Korang pernah terfikir tak pembayang dalam pantun sebenarnya ada makna tersendiri?

*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 11 Oktober 2017. 

Pantun adalah salah satu cabang puisi tradisional Melayu, dicipta oleh masyarakat Melayu pada zaman dulu. Pantun bertujuan untuk menyampaikan nasihat, sindiran, gurauan dan juga boleh jadi luahan perasaan. Disebabkan bahasa yang digunakan sangat teliti dan puitis, teguran dan nasihat lebih mudah diterima pakai.

Pantun pada zaman dulu juga merupakan ‘bahasa basahan’, ataupun cara masyarakat Melayu pada zaman tu berkomunikasi. Tapi disebabkan perubahan zaman, pantun cuma digunakan dalam majlis-majlis tertentu sahaja sekarang ni.

Cuba korang bayangkan macam mana orang zaman dulu nak bercakap, bahasa yang digunakan tak direct macam sekarang, lepas tu pulak kena spontan dan hujungnya kena beritma. Kiranya, boleh tahan laju juga orang Melayu zaman dulu berfikir nak buat ayat untuk berpantun dan berbalas pantun ni. Kiranya macam rap battle la.

Bentuk ritma yang menjadikannya sebuah pantun

Penjodoh bilangan bagi pantun merupakan (se)rangkap. Serangkap pantun terdiri daripada pantun dua kerat dan empat kerat. Pantun dua kerat biasanya terdiri daripada dua baris, di mana baris pertama merupakan pembayang, manakala baris kedua pula merupakan maksud pembayang. Untuk pantun empat kerat pula, mempunyai empat baris.

Dua rangkap pertama berwarna kuning adalah pembayang, manakala dua baris terakhir berwarna hijau adalah maksud pantun.

“Dua baris pertama pantun ialah pembayang. Fungsinya adalah membayangkan apa yang akan berlaku pada dua baris akhir.

Apabila dua baris pembayang ada maksud yang sesuai dengan dua baris maksud, ia akan jadi sebuah pantun yang baik dan sempurna. Jika pantun tersebut tak dapat membayangkan maksudnya, ia bukanlah pantun yang sempurna.”- Datuk Zurinah Hassan

Menurut DBP pula, sebuah pantun yang baik mestilah mempunyai 4 hingga 5 patah perkataan dalam satu baris. Manakala jumlah suku kata dalam satu baris pula mempunyai antara 8 hingga 12 suku kata sahaja.

Indahnya pantun Melayu ni, cukup dengan ritma pada pembayang dan juga penghujungnya. Malah kalau kita perhatikan betul-betul pun, pembayangnya selalu bermula dengan kehidupan alam dan berdasarkan pemerhatian sekeliling mereka.

Ye la, zaman dulu takde teknologi yang canggih. Orang Melayu kebanyakannya bekerja sebagai pesawah, petani, nelayan, dan pelbagai lagi kerja kampung, yang banyak mendekatkan diri mereka dengan alam sekitar. Untuk memahami sebuah pantun, kita mestilah memahami sesuatu perkara. Contoh yang diberikan ialah,

“Ada ubi ada batas, ada hari boleh balas”

Pantun tersebut bukan ritma semata-mata, tapi merupakan satu pengenalan di mana pokok ubi mempunyai batas, dan bukannya seperti pokok-pokok yang lain. Jadi kena tunggu hari yang sesuai barulah boleh balas. Bentuk pembayang yang berlatar belakangkan alam semula jadi ni selalu kita jumpa kat pantun-pantun lain.

Selain dalam Malaysia, pantun juga banyak dijadikan bahan kajian di beberapa universiti luar negara yang kagum dengan bahasa kita. Contohnya pengajian dalam beberapa buah buku seperti Encyclopedia of American Poetry, yang menggunakan bentuk pemisah perkataan adaptasi daripada pantun Melayu. The Comparative Study of Traditional Asian Literatures oleh Vladimir Braginsky, dan sebuah kertas kerja kajian persepsi pelajar terhadap Quatrain (pantun) Melayu dari Korea.

Di sini, kami di Soscili nak senaraikan lagi beberapa pantun yang lain beserta maksudnya.

