Jenayah & Undang-undang

Geng ‘basikal lajak’ wujud sejak 10 tahun lalu, siapa budak-budak ni semua?

UPDATE 4/11/2019: Beberapa hari ni, cerita pasal basikal lajak menjadi hangat balik. Ini semua gara-gara ada video rakaman dashcam yang tular memaparkan sekumpulan remaja bersama basikal lajak hampir dilanggar MyVi. Pihak polis juga mengingatkan kembali agar sesiapa yang ternampak aktiviti basikal lajak boleh rekod video atau ambil gambar dan salurkan kepada pihak polis.


Sebelum ni pernah viral pasal kes kemalangan basikal berkumpulan di Johor yang telah menyebabkan lapan orang meninggal dunia serta merta di tempat kejadian akibat dirempuh sebuah kereta dari belakang. Mangsa lain adalah dua yang kritikal dan lapan lagi cedera, dan mangsa-mangsa yang terlibat berumur lingkungan antara 13 hingga 17 tahun.

Al-fatihah. Imej dari Astro Awani

Selalunya kita biasa dengar kemalangan basikal yang melibatkan kelab elit profesional je, seperti kes arwah Mohamad Asmu’i Ali dari Kelab Persatuan Lumba Basikal Negeri Terengganu (PLBNT). Atlet macam ni berbasikal kat lebuh raya sebab diorang tengah praktis demi masa depan karier diorang.

Tapi macam mana pula dengan kumpulan remaja berbasikal ini? Apa yang diorang buat pagi-pagi buta pukul 3 kat tengah highway? Bila cerita ni jadi viral, ramai netizen kata yang benda ni sebenarnya memang dah lama ada. Ada yang pernah melihat sekumpulan remaja berbasikal macam ni kat Lebuhraya Jalan Lingkaran Dalam berhampiran Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah pada waktu pagi. Aksi-aksi macam superman dah biasa menjadi tontonan pemandu-pemadu kereta yang menggunakan lebuh raya tersebut.

Tweet-tweet dari orang yang pernah nampak kumpulan berbasikal ni. Screenshot dari Astro Awani

Diorang ada group sendiri, yang paling famous adalah Tentera Fly JB

Budak-budak ni semua adalah sebahagian daripada fenomena yang dipanggil “geng basikal lajak” atau “basikal nyamuk”. Kenapa basikal nyamuk? Sama je macam syarat nak join rempit kena ada motor underbone, syarat nak join geng basikal lajak korang kena ada basikal nyamuk.

Diorang siap ada kumpulan rasmi lagi, bukan satu tapi banyak. Antara yang famous ialah Tentera Fly JB, Kaki Ride Kulai, Kaki Pecut Selatan dan Perling Fly JB. Akaun Insta Tentera Fly JB yang ada 14.4K followers banyak berkongsi pasal basikal-basikal yang dah kena modify, aksi-aksi berbahaya yang dilakukan di jalanan dan gambar diorang berkumpul beramai-ramai.

Bukan tu je, kumpulan-kumpulan ini saling bekerjasama untuk menyebarkan poster event diorang kat akaun Instagram masing-masing. Semangat brotherhood katanya. Lepas tu diorang akan rekrut ahli-ahli baru melalui perjumpaan ni. Mesti korang tak sangka kumpulan diorang lagi aktif dari persatuan PIBG sekolah korang dulu kan.

Bantu-membantu amalan mulia. Imej dari Kaki Ride Kulai

Eh banyak lagi ruang kosong dalam gambar tu untuk letak teks.

“Dijemput hadir bagi memeriahkan majlis ini”. Sopannya.

Malah gomen sendiri mengaku yang diorang tau benda ni wujud hampir sepuluh tahun dulu.(Sumber lain sampai kata 17 tahun!)

Sanggup datang jauh-jauh semata-mata untuk berkumpul dan berlumba

https://youtube.com/watch?v=MCH2CZS-D8Y

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Kumpulan ni semua akan berkumpul sebelum berlumba di Jalan Lingkaran Dalam. Semasa berlumba, diorang dengan selambanya conquer jalan tu dengan berada di tengah-tengah laluan kereta lalu-lalang.

“Saya pernah juga nyaris nak langgar mereka, sampai saya marah dan suruh mereka balik.

Tetapi saya pula kena ‘boo’ balik. Remaja sekarang tak takut dengan kita orang dewasa,” dipetik oleh Free Malaysia Today.

Antara aksi paling famous adalah aksi lajak. Sebab first time dengar ayat ni, kami stalk komen-komen diorang di Instagram untuk tahu apa tu aksi lajak. Mengikut komen kat gambar ni, lajak adalah “lumba basikal turun bukit fly atas basikal”. Memang mengundang la diorang nih…

Usus budak ni terkeluar sebab buat aksi lajak. Imej dari Instagram Tentera Fly JB

Budak-budak ni juga bukannya duduk rumah dekat-dekat, ada yang datang dari jauh macam dari Permas Jaya, Taman Desa Mutiara, Kempas dan Skudai. Kerana semangat brotherhood, diorang sanggup datang dari jauh untuk berkumpul di Dataran Seri Gelam. Tak tahu nak salute ke tak.

Kami juga guna Google Map untuk tahu sejauh mana perjalanan diorang. Ini anggaran sahaja sebab Google Map tak ada selection untuk cycling.

Seperti yang korang lihat gambar di atas, itu anggaran perjalanan menggunakan selection memandu kereta yang mengambil masa selama 18 minit bersamaan dengan 16.1km mengikut laluan biasa (orang ramai selalu guna). Itu kalau guna kereta, cuba bayangkan berapa jauh diorang berbasikal dari rumah sendiri. Merentas desa pun jauh macam tu.

