Sebab hasutan melalui laman sembang, fahaman anti-vaksin meluas dan sehingga meragut nyawa

Memandangkan sekarang ni kita masih lagi dalam mood permulaan persekolahan, dan kita boleh saksikan macam-macam ragam yang ada kat dunia pendidikan pada tahun 2020 ni. Dunia pendidikan tahun 2020 dimulakan dengan perletakan jawatan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, kitaorang pun ada tulis pasal dia sebelum ni.

Bila sesi persekolahan bermula ni, kita pun teringat balik nostalgia dulu-dulu waktu mula-mula masuk sekolah. Ingat lagi waktu dulu semua informasi berkenaan pembelajaran dan persekolahan, kita sebagai pelajar sendiri yang kena cakna dan ambil inisiatif sendiri sebab dulu kemudahan komunikasi terhad, tak macam sekarang dah dilengkapi dengan kecanggihan teknologi. Cikgu pun senang nak berbincang dengan mak ayah, guna WhatsApp je pun dah boleh.

Tapi bila cakap pasal grup WhatsApp ni …

Cikgu kat Malaysia terganggu dengan grup WhatsApp mak ayah

Berita yang selalu membelenggu mak ayah. Imej dari Twitter @pendidikmajalah

Baru-baru ni kecoh kat laman media sosial mengenai kenyataan surat khabar yang mengatakan cikgu kat Malaysia ramai yang terganggu dengan grup sembang daripada WhatsApp mak ayah ni, yang kebanyakannya merupakan pertanyaan yang mudah. Daripada terbeban dengan kerja, bila buka phone terbeban lagi dengan ibu bapa yang mengajukan pertanyaan yang mereka sendiri boleh fikir dan selesaikan.

Tapi, bila diperhatikan, perkara ni bukanlah perkara baru lagi. Sebenarnya dah berlaku dalam beberapa tahun yang lepas. Hari demi hari cikgu-cikgu ni makin terganggu dengan persoalan  yang memenuhi ruangan pesanan tu yang secara tak langsung mengganggu konsentrasi guru kelas terutamanya.

Macam-macam luahan daripada guru-guru yang mereka sampaikan bila adanya grup WhatsApp ni. Kalau dulu, semua mesej cikgu yang nak disampaikan kat mak ayah akan diamanahkan oleh pelajar-pelajar tu untuk sampaikan pesanan tu. Dan kalau kita perhatikan waktu dulu semua pesanan tu elok je mak ayah dapat terima.

Luahan cikgu. Imej dari Sumber Pendidikan

Dari situ mak ayah, cikgu-cikgu boleh latih anak-anak dari kecik untuk bersikap amanah dan jujur. Cikgu dan mak ayah jugak boleh perhatikan tahap kebertanggungjawaban anak-anak tu dalam memegang dan menyampaikan amanah.

Tapi dengan adanya kemudahan yang macam ni, tak semua maklum balas negatif yang kita dapat. Ada jugak sisi baik dan positifnya dengan adanya penambahbaikan komunikasi dua hala yang terkini mengikut teknologi semasa ni.

“Dengan adanya kemudahan medium komunikasi tersebut, pihak sekolah boleh menyebarkan pelbagai maklumat berkaitan sekolah, termasuk mesej segera seperti penutupan sekolah.

“Walaupun aplikasi tersebut bukan sempurna tetapi ia dapat merapatkan jurang komunikasi dan mengeratkan perhubungan antara pihak sekolah dan ibu bapa.” – Datuk Ahmad Redza Ahmad Kamarudin, Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Parlimen Shah Alam, sumber dari Sistem Guru Online. 

Bila sesuatu maklumat tu dah dihebahkan secara terus dalam talian melalui grup WhatsApp, semua mak ayah takkan ketinggalan dan maklumat tu lagi telus takde tokok tambah cerita daripada para pelajar. Dan takdelah kes pelajar lupa nak bagitahu hal-hal penting kat mak ayah dia. Selain tu, kan sebelum ni setiap maklumat yang nak disampaikan akan gunakan surat, jadi bila maklumat dah disampaikan menerusi WhatsApp je, dapatlah menjimatkan penggunaan kertas. 

Bila dapat jimatkan kertas, jangan sampai buat macam ni pulak. GIF dari Giphy

Selain daripada memudahkan urusan cikgu, ia jugak memudahkan urusan mak ayah para pelajar tu. Tapi, kebanyakan negara luar tak gunakan WhatsApp dan maklumat peribadi cikgu tak didedahkan. Kalau mereka nak berhubung dengan cikgu mereka, mereka berkomunikasi hanya melalui e-mel je. 

Hak peribadi cikgu sekarang ni tak dihormati dan ramai ambil mudah

Bila perhubungan seharian semakin mudah, kebanyakan masyarakat tak sensitif tentang kehidupan seseorang dan seolah-olah semua cikgu ada banyak masa lapang untuk layan segala persoalan yang disampaikan melalui WhatsApp tu. Korang tak tahu ke tugas cikgu ni pun sangat banyak dan membebankan?

