Korang tahu tak yang etnik Bugis ada LIMA jantina?

(This article has been translated and edited from our sister’s site, Cilisos)

Jantina ni bukanlah benda yang complicated pun. Kita biasa tahu yang jantina ni ada DUA, sama ada perempuan atau lelaki. Bagi kita, mudah. Tapi bagi sesetengah orang atau budaya, lain ceritanya.

Ada segelintir orang yang dikatakan lahir dengan Androgen Insensitivity Syndrome (AIS), di mana seorang lelaki tak boleh respon kepada hormonnya sebagai lelaki, menyebabkan dia berperwatakan perempuan. Selain tu, ada juga kes lain di mana diorang lahir dengan kedua-dua kemaluan lelaki dan perempuan, dan ia dipanggil khunsa. Diorang ni biasanya ada kromosom lelaki dan perempuan dalam masa yang sama.

Sesetengah negara di Asia Selatan mengiktiraf jantina ketiga yang dipanggil sebagai Hijra. Red Indian pun turut mengiktiraf jantina ketiga yang dipanggil sebagai Berdache (sekarang dipanggil dua-roh). Berdache ni dipercayai ‘senja’ yang terletak di antara pagi lelaki dan malam perempuan.

Dua orang hijra dari Bangladesh. Imej dari Pandeia.

Tapi baru-baru ni, kami dapat tahu yang Bugis dekat Selatan Sulawesi ada LIMA JANTINA YANG BERBEZA!

Serius ah ada LIMA jantina? TIGA lagi tu apa?

Kalau korang nak tahu, Bugis adalah salah satu kumpulan etnik yang berasal dari Sulawesi Selatan, Indonesia. Disebabkan orang zaman dulu banyak berhijrah, komuniti Bugis sekarang  ni ada kat mana-mana terutamanya di Sumatera, utara Australia dan juga Malaysia.

Malah, ada beberapa rakyat Malaysia yang terkenal berketurunan Bugis termasuklah Lisa Surihani, Yuna, Sultan Salahuddin Shah, Muhyiddin Yassin, dan tak ketinggalan, PM kita yang mengaku sebagai ‘Pahlawan Bugis’.

Kalau korang google ‘orang Bugis’, mesti keluar yang ni. Imej dari DinMerican

Berkenaan jantina, penduduk Bugis yang berasal dari Selatan Sulawesi mengiktiraf kewujudan kelima-lima jantina yang berbeza ni. Malah, setiap jantina boleh hidup bersama-sama dengan jantina lain.

“Terdapat LIMA jenis jantina, dan kita tak perlu pisahkan mereka berdasarkan jantina sebab kita semua kena hidup dalam keadaan harmoni. Kalau salah satu jantina dipisahkan, dunia ni takkan stabil” – Pawang Matoa, kepada National Geographic.

5 jenis jantina ini adalah:

  1. makkunrai – perempuan yang berperwatakan perempuan
  2. oroané – lelaki yang berperwatakan lelaki
  3. calalai – perempuan yang berperwatakan lelaki
  4. calabai – lelaki yang berperwatakan perempuan
  5. bissu – sejenis kombinasi

Calalai ni lahir dengan kemaluan perempuan tapi lebih maskulin. Kalau dalam masyarakat kita, calalai ni macam tomboy la. Diorang buat kerja kasar dan berpakaian macam lelaki. Mengikut kajian yang sama, agak normal untuk calalai ni beristeri dan ada anak.

(Kami ada tanya beberapa professor tempatan untuk mengesahkan perkara ini, tapi mereka masih tidak memberi jawapan.)

 

Calabai pula dilahirkan dengan kemaluan lelaki tapi lebih feminin. Kalau kat Malaysia, biasanya golongan macam ni dipanggil ‘lembut’. Calabai sebenarnya memainkan peranan penting dalam masyarakat diorang iaitu dengan menjadi Indo’ Botting (lebih kurang macam Mak Andam).

