- 646Share sekarang!
- Email29
- Facebook617
- Share
Walau tak minat dan tak ambil tahu sangat pasal F1, ramai antara kita yang kenal sangat dengan nama Michael Schumacher. Dia ni pun pernah menjejak kaki di Litar Antarabangsa Sepang untuk berlumba (siap menang 3 kali lagi kat sini). F1 dan rakyat Malaysia juga makin rapat dengan adanya pelumba dari Malaysia, Alex Yoong satu masa dulu yang mewakili pasukan F1 Minardi. Walaupun tak ada menang kat mana-mana perlumbaan termasuk di Sepang.
Macam yang kita tahu, lepas ni kita takkan dapat tengok perlumbaan F1 kat Sepang selepas ditamatkan penganjurannya di Malaysia. Maka tahun lepas adalah tahun terakhir ia diadakan di Malaysia. Tapi, tiba-tiba ada berita mengejutkan apabila Tun Mahathir mengatakan kebarangkalian untuk F1 diadakan semula boleh berlaku. Kenyataan tu dikeluarkannya waktu perasmian ‘Circuit Lights’ di Litar Antarabangsa Sepang.
Kami dari SOSCILI terpanggil untuk membincangkan isu penganjuran F1 ini sama ada ianya sektor pelancongan sukan yang berjaya ATAU hanya legasi Mahathir ATAU pembaziran untuk negara.
1) Penganjuran F1, modalnya ratus juta, untungnya berbilion ringgit
Sektor pelancongan sukan atau sport tourism ni mudah je. Konsepnya, kita anjurkan sukan berprestij dan pelancong luar negara datang tengok sambil jalan-jalan. Untung ke tak? Kita ambil contoh laporan waktu Malaysia anjurkan Sukan Komanwel 1998.
“Lembaga Promosi Pelancongan mendedahkan yang mana setiap pelancong antarabangsa yang datang ke Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur secara puratanya menghabiskan RM307.64 sehari atau RM3,845.50 untuk tempoh masa 12.5 hari (nota: sepanjang kejohanan).”- Petikan dari jurnal tulisan Solha Husin.
Beralih ke penganjuran F1 pula, boleh ke untung macam Sukan Komanwel ni? Modal nak buat Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dilaporkan berjumlah RM286 juta dimulakan pembinaannya pada tahun 1997. Pada Mac 1999, SIC dah dibuka secara rasmi menjadikan ia litar bertaraf dunia kedua di benua Asia selepas Jepun. Maka, perlumbaan F1 pertama diadakan pada tahun tu. Lepas perlumbaan pertama tu, kajian dari Universiti Malaya mendapati keuntungan ekonomi yang berjaya dijana lebih kurang RM1.5 bilion. Nampak tak, sekali buat dah balik modal!
Setiap kali penganjuran seterusnya, purata pulangan adalah antara RM500 juta hingga RM1 bilion. Kalau nak diikutkan, kapasiti SIC ni paling maksima adalah 130 ribu orang. Jadi, takkan dengan hanya jual tiket boleh untung berbilion-bilion. Dari mana datang duit lain ni? Tan Sari Hassan Marican (CEO Petronas 1995-2010) ada terangkan benda ni. Apa yang penting kita kena faham yang penganjuran acara besar macam F1 boleh jadi pemangkin untuk pelancongan global.
“Orang yang datang ke Malaysia untuk F1 sebenarnya akan kembali lagi untuk bercuti sebab sudah jatuh cinta dengan negara ini. Mereka akan pergi ke Langkawi, Sabah dan tempat-tempat lain. Pasukan F1 sendiri (sewaktu jarak kekosongan masa antara perlumbaan di Australia dan Malaysia) akan menghabiskan masa mereka di Malaysia.”- Hassan Marican, petikan dari The Star.
Kalau dulu sebelum F1, orang negara luar banyak lepak ke Phuket dan Bali. Tapi, sejak beberapa tahun penganjuran F1, ramai yang suka lepak kat Malaysia. Pelancong yang datang tengok F1 ada macam-macam jenis dari si kaya raya, kumpulan yang berpendapatan pertengahan sampailah back-packers. Diorang berlainan status tapi sangat komited untuk tengok F1.
Menurut Hassan Marican lagi, banyak berlakunya aktiviti ekonomi dan penerbangan yang kita tak nampak. Ini terbukti apabila Lapangan Terbang Singapura sediakan penerbangan lebih waktu penganjuran F1 di Malaysia. Kalau bab-bab pengiklanan juga menguntungkan sebab setiap kali perlumbaan F1, jumlah penonton di seluruh dunia adalah 350 juta orang, kurang sikit dari Piala Dunia dan Olimpik.
