kena patuhi dalam menjalankan tugas. Kalau diorang langgar SOP ni – diorang berkemungkinan akan dikenakan tindakan tatatertib.

Berdebor abang baju merah tu. Imej dari The Sun Daily

Apa yang lebih teruk, bukan setakat tindakan tatatertib je, ada juga sesetengah individu atau kumpulan yang ambik keputusan untuk saman PDRM…dan MENANG! Kitorang mulakan dengan…

1. Ditampar polis sehingga pekak, lelaki ni menang saman lebih RM100,000

Cerita ni bermula empat tahun lepas, bila Mohd Faizu Ramli buat laporan polis terhadap salah seorang anggota PDRM yang menampar mukanya sehingga menyebabkan telinganya berdarah. Tapi laporan tu macam tak diendahkan sangat. Mohd Faizu ambik keputusan untuk tak berdiam diri dan buat tuntutan saman polis tu.

Dalam kes ni, Mohd Faizu menamakan tiga pihak sebagai defenden –  Lans Koperal Mohd Erman Ahmad sebagai defendan pertama, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip masa tu selaku defendan kedua dan kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga. Bukan main lagi Mohd Faizu, siap saman kerajaan lagi!

Wajah Mohd Faizu yang bersyukur setelah menang saman. Imej The Reporter

Hakim kes ni Mohd Rosly Muhammad Nawi arahkan ketiga-tiga defendan bayar ganti rugi sebanyak RM112,040 kepada Mohd Faizu membabitkan kos ganti rugi am atas kecederaan tu sebanyak RM12,000, ganti rugi teladan (RM100,000) dan ganti rugi khas berjumlah RM40. Setelah hampir 4 tahun menunggu kes ni, akhirnya nasib Mohd Faizu terbela juga.

“Kesan daripada ditampar, telinga kiri saya berdengung dan tidak selesa. Sehingga sekarang saya masih membuat rawatan susulan di hospital supaya kecederaan ini pulih,” – Mohd Faizu, dipetik dari Berita Harian

Boleh tahan juga tamparan polis ni terhadap Mohd Faizu, sampai ke hari ni kesan dia masih kekal. Kitorang harap benda ni boleh jadi pelajaranlah kepada polis-polis kat luar sana supaya tak tampar orang sesuka hati.

2. Menang Saman RM370,000 kerana ditahan ketika nak bagi ceramah

Kes ni melibatkan Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) masa tu, iaitu Mazlan Aliman. Dalam kes ni dia menyaman dua pihak je, pihak PDRM dan Kerajaan Malaysia. Dia sama PDRM dan kerajaan disebabkan tangkapan yang dibuat terhadap Mazlan di Felda Lembah Klau pada tahun 2010.

Kalau diikutkan daripada fakta kes, pada 9 Mac 2010, dalam pukul 3 petang macam tu, Mazlan masa tu memenuhi satu undangan dialog dan perbincangan dengan peneroka di rumah peneroka Hamidun Yeop Isa. Masa tengah nak berdialog tu, dia dikepung oleh 30 orang polis bantuan Felda.

Mazlan Aliman. Imej dari Mole.my

Bila dia rasa dirinya sedang teraniaya, dia pun buat laporan polis. Rupa-rupanya pengurus FELDA tempat dia masuk tu pun dah buat laporan polis – atas sebab dia ni dikatakan dah menceroboh kawasan tu. Akhirnya Mazlan ditahan, dimasukkan kat dalam lokap dan direman empat hari di bawah Seksyen 441 Kanun Keseksaan atas dakwaan melakukan pencerobohan (Criminal Trespass).

Wan Rohimi yang jadi peguam Mazlan kata – Mazlan tak bersalah sebab dia berdialog dengan kebenaran tuan rumah (Hamidun).

“Sebagai warganegara, Mazlan bebas bergerak ke mana saja kerana itu hak asasinya. Jadi dalam kes ini polis tersalah tangkap dan salah tahan selama dua hari serta dilayan seperti penjenayah,” – Wan Rohimi, peguam Mazlan, dipetik dari HARAKAH

Kes selesai. Imej dari Giphy

Akhirnya pihak polis dan kerajaan kena bayar ganti rugi akibat polis tersalah tahan sebanyak RM300,000, ganti rugi tauladan RM50,000, kos mahkamah RM20,000. Jumlah keseluruhan RM370,000 tu. Hahhh, ingat ye PDRM, jangan tangkap orang tanpa apa-apa sebab yang sahih, nanti kena saman.

3. 5 peguam menang kes saman polis kerana ditahan secara tak sah

Dua kes yang kami sebutkan sebelum ni libatkan individukan, lain pulak tentang kes kali ni bila ada 5 orang peguam pergi saman polis. Dalam kes ni, empat peguam wanita menfailkan saman dan menamakan Konstabel Fauziah Mustafa, Inspektor Azlina Norzali, Konstabel Noor Balkhis Maazin, Ketua Polis Daerah Brickfields ketika itu, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, Jude, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia masa tu sebagai defendan.

Kes ni terjadi pada 7 Mei 2009 bila kelima-lima peguam nak jumpa anak guam diorang yang didakwa dibawah Akta Hasutan. Tapi diorang telah dihalang daripada jumpa anak guam dioang tu. Masa tu pihak polis cuba leraikan diorang, siap bawak pembesar suara lagi. Akibatnya diorang telah dibawa menaiki kereta ke Balai Polis Travers dan dibebaskan dengan jaminan polis. Diorang saman benda inilah, sebab diorang yakin penahanan diorang tu tak sah.

