- 179Share sekarang!
- Email3
- Facebook176
- Share
Seringkali kita diberitahu oleh ustaz-ustaz sekolah kita bahawa Habbatus Sauda boleh ubati semua penyakit, kan? Tak pun, kalau pergi ceramah atau majlis ilmu pastinya ia akan disebut.
Ia sebenarnya merujuk kepada hadis ini:
إِنَّ هَذِهِ الحَبَّةَ السَّوْدَاءَ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ، إِلَّا مِنَ السَّامِ، قُلْتُ: وَمَا السَّامُ قَالَ: المَوْتُ
Maksud: Sesungguhnya Habbatussauda’ adalah penawar bagi setiap penyakit, melainkan al-Saam. Aku bertanya: Apakah al-Saam itu? Baginda SAW menjawab: “Kematian”. – Riwayat al-Bukhari (5687).
Lebih-lebih lagi, dengan pandemik yang berlaku sekarang ni. Seperti yang kita tahu, ada juga golongan anti-vaksin menolak vaksin dan mengambil Habbatus Sauda saja.
Kenyataan bahawa Habbatus Sauda ialah ‘penawar setiap penyakit’ sebenarnya SALAH! Nak tahu kenapa? Mari lihat penjelasan di bawah.
Bukan penawar setiap penyakit tapi penyakit tertentu saja
Agak rumit topik kali ni, tapi kami nak bagitahu awal-awal supaya buka minda seluas-luasnya seperti lautan untuk artikel ini.
Menurut pendapat ulama mengenai hadis ini, “penawar bagi setiap penyakit” tu membawa maksud kepada penyakit-penyakit tertentu saja. Ye benar, dalam hadis tu sendiri menyebut ‘Kullu’ yang bermaksud ‘setiap’. Akan tetapi, kita tak boleh memahaminya secara literal kerana ‘setiap’ di dalam hadis tersebut, bukanlah seperti mana yang biasa kita fahami.
Literal disini bermaksud memahami hadis secara membuta tuli. Dalam erti kata lain, kita kena memahami hadis melalui kaca mata ulama. Ini kerana hadis ada kalanya perlu difahami secara tersirat ditambah pula dengan ketinggian bahasa Arab yang tidak boleh difahami secra sesuka hati.
Jadi, apa maksud di sebalik hadis tersebut?
Yang dimaksudkan dengan “penawar setiap penyakit”, Ibn Hajar al-‘Asqalani mengambil pandangan al-Khattabi bahawa ‘setiap’ itu adalah lafaz umum tetapi membawa maksud yang khusus. Dalam erti kata lain, Habbatus Sauda ialah penawar untuk penyakit tertentu saja.
Menurut Ibn Hajar al-Asqalani, Habbatus Sauda dapat menyembuhkan pelbagai penyakit yang berpunca daripada kesejukan.
Contohnya, biji Habbatus Sauda yang telah hancur dan dibalutkan dengan kain sehingga mengeluarkan aroma, haa… aroma tu la dapat menyembuhkan penyakit selsema kerana sejuk. Ada lagi satu, kalau kita memasaknya bersama cuka dan kita berkumur dengannya, ia dikatakan dapat meredakan sakit gigi.
Manakala sebahagian ulama lain berpendapat bahawa Habbatus Sauda adalah ubat untuk penyakit bersifat bahang seperti demam panas.
Hakikatnya, tidak ada satu-satu tumbuhan yang ada di muka bumi yang boleh mengubati semua penyakit. Lain-lain penyakit, lain-lain la ubatnya. Di sini pun kita dah boleh nampak konsep ‘penawar setiap penyakit’ iaitu penawar bagi setiap penyakit yang bersesuaian untuk diubati oleh Habbatus Sauda saja.
Malahan tidak ada satu riwayat pun dari Rasulullah S.A.W yang menyebut baginda mengamalkan Habbatus Sauda secara kerap. Untuk pengetahuan korang, banyak je hadis-hadis nabi yang menyebut tentang kaedah rawatan selain Habbatus Sauda. Contohnya, berbekam.
Di akhir hayat Rasulullah S.A.W juga, baginda menerima lawatan rombongan-rombongan perubatan daripada pelbagai pelusuk. Mereka datang dan mengajarkan Aisyah R.A ‘resepi’ untuk membancuh ubat-ubatan buat baginda. Kalau kita fikir balik, kenapa baginda tak ambil Habbatus Sauda je?
Lafaz ‘setiap’ tu tak semestinya membawa maksud ‘kesemuanya’
Perlu diingatkan bahawa setiap perkataan dalam bahasa arab tu bukan spesifik untuk satu maksud saja. Kalau perkataan “kullu” ni bukan bermaksud ‘setiap’ sahaja, tapi ada membawa maksud lain.
Contohnya dalam Surah Al-Kahfi ayat 79:
أَمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدتُّ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُم مَّلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا
Maksud: Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat.
Berdasarkan al-Wahidi dalam karyanya al-Tafsir al-Basit, merampas tiap-tiap kapal tu merujuk kepada kapal yang elok saja. Jadi, lafaz “kullu” dalam ayat tu tak menunjukkan bahawa tak semua kapal tersebut dirampas tapi raja tu pilih yang elok saja.
Produk Muslim yang mengeksploitasi ayat ‘penawar setiap penyakit’
Tidak dinafikan bahawa Habbatus Sauda ni memang boleh menyembuhkan pelbagai penyakit sama ada penyakit berpunca dari panas ataupun sejuk.
Ramai ulama cakap yang ia sangat bermanfaat kepada manusia malah, kajian sains pun dapat membuktikan kegunaannya dalam perubatan. Namun, seluruh umat Islam tak boleh mengatakan Habbatus Sauda ni penawar setiap penyakit secara menyeluruh.
Selain itu, kita juga boleh melihat banyak juga produk keluaran Muslim yang cuba ambil kesempatan dengan ayat ‘penawar setiap penyakit’. Contohnya, ada satu syarikat ni keluarkan pil ubat yang mengandungi Habbatus Sauda, lepas tu ‘claim’ pil ni dapat menyembuhkan pelbagai penyakit seperti penyakit buah pinggang, kanser, dan macam-macam lagi.
Realitinya inilah kesan salah faham terhadap hadis Habbatus Sauda tersebut iaitu difahami secara literal tanpa merujuk pandangan ulama.
Oh ye, alang-alang dah habis baca pasal salah faham hadis Habbatus Sauda ni, SOSCILI juga ada artikel tentang kebaikan madu dalam hadis, tekan pautan di bawah untuk bacaan penuh:
Artikel ini asalnya diterbitkan pada 1 Mac 2022
- 179Share sekarang!
- Email3
- Facebook176
- Share