- 502Share sekarang!
- Email15
- Facebook487
- Share
Apa perasaan korang, kalau korang datang ke satu tempat dengan niat baik, tapi disambut sebagai penjenayah? Mesti akan ada perasaan marah, kecewa dan takut kan? Sebenarnya, itulah yang aktivis-aktivis kemanusiaan dapat masa bawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, Palestin.
Seorang rakyat Malaysia baru-baru ni dapat pengalaman yang agak sama bila kapal bantuan kemanusiaan yang dinaikinya dah dirampas Israel masa nak masuk ke Gaza pada 29 Julai lepas. Prof Madya Dr Mohd Afandi dah ditahan bersama-sama dengan 21 sukarelawan lain yang ada dalam kapal tu.
Kapal al-Awda ni sebahagian dari misi kemanusiaan Freedom Flotilla yang membawa bekalan perubatan bernilai RM61 ribu. Antara aktivis yang ada dalam kapal ni termasuklah – ahli politik Norway Mikkel Gruner, doktor pakar ortopedik United Kingdom Dr Ang Swee Chai, aktivis kemanusiaan warganegara Israel, Zohar Chamberlain Regev dan wartawan Norway, Gerd Von der Lippe.
Tapi debaran rakyat Malaysia berakhir bila Dr Mohd Afandi dibebaskan Israel dan selamat sampai ke Malaysia pada 1 Ogos lepas, setelah ditahan di penjara Israel selama kira-kira 36 jam.
“Mereka (tentera Israel) rampas kapal kami dengan keadaan cukup kejam, 12 kapal perang tentera Zionis mengepung kami dari jauh termasuk dipantau menggunakan drone dari udara. Pada ketika itu, saya merasakan kami sukarelawan boleh ditembak pada bila-bila masa saja.” – Dr Mohd Afandi, katanya kepada Berita Harian.
Tapi ini bukanlah kali pertama kapal bantuan kemanusian ke Gaza dirampas oleh rejim Zionis Israel. Sebabnya, sebelum ni kita sendiri pernah dikejutkan dengan serangan ke atas kapal Mavi Marmara pada tahun 2010 yang menyaksikan 9 orang aktivis terbunuh.
Oleh tu, sebelum kita pergi lebih lanjut lagi dalam kes rampasan kapal kemanusiaan ni, mungkin lebih baik kita tahu dulu kisah disebalik sekatan Israel ke atas Gaza.
Kalahnya negara-negara Arab, dan bermulanya penguasaan Israel ke atas Gaza
Dalam sejarah Timur Tengah, dunia Arab dah berperang dengan Israel beberapa kali sejak negara haram tu muncul pada tahun 1948. Pada tahun 1967, dah berlakunya Perang Enam Hari – bila Mesir, Syria, Iraq dan Jordan berperang dengan Israel. Tapi nampaknya, negara-negara Arab kalah teruk, sampai menyaksikan Israel menguasai Semenanjung Sinai, Semenanjung Gaza, Tebing Barat, Bukit Golan dan Baitulmaqdis.
Pada tahun 1994, Israel dah bina ‘Israel−Gaza security barrier’ di antara sempadan negara haram tu dengan Gaza. Pada tahun 2005, Israel mula berundur sikit dari Genting Gaza tapi masih mengawal sempadannya. Tapi dua tahun lepas tu, pergerakan Hamas menang dalam Pilihan Raya Palestin dan menguasai Gaza.
Israel yang selama ni anggap Hamas sebagai kumpulan pengganas pun mula buat sekatan ke atas Gaza. Hal ni dah membuatkan penduduk Gaza terperangkap dalam negara mereka sendiri. Bekalan makanan, ubat-ubatan, gas, elektrik dan keperluan asas lain juga tersekat masuk ke Gaza, dan hanya boleh masuk bila dapat kebenaran dari Israel.
“Kadar pengangguran menjelang pertengahan 2016 hampir 42%, di kalangan paras tertinggi di dunia, sementara di kalangan belia ia mencapai 60% dan di kalangan wanita lebih 65%.” – Dipetik dari United Nation Office.
Disebabkan itu, maka muncullah gerakan dunia yang nak bagi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza yang ditindas.
Bermulanya idea membawa bantuan kemanusiaan melalui jalan laut
Sebenarnya, misi Freedom Flotilla ni berasal dari gerakan Free Gaza Movement. Orang disebalik gerakan ni adalah Greta Berlin, aktivis pro-Palestin dari Amerika Syarikat (AS). Pada tahun 2006, dia ada bagi cadangan kepada salah seorang pekerja Justice for Palestine, Michael Shaik untuk buat misi bantuan kemanusiaan dalam bentuk pelayaran. Misi tu nanti akan bertolak dari New York dengan slogan ‘Memecah Tembok Kepungan Gaza’.