Ada yang jual motor bapak sendiri sebab nak duit modify basikal

Sampai brek pun kena buang. Image from The Star.

Sedangkan plastik pun kena bayar 20 sen, apatah lagi barang-barang basikal nak modify basikal. Rim, hendal, seat, dan engkol basikal adalah part basikal yang diorang selalu tukar. Berdasarkan sumber-sumber di akaun media sosial diorang, ada yang sampai sanggup jual motor bapak sendiri secara haram!

Screenshot dari Facebook

“Arwah memang minat basikal. Selalu minta duit dari kami untuk beli basikal keperluan dia, sanggup kumpul duit nak beli barang-barang basikal.” – Nurul Shahidah, kakak arwah. Dipetik dari Berita Harian.

Basikal biasa yang kita tengok di kedai-kedai adalah basikal yang telah direka memenuhi ciri-ciri keselamatan dan sudah tentu selamat untuk digunakan semua lapisan umur manakala basikal yang diorang guna pulak sebaliknya.

Contoh basikal dorang yang modify. Imej dari Free Malaysia Today.

Diorang modify untuk menambah pecutan ketika menuruni bukit yang laju, lebih ringan, dan untuk memudahkan penunggang berada dalam posisi superman bagi daya aerodinamik. Bukan tu je, diorang juga gemar mematikan fungsi brek basikal diorang atau budak-budak muda sekarang sebut ‘prewel mati’ bertujuan untuk menikmati luncuran ketika turun bukit.

BUKAN contoh basikal diorang yang modify. Imej dari Pinterest.

Walaupun setelah dilarang, ada yang curi-curi keluar rumah

Ramai yang menuding jari pada mak ayah yang membiarkan anak keluar malam. Sultan Johor sendiri kata yang mak bapak perlu mengambil iktibar daripada kejadian ini, manakala Persatuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (MNCF) menyeru agar mak bapak ambil tahu pasal aktiviti-aktiviti anak. Tapi nampak gayanya keluarga masing-masing memang dah cuba untuk kawal budak-budak ni semua.

Menurut satu kenyataan dari ibu mangsa iaitu Hairena Kamisan, dia tak sedar anaknya keluar pada malam kejadian. Dia ketuk pintu bilik anaknya pada waktu pagi untuk menyuruh anaknya bangun solat Subuh tetapi terkejut apabila mendapati bilik anaknya kosong dengan tingkap bilik bahagian atas terbuka.

Gambar arwah Harith. Imej dari Free Malaysia Today

Itu kes di mana anak curi-curi keluar rumah. Ada juga kes di mana mak ayah dah melarang tapi masih berdegil untuk keluar malam.

“Tidak sedar (masa Fitri keluar rumah) sebab waktu tu sedang tidur, ingat dekat-dekat sahaja rupanya jauh.” – Muhammad Fatoni Musrap, bapa mangsa. Dipetik dari Free Malaysia Today.

Apa yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa?

Mana budak-budak ni menyorok? Imej dari meme generator

Sebelum ni pihak polis dan RELA memang pernah buat operasi, malah ada yang sampai dibalas dengan makian dan dibaling basikal. Diorang siap melarikan diri ke kawasan tanah perkuburan yang berdekatan. Boleh lihat video di bawah diorang dikejar di bawah ni.

Malah tahun ni je pihak polis telah menjalankan sebanyak 5 operasi dan merampas 17 basikal yang kena modify, tahun lepas pulak 28 operasi dijalankan dan 37 basikal dirampas. Sampaikan Timbalan Menteri Dalam Negeri sendiri kata yang kita membazir masa pihak polis je untuk terus menangani masalah ni:

“…ia membazir sumber penguat kuasa polis untuk menangani budak-budak ini.

Mereka yang maut adalah generasi remaja bermasalah yang mengancam kenderaan di jalanan terutama pada waktu malam,” katanya.” – Nur Jazlan Muhammad, Timbalan Menteri dalam Negeri dan ahli Parlimen Pulai

Tapi kalau betul gomen dah tau pasal masalah ni sejak 10 tahun yang lepas, takkan setakat buat operasi dan rampas basikal je?

Apa cara nak membendung aktiviti ni?

Dalam kes yang dah berlaku ni, memang tak produktif kalau kita asyik menudingkan jari pada mak bapak. Sebaliknya, kita perlu beri ruang untuk mereka bersedih atas kehilangan anak yang tersayang.

Tapi kalau nak elakkan benda ni dari terjadi lagi di masa akan datang, tak dinafikan mak bapak masih memainkan peranan yang sangat besar. Malah ada yang mencadangkan kepada pihak berkuasa supaya menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, di mana mak bapak yang cuai boleh dihukum kerana tak mengendahkan keperluan untuk melindungi anak-anak.

Tapi mungkin cara yang paling efektif perlu datang daripada inisiatif mak bapak sendiri. Pada tahun 70-an di Amerika, sebuah organisasi bernama Mothers Against Drunk Driving (MADD) telah ditubuhkan oleh beberapa ibu yang telah kehilangan anak mereka akibat pemandu mabuk. Organisasi ini giat berkempen untuk membanteras masalah ini, bukan sahaja dari segi mencadangkan undang-undang baru, malah membantu keluarga-keluarga mangsa.

Dan mungkin semangat macam MADD inilah yang kita boleh contohi. Daripada terus cuba mencari orang untuk disalahkan, kita bersama fikirkan cara untuk menyelesaikan masalah ini.

“Mungkin kita perlu berhenti menyalahkan orang lain. Mungkin kita perlu sama berganding bahu dengan pihak berkuasa untuk mencari jalan penyelesaian.

Kata-kata amarah dan melukakan tidak akan menghidupkan kembali yang telah mati.” – Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, dipetik oleh New Straits Times.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend