Arafat mengadu dengan Dr Mahathir. Dan kenangan Dr. Mahathir dengan pemimpin-pemimpin dunia

Bila terdengar atau bercakap pasal Tun Dr Mahathir Mohammad, satu fakta yang kita tak boleh terlepas pandang adalah dia merupakan Perdana Menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat. Namanya juga bukan satu perkara yang asing di rantau Asia, mahupun dunia.

Tapi korang tahu tak? Pada 31 Oktober 2017 ni, maka genaplah 14 tahun Dr Mahathir melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang dipegangnya sejak tahun 1981. Dalam tempoh masa 22 tahun tu, dah pasti pelbagai peristiwa yang biasa mahupun luar biasa dah berlaku. Tak lupa juga kenangan-kenangan lama yang mewarnai dunia politik Malaysia, mahupun antarabangsa.

Bergaya tak Dr Mahathir dulu? Imej dari mukhrizmahathirfc.com

Selain tu, kita juga kena ingat yang Dr Mahathir ni dikenali dunia disebabkan dasar-dasarnya terhadap Malaysia dan kelantangannya mengkritik kuasa besar Barat serta Israel. Siapa pernah ingat dengan ucapan Dr Mahathir kat OIC pada tahun 2003?

“Kita sebenarnya masih sangat kuat. 1.3 bilion umat Islam tidak boleh dihapuskan dengan mudah begitu sahaja. Orang Eropah telah membunuh 6 juta daripada 12 juta orang Yahudi. Tetapi hari ini puak Yahudi memerintah dunia secara proksi. Mereka membiarkan orang lain berjuang dan mati untuk mereka.” – Tun Dr Mahathir Mohamad, Ucapannya ketika Persidangan Kemuncak OIC 2003.

Dr Mahathir nampak macam puas hati dengan urutan brader tu.

Ucapannya ni cukup kontroversi sehingga membuatkan banyak kritikan diterima dari negara-negara Barat dan Israel. Bagaimanapun pada 2002, Dr Mahathir yang telah menjadi Perdana Menteri lebih 20 tahun, tiba-tiba…

1. Ucapan Dr Mahathir yang tersekat-sekat di Perhimpunan Agung UMNO

Dr Mahathir dikelilingi dengan para pemimpin UMNO lepas umumkan peletakkan jawatan. Imej dai Utusan Malaysia.

Pada sesiapa yang tengok TV pada 22 Jun 2002, mesti korang akan menjadi saksi satu pengumuman tergempar dari Dr Mahathir. Sebabnya, masa Dr Mahathir tengah buat ucapan pergulungan Presiden UMNO, tiba-tiba suaranya tersekat-sekat dan agak susah untuk berkata-kata.

“…saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan… mengumumkan.. satu… peletakan jawatan saya (tersebak sambil meminum air) peletakan jawatan saya sebagai Presiden UMNO dan semua jawatan-jawatan… yang dipegang oleh saya…..dalam parti, peletakan saya sebagai pengerusi BN dan semua jawatan dalam BN…” – ucapan Dr Mahathir di Perhimpunan Agung UMNO 2002.

Dr Mahathir dipujuk oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Imej dari pru14.tv

Lepas habis je pegumuman ni, keadaan dewan pun mula kecoh, para pemimpin UMNO atas pentas pulak mula kerumun Dr Mahathir, mereka ni termasuklah Hishammuddin (Ketua Pemuda UMNO) dan Rafidah Aziz (Ketua Wanita UMNO). Pak Lah yang masa Timbalan Presiden UMNO terus buat ucapan minta Dr Mahathir tarik balik peletakan jawatannya.

Keadaan dewan yang kecoh ketika itu diceritakan oleh Tan Sri Zainuddin Maidin dalam bukunya:

“Saya melihat ratusan pemerhati dalam keadaan histeria, ada yang menangis, ada yang tidak sedarkan diri, ada yang berdoa. Saya merasakan betapa bahagianya Dr Mahathir dapat meninggalkan kuasa dalam keadaan rakyat menyayanginya.” – dipetik dari buku: Surat daripada Dr Mahathir , p287.