Barisan peguam yang menang. Imej dari Keadilan Daily

Mereka mendakwa dihalang memasuki kawasan IPD itu untuk bertemu anak guam masing-masing atas alasan anak guam diorang dah menandatangani satu borang bagi melepaskan hak mereka untuk bertemu peguam

Hakim dalam kes ni, Datuk John Louis O’Hara kata penahanan kelima-lima peguam tu adalah penahanan yang salah dan menafikan hak perlembagaan diorang (akses untuk diwakili peguam). Dia jugak kata mahkamah dapati keterangan DSP Judy Blacious Pereira atau Jude selalu berubah.

Benda ni bukan benda baru, benda lama dah. Orang yang kena tangkap ada hak untuk jumpa peguam. Imej dari Giphy

Mahkamah Tinggi mengarahkan Fadiah Nadwa Fikri, Murnie Hidayah Anuar, Puspawati Rosman, Syuhaini Safwan dan Ravinder Singh Dhalliwal diberi ganti rugi am RM15,000 dan ganti rugi teruk dan teladan berjumlah RM60,000 setiap seorang.

4. Kartunis Zunar diberikan RM18,000 sebab karyanya dirampas

Kalau korang jenis yang ambik tahu banyak benda pasal politik, kitorang yakin mesti korang akan kenal siapa sebenarnya Zunar ni. Dia adalah seorang pelukis, dan lukisan dia gempak gila – ada mesej gitu. Tapi macam yang korang dah tahu, kartun Zunar ni selalunya kutuk kerajaan yang tengah memerintah, dan selalunya memang akan timbulkan rasa sakit hati.

Dalam saman ni, Zunar dan syarikatnya, Sepakat Efektif Sdn Bhd dah saman 2 pegawai polis, A Arikrisna, Marina Hashim, bekas Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Ismail Omar dan kerajaan pada 2011 atas sebab penahanan yang salah. Zunar kata, rampasan lukisan kartunnya di bawah Akta Hasutan menyalahi hak asasi dan kebebasan bersuara kartunis.

Zunar. Via FMT

Akhirnya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan kerajaan dan polis membayar ganti rugi RM18,000 kepada kartunis kontroversi Zulkiflee Anwar Haque atau Zunar kerana merampas buku dan lukisan kartunnya 7 tahun lalu.

“Satu persetujuan dibuat antara Zunar dan defendan, dengan defendan membayar RM18,000 kepadanya sebagai sebahagian daripada penyelesaian,” – Latheefa Koya, Peguam yang mewakili Zunar, dipetik dari FMT

5. Dapat RM30,000 kerana ditembak semasa lari dari polis

Kes ni terjadi pada tahun 2009. Masa tu seorang anggota polis yang bernama Mohd Bukhari lepaskan tembakan yang menyasarkan tayar hadapan kenderaan mangsa yang cuba lari daripada sekatan jalan raya, tapi peluru itu melantun dan terkena bahagian rusuk kiri Shahril Azlan. Kat sini kitorang pun baru tahu – walaupun ada orang tu cuba lari dari sekatan jalan raya, diorang tak boleh ditembak, kecuali boleh mengancam nyawa polis.

Shahril bersama peguamnya. Imej dari TheRakyatPost

Mangsa tembak tu – Shahril Azlan Ahmad Kamil failkan saman sivil kepada Lans Koperal Mohd Bukhari Mat Noh, Lans Koperal Nazli Basri, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden. Dia failkan saman macam ni sebab polis tu dah sebabkan kecederaan pada dia.

Ketua Hakim kes ni kata;

“Ia adalah satu fakta yang tidak boleh dipertikaikan bahawa plaintif mengalami kecederaan, akibat ditembak oleh defendan. Di bawah arahan Ketua Polis Negara, anggota polis hanya boleh melepaskan tembakan, sekiranya nyawanya terancam. Bagaimanapun, dalam kes ini, tindakan defendan melepaskan tembakan adalah salah, kerana tiada bukti menunjukkan nyawanya dalam bahaya,” – Datuk Hanipa Farikullah, Hakim Mahkamah Tinggi, dipetik dari The Rakyat Post

Mahkamah tinggi tu akhirnya putuskan yang Shahril perlu dibayar sebanyak RM30,000 sebagai ganti rugi kerosakan. Dia yang masa tu dah ada dua orang anak bersyukur sebab akhirnya dia dapat pampasan yang dia dah lama tunggu.

Bukan semua polis yang tak ikut prosedur, lagi ramai yang baik

Kitorang tulis benda bukanlah nak beritahu yang pihak polis ni sebenarnya tak baik, hanya orang tak berfikir panjang akan kata macam tu. Macam yang kitorang kata awal-awal tadi, pihak polis dah banyak gila berjasa pada negara. Diorang dah korbankan banyak benda yang kita tak boleh bayangkan. Cuma, kitorang kongsikan benda ni supaya pihak polis sentiasa berhati-hati dalam jalankan tugas.

Salut kepada anggota PDRM yang dah banyak berjasa. Imej dari Giphy

Sebabnya, walaupun polis bertanggungjawab untuk pastikan keamanan dan kemakmuran, diorang tak bolehlah buat sesuka hati, kena ikut undang-undang gitu. Untuk orang awam ni pulak – korang pun kena tahu yang korang ada hak ketika berhadapan dengan pihak polis. Kalau korang yakin korang dah dianiayai oleh pihak polis atau mana-mana pihak berkuasa, korang boleh saman.

Dari kes-kes ni jugak kitorang perasan yang kerja sebagai polis ni sebenarnya sangat mencabar, sebab dalam keadaan tegang dan mungkin mengancam nyawa, korang juga kena pastikan ikut prosedur yang betul. So, kepada abang dan kakak polis, bertugas elok-elok ye!

About Man Hamka 74 Articles
Man Hamka