Sedar tak sedar, penganjuran ni juga dah mempromosi nama Petronas dan Malaysia sebab terlibat secara besar-besaran. Kalau korang perasaan, memang terpampang je logo Petronas kat F1 ni. Kesannya, produk Petronas sering dikaitkan dengan logo F1. Sebagai contoh di Afrika, orang sana bila tengok logo Petronas akan terfikir F1. Perkara ni dah memudahkan produk Petronas dijual di mana-mana negara. Ia mudah diterima di mana-mana negara dan lebih mudah bersaing dengan syarikat minyak lain.
2) Legasi Mahathir untuk menjadikan Malaysia negara perindustrian automobil
Tadi dah dikeluarkan segala bukti mengenai keuntungan penganjuran F1 di Malaysia dari sudut pelancongan sukan. Namun, ada pihak mengatakan yang penganjuran F1 di Malaysia antara salah satu legasi Mahathir kerana polisi ekonomi yang diperkenalkannya.
Macam yang diterangkan Zin Mahmud (bekas pengarang kanan kumpulan Utusan), Malaysia berada pada kedudukan yang baik dari segi politik dan ekonomi pada tahun 1996. Ya, waktu pemerintahan Mahathir. Lagi pun, nama Tun Mahathir tengah harum di kalangan negara Islam dan dunia ketiga.
Wawasan 2020 pula dah diperkenalkan beberapa tahun sebelumnya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Maknanya, negara kita mesti menjadi negara perindustrian bukan lagi bergantung kepada pertanian. Dari situ, kuncinya adalah keterlibatan Malaysia dengan perindustrian automobil secara besar-besaran.
“Projek kereta nasional melalui Proton adalah merupakan landasan laluan ini. Berkait dengan itu, Dr Mahathir mengemukakan Perlumbaan F1 di Malaysia dengan penglibatan Petronas dalam pembangunan enjin Sauber. Projek ini seiring dengan langkah Proton membeli syarikat Lotus di Britain bagi memperoleh enjin automobil itu.”- Zin Mahmud, petikan dari FMT.
Nampak tak kat situ, semuanya terkait dengan automobil termasuk perlumbaan F1. Inilah yang dikatakan legasi Mahathir yang masih diteruskan oleh pemerintah berikutnya. Legasi-legasi lain adalah pembangunan Putrajaya, Menara Berkembar Petronas dan KLIA yang dipantau secara dekat oleh Tun Mahathir. Tapi, perlumbaan F1 ni menjadi legasi yang ikonik.
“…perancangan Perlumbaan F1 dibuat lebih awal. Pembinaan Litar Antarabangsa Sepang bermula pada 1997. Namun proses penyertaan Malaysia dalam perlumbaan F1 ini boleh dikira bermula pada 1996 apabila Petronas terlibat dalam pembangunan enjin kereta lumba Sauber untuk digunakan bagi acara itu.”- Zin Mahmud, petikan dari FMT.
Legasi-legasi ni kalau kita tengok adalah projek mega dengan modal yang tinggi. Tapi, Tun Mahathir mengatakan semuanya dibuat pada zamannya untuk mendapatkan untung, bukan nak cari perhatian rakyat atau nak jadi popular di mata rakyat. Duit yang digunakan untuk membangunkan projek mega (baca:legasi Mahathir) ni sebenarnya buat pinjaman juga. Tapi, jumlahnya sangat kecil dan tak pernah melebihi RM1 bilion.
Tak dapat dinafikan, legasi ni dah menyebabkan Malaysia dikenali dengan dua benda iaitu Menara Berkembar Petronas dan F1. Penganjuran F1 dah letak nama Malaysia di pasaran global. Tapi, itu cerita dulu-dulu. Matlamat Tun Mahathir untuk letak nama Malaysia di peta dunia melalui F1 dah pun tercapai. Cumanya…
3) Penganjuran F1 tahun 1999, tak sama dengan penganjuran F1 di zaman Najib
Ada beza penganjuran perlumbaan F1 pada tahun 1999 hinggalah yang terkini. Kalau dulu, perlumbaan F1 di Asia hanya di Malaysia dan Jepun. Tapi, setiap tahun, bilangan negara yang anjurkan F1 meningkat dari 16 negara ke 21 negara. Untuk benua Asia, dari 2 negara kini menjadi 6 negara penganjur. Menurut Najib (PM ketika itu), berlaku penurunan pulangan kepada penganjur dan negara. Menteri Pelancongan dan Kebudayaan waktu tu, Datuk Seri Nazri Aziz juga mengakui yang penjualan tiket F1 di Litar Sepang semakin berkurang.