Dr Mahathir sembang kopi dengan Putin.

Para pemimpin UMNO pun mula pujuk Dr Mahathir untuk tarik balik keputusannya tu, makanya Dr Mahathir tarik balik hasratnya sejam kemudian. Tapi, beberapa hari kemudian, Majlis Tertingi UMNO terima keputusan Dr Mahathir dan setuju Dr Mahathir letak jawatan lepas Oktober 2003. Akhirnya pada 31 Oktober 2003, Dr Mahathir secara rasminya meninggalkan pejabat Perdana Menteri dan Pak Lah secara rasminya pula mendudukinya.

Oleh tu, jom kita tengok gambar-gambar yang pernah terakam di sepanjang perjalanan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri…

2. Dr Mahathir hantar Lim Kok Wing untuk bantu kempen pilihan raya Mandela

Lawatan Mandela ke Malaysia pada 1990. Imej dari rockybru

Kalau bercakap soal tokoh pejuangan kebebasan dunia, antara nama yang tak terlepas pandang adalah Nelson Mandela iaitu Presiden Afrika Selatan yang pertama dipilih secara demokratik. Mandela sejak zaman mudanya, berjuang menentang dasar penindasan apartheid terhadap orang bukan kulit putih di Afrika Selatan.

Dasar penindasan ini dikutuk oleh banyak negara, termasuk juga Malaysia sejak di zaman Tunku Abdul Rahman lagi. Disebabkan itu, Malaysia tak jalinkan hubungan diplomatik dengan Afrika Selatan sampailah dasar apartheid dimansuhkan. Ketika di zaman Dr Mahathir, tekanan terhadap dasar apartheid semakin kuat melalui Komanwel.

Sila duduk – Kata Dr Mahathir. Imej dari The Star.

“Buat pertama kali beliau menghadirkan diri di Persidangan Komanwel dan Dr. Mahathir telah menggunakan platform Komanwel dengan mencadangkan agar sekatan ekonomi yang lebih tegas dikenakan ke atas Afrika Selatan…Di dalam persidangan Komanwel ini, beliau dengan berani melabelkan negara Afrika Selatan sebagai sebuah negara seperti Israel yang tidak mematuhi dan menghormati peraturan antarabangsa ” – Dipetik dari jurnal tulisan Mohd Afendi Daud & Junaidi Awang Besar.

Apa yang diborakkan diorang ye? Imej dari dailymail.co.uk

Bagaimanapun, Komanwel gagal lakukan sekatan apabila ia ditentang oleh Britain. Tapi masa tu hubungan Malaysia dengan Britain pun tak berapa baik sebab Dr Mahathir ada lancarkan kempen ‘Buy British Last’. Walaupun begitu, Malaysia tetap dengan pendirian supaya apartheid dimansuhkan dan Mandela dibebaskan. Sehinggalah pada tahun 1990 apabila Mandela dibebaskan.

Afrika Selatan ketika itu juga kemudiannya mengadakan Pilihan Raya Presiden yang mana Mandela turut bertanding. Dr Mahathir yang selama ini menentang dasar apartheid dan menyokong Mandela menghantar Lim Kok Wing (Tan Sri) untuk membantu kempen pilihan raya Mandela.

Lim Kok Wing dan Nelson Mandela. Imej dari Utusan Malaysia.

Dalam kempen itu Lim Kok Wing ada bagi nasihat kat parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC), pimpinan Mandela untuk gunakan pendekatan mesra. Ia dibuktikan apabila munculnya poster yang menunjukkan Mandela tersenyum bersama kanak-kanak Afrika Selatan, termasuk yang berkulit putih. Poster ni cukup popular kat Afrika Selatan masa tu.