Ini gambarajah mudah untuk faham:

Imej dari Pinterest, Overly Manly Man, Butch Wonders, Encyclopedia Spongebobia dan Eligible Magazine

Dalam norma masyarakat Malaysia, calalai dan calabai ni mungkin dijadikan bahan ejekan. Tapi berbeza dalam masyarakat Bugis, diorang ni dianggap penting dalam sistem jantina.

Malah, Jamal Mohamad, pengurus program untuk  Pusat Warisan Melayu Singapura menceritakan pengalaman sendiri yang dia pernah tengok calalai dan calabai menari secara terbuka di perkahwinan Bugis Singapura (joget pondan) masa tahun 1980-an.

“Mereka adalah sekumpulan lelaki yang berpakaian seperti wanita, dan menari. Perkara ni nampaknya semakin pupus. Tapi itu lah sebenarnya yang berlaku – lelaki yang berperwatakan perempuan dan sebaliknya, dan kami tak rasa janggal.” – Jamal Mohamad, kepada Channel News Asia.

Tapi, macam mana pulak dengan bissu?

Bissu pulak adalah sebahagian lelaki, sebahagian wanita, sebahagian manusia … dan sebahagian dewa. APAAAAAAA????

Seorang Bissu yang menikam matanya dengan keris. Pemilikan semangat yang membuatkan dia kebal semasa proses tersebut. Imej dari Tribun Timur.

Kalau calabai dan calalai ni mengamalkan jantina berlainan daripada jantina kelahiran diorang, bissu ni pula lain sikit sebab diorang ni dilihat sebagai lelaki dan juga perempuan, DALAM MASA YANG SAMA. 

Bissu ni biasanya lahir sebagai khunsa. Tapi, ada juga yang lahir dengan salah satu jantina je. Kalau diorang lahir dengan salah satu jantina pun, jiwa diorang dipercayai adalah berlawanan jenis. Maksudnya, calalai dan calabai ni boleh jadi bissu juga kalau diorang nak.

Disebabkan diorang ni ada dua-dua jantina, bissu juga dilihat sebagai hubungan antara manusia dan dewa. Mereka ni merupakan shaman, atau dukun sebelum kedatangan Islam di Nusantara. Malah, mitos penciptaan Bugis menceritakan yang bissu adalah antara makhluk pertama di bumi.

“Kamu nak tahu macam mana dunia ni tercipta? Begini. Semasa di syurga, tuhan-tuhan bercadang untuk memberi kehidupan kepada planet yang sunyi ni. Jadi, mereka pun menurunkan dewa-dewa yang paling bercita-cita, iaitu Batara Guru. Tapi, Batara Guru ni tak pandai mengatur langkah.

Disebabkan perkara ni, dua orang Bissu diperlukan, jadi tuhan pun menurunkan mereka. Sesampainya mereka, Bissu menjadikan dunia ni indah dan mekar dengan mencipta bahasa, budaya, adat istiadat, dan semua perkara yang dunia perlukan. Begitulah permulaan dunia yang kita boleh lihat sekarang.” – Haj Bacco, untuk  Institut Antarabangsa untuk Pengajian Asia

Tapi, ada juga kisah lain yang mengatakan bissu ada kuasa semula jadi sebab mereka adalah lelaki dan perempuan, kekal abadi dan merupakan dewa.

Bissu di Bugis. Imej dari wikifoundry

“Pada suatu masa dahulu, ada seorang lelaki yang bernama Sarawigading yang nak berkahwin dengan seorang perempuan yang bernama WeCudai. Tapi, WeCudai tinggal di sebuah pulau, di tengah-tengah sebuah tasik. Satu-satunya cara untuk ke sana adalah dengan menaiki bot, tapi Sarawigading tak mempunyai bot.

