PAS ‘gempur’ Wisma Tok Guru, AMANAH kata ada konspirasi. Mana satu yang betul?

Macam-macam yang berlaku dalam politik tanah air kita ni. Sebelum ni kitorang dah cerita pasal kes perebutan kerusi antara parti-parti politik. Tapi rupa-rupanya, ada lagi yang direbutkan oleh parti-parti politik selain kerusi parlimen dan DUN. Sebabnya kali ni diorang berebut bangunan pulak.

Bangunan? Ye, itulah yang direbutkan oleh PAS dan AMANAH sekarang ni. Sebabnya, baru-baru ni kita dilaporkan dengan tindakan Pemuda PAS yang dah ‘menggempur’ Wisma Tok Guru yang terletak di Kota Bharu, Kelantan. Wisma itu juga sekarang ni digunakan oleh Parti Amanah Negara (AMANAH). Dalam kejadian tu, seramai lebih 150 ahli Pemuda PAS dah berkumpul di bangunan tu pada jam 9 malam (22/10/2017).

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Fadzli Shaari tengah bagi ucapan. Imej dari BH Online.

Pemuda PAS juga dah bertindak memacakkan bendera parti itu sebagai tanda bangunan itu milik PAS. Keadaan tu sedikit sebanyak dah mewujudkan ketegangan di antara para penyokong AMANAH dan PAS. AMANAH melalui pemimpinnya, Datuk Husam Musa dah menegaskan yang partinya tak akan berganjak dari bangunan tersebut.

Hal ini juga nampaknya dah menimbulkan banyak kekeliruan di kalangan masyarakat. Disebabkan itu, kita nak tahu apa sebenarnya yang berlaku ni. Tapak tanah bangunan tu milik siapa sebenarnya?

Tanah tapak Wisma Tok Guru ni pada asalnya adalah milik veteran politik yang juga ahli AMANAH

Sebelum apa-apa mari kita kenal dulu apa itu Wisma Tok Guru. Pada asalnya, bangunan Wisma Tok Guru ni adalah Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor iaitu arwah Datuk Ahmad Rosli Ibrahim dari Parti Semangat 46 (S46) dari tahun 1990 sampai 1996.

Bila S46 dibubarkan, Ahmad Rosli masuk balik UMNO dan masih menjadi ADUN Salor dari tahun 1996 sampai 1999. Pada tahun 2006 pula, dia masuk ke dalam PAS dan kemudiannya pada tahun lepas menyertai AMANAH. Bagaimanapun, Ahmad Rosli meninggal dunia pada 27 Julai lalu.

Allahyarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim. Dipetik dari malaysiadateline.com

Selepas Datuk Husam Musa jadi ADUN Salor pada tahun 2004, pusat khidmat masyarakat tu diserahkan pula kepadanya. Malah, bangunan tambahan juga dibina. Tapi bila Husam dipecat dari PAS, bangunan itu kemudiannya menjadi markas AMANAH Kelantan.

Tapi persoalan yang timbul sekarang adalah, tanah tu milik siapa? Ini kerana, sebelum ini dalam laporan media – ADUN Meranti yang juga exco negeri Kelantan, Datuk Nasaruddin Daud ada kata yang tapak bangunan tu milik kerajaan negeri. Jadinya, Nasaruddin mempertikaikan tindakan Husam Musa yang menggunakan bangunan itu.

“Saya dah semak tanah itu hak kerajaan. Nak keluar PAS, keluarlah. Nak ambil pejabat PAS kenapa?” – Datuk Nasaruddin Daud, Exco Kerajaan Negeri Kelantan. Dipetik dari Malaysiakini.

Bendera AMANAH yang gah berkibar kat Wisma Tok Guru. Imej dari New Straits Times.

Tapi nampaknya, dakwaan ni dinafikan oleh Ahmad Rosli yang pernah menjadikan Wisma Tok Guru sebagai pusat khidmat masyarakatnya. Ia dinafikan dalam satu majlis ceramah AMANAH.