“Saya masih ingat kata-kata Mandela ketika itu iaitu: lelaki ini (Kok Wing) datang dari negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum, jadi dia tahu bagaimana untuk membawa rakyat hidup bersama-sama. Kita mesti membawa semua rakyat kita hidup bersama-sama.” – Tan Sri Lim Kok Wing. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Inilah dia poster tu. Imej dari limkokwing.net

“Secara politik, Mandela adalah seperti Tuhan kepada orang kulit hitam Afrika Selatan dan kulit putih pula menghormatinya. Apabila dia muncul untuk bercakap, dengan mudah setengah juta manusia akan muncul.

Dia seorang yang pandai berkomunikasi dan seorang pemidato yang hebat. Dia boleh bergerak dengan cepat dari satu tahap ke tahap seterusnya. Dia membaca permainannya dengan baik dalam keadaan apa pun, di hadapan penonton. Matanya dan fikirannya sangat tajam.” – Tan Sri Lim Kok Wing. Dipetik dari Malay Mail Online.

Dr Mahathir ketika menghadiri upacara penghormatan terakhir Mandela. Imej dari Zamkata.

3. Lepas tak dapat sokongan negara-negara Arab, Yasser Arafat datang mengadu dengan Dr Mahathir

Mahathir dan sahabatnya, Yasser Arafat. Imej dari novandri.blogspot

Seperti yang kita semua tahu, apabila negara haram Israel ditubuhkan pada 1948, maka bermulalah kesengsaraan rakyat Palestin. Mereka dihalau dari kampung halaman dan negara mereka sendiri. Malah sehingga ke hari ini, rakyat Palestin tetap dizalimi, dibunuh dan ditindas oleh Israel dengan sokongan kuasa Barat.

Disebabkan menentang penindasan ini, Malaysia sentiasa menyokong Palestin dan tak jalinkan apa-apa hubungan diplomatik dengan Israel. Dalam masa yang sama, Dr Mahathir tetap mengekalkan personalitinya sebagai seorang yang lantang mengkritik Israel dan sekutu-sekutunya. 

“…malahan kerajaan Malaysia telah mengkritik Singapura apabila Presiden Israel, Chaim Herzog melawat negara tersebut pada tahun 1986…Isu Palestin sentiasa mendapat perhatian beliau dan dikemukakan hampir dalam semua forum atau perjumpaan dengan pemimpin asing. Palestin diberi status diplomatik penuh pada awal kepimpinan beliau.” – Dipetik dari buku Legasi Mahathir, p247.

Malaysia sentiasa menyokong Palestin. Imej dari mynameblackpanther.blogspot

Kerana itulah, Dr Mahathir selalu dipandang tinggi oleh masyarakat Palestin. Sampaikan pemimpin PLO, Yasser Arafat pernah kata:

“Malaysia lebih rapat dengan kami berbanding dengan sebahagian negara-negara Arab lain.” – Yasser Arafat, Presiden Palestin.

Walaupun Dr Mahathir terkenal sebagai seorang pemimpin Islam yang lantang bersuara. Tetapi dalam waktu yang sama, Dr Mahathir tak tenggelam dan terpengaruh dengan Revolusi Iran dan menentang sentimen pro-Iraq oleh rakyatnya sendiri masa berlakunya Perang Teluk. 

Gambar ni cukup menunjukkan hubungan rapat Arafat & Saddam. Imej dari rferl.org

Hal ini terbukti, bila Arafat terbang ke Kuala Lumpur selepas Perang Teluk tamat untuk berjumpa dengan Dr Mahathir. Perang Teluk menyaksikan Iraq kalah, sedangkan Arafat masa tu menyokong Saddam Hussein.