1. Pantun tentang suami tak pandai melayan isteri (kemas kini 16/10/2020)

Pantun disiarkan DBP yang menimbulkan kontroversi. Imej dari DBP.

Baru-baru ini, muncul kontroversi di Malaysia apabila ada pihak yang menyifatkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersikap patriaki dan seksis kerana menyiarkan pantun di atas. Bagaimanapun, ramai pihak yang tampil mempertahankan DBP, sambil kata pengkritik tidak faham tentang seni pantun Melayu dan hanya mentafsirkan secara terus.

Menurut Nisah Haron, pantun itu sebenarnya bukanlah ditujukan kepada wanita (isteri), sebaliknya kepada lelaki (suami) yang tak pandai melayan isteri secara batin. Ini kerana, orang Melayu zaman dulu sangat berlapik dalam berkata dan kerana itulah hal yang sulit tak akan diucapkan secara terbuka.

“Sebab itu dikatakan, buat apa beristeri cantik, kalau tak pandai layan isteri. Bukan itu sahaja. Ia lebih kepada soal tanggungjawab suami kepada isterinya.” – Nisah Haron, dipetik dari Twitter.

Pengajaran pantun: Dapat isteri cantik, tapi tak menghargainya dengan sebaiknya juga merupakan penganiayaan batin kepada isteri.

2. Pantun tentang mengenang budi

Maksud dan penerangan pantun: Selain daripada bercerita tentang apa yang ada di sekelilingnya, pantun ni juga menggunakan kiasan buah pisang dalam rangkap pertama, “Pisang emas dibawa belayar”. Buah pisang ni seperti yang kita tahu, adalah salah satu makanan ruji masyarakat Melayu pada zaman dulu.

Selain daripada mudah didapati, khasiat pisang juga lebih baik berbanding buah tempatan yang lain. Pisang adalah salah satu sumber terbaik untuk potassium, iaitu mineral penting yang menjaga tekanan darah normal dan fungsi hati.

Menurut komen daripada pembaca kami di Soscili juga, ada sebab kenapa pisang emas yang digunakan dalam pantun ni berbanding pisang-pisang yang lain. Dalam baris

“Pisang emas dibawa belayar, masak sebiji di atas peti”

Penerangan dari seorang pembaca, Tajul Rijal Annuar

Menurut pembaca kami yang lain iaitu Aliaa Zakiyuddin juga, keistimewaan yang ada pada pisang emas adalah ia bertindak sebagai ubat untuk mabuk laut kepada pelayar.

Pembayang pantun sebenarnya mencerminkan sosiobudaya, atau cara hidup orang Melayu pada zaman dulu. Contohnya, mereka menggunakan pengangkutan air untuk perjalanan yang jauh, selain daripada jalan darat. Pengangkutan udara macam kapal terbang pada waktu tu belum wujud lagi untuk masyarakat Melayu.

Kapal yang berlayar jangan disangka tiada pisang. Imej dari emaritim.com

Pengajaran pantun: Kebaikan seseorang itu perlulah diingati sebab kebaikan tak boleh diukur dengan duit atau harta (atau berapa banyak pisang korang boleh bagi).

3. Pantun tentang harapan dan realiti

Maksud dan penerangan pantun: Berdasarkan penerangan daripada Datuk Zurinah Hassan, Sasterawan Negara, suasana dalam pembayang adalah sama dengan maksud bagi pantun ni, iaitu suasana kecewa.

Penerangan pantun memberitahu tentang apa yang disangka, tak menjadi kenyataan. Pembayang membawa maksud dari jauh, nampak macam pokok buah nanas yang boleh dimakan, rupanya bukan, Ia hanya pokok pandan yang nampak seperti nanas, dan tidak berbuah.

Maksud bagi pembayang pantun pula, “Kusangka panas hingga ke petang”, memberi maksud kepada yang diharapkan ialah keadaan yang baik dan selesa tetapi kecewa di pertengahan di mana “Rupanya hujan di tengah hari” yang membawa maksud keadaan baik tak seperti yang diharapkan.

Nampak macam sama, tapi tak serupa. Di kiri adalah pokok pandan berduri, kanan pula adalah pokok nenas. Imej dari kemejingnet.com dan kebunbahagiabersama.blogspot.

