Isu SUKE membimbangkan? Ini sisi gelap construction yang korang kena tahu

Dekat mana-mana pun, kita boleh tengok pelbagai budaya kerja yang berlainan terlibat dalam sesuatu proses kerja itu. Tak kira lah apa-apa industri pun mesti ada budaya kerja tersendiri, dalam masa yang sama terdapat juga perkara yang tidak sihat dalam industri masing-masing. Untuk kali ni, kami akan menumpukan tentang industri pembinaan yang mempunyai pelbagai sisi gelapnya tersendiri.

Terdapat pelbagai insiden yang melibatkan rasuah, keselamatan, dan macam-macam lagi. Seperti baru-baru ni, kita digemparkan dengan insiden SUKE. Apa yang dah jadi? Kalau korang nak tahu dengan lebih lanjut, teruskan membaca artikel ini.

Makan ‘tender’ yang besar dan beri sedikit kepada syarikat bawahan

Perjanjian. Imej dari Sebut Harga Kerajaan

Isu ni bukan lah baru, ia memang dah lama terjadi dalam industri ni. Bila cerita bab tender ni, ia akan melibatkan duit yang sangat banyak bagi merealisasikan sebuah projek tu. Apabila itu berlaku, banyak syarikat akan berlumba-untuk mendapatkan tender bagi sesuatu projek dengan menawarkan tawaran yang terbaik bagi memenanginya. Ada juga tender yang diberi secara rundingan terus oleh satu pihak kepada pihak yang lain, namun perkara itu dianggap sebagai tidak beretika kerana sepatutnya sesuatu projek itu haruslah diletak sebagai ‘open tender‘.

Ni yang sampai ada orang cakap cuma kroni-kroni je yang dapat projek, lagi-lagi kalau projek tu kerajaan yang punya dan dalam masa yang sama melibatkan dana yang sangat besar. Bila sesuatu projek tu ada dana yang besar, ia boleh wujudkan sistem ‘subkon’ yang banyak sangat berlaku zaman sekarang. Subkon ni merupakan singkatan kepada subkontraktor di mana mereka merupakan kontraktor yang diupah oleh kontraktor utama (syarikat yang dah menang tender).

Selalunya kontraktor utama yang mendapat tender tu akan menggunakan separuh (atau ada certain amount)  daripada dana tu untuk mengupah orang bawahan (subkon) bagi menyiapkan projek itu. Dalam erti kata lain, dana yang diterima untuk menjayakan projek tu akan melalui beberapa lapisan sebelum projek itu dijalankan. Tetapi perkara itu tidak dianggap tak beretika walaupun kadang-kadang tu nampak tak elok, budaya begini basically memberi subkon peluang untuk mendapatkan projek yang lebih besar dengan menggunakan ‘lesen’ kontraktor utama.

Sebab tu lah ramai je yang berani buat macam ni, ia tidak salah di sisi undang-undang dan dalam masa yang sama memberi peluang kepada syarikat lebih kecil untuk membangun. Tapi kena tengok juga lah projek tu dorang boleh betul-betul bawa ke tak, sebab ada sesetengah pihak mengambil mudah perkara ni selepas mendapatkan projek yang besar.

Isu keselamatan yang ‘sengaja’ dilepas pandang

Tapak pembinaan lebuhraya SUKE. Imej dari Selangor Journal

Keselamatan adalah satu komponen terbesar dalam construction ni, kalau perkara macam ni pun diambil remeh macam mana nak majukan industri ni. Tanggungjawab untuk menyedia dan menyelia sesuatu komponen keselamatan dalam construction adalah Safety and Health Officer (SHO), selalunya SHO akan ditugaskan untuk inspect kawasan pembinaan dan menilai adakah segalanya selamat atau tidak. Kalau mereka kata tak selamat, sesuatu projek itu adalah haram sama sekali untuk diteruskan.

Tapi zaman sekarang ni ramai macam mengambil mudah bab keselamatan ni, tu yang sampai kita banyak dengar pasal syarikat-syarikat pembinaan dihukum kerana tidak menyediakan persekitaran yang selamat di tapak projek mereka. Dari kontraktor utama hingga lah subkontraktor, kesemua yang terlibat pasti akan dikenakan hukuman.

Tapak binaan SUKE yang bersambung dengan jalan awam. Imej dari Malay Mail

Jika terdapat kelemahan dalam aspek keselamatan setelah inspection, lebih-lebih lagi masa tu projek dah diluluskan untuk berjalan, pegawai-pegawai SHO pasti akan dikenakan hukuman kerana sesuatu projek tidak akan boleh berjalan tanpa kelulusan mereka. Itu menyebabkan mereka menjadi ‘target‘ oleh orang-orang atasan.