“…Yasser Arafat terbang ke Kuala Lumpur selepas Perang Teluk untuk memberitahu Dr Mahathir masalah besar yang dihadapinya selepas kekalahan Iraq. Beliau kehilangan sokongan negara-negara Arab dan terpaksa mencari perdamaian dengan Israel. Sebagai penghormatan kepada Malaysia yang membantu perjuangan rakyat Palestin sejak lama dahulu, Yasser Arafat berasa perlu untuk memberitahu Dr Mahathir lebih dahulu tentang rancangannya untuk berunding dengan Israel bagi mencari perdamaian.” – Dipetik dari buku: Surat daripada Dr Mahathir , p230.

Pertemuan Dr Mahathir dan Arafat pada 1999. Imej dari Utusan Malaysia.

Arafat juga bagitahu kat Dr Mahathir yang dia dah kehilangan sokongan moral dan wang dari seluruh negara Arab. Arafat dalam keadaan yang tersepit, apatah lagi Rusia dah tak boleh lagi diharap, manakala China dan India pulak dah buat persahabatan dengan Israel. PLO masa tu dah takde kawan dan Arafat rasa sangat keseorangan.

“Dr Mahathir memberitahu Yasser bahawa jika beliau tidak menerima realiti ini maka PLO tidak akan dapat wujud lagi.” – Dipetik dari buku: Surat daripada Dr Mahathir , p231.

Hasilnya pada 1993, PLO dan Israel menandatangani Perjanjian Damai Oslo. Walaupun tindakan tu ditentang oleh majoriti rakyat Palestin termasuklah HAMAS. Ini kerana, diorang nampak kerjasama dengan Israel ni sebagai sia-sia dan mengkhianati kepercayaan rakyat Palestin kepada PLO. /

Arafat bersalam dengan Yitzhak Rabin (PM Israel), sambil diperhati oleh Clinton. Imej dari nytimes.com

Arafat kemudiannya menjadi Presiden Palestin bermula pada tahun 1994. Pada 11 November 2004, Arafat meninggal dunia pada usia 75 tahun. Setahun selepas tu, Dr Mahathir ada cuba buat lawatan ke Baitumaqdis, tapi nampaknya lawatannya tu dihalang oleh Israel. 

“Saya ingin menegaskan kepada seluruh dunia bahawa inilah pemikiran politik golongan yang menduduki wilayah Palestin…Dr. Mahathir merupakan seorang tokoh antarabangsa yang penting dan Israel telah menghalang beliau daripada masuk ke Baitulmaqdis. Mereka juga menghalangnya daripada melawat Jenin (bandar Palestin).” – Ahmed Qorei, Perdana Menteri Palestin. Dipetik dari Utusan Malaysia.

4. “Saya merasa terhormat dapat diterima Pak Harto sebagai sahabat” – Dr Mahathir

Dr Mahathir & sahabat karibnya, Soeharto. Imej dari merdeka.com

Hubungan Malaysia dan Indonesia bukanlah hanya telah terjalin buat masa yang singkat. Tetapi ia telah melalui satu perjalanan yang cukup panjang sebagai dua negara serumpun, yang berkongsi sejarah dan budaya.

Walaupun, hubungan antara dua negara ini taklah selalunya baik, seperti mana yang telah berlaku pada tahun 1963 apabila Konfrontasi Indonesia – Malaysia diisytiharkan. Tapi akhirnya, konfrontasi ini tamat apabila Soekarno diturunkan dari jawatan Presiden dan Soeharto mengambil alih pemerintahan.

“Pada sekitar 1980-an, Malaysia dan Indonesia mempunyai dua tokoh yang terlalu kuat kuasa mereka. Malah negara-negara lain di kalangan ASEAN amat menghormati kedua-dua kuasa ini. Kedua-dua kuasa ini iaitu Dr. Mahathir-Suharto diiktiraf sebagai pengimbang kepada rantau ini.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Imej dari suriswanto.wordpress

Itulah salah satu ayat untuk menggambarkan kekuatan dua tokoh dari Malaysia dan Indonesia ketika itu. Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun adalah bersahabat baik dengan Soeharto yang menjadi Presiden selama lebih 30 tahun.

