- 4.3KShare sekarang!
- Email2
- Facebook4.3K
- Share
Setiap kali bulan Ramadan datang, mesti ada dalam kalangan korang yang rasa payah betul nak buat kerja sebab badan rasa letih dan lesu. Perut pulak asyik bergendang je. Bila dekat pukul 5 petang fikiran dah mula terbayang-bayang makanan sedap-sedap kat bazar Ramadan.
Itu belum lagi hadap traffic jam dan tengok iklan makanan-makanan sedap pada waktu siang. Tapi kalau korang rasa ni semua merupakan ujian yang tak tertanggung pada bulan puasa, korang sebenarnya silap sebab kali ni kitaorang akan ceritakan tentang perperangan yang dihadapi umat Islam ketika bulan Ramadan.
Ya, korang tak silap baca, orang dulu-dulu ketika bulan Ramadan pun boleh berperang untuk memelihara kedaulatan Islam! Jadi kalau setakat menahan lapar pun korang dah fail, macam manalah agaknya korang nak hidup masa zaman dulu-dulu kan?
Ok lah, tak nak buang masa jom kita check setiap peperangan yang pernah terjadi bulan puasa ni. Antaranya ialah…
1. 313 tentera Islam yang menentang 1000 tentera musyrikin Quraisy
Perang ini merupakan peperangan terbesar yang pertama terjadi antara tentera Islam dan pihak Quraisy di sebuah tempat bernama Badar (lebih kurang 130km barat daya Madinah). Ia berlaku pada 17 Ramadhan tahun kedua Hijriah atau tahun 624 Masihi.
Peperangan ini bermula apabila Rasulullah telah diizinkan oleh Allah SWT untuk berperang menentang musuh apabila turunnya ayat dari Surah al-Haj: 39-40.
Malah kalau korang masih ingat, waktu sekolah menengah dalam subjek Pendidikan Agama Islam dulu kita ada belajar tentang ketegangan antara musyrikin Makkah dan orang Islam dimana umat Islam di Makkah hidup dalam penindasan kaum Quraisy.
Jadi ketika Rasulullah mendapat tahu rombongan perdagangan kaum Quraisy yang dipimpin oleh Abu Sufyan akan pulang ke Mekah melalui jalan persisiran kota Madinah, baginda terus mengarahkan 313 tentera agar menyekat rombongan tersebut sebagai balasan terhadap penindasan dan kekejaman yang dilakukan oleh kaum Quraisy terhadap orang Islam di Makkah.
Rombongan Abu Sufyan ni membawa harta yang melimpah. Pada mulanya rombongan ni cuma dijaga oleh 40 orang je tapi bila kaum Quraisy dengar yang rombongan Abu Sufyan ingin diserang, dorang pun mula panik lalu mendapatkan bantuan 1000 bala tentera termasuk kaum bangsawan Quraisy. Maka perang pun bermula dan pertarungan berlaku dengan sengit.
Walaupun tentera Islam hanya seramai 313 orang sahaja, tapi Rasulullah tidak henti-henti berdoa kepada Allah supaya tentera Islam diberikan kemenangan. Antara doa Rasulullah ialah;
“Ya Allah, penuhilah janji-Mu kepadaku. Ya Allah, berikanlah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, jika Engkau membinasakan pasukan Islam ini, maka tidak ada yang akan beribadah kepada-Mu di muka bumi ini.” – HR. Muslim no 1763.
Doa rasulullah itu dijawab oleh Allah melalui dengan Ayat daripada surah Al-Anfal ini;
“Sesungguhnya Aku akan menurunkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut”. – Surah Al-Anfal ayat 9.
Peperangan terus berlaku, dan tentera Quraisy dimusnahkan dengan teruk oleh tentera Islam walaupun jumlah tentera Quraisy lebih banyak. Akhirnya tentera Islam menang! Banyak tokoh Quraisy Makkah kehilangan nyawa ketika peperangan tersebut antaranya ialah Abu Jahal dimana lehernya berjaya dipenggal oleh Abdullah bin Mas’ud setelah Abu Jahal nyawa-nyawa ikan dibelasah oleh Muaz bin Amru.
Kalau kita fikirkan secara logik, mustahil tentera Islam dengan kekuatan 313 orang boleh menang kan? Tapi itu lah yang berlaku dan ianya ada tertulis di dalam Al-Quran:
Sungguh Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang-orang yang lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuri-Nya.- Surah Ali Imran Ayat 123.
