Pada 18 Julai, 2024, sekumpulan lelaki yang terdiri daripada wakil-wakil syarikat pemaju hartanah Sabah, JJC Group Development Asia Sdn Bhd (JJC) dan pegawai-pegawai kerajaan, buat majlis pecah tanah sambil diambil gambar oleh para wartawan yang hadir.
Majlis ni menandakan permulaan untuk sebuah projek yang akan bangunkan sebuah pekan kecik untuk jadi bandar pintar yang canggih. Biasanya kalau dengar projek pembangunan, mesti ramai korang dah terpikir, “Ah mana je kat Malaysia ni takde projek pembangunan baru?“… tapi korang mungkin akan nak dengar citer ni.
Sebabnya: walaupun syarikat pemaju hartanah ni berasal dari Sabah, projek ni bukannya kat Sabah, ataupun mana-mana di Malaysia. Projek ni sebenarnya terletak 1,800km dari KL, kat Bataraza yang terletak di Pulau Palawan… kat Filipina.
Tu baru satu – lagi satu benda yang buat kitorang terkejut beruk: harga projek ni adalah USD 8 BILION, iaitu lebih daripada RM33 BILION kalau ikut kadar pertukaran wang hari ni. Kalau korang tak tau, itu kira-kira harga bina Putrajaya pada zaman 90an dulu… dengan duit kerajaan. 👀
Tambah membingungkan, masa kitorang check dari Julai sampai sekarang, takda mana-mana saluran media Malaysia pun laporkan pasal benda ni. Kitorang tau pon sebab ada member kat Filipina yang roger. Masa Sime Darby dengan SP Setia beli Stesen Janakuasa Battersea kat London dengan harga RM1.96 bilion pon heboh satu dunia, macam mana takde siapa perasan bila syarikat Malaysia ni mengumumkan diorang nak melabur RM33 BILION untuk projek pembangunan hartanah?!
Jadi kenapa citer ni tak dapat perhatian media langsung? Pastu macam mana projek ni boleh tiba-tiba jadi kat Filipina? Dan soalan paling penting: siapa di sebalik syarikat ni dan betul ke diorang mampu belanja sebanyak ni? Untuk jawab semua soalan ni, kitorang pon buat lah apa kitorang biasa buat bila isteri kitorang tanya, “makan mana malam ni?”, iaitu… tanya Pak Gugel.
Dan masa ni lah kitorang dapat tahu…
JJC Group Development Asia takde bukti kewujudan kat internet LANGSUNG
Dengar tak? Takda langsung. Lang-sung. Lang. Sung.
Tapi serius, cuba korang tengok sendiri. Takda laman web syarikat. Takda maklumat pasal projek yang diorang pernah buat. Halaman Facebook dengan gambar-gambar rumah yang takda siapa like (atau beli) pon takda. Dia seolah-olah JJC Group Development Asia ni tetiba muncul dari alam ghaib untuk bina bandar pintar ni dengan harga RM33 bilion.
Yang ada cuma dua tiga artikel oleh syarikat media Filipina yang melaporkan pelancaran projek ni.
Untuk korang tahu, projek ni adalah suatu hasil kerjasama antara kerajaan tempatan Bataraza dan JJC yang bertujuan untuk membangunkan pekan pelombongan kecik ni menjadi sebuah bandar yang canggih. Kawasan projek ni akan menjangkau sebanyak 2,000 hektar (iaitu hampir sama dengan kalau korang bina 276 Mydin sebelah-sebelah), dan dijangka akan mengambil antara 5-7 tahun untuk siap.
Kalau nak bangunkan kawasan seluas tu, mesti akan ada macam-macam kemudahan kan? Haaa mestilah, dan antaranya termasuk:
- Lapangan terbang antarabangsa ✈️
- Pelabuhan laut antarabangsa 🚢
- Hotel 🏨
- Tempat peranginan ⛱️
- Pusat konvensyen 🏛️
- Stadium 🏟️
- Taman tema 🎢
- Universiti 🏫
- Kemudahan pengangkutan🛣️, kuasa ⚡dan perkhidmatan air 💧
- Pusat beli belah 🏬
- Menara Bataraza bertema nanas 🍍
Bayangkan lah, semua ni akan dimuatkan di kawasan pekan Bataraza yang saiznya tak sebesar Kajang.