Jika dilihat dari segi sejarah, Soeharto adalah seorang tokoh yang berwarna-warni dalam banyak tindakan pemerintahannya. Selepas berlakunya cubaan ‘rampasan kuasa’ oleh Partai Komunis Indonesia (PKI), dialah yang membersihkan pengaruh komunis, di mana 500,000 orang dilaporkan dibunuh kerana disyaki ejen PKI dan disyaki bersimpati dengan fahaman komunis.

Soekarno (tengah) & Soeharto (kanan). Imej dari suratkabar.id

Ramai penentangnya yang dipenjarakan tanpa bicara dan hilang tanpa dikesan termasuk dalam gerakan tentera di Aceh dan Papua. Walaupun begitu, Soeharto masih dilihat sebagai berjasa besar kepada Indonesia.

“Semasa pemerintahannya, Suharto mewajibkan persekolahan bagi anak-anak bangsa tanpa perlu membayar yuran, melancarkan program merancang keluarga dan berusaha membebaskan kemiskinan rakyat melalui revolusi pertanian untuk makanan. .

…Bagi rakyat yang hidup di zaman pemerintahnya, mereka menikmati harga barang yang murah dan tidak banyak pengangguran dan penghijrahan rakyat Indonesia untuk mencari kerja di luar negara.” – Sopha Sulaiman, Koresponden Utusan di Jakarta. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Mahathir & Soeharto di Pertemuan G15 pada 1990. Imej dari tirto.id

Perjalanan politik Soeharto selama lebih 30 tahun, bagaimanapun akhirnya jatuh apabila Krisis Kewangan Asia menghentam rantau ini. Sehingga akhirnya Soeharto terpaksa menerima campur tangan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam kewangan dan ekonomi Indonesia.

Soeharto juga terpaksa turun dari Istana Presiden apabila rakyat dan mahasiswa merusuh di seluruh negara sehingga menawan Parlimen pada Mei 1998. Soeharto juga dituduh melakukan penyelewengan kuasa, rasuah dan melanggar hak asasi manusia. Bagaimanapun, hubungan Dr Mahathir dan Soeharto tetap kekal baik walaupun selepas persaraannya. Soeharto meninggal dunia pada 27 Januari 2008.

“Para pemimpin negara ASEAN mendudukkan Pak Harto sebagai orang tua. Kejatuhan Pak Harto merupakan kerugian yang besar di Asia Tenggara karena beliau sangat dihormati oleh para pemimpin ASEAN lainnya.

…Pak Harto adalah seorang Presiden dari sebuah negara yang besar, tetapi dirinya tidak pernah lupa bahwa antara dua buah negara adalah serumpun bangsa sehingga tidak ingin bermusuhan. Saya merasa terhormat dapat diterima Pak Harto sebagai sahabat.” – Tun Dr Mahathir, dipetik dari Pak Harto The Untold Stories.

https://www.youtube.com/watch?v=MV7Oum9cqB0

5. Hanya satu perkara Dr Mahathir dan Lee Kuan Yew sependapat

Lee Kuan Yew bukan kawan baik saya – Dr Mahathir. Imej dari straitstimes.com

Jika bercakap tentang tokoh hebat Asia Tenggara, tak terlepas dari menyebut tiga nama iaitu Dr Mahathir, Soeharto dan Lee Kuan Yew. Berbeza dengan Soeharto yang bersahabat baik dengan Dr Mahathir, hubungan Dr Mahathir dan Lee Kuan Yew agak berbeza dan penuh warna warni. Mereka selalunya digambarkan sebagai pemimpin dua negara yang berjiran, tapi selalu berselisih pendapat.