Sebagai umat Islam, kita harus percaya tentera umat Islam dibantu oleh para malaikat yang turun dari langit ketika peperangan ini. Diceritakan oleh Abu Daud Al-Mazani, katanya;
“Semasa aku sedang memburu lelaki musyrik belum sempat aku menentangnya tiba-tiba kepalanya sudah terjatuh, belum sempat lagi pedangku mengenai mereka, aku sedarlah yang membunuhnya itu bukannya aku.” -Diceritakan oleh Abu Daud Al-Mazani dalam buku The Life of Muhammad: Al-Waqidi’s Kitab al-Maghazi
2. Islam berjaya menguasai Kota Makkah dari kaum Quraisy
Pembukaan Kota Makkah atau dikenali sebagai fathul Makkah berlaku pada 10 Ramadan tahun 10 Hijriah (Januari 610 Masihi). Cuba korang bayangkan betapa powernya umat Islam ketika itu apabila kaum Quraisy Makkah tak berani nak melawan tentera Islam kerana tahu mereka akan dikalahkan.
Tentera Islam membebaskan Kota Suci Makkah tanpa pertumpahan darah yang banyak dan memusnahkan segala bentuk berhala yang terdapat dalam kota itu. Cuba korang dengarkan video pendek daripada Syeikh Zahir Mahmood ini;
Sebelum peristiwa bersejarah ni berlaku, Rasulullah dan kaum Quraisy telah melakukan perjanjian aman Hudaibiyah. Perjanjian ini membenarkan mana-mana puak untuk bergabung dengan pasukan Rasulullah atau kaum Quraisy. Dipendekkan cerita, Bani Bakr dengan bantuan kaum Quraisy telah menyerang Bani Khuzaah yang berada dibawah perlindungan Rasulullah. Serangan ni telah mencabuli isi perjanjian aman Hudaibiyah.
Apabila Rasulullah mendapat tahu pengkhianatan ni dilakukan oleh kaum Quraisy, Rasulullah pun segera mengarahkan agar senjata dan tentera seramai 10,000 dipersiapkan untuk menyerang Makkah. Peristiwa ini memberi kita pengajaran, kita boleh batalkan perjanjian jika berasa dikhianati. Jangan kena tipu oleh perjanjian MLM sudahlah, sebab memang hanguslah duit korang.
Dan jika kamu khuatir akan (terjadinya) pengkhianatan dari suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berkhianat. – Surah Al-Anfal ayat 58.
Oleh kerana merasa bahwa kaumnya (kaum Quraisy) telah melanggar perjanjian dan dorang pun dah tak kuat nak menentang kaum muslimin, lalu orang Quraisy pun mengutus Abu Sufyan ke Madinah untuk memperbarui isi perjanjian dan memberi penjelasan kepada Rasulullah tapi penjelasan tersebut ditolak Rasulullah.
Lalu Abu Sufyan pun kembali ke Makkah dengan hati yang resah. Tapi akhirnya semasa 10,000 tentera Islam dalam perjalanan nak ke Kota Makkah tu, Abu Sufyan sendiri telah memeluk Islam setelah bertemu Rasulullah.
Ketika dalam perjalanan ke Makkah, tentera Islam telah bermalam kat Marun zahrán. Rasulullah telah mengarahkan tentera Islam supaya menyalakan obor api yang banyak untuk mengerunkan kaum Quraisy. Cuba korang bayangkan betapa terangnya obor yang dinyalakan oleh 10 ribu orang, siapa yang tak ketar lutut oohh!
Untuk memasuki kota Makkah, Rasulullah telah perintahkan tentera Islam supaya berpecah empat penjuru. Malah Rasulullah jugak tak membenarkan tentera Islam melakukan kekerasan atau pembunuhan kecuali apabila terpaksa.
Rasulullah mengumumkan kepada penduduk Makkah;
Sesiapa yang memasuki masjid maka akan diberi keamanan, sesiapa yang masuk ke rumah Abu Sufyan maka dia juga aman, siapa yang tinggal di rumahnya dan menutup pintunya maka dia juga aman.-Dipetik dari Kitab Al-Jihad wa’l-Siyar, Hadis 4395.