Cadangan dia diterima dan gerakan ni mula bekerjasama dengan beberapa organisasi lain. Sejak tahun 2008 sampai 2009, gerakan ni dah hantar 8 siri pelayaran dan sejak dari siri pelayaran ke-4 gerakan tu tak dapat masuk ke perairan Gaza.
Disebabkan hal ni, Freedom Flotilla mula buat kerjasama dengan lebih banyak lagi organisasi antarabangsa, termasuklah dari Turki, Malaysia, Sweden, Norway dan lain-lain. Gabungan ni kemudiannya diuruskan oleh The Humanitarian Relief Foundation (IHH).
“IHH ditubuhkan pada tahun 1992 dan berdaftar di Istanbul, Turki pada tahun 1995. Organisasi ini telah menghantar bantuan kemanusiaan lebih daripada 100 buah negara di seluruh dunia. Pertukaran pengurusan ini telah membawa kepada penukaran nama Free Gaza Movement kepada Freedom Flotilla.” – Dipetik dari jurnal terbitan Universiti Malaya.
Walaupun begitu, pelayaran mereka ni taklah seindah yang disangka. Sebabnya, mereka masih lagi kena berdepan dengan Israel yang cuba halang mereka dari masuk ke perairan Gaza. Hal ni kadang-kadang jadi tegang sampai timbulkan banyak masalah. Perkara inilah yang terjadi kepada Mavi Marmara.
Terkorbannya 9 nyawa aktivis di atas Mavi Marmara
Pada 22 Mei 2010, Mavi Marmara sebuah bekas ferri penumpang Turki milik IHH mula bertolak dari Istanbul dan berhenti di Pelabuhan Antalya untuk mengambil 500 orang penumpang. Selain Mavi Marmara, ada lagi lima kapal lain termasuk satu bernama Rachel Corrie.
Kapal ni dapat nama Rachel Corrie, bersempena dengan nama seorang pelajar kolej AS – Rachel Corrie yang terkorban dilanggar bulldozer tentera Israel masa dia halang tentera Israel runtuhkan rumah penduduk Gaza. Mavi Marmara jadi kapal induk dalam ekspedisi ni.
Secara keseluruhannya, 700 aktivis dari 38 negara ikut sama dalam ekspedisi ni. Selain tu, ada juga 12 orang rakyat Malaysia yang ikut sama dalam kapal Mavi Marmara, termasuk seorang wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail. Malaysia sebenarnya jadi antara penyumbang terpenting dalam misi kemanusian ni.
“Pengasas Free Gaza Movement Greta Berlin berkata, bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohammed telah mengumpulkan €300,000 untuk membolehkan penyertaan gerakan ini terlibat dalam konvoi.” – Dipetik dari Congressional Research Service.
Jadinya pada 31 Mei 2010, bila kapal-kapal ni berada dalam perairan antarabangsa antara 80 ke 100 batu dari pantai Israel, secara tiba-tiba ia dipintas tentera laut Israel. Komando tentera laut Israel lepas tu terus merampas lima kapal tadi. Tapi bila masuk Mavi Marmara, masalah mula timbul.
Ramai aktivis yang kemudiannya naik ke dek dan cuba halang tentera Israel dari merampas Mavi Marmara. Disebabkan konflik tu, tentera Israel terus bertindak ganas dengan melepaskan tembakan ke arah aktivis. Kesannya, 9 orang terkorban di atas Mavi Marmara. Lapan yang terkorban adalah warga Turki dan seorang Turki berwarganegara AS, (klik sini kalau nak tahu lebih).
“Kapal tentera laut Israel telah mengawasi kapal konvoi Mavi Marmara kira-kira 7 jam sebelum menyerangnya pada waktu subuh… Serangan dilakukan oleh Israel dengan menurunkan tenteranya daripada helikopter ke atas dek kapal flotilla.” – Dipetik dari jurnal terbitan Universiti Malaya.
Apa yang pasti, tindakan Israel tu satu penghinaan yang jelas terhadap masyarakat antarabangsa. Disebabkan lapan yang terbunuh tu adalah warga Turki, ia dah membuatkan hubungan Israel-Turki tegang. Turki yang sebelum tu ada kerjasama perisikan dengan Israel, bertindak serta merta membekukannya. Negara tu juga memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel.
Cuma pada tahun 2013, Israel buat permohonan maaf dengan Turki dan hubungan kedua-dua negara dipulihkan. Pada 2016, Israel bayar wang pampasan AS$20 juta kepada waris aktivis yang terbunuh dan aktivis yang tercedara masa terjadinya serangan ke atas Mavi Marmara.
Apa yang pasti, kesan dari serangan Israel ke atas misi bantuan kemanusiaan ni dah dapat kecaman dari ramai pihak. Sebagai contoh, Nicaragua dah putuskan hubungan dengan Israel, manakala Ecuador dan Afrika Selatan bertindak memanggil duta mereka balik.