“Pertikaman lidah pada tahun 60-an antara Dr Mahathir sebagai anggota Parlimen dan Lee Kuan Yew sebagai Perdana Menteri Singapura yang memperjuangkan Malaysian Malaysia tidak terhakis dalam lipatan sejarah tetapi sikap positif pimpinan kedua-dua negara telah membolehkan pemupukan hubungan yang lebih erat antara Singapura dengan Malaysia semasa Dr Mahathir.” – Dipetik dari buku: Surat daripada Dr Mahathir , p217.

Tak sempat naik tangga dah salam. Imej dari asiaone.com

Selepas terpisahnya Malaysia dan Singapura pada 1965, hubungan antara dua negara ni masih lagi baik, walaupun ada pelbagai isu yang masih belum selesai. Dr Mahathir sendiri akui yang dia agak sukar untuk berurusan dengan Lee Kuan Yew.

“Kita ada 20 masalah untuk diselesaikan dan saya menghabiskan masa 22 tahun (sebagai Perdana Menteri) untuk cuba menyelesaikannya, tetapi satu pun saya tak dapat selesaikan…Beliau tidak akan berganjak walau seinci pun, kiasu, anda tahu.” – Tun Dr Mahathir Mohamad. Dipetik dari Malaysiakini.

Dr Mahathir & Lee Kuan Yew masa dapat anugerah ASEAN Achievement Millenium Awards. Imej dari asiaone.com

Untuk nak buat perbandingan antara Lee Kuan Yew dan Dr Mahathir, kita mungkin boleh kata yang Lee Kuan Yew lebih kuat amalkan pemerintahan kuku besi. Selama 16 tahun pertama Singapura merdeka, tak ada satu wakil pembangkang pun yang menang pilihan raya.

Masa Barisan Sosialis semakin dapat sokongan rakyat Singapura, lebih 100 pemimpin utama Barisan Sosialis, para aktivis, wartawan, kesatuan sekerja, dan mahasiswa universiti ditangkap dalam Operation Coldstore.

“Operasi ini dilaksanakan tujuh bulan sebelum pilihan raya dan sekali gus melemahkan, malah melenyapkan, barisan pembangkang di Singapura. Salah seorang yang ditangkap, Said Zahari, adalah bekas pengarang Utusan Melayu dan ditahan tanpa perbicaraan selama 17 tahun! Dr Chia Thye Poh pula kemudiannya ditahan di bawah ISA selama 23 tahun. Bayangkan kalau Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim atau Jahabar Siddiq dipenjarakan begitu lama. Apa yang akan kita katakan?” – Ooi Kok Hin. Dipetik dari Projek Dialog.

Kalau tadi gambar dapat anugerah, ini pingatnya. Imej dari asiaone.com

Bagaimanapun, kita tak dapat menafikan sumbangan Lee Kuan Yew dalam memajukan Singapura, walaupun sebagai sebuah negara kecil di Asia. Berbalik kepada hubungan Dr Mahathir dan Lee Kuan Yew, seperti yang dikatakan tadi, mereka berdua ni selalu je tak sependapat. Tapi ada satu perkara yang buatkan mereka ni sependapat. Perkara tu adalah mempercepatkan waktu Malaysia dan Singapura sebanyak setengah jam.

Walaupun begitu, Tokoh Wartawan Negara ada menceritakan tentang persamaan antara Lee Kuan Yew dan Dr Mahathir. Ini kerana, masa Lee Kuan Yew berkuasa, dia menampakkan ketegasannya dalam mendisiplinkan rakyat seperti tindakan keras terhadap pembuang sampah, meludah, gangsterisme dipantau dan sebagainya. 

“…di ketika pagi masih sepi, kami melihat  kereta Mahathir lalu di hadapan rumah tumpangan kami. Kemudiannya kami bertanya kepada Pak Ali pengawal peribadinya, ke mana Mahathir pergi pagi pagi buta,? Pak Ali memberitahu pergi melawat sebuah toilet untuk melihat bersih atau tidak.

Pengarah Muzium Negara, Shahrom Yub memberitahu saya bahawa Mahathir setelah melawat muziumnya telah menaliponnya terus untuk memberitahu banyak kertas bungkusan ice cream bertaburan di belakang muziumnya.