“Saya nak beritahu anda semua, tanah ini saya beli sejak dulu lagi. Iaitu saya beli daripada arwah Minah Binti Musa…Kebetulan masa tu anak dia bernama Yusuf, arwah belaka dah. Dia jual pada saya dengan harga RM5,800. Kerana apa dia jual? Masa tu dia (Yusuf) nak menikah, tapi tak ada duit nak buat belanja. Saya namakannya untuk Harifah Binti Dollah, isteri saya.” – Datuk Ahmad Rosli Ibrahim, bekas ADUN Salor. Dipetik dari Hj Hashim Omar (Youtube Channel).

Jadinya di sini, jelas menunjukkan yang tanah tersebut pada asalnya adalah milik Ahmad Rosli, yang dinamakan untuk isterinya. Dalam waktu yang sama, Ahmad Rosli juga dah buat pengakuan yang dia serahkan bangunan dan tanah itu kepada Husam Musa.

“Saya beri kelulusan (kebenaran) kepada Datuk Husam Musa, dia sebagai pejuang rakyat, dia berjuang royalti, itu dan ini. Saya bagi satu surat rasmi kepada Datuk Husam Musa, saya kata gunalah (bangunan dan tanah ini) Datuk, tak usah bayar sewa…Bukan kata saya ni ada duit, tapi saya tak pernah mewakafkan (tanah ini) kepada PAS.” – Datuk Ahmad Rosli Ibrahim, bekas ADUN Salor. Dipetik dari Hj Hashim Omar (Youtube Channel).

Itulah dia cerita disebalik siapa sebenarnya pemilik asal tanah dan bangunan yang menjadi rebutan AMANAH dan PAS ini. Tapi buat masa sekarang, kita juga dilaporkan yang tanah tu dah dijual. Kerana itulah, dakwaan yang mengatakan Husam Musa dan AMANAH tak layak tinggal kat situ timbul.

Husam Musa dakwa ada konspirasi di sebalik kejadian ini

Munurut laporan, notis pengosongan dah dikeluarkan kepada Datuk Husam Musa pada 15 Oktober 2017 lepas. Dalam notis itu, AMANAH diberikan tempoh 30 hari untuk mengosongkan bangunan itu, senang cerita tarikh akhirnya pada 16 November depan.

“Notis pengosongan telah dikeluarkan pada 15 Oktober lalu. Mereka tiada alasan untuk ingkar kerana jelas tanah dan bangunan tersebut adalah milik PAS. Jadi apabila kita meletakkan bendera di kawasan wisma itu ia adalah satu petanda bahawa dengan apa cara sekalipun pada 16 November depan, kita tidak mahu lagi melihat kelibat AMANAH.” – Nazman Che Iberahim, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan. Dipetik dari Malaysiakini.

Sebenarnya seperti yang dikatakan kat awal tadi, tanah tu rupa-rupanya dah dijual. Sumber PAS Kelantan memberitahu, telah ada satu persetujuan antara pemilik tanah dan pembeli untuk menjual tanah tu dengan harga RM700,000.

“Urusan pindah milik diselesaikan 18 September lepas dan berikutan itu notis dikeluar pejabat peguam bagi membolehkan mereka yang berada di bangunan di situ mengosongkan premis dalam tempoh sebulan.” – Dipetik dari Harakah Daily.

Imej asal dari New Straits Times.

Bagaimanapun, Husam Musa yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan bertindak tak terima dan mencabar notis itu. Husam juga dakwa yang arahan itu sebenarnya tak jelas dan mengelirukan. Kerana itulah dia akan failkan semakan di mahkamah terhadap perkara ini dan tegas mengatakan AMANAH tak akan berganjak dari Wisma Tok Guru.

“Notis (mengosongkan bangunan) itu kepada siapa? Kalau kepada saya, kenapa beri kepada saya?…Kalau hantar notis itu kepada saya, bermakna tanah itu hak saya. Saya tidak tinggal di situ, sebaliknya AMANAH Kelantan.” – Datuk Husam Musa, ADUN Salor. Dipetik dari Malaysiakini.

Menurut Husam lagi, tanah tu dah dijual dan dipindah milik kepada seorang yang bernama Mohd Yasin bin Yusof. Dimaklumkan Mohd Yassin juga berkerja sebagai Setiausaha Kerja PAS Kelantan. Ketua Pemuda PAS Kelantan, Fadhli Shaari juga mengatakan bangunan tu dah jadi milik PAS Kelantan apabila pembelian yang sah telah dilakukan oleh setiausaha kerja PAS sebagai pemegang amanah.