Ada sesetengah cikgu jugak berpendapat yang bila mak ayah mula bersuara dan bersembang dalam grup WhatsApp, ia seakan-akan hak peribadi cikgu-cikgu terganggu, sebab mereka terpaksa melayan persoalan dan perbualan mak ayah sampaikan takde masa untuk diri sendiri.

Selain tu, bila semua maklumat disalurkan secara terus kepada mak ayah daripada cikgu melalui WhatsApp, ia boleh diperhatikan yang ia membentuk amalan yang tak sihat pada para pelajar. Contohnya setiap arahan yang diberikan oleh cikgu ni macam diambil mudah oleh pelajar-pelajar. Pada masa yang sama pelajar jadi kurang bertanggungjawab. Sebab kalau ada kekeliruan informasi, mak ayah mereka boleh tanya cikgu terus.

Bila mak ayah jadi macam ni sape je tak bengang. Imej dari Apa Kata Orang

Akhirnya, aplikasi Whatsapp yang merupakan perkhidmatan permesejan milik Facebook ni dah banyak ubah kehidupan manusia. Kalau kat pejabat, ia adalah saluran alternatif untuk menyampaikan pesanan menggantikan email dan boleh mengurangkan prinsip hierarki. Namun, platform ni jugak berkecenderungan untuk menyebarkan maklumat yang tak betul dan salah.

Bila sebut pasal ni, ada jugak beberapa negara yang gunakan platform sama dan hasilnya jadi satu kes yang tak menyenangkan.

1. Manchester – mak ayah bantah kurikulum baru sampai buat rusuhan depan sekolah

Macam kat Malaysia, grup WhatsApp mak ayah ni seolah-olah mengganggu privasi cikgu. Dan benda yang sama jadi kat sekolah Manchester bila mak ayah sendiri yang wujudkan grup WhatsApp untuk membantah sistem pengajaran dan kurikulum baru yang diperkenalkan kat daerah dan sekolah tu. Dan hal ni menyebabkan cikgu-cikgu kat sana rasa terancam sebab mereka siap buat protes depan sekolah. 

Mana tak cikgu-cikgu selalu depress. Imej dari Mirror.co

Kurikulum baru tu muncul kat seluruh negara kat sana berikutan arahan kerajaan untuk pengajaran tentang hal seks dan hubungan serta pelajar mesti diajar tentang isu dan hal-hal melibatkan LGBT.

Grup tu ditubuhkan dengan mempunyai 250 ahli untuk membantah kurikulum baru, yang mengajar budak-budak seawal umur empat tahun dengan hak-hak dan keperincian mengenai LGBT. Ia dikatakan tak sesuai dengan peringkat umur yang macam tu dan ada sesetengah pelajar jugak beragama Islam. Dan mak ayah berpendapat yang kurikulum tu secara tak langsung mempromosikan kehidupan LGBT. 

Pada masa yang sama, mak ayah tak putus-putus sebarkan mesej dan pesanan mengenai bantahan tu melalui WhatsApp sebagai salah satu cara untuk berikan tekanan pada cikgu-cikgu kat sana.

Antara teks mesej dalam grup yang buat cikgu kat sana tak senang duduk. Imej dari Manchester Evening News

Sebenarnya pelaksanaan kurikulum tu mula diperkenalkan pada tahun 2017, kerajaan mengumumkan yang kanak-kanak akan diajar mengenai hubungan dewasa yang sihat dari seawal umur empat tahun. Selain daripada pendidikan seks tu diwajibkan kat semua sekolah menengah. Bagaimanapun, sekolah berbentuk keagamaan masih dibenarkan mengajar mengikut “kesesuaian dengan kepercayaan pelajar”. 

Disebabkan bantahan dan tekanan yang berterusan daripada mak ayah mengenai hal ni, kurikulum tu pun dimansuhkan dan diberhentikan lepas ramai pelajar yang keluar daripada sekolah tu. Walaubagaimanapun, pihak autoriti ada menyatakan yang Manchester merupakan kawasan yang terbuka, jadi tak kisahlah penganut agama apa, mestilah kena terima perbezaan tu dan bersifat terbuka.

Rusuhan yang berterusan selagi tindakan tak diambil. Imej dari Metro

2. India – mesej melalui Whatsapp mengakibatkan tragedi maut

India merupakan negara yang paling banyak pengguna WhatsApp, dan mereka lebih gemar untuk berkongsi dan menghantar mesej, gambar dan video kat mana-mana dan siapa-siapa je. Dan WhatsApp menjadi platform yang popular dalam kalangan rakyat kat sana, dengan sebanyak 1.5 bilion pengguna, dan akhirnya ia menjadi platform utama untuk perbincangan dan penyebaran maklumat palsu yang sangat tinggi.

Maksudnya, penggunaan WhatsApp disalahgunakan untuk sebarkan khabar angin yang tak berasas dan cenderung dalam menghasut keganasan. Dan penyebaran mesej melalui WhatsApp tu dah menyebabkan rusuhan kat sana.