Pengajaran pantun: Walaupun nampak sama, tapi tak semestinya serupa. Jangan sangka sesuatu yang nampak manis dan indah pada mulanya takkan ada masalah yang berlaku. Kita juga jangan terlalu berharap sebabnya semua yang kita rancang, hanya tuhan yang lebih mengetahui. Sebagai manusia, kita perlulah sentiasa bersiap sedia dengan pelbagai kemungkinan yang berlaku.

4. Pantun rindu seorang kekasih

Maksud dan penerangan pantun: Dalam pembayang pantun ni, iaitu “Tuai padi antara masak, Esok jangan layu-layuan”, sesuatu yang dilakukan mestilah bersungguh-sungguh, dan bukan sekerat jalan saja. Perkara yang dilakukan secara sekerat jalan takkan membuahkan hasil yang baik.

Maksud pantun ni, kekasih berpesan kepada pasangannya supaya “intai kami antara nampak” supaya “esok jangan rindu-rinduan”. Dengan pesanan ini si kekasih sebenarnya memberi peringatan supaya pasangannya selalu mengintai, dalam erti kata lain, selalu menjenguk dan melihat keadaannya. Ini juga membawa maksud mengambil berat untuk memastikan orang yang dijenguk atau diintai itu berada dalam keadaan yang baik.

Tapi jangan skodeng macam ni pulak.

Pengajaran pantun: Dalam setiap perhubungan, saling menjaga dan mengambil tahu tentang kebajikan masing-masing adalah sangat penting. Sesebuah hubungan bukanlah setakat berjanji saja, tapi mesti ada toleransi dan sikap ambil peduli supaya hubungan dapat dijaga.

5. Pantun merisik anak dara orang

Maksud dan penerangan pantun: Salah satu keunikan dalam adat meminang orang Melayu adalah berbalas pantun. Biasanya, pantun di atas digunakan oleh pihak lelaki untuk bertanya tentang status perempuan yang ingin dipinang.

https://www.youtube.com/watch?v=jfNaJFv8WbI

Dalam pembayang pantun ni, pohon ara merupakan sebuah pohon unik di mana akarnya akan membelit pokoknya sendiri, menjadikan bentuknya unik, seperti cerita pembayang dalam baris pertama dan kedua.

Untuk maksudnya pula, antara salah satu keunikan cara orang Melayu meminang adalah keluarga lelaki akan menjual pantun, dan berkias untuk bertanyakan status anak perempuan kepada tuan rumah, sama ada sudah berpunya ataupun belum dalam kedua-dua rangkap terakhir, “Besarnya hajat tidak terkira, Hendak memetik bunga di taman.”

Perumpamaan bunga di taman bermaksud perempuan yang berada di rumah tersebut, dan ia bermaksud ingin menyunting atau melamar wanita tersebut untuk dijadikan teman hidup.

Pohon ara yang menjalar di badan sendiri. Imej dari pchere.com

Pengajaran pantun: Adat Melayu penuh dengan adab dan tatasusila, dan adat Melayu pada zaman dulu menggunakan pantun untuk merisik perempuan. Walaupun tak semua keluarga Melayu pada zaman sekarang masih menggunakan pantun ni, tapi masih ada segelintir lagi yang masih mengekalkan adat dengan berkias dan menggunakan bahasa yang indah ni ketika datang merisik.

6. Pantun merendah diri

Maksud dan penerangan pantun: Pembayang yang diberi dalam pantun ni merupakan buah cempedak yang mahu dipetik pada pokok. Kalau nak tahu, pokok cempedak tu sebenarnya merupakan pohon yang rendang, dan boleh mencapai ketinggian maksimum sehingga 25 meter. Manakala buah cempedak pula tumbuh dipangkal pokok, bukan di dahannya.

Galah juga sebenarnya bukanlah alat yang sesuai untuk memetik buah tu, sebab pokok cempedak tak memerlukan galah, sebab boleh dipetik begitu saja. Ini merupakan salah satu sebab pentingnya untuk mengetahui sesuatu perkara tu untuk memahami maksud yang tersirat.