Jadinya, dia nampak sebuah pokok yang besar di tepi tasik, dan bercadang untuk menebang pokok tu untuk membuat sebuah bot. Tapi, pokok tersebut terlampau besar dan dia dah cuba sedaya-upaya untuk menebangnya. Sarawigading tersangat-sangat kecewa, dan dia menangis sehingga malam hari sebab nampak macam tiada harapan langsung. Bagaimanapun, seorang bissu di syurga terdengar tangisannya dan turun ke dunia untuk menolongnya.

Bissu kemudian berkata, “Jangan risau, saya akan tolong awak tebang pokok ni dan buat sebuah bot. Dengan kekuatan Bissu sebagai kedua-dua jantina, dia pun berjaya menumbangkan pokok tu” – Naratif Bugis Lama dari IIAS, diedit supaya lebih jelas.

Bissu dipercayai merupakan satu-satunya bentuk manusia yang boleh dirasuk roh, dan mestilah mempunyai hubungan yang baik dengan dunia roh. Diorang juga perlu menggabungkan sifat-sifat lelaki dan perempuan melalui pemakaian. Bissu boleh membawa pisau lelaki (badi’), dalam masa yang sama memakai bunga di rambutnya. Bukan calang-calang orang boleh jadi bissu ni.

Ada elemen lelaki dan wanita dalam kostum. Imej dari Akkadium College

Macam mana pulak diorang ni boleh jadi bissu? Kalau nak tahu, mana-mana kanak-kanak yang menunjukkan hubungan diorang dengan dunia roh masa berumur 12 tahun, dia akan dipersiapkan untuk menjadi Bissu.

Secara tradisinya, bissu dikehendaki untuk menghafal teks Bugis suci dan menjalani ritual perasmian yang boleh mengancam nyawa. Mereka yang bakal menjadi Bissu akan dibaringkan di atas rakit buluh, di tengah-tengah tasik selama 3 hari dan 3 malam tanpa makan, minum atau bergerak. Kalau mereka ni mampu bertahan, dan boleh bercakap fasih dalam bahasa bissu suci, dia akan diterima sebagai bissu.

Ujian yang dilakukan merupakan satu daya ketahanan yang sangat tinggi. Mana taknya, Bissu yang dipilih mempunyai tempat yang teristimewa dalam masyarakat. Ada antara diorang yang jadi VIP di mahkamah diraja dan diberikan tanah serta sawah sendiri. 

Perubahan budaya dan kepercayaan Bugis sebelum dan selepas Islam

Selain daripada memberikan nasihat rohani kepada raja, peranan utama Bissu juga adalah untuk memberikan berkat kepada hampir setiap aspek kehidupan masyarakat Bugis. Dari penanaman padi, perkahwinan, buat rumah, dan juga bagi berkat kat orang yang nak menunaikan haji di Mekah! Serius ke bagi berkat kat orang yang nak tunaikan haji kat Mekah? Diorang ni Islam ke?

Di sini, Bugis berjaya membawa elemen daripada kedua-dua agama dan menggabungkannya. Menurut Sureq Galigo, iaitu mitos penciptaan Bugis, ada dewa tertinggi bernama Papunna. Dari Papunna, datang seorang lelaki dan seorang perempuan yang berkumpul dan melahirkan beberapa pasangan dewa.

Pasangan ini ditugaskan untuk melihat pelbagai peringkat dunia, dengan lelaki yang menetap di puncak Surga sebagai Datu Patoto, aka ‘putera yang memperbaiki takdir’. 