Walaupun Mahfuz Omar pakai baju warna oren, dia masih kekal dalam PAS. Imej dari tv14.my

Bagaimanapun, bagi Husam, kejadian ini berlaku disebabkan adanya unsur-unsur konspirasi dan dendam. Ini kerana, ada perkara yang tak berapa kena pasal proses pembelian tanah tersebut. Ia terjadi apabila…

“Timbalan DO (Pegawai Daerah), Pejabat Tanah Jajahan Kota Bharu, di dalam keadaan luar biasa pergi ke rumah isteri allahyarham Datuk Rosli. Buat tandatangan borang 14 pergi pindah tanah itu. Saya diberitahu begitu, betul atau tidak saya tak tahu juga. Kalau Timbalan DO ni pergi ke rumah orang berkenaan, tentulah tuan dan puan berasa pelik. Biasanya orang yang nak tukar (hak milik) tanah ni yang pergi ke pejabat DO, ini DO yang pergi ke rumah orang. Tak ke pelik?

Menurut sesetengah orang, 5 orang tengah pergi jumpa Datin tadi. Ibrahim Bakri (Timbalan DO), seorang lagi dari pejabat tanah, 2 orang peguam (dan) satu orang bernama Ibrahim bin Isa. Pergi minta Datin untuk tandatangan pagi hari. Kalau Datin benar-benar nak jual tanah, kenapa tak pergi ke pejabat tanah? Boleh ke kalau saya nak jual tanah, DO pergi rumah saya, boleh ke?” – Datuk Husam Musa, ADUN Salor. Dipetik dari Hj Hashim Omar (Youtube Channel).

Ermmm…

Selain itu, Husam juga dakwa status jual beli tanah itu meragukan. Ini kerana, status hak milik tanah ni masih lagi dalam pertikaian antara pewaris arwah Ahmad Rosli dan balunya. Malah, ia pun masih dalam perbicaraan Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan.

“Dan kebetulan pula, oleh kerana Datuk dan Datin ini tak ada anak, maka dari segi pusaka harta-harta Datuk Rosli ni dan sebahagiannya atas nama isterinya hendaklah dibahagi terlebih dulu sebagai penyelesaian pusaka dengan adik beradik dia dan mak arwah Datuk Rosli. Oleh kerana itu, adik beradik dia memfailkan tuntutan pusaka.

Bicaranya pada 23/10/2017. Pusaka belum selesai lagi, dan kalau betul PAS pergi beli, maknanya Pas ni kita boleh tukar adik kakak. Seluas- luas tanah dan sebanyak-banyak bangunan di dunia ini, dia hendak beli yang tu jugak.” – Datuk Husam Musa, ADUN Salor. Dipetik dari Hj Hashim Omar (Youtube Channel).

Imej asal dari knsgroup.in

Bagaimanapun kenyataan yang mengatakan tanah itu sebagai tanah pusaka dinafikan oleh Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah  Mat Nawi. Menurutnya, pemilik tanah itu adalah Harifah Dolah isteri kepada arwah Ahmad Rosli.

“Mungkin isterinya tahu cerita sebenar, bangunan itu milik Pas, oleh sebab itu beliau tidak ada masalah untuk menjualnya. Surat  amanah dikeluarkan (allahyarham) mengatakan Husam berhak ke atas tanah itu juga sudah tidak sah, mengikut undang-undang penama dalam geran sahaja yang berhak bertindak.” – Datuk Che Abdullah  Mat Nawi, Setiausaha Pas Kelantan. Dipetik dari Sinar Harian.

PAS nafi ambil alih Wisma Tok Guru kerana dendam

Disebabkan perkara-perkara yang disebutkan tadi, maka Biro Undang-Undang (KANUN) AMANAH ada mencabar Pemuda PAS untuk mendedahkan butiran perjanjian jual beli. KANUN juga rasa was-was dengan pemilik tanah baru tu yang memegang tanah sebagai amanah kepada PAS. Sebabnya, tak ada sebarang catatan ‘pemegang amanah’ di atas geran hak milik tanah tersebut.