Kalau korang tengah baca ni elok-elok, mesti korang terpikir… tapi kenapa Bataraza? Sebabnya, menurut JJC, dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kat situ, projek ni akan membantu mengurangkan bilangan pendatang asing tanpa izin yang cuba masuk Sabah dari Filipina, lagi-lagi sebab Bataraza tu punyalah dekat dengan Sabah. Benda ni memang isu besar kat Sabah, dan setakat ni dalam tahun 2024, Malaysia dah hantar balik lebih daripada 3,000 migran Filipina yang tak berdaftar. Jadi, nampak la jugak logik disebalik projek JJC ni.
Yang menariknya, Bataraza bukannya pilihan pertama untuk projek ni pon. Menurut JJC, diorang memula cuba cadangkan projek ni kat bandar Puerto Princesa, iaitu ibu negeri Palawan, untuk lancarkan projek ni kat situ. Namun, cadangan tu tak jadi sebab tak dapat kelulusan dari kerajaan Puerto Princesa tu sendiri.
Walaubagaimanapun, setakat ni, kitorang masih ada macam-macam soalan lagi. Jadi, kitorang pon buat keputusan untuk dapatkan maklumat secara lebih rasmi dengan…
Kitorang beli dokumen-dokumen SSM JJC Group Development Asia untuk tahu citer penuh diorang
Bukak je muka surat pertama terus ada beberapa benda yang nampak pelik. Yang pertamanya, tarikh penubuhan syarikat ni.
Menurut dokumen tersebut, syarikat ni baru ditubuhkan tahun lepas. Mungkin korang rasa pelik kalau ada syarikat yang baru ditubuh tanpa sebarang rekod prestasi dapat kontrak projek bernilai RM33 bilion. Tapi mungkin boleh je, lagi-lagi kalau JJC Group Development Asia ni cuma suatu syarikat usaha sama (JV) atau syarikat tujuan khas (SPV) yang ditubuh secara khusus untuk projek ni.
Tambah-tambah pulak modal syarikat ni cuma RM100,000. Mungkin korang rasa RM100,000 tu banyak, tapi kalau dibandingkan dengan nilai RM33 bilion untuk laksanakan projek ni, RM100,000 ni tak sampai 0.0003% pon jumlah tu. Jumlah modal ni penting sebab kalau sebuah syarikat jatuh bankrap atau kena saman, nilainya tak boleh lebih dari jumlah modal tu.
Walaupun kitorang masih ada banyak soalan selepas memandang dua muka surat pertama dokumen SSM JJC, kitorang akhirnya sampai kepada mukasurat ketiga yang memberi kitorang sedikit petunjuk ke arah yang kitorang patut cari: Jismit Japong, yang merupakan salah seorang pengarah syarikat ni dan juga pemegang sahamnya yang terbesar.
Lagi satu yang korang kena tahu, JJC ni nampaknya syarikat Sabah dan kalau tengok IC, semua pengarah dan pegawai syarikat ni pon asal dari Sabah jugak. Mungkin sebab tu diorang betul-betul ambik berat isu pendatang asing tanpa izin dari Filipina… atau mungkin tak jugak. Secara jujur, kitorang tak pasti macam mana nak sahkan maklumat ni sebab bila kitorang cuba hubungi diorang, diorang buat dek je.
Mula-mula diorang cakap diorang tak boleh keluarkan apa-apa bahan tanpa kebenaran Presiden. Pastu bila kitorang cuba sambung tanya soalan, diorang mula suruh kitorang hantar lokasi kitorang kat diorang. Mula-mula kitorang cuak, tapi lepas kitorang hantar, diorang akhirnya tak balas pon mesej kitorang tu.
Bak kata ahli falsafah terkenal M. Nasir dan Tam Spider, alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan. Jadi kalau dah korek lubang sedalam ni untuk cari jawapan, kitorang pon sambung je, dan masa ni la kitorang dapat tahu…
Presiden JJC, Jismit Japong, ada masa silamnya yang tersendiri
Secara ringkas, jalan citer hidup Jismit Japong ni boleh jadi filem.