Bukan putera ni, putera ni menyebabkan semua perempuan nak ditakdirkan dengan dia. Imej dari theroyalforums.com

Kebanyakan orang Bugis percaya yang Patoto adalah nama lain bagi Allah, dan bissu boleh panggil mana-mana dewa untuk merasuk diorang. Sebelum nak panggil dewa, diorang akan memulakan upacara tu dengan mencari rahmat dan nasihat Patoto terlebih dahulu. Beberapa amalan Bugis lama macam berjalan atas api dah dimansuhkan oleh Bissu yang percaya benda tu adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Hidup calalai, calabai dan bissu pernah diancam teruk satu waktu dulu

Seorang penyelidik kebudayaan menceritakan tentang pandangan dunia Bugis di Sulawesi Selatan di mana bagi diorang, Allah adalah satu-satunya Tuhan, tetapi Allah mempunyai pembantu, dan mereka adalah dewata (dewa-dewa lain). Tapi, kepercayaan ni nampaknya tak sama dengan pandangan orang lain:

“Apabila Indonesia memperoleh kemerdekaan, Bissu kehilangannya (kemerdekaan).” – Halilintar Lathief, ahli antropologi Universiti Hasanudin, seperti yang dipetik dari Al-Jazeera

Halilintar Lathief merupakan pensyarah di sebuah universiti di Negeri Makassar, Indonesia . Imej dari twitter

Halilintar kata, masa Belanda lepaskan Indonesia pada 1949, ramai Bissu, Calabai dan Calalai  dianiaya dan diserang. Ada yang dibunuh dengan cara yang kejam, dan tak kurang juga yang dibotakkan kepala sebagai tanda diorang ni songsang.

Masa tahun 1950-an pula, ada satu gerakan yang dinamakan Muhammadiyah yang kemudiannya mengharamkan Bissu. Tapi ada satu gerakan yang lagi ekstrem, iaitu Darul Islam yang dikatakan berunsur keganasan. Ada satu kisah di Bandar Bonean di mana orang ramai dilaporkan memenggal kepala seorang bissu, dan kemudiannya membawa kepala tersebut berarak di sekeliling bandar, mengayun-ayunkan kepala tu dengan rambut bissu yang panjang.

Lebih kurang macam ni la, tapi ni bukan gambar sebenar.

Golongan Muhammadiyah dikatakan menyalahkan tafsiran yang menggunakan pengaruh peraturan kafir. Ramai yang bersembunyi, sama ada tinggal di dalam gua, hutan, dan tak kurang juga menyamar dan berpakaian seperti lelaki atau perempuan untuk mengaburi mata gerakan ini.

“Ramai yang dianiaya oleh penyokong gerakan Darul Islam dan Muhammadiyah atas alasan mereka bersekutu dengan roh-roh setempat serta mengamalkan sihir, serta sifat mereka yang sedikit atau secara terang-terangan seksual – membuatkan kewujudan mereka bercanggah dengan ajaran Islam ortodoks.

Kebanyakan penduduk tempatan yang saya jumpa ingat tentang sepasukan orang Islam membunuh Bissu, menghancurkan gendang dan instrumen lain, dan memusnahkan kostum tarian wanita tempatan, macam baju bodo, iaitu baju wanita berlengan pendek (sebab mendedahkan lengan wanita). ” – R. Anderson Sutton, penulis Calling Back the Spirit: Muzik, Tarian dan Budaya Politik di Lowland Sulawesi Selatan.

Perkampungan Bugis pada 1999 yang masih hidup, tetapi sangat terpencil di Pekajang

Tertarik dengan budaya Bugis, pensyarah di UKM, iaitu Dr Rahilah, pernah ke Indonesia sendiri untuk membuat kajian tentang orang Bugis di sana. Beliau bersama beberapa pengkaji dari negara-negara lain, termasuklah Sharyn Graham Davies, di mana kajiannya juga diguna pakai dalam artikel ni.

Dr Rahilah Omar, pensyarah senior di UKM dan kajian Bugisnya. Imej dari UKM

Menurut Dr Rahilah, dia sempat ke sebuah perkampungan di Pekajang yang masih mengamalkan amalan Bugis yang sangat kuat,

“Semasa saya ke salah sebuah perkampungan Bugis di Pekajang (Indonesia) pada tahun 1999, mereka masih mengamalkan amalan Bugis yang kuat. Sebelum nak masuk ke kampung tersebut pun, kena buka kasut untuk melalui jalan tersebut, maksudnya berjalan dengan berkaki ayam.