Pokok cempedak tak tinggi pun, jadi tak perlu guna galah untuk petik. Imej dari gambaranimasi.top

Pengajaran pantun: Sebagai orang yang baru nak belajar, kita mestilah merendah diri untuk menuntut ilmu daripada orang yang lebih pakar.

7. Pantun nasihat memilih yang terbaik

 

Maksud dan penerangan pantun: Pembayang “Berbaju batik bujang kelana, Duduk bermadah di tilam pandak” membawa maksud bujang kelana yang duduk bermadah di tilam pandak tu sedang bermadah tentang mencari jodoh.

Dari segi maksud pula, untuk mencari jodoh, bunga yang cantik tapi tak berbau wangi tak mendatangkan kebaikan. Dalam puisi Melayu, bunga yang harum dikaitkan dengan perempuan atau nama yang baik. Bunga yang cantik tapi tak berbau adalah rendah nilainya. Jadi, kecantikan saja tak dapat menjamin kebahagiaan kalau pasangan tu tidak mempunyai perangai yang baik.

Bunga plastik memang cantik, tapi tak berbau. Imej dari izstudio.blogspot.my

Pengajaran pantun: Dalam mencari pasangan hidup, kita tak boleh tengok luaran je. Walaupun cantiknya seseorang tu, dia mestilah seorang yang mempunyai hati yang baik supaya bahagia rumah tangga.

8. Pantun tentang kesetiaan dalam percintaan

Maksud dan penerangan pantun: Berlainan dengan pantun-pantun yang sebelumnya yang beritma di penghujung dan tengah, pantun ni pula cuma memfokuskan ritma yang sama di penghujungnya saja.

Dalam pantun ni, embun disifatkan sebagai kasih sayang, dan digunakan sebagai simbol kepada sesuatu keadaan yang tidak kekal dan tidak terjamin, disebabkan sifat embun yang cuma wujud sementara dan akan kering pada tengah hari.

Bunga pula adalah perumpamaan yang memang selalunya digunakan untuk menggambarkan seorang perempuan. Pantun yang pertama merupakan luahan rasa terhadap kekasih yang tak setia, dan tak memberi perhatian kepada pasangannya. Jadi, cinta tidak kekal yang dilambangkan sebagai bunga layu.

Kalau embun menitis di tempat yang betul, berkembanglah bunga

Dua baris pembayang juga membawa gambaran keadaan tidak bersungguh-sungguh iaitu sambil berdayung sambil bermain. Sambil berdayung sambil bermain menunjukkan yang pendayung tak menumpukan perhatian pada sesebuah tugas, iaitu kasih yang tidak tertumpu  kepada satu saja. Akhirnya, perhubungan tersebut membawa kekecewaan.

Pengajaran pantun: Dalam percintaan, tolak ansur dan saling memahami sangat penting supaya hubungan kekal sehingga ke anak cucu.

Pantun bukan puisi semata-mata, tapi cara orang Melayu zaman dahulu menasihati atau mengkritik

Selain daripada hiburan dan seni, pantun juga dikatakan sebagai ‘alat kritik sosial’ pada zaman dahulu. Masyarakat Melayu yang amat terkenal dengan budi bahasa dan budaya ketimuran yang mementingkan “air muka” dan adab sopan telah menjadikan pantun sebagai alat kritik sosial yang amat berkesan. 

“Penggunaan pantun sebagai satu alat kritik sosial mencerminkan satu bentuk ketekalan minda yang dimiliki oleh masyarakat Melayu yang tidak mungkin ditelan zaman.

Pantun digunakan oleh masyarakat Melayu sebagai alat kritik sosial yang digunakan dari dahulu hingga sekarang.”- Zurinah Hassan, Sasterawan Negara Malaysia, dipetik daripada blognya.

Pantun Melayu adalah salah satu warisan Melayu zaman-berzaman yang boleh kita banggakan, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Untuk memahami sesebuah budaya, kita mestilah mempelajari bahasanya kerana bahasa jiwa bangsa.

Jadi sebelum menutup artikel ni, izinkan kami menyampaikan sebuah pantun.

Kalau anda ke Kelana Jaya,
Singgah sebentar di ofis kami,
Kalau anda bijak bergaya,
Komen bernas, dapat sos kami.