Setelah berjaya memasuki Mekah, baginda pun menghapuskan semua berhala dan lukisan yang ada serta membebaskan penduduk Mekah yang pernah menentang Islam. Antara kata-kata baginda ialah;
Aku sampaikan kepada kalian sebagaimana perkataan Yusuf kepada saudaranya: ‘Pada hari ini tidak ada cercaan atas kalian. Allah mengampuni kalian. Dia Maha penyayang.’ Pergilah kalian! Sesungguhnya kalian telah bebas! – Surah Yusuf ayat 92.
3. Kalahnya tentera Mongol dengan tentera Islam
Kalau kami petik nama Genghis Khan, mesti korang tahukan? Nama Genghis Khan popular sebagai pemimpin Mongolia yang agung. Perang yang kami nak kongsikan ni, tak melibatkan dia, tapi generasi cucu cicit Gengis Khan. Perang yang kami maksudkan adalah Perang Ain Jalut yang berlaku pada 25 Ramadan 658 Hijriah (3 September 1260).
Perang ini melibatkan tentera Islam (Mamluk) menentang empayar Mongol. Kalau korang nak tahu maksud Ain Jalut tu ialah Mata Air Jalut, dimana tempat berlakunya peperangan ini.
Konflik perperangan bermula apabila Hulagu Khan mengutuskan sepucuk surat kepada Sultan Saifuddin Muzaffar al-Qutuz yang mengarahkan kerajaan Mamluk tunduk kepada empayar Mongol. Pada zaman ni empayar Mongol memang power, mereka terkenal dengan kebolehan tentera yang luar biasa dan telah berjaya menumpaskan musuh yang kuat.
Oleh kerana rasa dah power gila, empayar Mongol nak luaskan kuasa mereka ke Kerajaan Mamluk. Korang rasa apa respon Sultan Qutuz? Hahhh. Suprise. Utusan Mongol dibunuh dan kepala mereka dipamerkan di pintu gerbang Kaherah.
Kekuatan tentera bagi kedua-dua pihak dianggarkan seramai 20 ribu tentera dengan empayar Mongol membawa geng-gengnya bersama. Tentera Mamluk dipimpin oleh Baibars, seorang jeneral yang bijak dalam peperangan ini. Keadaan geografi lokasi Perang Ain Jalut diketahui dengan baik oleh tentera Mamluk, ini memberikan mereka kelebihan.
Sultan Qutuz pun sembunyikanlah tentera dia dekat kawasan tanah tinggi, dan minta Baibars pancing tentera Mongol. Punyalah bijak Baibars game tentera Mongol dengan taktik ‘hit and run’, hingga menyebabkan tentera Mongol menjadi marah.
Ternyata taktik yang digunakan oleh tentera Mamluk menjadi dan ketua tentera Mongol nampaknya telah tersalah dalam melakukan percaturan. Tentera Mongol telah mara menyerang pasukan Mamluk sehingga tiba di tanah tinggi. Hahh. Apa lagi, tentera Mamluk yang bersembunyi pun keluar dengan panah berapi dan berjaya mengepung tentera Mongol.
Tentera Mongol berusaha sedaya upaya untuk melepaskan diri daripada perangkap ini, namun gagal. Akhirnya mereka terpaksa berundur dan kemenangan berpihak kepada tentera Mamluk. Kemenangan tentera umat Islam telah mencalarkan reputasi empayar Mongol sebagai kuasa besar dunia. Tak keterlaluan kalau kami katakan tentera Islam dah sekat tentera Mongol dari kuasai seluruh dunia!
4. Peperangan negara-negara Arab dan Israel bagi menebus maruah
Pada 10 Ramadan 1390 Hijriah (6 Oktober 1973) telah berlaku Perang Yom Kippur yang tercetus diantara negara-negara Arab dan Israel. Yom Kippur merupakan hari suci dalam agama Yahudi (Hari Penebusan Dosa). Untuk pengetahuan korang Perang ini berpunca daripada Krisis Arab-Israel yang telah bermula pada tahun 1920.
Sebelum Perang Yom Kippur, telah terjadinya satu lagi perang iaitu Perang Enam Hari yang kemenangan berpihak kepada Israel. Time mereka (Israel) menang, banyaklah tempat yang berjaya ditawan.
Namun pada tahun 1972, Anwar Sadat minta tentera Israel berundur dari tempat yang mereka tawan tu tapi Israel enggan. Oleh kerana keengganan Israel itu lah telah membuatkan Anwar Sadat mengumumkan akan berperang dengan Israel.