Sarung hitam akan diberi untuk menutup pakaian yang dipakai. Mereka mengamalkan hidup tradisional dengan makan dan minum di dalam tempurung. Begitulah, masih kuatnya amalan Bugis di kampung tersebut.”- Dr Rahilah Omar ketika ditemubual Soscili dalam talian

Berikut merupakan antara cerita orang tempatan kepada Dr Dr Rahilah. Tak lama dulu, ada seorang pahlawan Bugis yang bernama Arung Palakka. Dia merupakan putera raja sebuah negeri yang bernama Bone. Bone pada masa tu ditakluki oleh Gowa, dan Arung Palakka bertekad untuk membebaskan Bone daripada penjajahan Gowa. Dia akhirnya berjaya menumpaskan Gowa di Makassar, dan dianugerahkan sebuah selempang yang diperbuat daripada emas seberat 5 kati.

Gowa ke Bone ni takde la jauh mana, macam KL ke Ipoh je. Imej dari google maps

Menurutnya lagi, selempang tersebut masih wujud sehingga kini. Setiap penghujung April atau Mei, orang-orang Bugis di negeri Bone akan membuat ritual pembersihan regalia, yang diketuai oleh Bissu. Antara barangan yang ‘dibersihkan’ adalah selempang seberat 5 kati tersebut.

Ritual yang dibuat tu juga bukanlah pembersihan semata-mata, tapi juga macam sebuah penilikan di mana selempang 5 kati tersebut akan ditimbang. Jika selempang tersebut seberat 5 kati atau lebih, rakyat di negeri tu akan hidup aman dan makmur dengan rezeki yang melimpah ruah pada tahun tersebut. Tapi kalau kurang pula, itu bermaksud mereka harus bersedia menghadapi kemarau sepanjang tahun yang sama.

Ada usaha untuk mengembalikan budaya lama Bugis ini

Imej dari Al Jazeera

Berdasarkan laporan pada tahun 2015, bandar Gowa di Indonesia dah takde Bissu. Di sebuah bandar bernama Bone pulak, cuma ada dua Bissu je yang masih tinggal. Manakala bandar Sigeri pula ada empat saja daripada 40 orang sebelum ni. Ramai bissu tinggal dalam ketakutan sebabnya banyak gerakan aktif yang menentang mereka.

“Ada desas-desus pada masa tu yang mengatakan, kalau ada sesiapa yang ternampak ketiga-tiga jantina selain daripada lelaki dan perempuan, amalan kebaikan mereka takkan diterima Tuhan selama TUJUH HARI. Sebab itu mereka kemudiannya dihapuskan. Kesemua trauma tu memberi kesan kepada beberapa generasi. Jadi, ia sesuatu yang menakjubkan bila ada lagi Bissu yang masih hidup sehingga ke hari ni”- kata Halilintar kepada Al-Jazeera

Bagaimanapun, calabai masih wujud pada zaman ini. Kebanyakan calabai muda pada hari ni mencari nafkah dengan bekerja di salon, menyediakan perkhidmatan kecantikan atau mengaturkan majlis perkahwinan, yang jauh lebih lumayan daripada menjadi bissu tanpa pendapatan bulanan.

“Sekarang ni calabai nampak tanggungjawab nak jadi bissu ni semakin susah. Kalau ada upacara je, mesti kena pergi. Padahal calabai sekarang sibuk” – Miska, seorang guru Bahasa Inggeris transgender, untuk Al-Jazeera

Sebenarnya, ada je usaha untuk kekalkan budaya bissu ni. Masa akhir tahun 1990, organisasi Halilintar iaitu Latar Nusa pernah mulakan program untuk membawa Bissu di Segeri ni untuk keluar daripada persembunyian diorang, iaitu dengan mengatur pertemuan di antara bissu dan masyarakat tempatan.