Kedua-dua pemimpin ini mempunyai matlamat yang sama untuk membina  negara yang berdisplin, cekap dan amanah tetapi cara Dr. Mahathir terutamanya dalam percaturan politik adalah lebih berperikemanusiaan dari Lee Kuan Yew.” – Tan Sri Zainuddin Maidin, Tokoh Wartawan Negara. Dipetik dari blognya.

Kita ada matlamat yang sama. Imej dari asiaone.com

Pada 23 Mac 2015, Lee Kuan Yew meninggal dunia pada usia 91 tahun. Walaupun selalu tak sependapat, Dr Mahathir tetap melahirkan rasa sedihnya terhadap berita itu.

“Tidak kira berapa mesra atau tidak mesra, kematian seorang yang anda begitu kenali cukup menyedihkan. Saya tidak boleh menyatakan saya rakan rapat Kuan Yew. Namun, saya masih sedih dengan kematiannya…ASEAN kehilangan pemimpin kuatnya selepas Suharto dan Lee Kuan Yew.” – Tun Dr Mahathir Mohamad. Dipetik dari Chedet.cc.

Dr Mahathir & Lee Kuan Yew tidak pernah bermusuh. Imej dari asiaone.com

Setelah 14 tahun bersara, Dr Mahathir bukan orang yang boleh didiamkan

Dr Mahathir agak berbeza dengan Lee Kuan Yew (LKY), ini kerana LKY selepas tak jadi Perdana Menteri Singapura, dia dilantik sebagai Menteri Senior (1990-2004) dan Menteri Mentor (2004-2011). Tetapi Dr Mahathir tidak dan dia bersara penuh tanpa ada jawatan politik.

Bagaimanapun, itu tak menghalang Dr Mahathir dari mengkritik kepimpinan negara. Hal ni dapat kita lihat apabila dia mengkritik Tun Abdullah Badawi dan minta Pak Lah letakkan jawatan. 

“Beliau kembali kepada pentas yang disediakan oleh pembangkang untuk mencurahkan kritikan terhadap Abdullah seperti yang dilakukannya semasa tersinggkir daripada dalam tahun 60-an dan 70-an. Beliau naik ke pentas PAS untuk memberikan syarahan mengenai pendirian politiknya sekalipun beliau tidak menyertai parti itu.” – Dipetik dari buku: Surat daripada Dr Mahathir , p299.

Tak tahu lah, apa yang diorang tunjukkan tu. Imej dari Utusan Malaysia.

Akhirnya Pak Lah meletakkan jawatan dan digantikan dengan Najib Razak. Tapi nampaknya kini pemerintahan Najib juga mendapat kritikannya. Pada tahun lepas, kita dikejutkan dengan gambar yang menunjukkan Dr Mahathir berjumpa dengan bekas timbalannya, Anwar Ibrahim. Itulah perjumpaan mereka secara terbuka sejak Anwar dipecat pada tahun 1998.

Ini gambar dulu-dulu. Imej dari darah-satria.blogspot

Pada hari ini, Dr Mahathir sendiri dah buat parti baru, malah jadi Pengurusi Pakatan Harapan (HARAPAN) dengan ‘harapan’ dapat menjatuhkan pimpinan Najib Razak. Mungkin itulah cara Dr Mahathir dalam mengekalkan pendiriannya tentang apa yang perlu atau tak perlu untuk negara ini.

Imej dari kedahnews.com

“Beliau telah mengambil tanggungjawab ini dan sanggup menerima apa juga akibatnya kerana beliau sendiri amat kecewa kerana semua nasihat peribadinya dan juga yang mewakili orang ramai tidak diberikan perhatian sewajarnya oleh Najib.” – Tan Sri Zainuddin Maidin, Tokoh Wartawan Negara. Dipetik dari Zamkata.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.