Sebelum ni, Jismit merupakan Pengerusi Muafakat Nasional Sabah, iaitu gabungan antara PAS dan UMNO yang diketuai oleh bekas menteri, Tan Sri Annuar Musa. Namun, pada bulan Ogos tahun ni, Jismit dan ahli jawatankuasa MN Sabah yang lain telah mengambil keputusan untuk bubarkan badan bukan kerajaan (NGO) tu atas sebab hilang kepercayaan terhadap Nuo Muso. Sekarang ni, dia tengah dalam proses mendapatkan kelulusan untuk parti barunya, Parti Tempatan Rakyat Sabah, dengan cita-citanya untuk jadi Ketua Menteri seterusnya di Sabah.
Dia sendiri pernah bertanding sebagai calon politik, paling terakhir sebagai calon bebas di kerusi DUN Klias masa pilihan raya negeri Sabah pada 2020, tapi tak menang.
Namun, perkara yang buat citer dia menarik adalah pengalamannya kat mahkamah. Sebagai pihak tertuduh. Sebanyak dua kali. Kali pertama adalah pada 2013 apabila dia didakwa menyamar sebagai seorang ADUN untuk cuba scam sorang warga emas berumur 72 tahun supaya dia boleh dapat RM70,000. Kali kedua pulak berlaku pada tahun 2019 apabila dia didakwa pecah amanah dengan menyalahgunakan harta bernilai RM34,000 secara tak jujur. Dalam kes pertama, pihak pengadu tak dapat dikesan dan dihubungi, jadi hakim pon buat keputusan untuk lepaskan tanpa membebaskan Jismit. Dan dalam kes kedua pulak, kitorang tak jumpa apa-apa sumber yang menyatakan dia didapati bersalah, jadi agaknya dia elok je kot.
Pape pon, bila korang tengok semua maklumat yang kitorang dah kongsi secara keseluruhannya…
Sesuatu macam tak kena dengan syarikat JJC Group Development Asia ni
Mungkin kita kena belajar berhusnuzon lagi. Tapi dalam kes ni, semakin kitorang menggali, semakin banyak soalan muncul. Contohnya:
- Macam mana sebuah syarikat yang takde sejarah pembangunan hartanah sebelum ni boleh menang kontrak antarabangsa bernilai RM33 bilion? Atas sebab apa dan dengan keperluan apa yang kerajaan tempatan Bataraza lantik diorang untuk laksanakan projek ni?
- Dari mana diorang akan dapat duit RM33 bilion ni? Adakah diorang dah berjaya dapatkan jumlah wang ni dari pinjaman bank atau adakah diorang akan kena cari duit-duit nota kat celah-celah kerusi ruang tamu diorang?
- Adakah kerajaan tempatan kat Filipina dah buat kajian dan ikut prosedur rasmi sebelum terima cadangan ni atau perjanjian ni ikut cara lain?
- Apa latar belakang pegawai-pegawai JJC Group Development Asia dan kenapa diorang tak boleh jawab je soalan-soalan ni masa kitorang tanya diorang elok-elok kat WhatsApp? 😩
Ni tak termasuk lagi kejadian di mana ada orang yang tuduh projek ni sebagai suatu scam. Pada 26 Julai, seorang pengguna Facebook ni, Jeric Norman, dakwa yang pegawai-pegawai JJC telah memintak sumbangan RM1.25 juta daripada kontraktor yang nak terlibat dengan projek ni. JJC pulak dah keluarkan kenyataan untuk menafikan segala dakwaan si Jeric. Sambil-sambil tu, kenyataan yang diorang keluarkan tu juga cakap kalau orang ada pape soalan, diorang boleh hubungi… nombor… sama yang… kitorang… dah cuba… Wassep tu…
Maka sampai sini je la cerita kita setakat ni. Kalau korang rasa tak puas hati membaca ni, cuba bayangkan betapa tak puas hatinya kitorang yang duk mencari jawapan selama ni. Agaknya kitorang pon takkan tahu cerita penuh nya sampai JJC Group Development Asia keluarkan kenyataan lagi, tapi jangan risau. Kalau benda tu berlaku, kitorang akan update korang.
Sebab siapa lagi akan ambik kisah pasal pencapaian syarikat-syarikat kecil Malaysia di tahap antarabangsa kalau bukan kita sendiri?