Program ni agak berjaya sebenarnya sebab bissu pertama yang diperkenalkan balik adalah pada 2002, iaitu lepas berdekad lamanya diorang hilang. Ritual Bissu ni kemudiannya ada balik di Segeri, tapi disebabkan zaman dah berubah, diorang punya masa depan nampaknya samar-samar. Program Halilintar kemudiannya berakhir pada tahun 2003, dan Bissu terakhir di Sigeri meninggal dunia pada tahun 2011.

Seorang Bissu yang dijumpai di Sulawesi Selatan pada 2013. Imej dari Al Jazeera

Warisan budaya merupakan salah-satu faktor yang melakar identiti satu-satu bangsa. Sistem lima jantina yang diperkenalkan Bugis sebenarnya adalah contoh warisan budaya tidak ketara (intangible heritage) macam tradisi lisan yang lain, iaitu tarian etnik dan lagu.

Walaupun terdapat banyak ancaman terhadap warisan budaya, tapi ancaman yang biasa kita jumpa adalah globalisasi, khususnya globalisasi budaya di mana idea, maksud dan nilainya boleh mempengaruhi komuniti lain, yang menyebabkan hibridisasi. Contohnya bila Bugis mencampur adukkan mitos dengan kepercayaan dalam Islam.

Kat Malaysia pun, ada je warisan budaya yang diharamkan. Bila kerajaan PAS mengambil alih Kelantan pada tahun 1991, diorang mengharamkan Mak Yong dan beberapa kesenian lain macam Wayang Kulit, Menora dan Main Puteri kerana didakwa mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan akidah, seperti pemujaan.

Klik sini untuk baca artikel kitorang pasal kisah Mak Yong.

“Masalah aurat adalah sebahagian daripadanya, dan juga  berpakaian seperti wanita. Tapi sebab yang paling besar adalah berkenaan dengan wanita, kerana wanita tidak sepatutnya dilihat di atas pentas, ” – Eddin Khoo, aktivis kebudayaan, untuk Malay Mail Online.

Walaupun dah lama diharamkan, masih ada yang nakkan budaya tradisi ni untuk terus hidup. Malah tak lama dulu, UNESCO pernah  menggesa kerajaan negeri Kelantan supaya menarik balik larangan persembahan tarian Mak Yong dan lain-lain seni tradisional Melayu di sana.

Seni mestilah disampaikan kepada generasi akan datang supaya dapat dipelihara

Eddin Khoo, pengasas Seni Pusaka. Imej dari Seni Pusaka

Kumpulan macam Seni Pusaka  juga  menyokong para penghibur yang telah memelihara warisan diorang melalui pendedahan dan usaha pemeliharaan. Malah, pengamal seni tu sendiri bekerja keras untuk pastikan kesenian ni takkan hilang bila diorang sampaikannya kepada generasi akan datang.

“Seni budaya ini juga telah diturunkan kepada generasi muda, membuktikan bahawa budaya, memori dan susur galurnya lebih penting kepada sebuah masyarakat berbanding politik dan ideologi yang cuba menekankan hal yang sebaliknya,” – Eddin Khoo, dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight.

Malah pada tahun 2012, Tuan Guru Nik Aziz (allahyarham) telah membenarkan kembali persembahan wayang kulit selepas ceritanya dibuang unsur-unsur yang bertentangan dengan islam dan diubah kepada cerita-cerita realiti yang menambah ilmu.

P/S: Sumber yang kami dapat untuk menulis artikel ni kebanyakannya adalah sumber daripada National Geographic, Al Jazeera, dan beberapa kertas kajian Barat yang lain. Kami juga banyak menghantar persoalan kepada profesor dan ilmuan tempatan, tapi sampai sekarang masih menunggu jawapan mereka.