Antara faktor lain yang menyebabkan populariti F1 di Malaysia makin merosot adalah selepas Singapura mula buat penganjuran pertama F1 pada tahun 2008. Perlumbaan F1 di Singapura juga unik dia lain macam apabila perlumbaan waktu malam buat pertama kalinya diadakan dalam sejarah F1. Akhirnya, satu keputusan kabinet dah dibuat,
“KABINET telah bersetuju untuk menamatkan kontrak penganjuran perlumbaan Formula One (F1) bermula tahun 2018, memandangkan pulangan menurun yang semakin ketara kepada negara berbanding dengan kos penganjuran kejohanan tersebut, kata Perdana Menteri,”- Datuk Seri Najib Tun Razak, petikan dari Sinar Harian.
Menurut Najib lagi, penamatan penganjuran akan bagi peluang untuk dana peruntukan tadi disalurkan lebih kepada sukan permotoran dari segi pembangunan bakat, infrastruktur, pemindahan kemahiran dan pengetahuan. Peruntukan ni juga akan digunakan untuk perlumbaan MotoGP, Go-Kart, pembinaan litar khas di Sungai Petani dan menaik taraf kemudahan di Litar Sepang.
Walaupun dihentikan, Petronas akan terus menaja Pasukan Mercedes AMG Petronas dalam perlumbaan F1 sebagai strategi pemasaran syarikat itu. Kiranya Petronas akan terus terlibat dengan F1.
Persoalannya, apakah nasib pengajuran F1 di bawah kerajaan baru? Perkara ni terjawab apabila Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq mengatakan perlumbaan F1 takkan dihidupkan semula. Ini kerana ianya tak menjana pendapatan serta kosnya yang terlalu tinggi setiap tahun.
“Kerajaan perlu mengeluarkan AS$50 juta (RM203.74 juta) hingga AS$70 juta (RM285.24 juta) untuk menampung kos Formula One sebelum ini. Pada peringkat awal diasaskan, ia teramat baik kerana hanya ada satu dua litar di Asia.
Bilangan penonton sangat tinggi tetapi sekarang Singapura, Dubai dan Abu Dhabi sudah ada (litar). Kos mencecahAS$70 juta (RM285.24 juta), awal dulu AS$12 juta (RM48.90 juta) tetapi pendapatan menurun,”.- Syed Saddiq, petikan dari Berita Harian.
Dia juga mengatakan, barisan kepimpinan SIC dan Perdana Menteri, Tun Mahathir akan terus bagi penekanan terhadap sukan permotoran macam Moto2, Moto3 dan MotoGP. Nampak sama macam Najib. Katakanlah nak dianjurkan balik, keputusan hanya boleh ditentukan dengan persetujuan kabinet.
Pembangunan pelancongan sukan merupakan cabaran buat pemain industri dan ahli akademik
Melalui penulisan ni, terbukti yang negara kita dah menjadikan sektor pelancongan sukan sebagai salah satu sumber pendapatan negara. Selepas penganjuran Le Tour De Langkawi 1996 dan Sukan Komanwel 1998, memang banyak penganjuran tahunan sukan berprestij. Antaranya, Royal Langkawi International Regatta, Langkawi Ironman Challenge, Piala Dunia Showjumping FEI, Super GT dan Piala Monsun.
Pulangannya juga sangat menakjubkan, sebagai contoh penganjuran Langkawi Ironman Challenge 2002 dan menarik penyertaan 331 atlet seluruh dunia serta menyumbang RM5 juta kepada industri pelancongan sukan negara. Contoh lain pada Piala Monsun 2007 di Terengganu yang menyebabkan kemasukan 81,000 pelancong dengan nilai media kasar mencecah RM217.6 juta. Itu baru dua yang kami jumpa. Belum lagi yang lain.
Ini membuktikan yang sektor pelancongan sukan boleh bagi hasil kepada negara. Cumanya, mungkin ada beberapa halangan yang akan muncul macam apa yang berlaku kepada penganjuran F1. Halangan ini sepatutnya menjadikan pemain industri serta ahli akademik semakin komited dan kreatif untuk memanfaatkan sukan sebagai produk keuntungan kepada rakyat dan negara.
- 646Share sekarang!
- Email29
- Facebook617
- Share