“Kesatuan Eropah mengulangi permintaannya untuk dibuka semula dengan segera sempadan-sempadan Gaza. China menggesa Israel mengakhiri sekatan itu dan mengutuk serangan Israel ke atas kapal tersebut. Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon mengutuk serangan itu dan minta supaya siasatan penuh dijalankan.” – Dipetik dari Congressional Research Service.
Walaupun begitu, Israel sampai sekarang masih tetap menahan dan menyekat kapal bantuan kemanusiaan dari masuk ke Gaza. Contohnya apa terjadi pada kapal Zaytouna-Oliva pada tahun 2016 dan apa yang jadi baru-baru ni.
Palestin semakin tersepit dari hari ke hari, mungkin nanti hanya tinggal nama
Kalau ada seorang ibu yang melahirkan anak pada tahun 1948, maknanya umur anak tu sekarang dah 70 tahun, dan dia dah lama boleh keluarkan duit KWSP. Tapi itu apa yang ada kat Malaysia dan bukannya kat Palestin. Sejak 70 tahun tu jugalah rakyat negara tu berjuang membebaskan Tanah Air mereka yang cuba dijajah dan dirampas Zionis Israel.
Kalau pada tahun 1950-an, perjuangan Palestin dapat sokongan kuat dari kesemua negara Arab seperti Mesir, Jordan, Syria, Iraq dan Libya. Kesatuan Soviet pun sokong Palestin dalam usaha empayar tu berdepan dengan AS. Tapi lepas beberapa ketika, perjuangan Palestin mula malap bila negara seperti Mesir dan Jordan mula buat perjanjian damai dengan Israel.
Kesatuan Soviet juga jatuh pada awal tahun 1990-an. Iraq kemudiannya hancur diserang AS dan sekutunya pada 2003. Mayat Gaddafi, pemimpin Libya diheret ke jalan raya ketika dunia Arab rancak dengan Arab Spring-nya. Maka tinggallah terkapai-kapai Palestin memperjuangkan nasib.
Kini boleh dikatakan Israel sudah hampir menguasai Palestin, di mana dunia hanya memandang tanpa berbuat apa-apa. Apa yang lagi menyakitkan, Gaza (bawah Hamas) dan Tebing Barat (bawah Fatah), dah jadi kem tahanan terbesar di dunia. Sementara tu, penempatan Yahudi terus dibina di Tebing Barat.
“Proses ini memperlihatkan bahawa untuk jangka panjang wilayah Palestin di Tebing Barat bertambah kecil. Dengan kemungkinan bahawa akhirnya Tebing Barat dan Gaza ditelan oleh Israel dengan Palestin hanya tinggal nama.” – Zin Mahmud, dipetik dari Utusan Malaysia.
Bantuan kemanusian kepada Palestin wajib ada, tapi penyelesaian konflik lagi penting
Antara sebab kenapa Israel selalu sekat kapal-kapal yang bawa bantuan kemanusiaan ke Gaza adalah kerana nak tekan Hamas dan penduduk wilayah tu. Sebabnya, Hamas dari dulu lagi menentang Israel dan tak pernah mengiktiraf Israel sebagai negara. Walaupun krisis kemanusiaan di Gaza diakui dunia, Israel sampai ke hari ni menafikan perkara tersebut.
Selain tu, Israel juga selalu menggunakan alasan nak halang senjata masuk Gaza dan sebab itulah diorang buat sekatan. Tapi hakikatnya, sampai ke hari ni Israellah yang gunakan senjata dan serang penduduk Gaza. Warga Gaza pulak kebanyakannya cuma bersenjatakan batu dan tamparan Ahed Tamimi.
Maka secara realitinya, nasib Palestin masih lagi samar dan menjadi tanda tanya. Apa yang pasti, hanya ada satu pihak yang betul-betul boleh menamatkan konflik Palestin dan pihak tu adalah Israel sendiri. Selagi Israel tak mengundurkan tenteranya dan tak menghentikan pencerobohan, selagi itu jugalah rakyat Palestin akan bangkit dan menentang.
Untuk maklumat, Malaysia sendiri ada pelbagai pertubuhan yang memberikan bantuan kemanusiaan kepada Palestin. Antaranya seperti – Aman Palestin, Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY), Islamic Relief Malaysia (IRM), Viva Palestina Malaysia, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dan Perdana Global Peace Foundation (PGPF). Kepada sesiapa yang nak menghulurkan bantuan (bukan hanya terhad kepada Palestin), bolehlah berhubung dengan NGO-NGO ni.
Nak mengharapkan Liga Arab dan OIC, sampai ke sudah lah masalah ni tak akan selesai. Walaupun begitu, kita masih terus berharap dan tetap berdoa agar ada sinar keamanan di Palestin dan dunia Islam. Bantuan kemanusiaan yang datang ke negara itu, walaupun tidak banyak, tapi ia sedikit sebanyak dapat mengurang beban dan penderitaan mereka.
- 502Share sekarang!
- Email15
- Facebook487
- Share