Rakyat India merupakan pengguna WhatsApp yang terbesar kat dunia. Imej dari The Guardian

Kebelakangan ni, ada kawasan luar bandar kat India telah berdepan dengan rusuhan dan keganasan oleh penduduk kampung disebabkan kemarahan mereka terhadap khabar angin yang tersebar melalui WhatsApp. Ia dikatakan khabar angin tu bagi amaran kat ahli keluarga mengenai penculik kanak-kanak yang berada dan bersembunyi kat persekitaran komuniti mereka.

Dan daripada berita palsu WhatsApp tu, ada rusuhan dah berlaku yang menyebabkan seorang rakyat UK yang mempunyai latar belakang berpendidikan tinggi terbunuh kat Karnataka dengan dua lagi kawannya, iaitu seorang pemuzik dan jurutera. Dalam kes tu, masyarakat kat India dihebohkan menerusi informasi WhatsApp yang mendakwa orang yang nampak tak bersalah ataupun pendatang luar tu adalah penculik kanak-kanak yang sebenar berdasarkan kes yang berlaku tu.

“Mereka terus memukul kami, memaksa kami untuk bagitahu berapa banyak kanak-kanak yang kami telah culik,” – Mohammad Salman, mangsa rusuhan, sumber dari BBC News.

Kerajaan India sampai buat perancangan untuk mengesan punca dari mana mesej tu sampai yang dah mencetuskan tragedi. Tapi aktivis kat sana halang tindakan tu sebab ia berpotensi untuk mencetuskan lagi kritik dan tindakan daripada orang ramai.

Kesan daripada rusuhan tu. Imej dari BBC News

Oleh itu, Kementerian Teknologi Maklumat India akan memperkenalkan satu set peraturan baru untuk perantara: platform-platform yang membolehkan orang menghantar atau berkongsi mesej. Dan peraturan tu termasuklah pada platform e-dagang dan pelbagai aplikasi dan laman web yang lain.

Langkah ni merupakan tindak balas daripada tragedi keganasan yang melibatkan penularan berita palsu melalui WhatsApp yang dah menyebabkan lebih daripada 40 kematian pada tahun 2017 dan 2018. Kebanyakannya adalah khabar angin mengenai penculikan kanak-kanak yang tersebar melalui WhatsApp dan platform lain. Sebenarnya kat India sejak kebelakangan ni, terdapat banyak penyebaran maklumat palsu kat media sosial terutamanya kat Facebook, YouTube dan Sharechat.

3. New York – penyebaran fahaman anti-vaksin yang meluas

Dengan adanya perkembangan media sosial dan tak ketinggalan aplikasi WhatsApp yang orang lebih cenderung pada perkongsian mesej dan gambar, banyak baik dan buruknya kita boleh perhatikan. Dan situasi buruk melanda New York bila kemudahan media sosial dan WhatsApp ni disalahgunakan.

Gerakan anti-vaksin kat New York. Imej dari The New York Times

Kat sana, golongan anti-vaksin mensasarkan mak ayah yang baru dapat anak dan yang ada anak kecik melalui muat naik gambar anak mereka kat media sosial. Caranya adalah dengan menyiarkan cerita melalui bagi komen ataupun menghantar mesej menerusi media sosial mengenai budak kecik yang mati ataupun merbahaya bila mereka diberikan vaksin.

Daripada situ, golongan ni akan menakut-nakutkan mak ayah dengan menyebarkan informasi yang salah supaya mereka tak vaksinkan anak mereka. Dan kesannya, penyakit campak kat sana meningkat secara mengejut.

Dalam satu laporan, ada menunjukkan yang dua daripada lima mak ayah kanak-kanak di bawah 18 tahun bagitahu yang mereka terdedah kepada mesej vaksin negatif kat media sosial ataupun forum dalam talian. Dan 50% mak ayah kanak-kanak di bawah dua tahun juga berpendapat tentang perkara yang sama.

Wabak campak yang makin tinggi setiap tahun lepas tahun 2016. Imej dari Financial Times

Ada di antaranya percaya sebab mereka bagitahu yang …

“Ia didapati walaupun orang tahu mesej yang disampaikan tidak benar, tetapi jika ia disampaikan berulang kali, mereka akan mula mempercayainya.” – Responden kajian, sumber dari The Guardian.

Pengendali grup bertanggungjawab sepenuhnya atas penyebaran mesej

Memandangkan banyak kes yang tak menyenangkan berlaku melalui penyebaran dan penyampaian mesej menerusi grup WhatsApp ni, orang ramai terutamanya pengendali grup tu perlulah bijak dan menapis informasi sebelum sebarkan kat orang lain. Pengendali grup terutamanya perlu mainkan peranan penting untuk menegur dan bagi syarat kat pengikut dalam etika penghantaran mesej. 

Sememangnya banyak manfaat bila kita ada kemudahan komunikasi yang macam ni, tapi janganlah disalahguna pulak. Dan sebenarnya pengendali grup WhatsApp ni bertanggungjawab sepenuhnya kat anak buah dia kalau ada mesej yang disampaikan tu mencetuskan pergaduhan ataupun maklumat palsu, secara tak langsung dia boleh dipenjara.

About Nadiya Othman 84 Articles
Hai! Saya suka baca buku tapi saya lagi suka kalau awak baca artikel ni sampai habis :)