Dalam masa sama, PAS juga nafikan tuduhan yang kata parti tu ada konspirasi dan nak balas dendam. Ini kerana, menurut PAS Kelantan, sejak sekian lama tanah tu adalah milik PAS, termasuk juga usaha ahli-ahlinya yang membina bangunan tersebut. PAS juga nak Husam Musa buktikan yang bangunan tu dibina dengan guna duit peribadinya.

AMANAH pulak suruh PAS buktikan. Klik imej untuk baca lebih lanjut.

Selain itu, Pemuda PAS nampaknya dah bagi amaran kat AMANAH supaya tinggalkan bangunan Wisma Tok Guru sebelum notis pengosongan tamat pada 16 November ini. Mereka juga nafikan tindakan memacakkan bendera di sekitar bangunan itu sebagai berniat mewujudkan provokasi.

“Kita dapati AMANAH cuba mengingkari notis tersebut apabila dikatakan mahu mengadakan program pelancaran jentera pilihan raya bulan depan. Jadi apabila kita letakkan bendera dikawasan wisma itu adalah satu petanda bahawa dengan apa cara sekalipun 16 November ini kita tidak mahu lagi lihat kelibat parti itu di bangunan tersebut.” – Nazman Ibrahim,  Ketua Penerangan Pemuda Pas Kelantan. Dipetik dari Sinar Harian.

Semangat para pemuda PAS. Imej dari nanatanjungcafe74.wordpress

Pemuda PAS juga menegaskan yang bangunan tu tetap jadi milik PAS secara sah, selagi AMANAH tak failkan semakan kat mahkamah. Buat masa sekarang, difahamkan AMANAH masih lagi belum memfailkan semakan tersebut.

“Ertinya, pihak Husam ‘akan’ memfailkan ke mahkamah dan belum difailkan permohonan untuk mencabar kesahihan pemilikan dan jual beli. Justeru, sehingga ke hari ini, jual beli adalah sah dan pemilikan adalah sah sehingga mahkamah menentukan sebaliknya.” – Ahmad Fadhli Shaari, Ketua Pemuda PAS Kelantan. Dipetik dari Malaysian Digest.

Sebelum ni ada juga perebutan PAS dan AMANAH kat Perak dan Johor

Sebenarnya, sebelum ni ada juga beberapa kes perebutan bangunan antara PAS dan AMANAH, antaranya kes yang berlaku di Perak dan Johor. Dalam kes di Perak, PAS nampaknya berjaya ambil semula markas PAS yang dijadikan Wisma Amanah yang pertama di negeri itu.

Di Johor pula, PAS dah tuduh AMANAH merampas tiga markas PAS di Pontian, Bakri dan Kota Tinggi. Bagaimanapun, hal ni dinafikan AMANAH dengan kata pemilik asal ketiga-tiga markas tu dah mewakafkan bangunan-bangunan tersebut kepada AMANAH. Tapi AMANAH masih menghormati keputusan yang dibuat oleh pemilik asal markas PAS di Tenggara yang mewakafkan semula bangunan itu kepada PAS.

“Pemilik asal mengubah keputusan dengan memberi semula bangunan itu kepada Pas dan kami hormati keputusan itu…Daripada berpuluh-puluh markas Pas di Johor, AMANAH memiliki tiga sahaja. Adakah ini dikatakan merampas. Pemilik asalnya masih hidup dan wajar rujuk kepada mereka dan tidak menyalahkan AMANAH.” – Dzulkefly Ahmad, Timbalan Pengerusi Amanah Johor. Dipetik dari Sinar Harian.

Klik imej untuk baca.

Kesimpulannya, semakin dekat dengan pilihan raya ni, maka semakin banyaklah berita-berita dan cerita-cerita politik yang akan timbul. Seperti mana yang kita tahu, sokongan akar umbi dan jentera parti sangat penting dalam usaha menarik penyokong di PRU nanti. Sesebuah parti politik juga akan sentiasa berusaha menunjukkan parti mereka sebagai sebuah parti yang kuat dan tidak akan membiarkannya dipandang rendah.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.