Ini menjadikan beliau kelihatan sebagai hero rakyat Mesir pada masa itu. Agak-agak, hari ni masih adakah pemimpin Islam yang nak perang dengan Israel? Cuba korang ikuti video ringkas tentang Perang Yom Kippur ini;
Untuk pengetahuan korang, tentera Mesir tak lawan Israel sorang-sorang. Mesir ajak Syria, Jordan dan Iraq untuk menghadapi peperangan ini. Maka terbentuklah satu pakatan negara Arab. Bagi pembaca yang meminati anime Naruto, sebijik macam Allied Shinobi Forces semasa perang melawan Uchiha Madara. Tujuan mereka tak lain tak bukan, nak tebus maruah negara arab dan ambik semula kawasan yang dirampas Israel.
Tentera Mesir menyerang Terusan Suez yang memiliki pertahanan “tembok pasir” yang boleh menyekat peluru. Punyalah bijak tentera Mesir, mereka menggunakan meriam air (water canon) untuk menembusi “tembok pasir” yang dibina Israel. Taktik itu berjaya dan dibantu oleh tentera udara Mesir yang power.
Tentera Mesir pun dirikanlah jambatan untuk menyeberangi terusan yang mereka tawan. Tapi akhirnya tentera Mesir kalah akibat ketibaan tentera simpanan Israel dan akibat kesilapan taktikal Mesir yang berada jauh dari pangkalan udara mereka.
Tentera Syria pula menyerang bukit Golan. Pertarungan berlaku dengan hebat dimana tentera Syria sudah hampir untuk menawan kawasan ini, tapi malangnya ketibaan tentera pasukan Israel telah menyekat kemaraan tentera Syria.
Akhirnya setelah tiga hari pertarungan, kawasan tu berjaya dipertahankan oleh tentera Israel yang dipimpin oleh Yanush Ben-Gal. Kedua-dua pihak mengalami kerugian yang teruk, terutamanya tentera Syria.
Peperangan tersebut telah mengorbankan hampir 17 ribu nyawa. Tentera Israel pada ketika itu turut mendapat bantuan daripada Amerika Syarikat. Bantuan ini telah menyukarkan pakatan negara arab meneruskan serangan. Akhirnya setelah 20 hari berada di medan perang, kedua-dua pihak bersetuju untuk berdamai.
Peperangan yang tak pernah selesai-selesai
Perang-perang yang kami kongsikan di atas menunjukkan betapa powernya umat Islam menghadapi ujian ketika bulan Ramadan. Cuba korang bayangkan korang di tempat mereka, adakah korang sanggup meninggalkan anak isteri untuk berjuang demi Islam? Lebih-lebih lagi time bulan puasa. Ni ada yang nak pergi kerja pun tak larat, macam mana nak berjuang untuk agama? Sambil-sambil kita tengah tahan lapar ni, marilah kita buang sikap suka mengeluh sebab “tak makan” dan mula bekerja keras untuk membantu diri sendiri, keluarga dan negara!
Macam-macam kejadian yang menimpa umat Islam ketika bulan Ramadan. Ternyata bulan ini bukan setakat nak tahan perut berbunyi semata-mata tapi sebenarnya lebih dari itu. Mesti korang dah baca yang Arab Saudi dan beberapa negara arab lain dah tak nak berkawan dengan Qatar. Arab Saudi mendakwa Qatar pro kepada keganasan. Moga tak berperanglah dua negara Islam ini, kerana pastinya umat Islam juga yang rugi.
Korang juga harus ingat, saudara-saudara kita di Palestin yang selalu menghadapi serangan dari pihak Israel. Mereka ni, bukan setakat Ramadan sahaja kena serang, tapi sepanjang tahun. Moga satu hari nanti mereka akan bebas daripada cengkaman Israel. Kan seronok kalau umat Islam boleh bersatu macam time tentera Islam bebaskan Kota Makkah. Tidak dilupakan juga saudara-saudara kita di Rohingya dan Syria.
Jika korang berhajat nak bantu saudara-saudara kita, rajin-rajinlah update kegiatan NGO seperti Aman Palestin, Aqsa Syarif, Mercy Malaysia, dan Islamic Relief.
- 4.3KShare sekarang!
- Email2
- Facebook4.3K
- Share