Dalam erti kata lain, kemungkinan untuk terjadinya salah penggunaan kuasa adalah sangat tinggi kerana penglibatan duit yang sangat banyak dalam membangunkan sesuatu projek. Kita tak boleh nak deny lagi isu duit tepi kat Malaysia ni kerana ia agak berleluasa, sampaikan terdapat tangkapan yang agak besar telah dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada akhir tahun lepas dan juga awal tahun ni.

Jadi, apa yang membuatkan orang-orang macam ni rasa macam senang je buat kesalahan macam tu? Dorang ni dikira main dengan nyawa orang kot, dari orang dalam syarikat sehingga lah pegawai SHO. Siapa yang nak bertanggungjawab sekiranya ada nyawa melayang disebabkan tindakan dorang untuk menggunakan jalan yang mudah je? Fikir-fikirkan lah.

Hukuman yang tidak setimpal sehingga masalah berulang

Mahkamah Kuala Lumpur. Imej dari Sinar Harian

Kita sebenarnya ada je undang-undang untuk jenayah construction ni tapi tu la ia tak sesuai dengan zaman sekarang. Sebab undang-undang yang ada tu pun sangat lapuk dan perlu diperbaharui. Hal ini kerana, hukuman yang diberikan kepada mereka agak ringan berbanding damage yang telah terjadi disebabkan keputusan mereka.

Korang bayangkan, kalau ada apa-apa accident sehingga merosakkan harta benda atau paling teruk sampai meragut nyawa, adakah adil jika hukuman yang diberi hanyalah dalam bentuk wang? Bagaimana pula dengan orang yang terkena tempias? Keluarga mangsa pula macam mana nanti?

Insiden akhir tahun 2020. Imej dari The Star

Sebagai contoh, kontraktor utama dan subkontraktor Sungai Besi – Ulu Kelang Expressway (SUKE) pernah dihukum pada akhir tahun lepas dengan jumlah bayaran RM180 ribu perlu dibayar. Hal itu disebabkan mereka gagal untuk mematuhi garis panduan keselamatan, ia juga menjadi lebih panas selepas berlakunya insiden batu konkrit terjatuh daripada kawasan pembinaan lebuhraya itu sehingga menghempap kenderaan awam (sebuah Proton Saga) pada 19 September 2020. Perkara itu sekaligus mendapat perhatian Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof. Imej dari The Malaysian Reserve

“Kontraktor Utama iaitu MRCB Builders Sdn Bhd dikenakan penalti RM80,000 manakala subkontraktor Makna Setia Sdn Bhd berjumlah RM100,000. Kedua-dua kontraktor itu masing-masing didenda mengikut Seksyen 34B(1)(c) dan Seksyen 34C(1) Akta CIDB Malaysia 1994 (Akta 520), iaitu di bawah kewajipan kontraktor dalam memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan sama ada semasa atau selepas pembinaan. Sepanjang tempoh siasatan, kedua-dua syarikat memberikan komitmen dan kerjasama yang baik termasuk membuat aku janji untuk meningkatkan keberkesanan dan amalan prosedur pelaksanaan persekitaran kerja lebih selamat dan kondusif,” Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, petikan dari Berita Harian

Bagi kita macam besarkan denda tu? Tapi bagi pihak kontraktor ni, apa lah sangat kena bayar ratus ribu tu. Ni sampai baru-baru ni berlaku lagi insiden yang tidak diingini, sebuah kren telah terjatuh daripada tapak pembinaan SUKE sehingga mengorbankan nyawa. Sekarang ni siapa yang  akan bertanggungjawab? Adakah kontraktor hanya akan didenda dalam dihukum dalam bentuk wang sahaja? Apa-apa pun, hukuman yang lebih keras perlu diberi supaya perkara macam ni tak berulang.

Insiden yang sudah pun meragut nyawa

Insiden di SUKE. Imej dari Astro Awani

Sedih untuk mengatakan bahawa terdapat tiga nyawa terkorban baru-baru ni disebabkan kesilapan syarikat (yang menyelenggara SUKE) terhadap aspek keselamatan. Ia dikatakan bahawa struktur kren yang digunakan untuk membina lebuhraya bertingkat SUKE telah tumbang berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras . Pada masa yang sama, ia juga telah menghempap sebuah kereta (lagi sekali) hingga menyebabkan pemandunya terkorban.

Lagi dua orang yang terkorban adalah pekerja warga asing yang jatuh bersama dengan kren itu, dikatakan mereka terjatuh dari ketinggian 40 meter. Daripada laporan yang sedia ada, dah memang confirm dah dorang ni tak pasang jaring keselamatan (safety net) yang berfungsi sebagai platform untuk menghalang apa-apa benda yang terjatuh dari atas daripada jatuh ke bawah. Apa yang pasti, The Department of Occupational and Health (DOSH) akan menggerakkan orang mereka untuk siasat apa sebenarnya yang terjadi.

Tindakan drastik perlu dilakukan, kerana banyak nyawa berada dalam bahaya sekiranya ia tidak diselesaikan secepat yang mungkin.