- 39Share sekarang!
- Email2
- Facebook37
- Share
Pada bulan Ramadan, ramai orang nak kejar ganjaran pahala yang berlipat ganda. Kedatangan Ramadan juga menginsafkan umat Islam, malah Allah SWT memberi peluang untuk hamba-Nya menebus kesilapan dan memperbanyakkan amalan.
Masa ni lah, ramai orang membuat kebaikan dan kebajikan seperti mengadakan majlis berbuka puasa, memberi makanan percuma dan bersedekah kepada golongan yang memerlukan. Namun begitu, ada sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan membuat sesuatu atas nama agama.
Gunakan ayat ‘infaq’ untuk lariskan jualan kurma pada bulan Ramadan
Bersahur dan berbuka puasa sepanjang Ramadan rasa tak lengkap tanpa buah kurma. Selain merupakan makanan sunnah, ia juga banyak khasiat dan pemanis semulajadi.
Baru seminggu lebih berpuasa, kami mendapat tahu ada pihak yang menjadi ‘penunggang agama’ dengan menaikkan harga kurma dan menggunakan alasan ‘program infaq’. Sedang orang lain sibuk mengejar pahala, ada yang sempat mengejar duit!
Terdapat satu posting di sosial media, Mohd Fadli Salleh yang merupakan seorang guru membongkarkan kegiatan tak bertauliah tersebut. Lebih-lebih lagi, pembekal kurma tak sepatutnya meletakkan harga ‘yahudi’ walaupun niat untuk membantu membekalkan kurma ke rumah kebajikan atau rumah anak-anak yatim.
“Beli kurma pukal 5 tan. Sekilo jatuh harga RM5. Lepas tu main game sedekah pada pusat tahfiz, masjid, rumah anak yatim dan seumpamanya untuk lariskan jualan.” — Mohd Fadli Salleh, dipetik dari Facebook.
Kita masih boleh terima lagi kalau meletakkan harga yang tinggi untuk kurma yang betul-betul berkualiti. Tambahan pula, dalam Islam juga ada etika perniagaan.
“Tauke senyum buat untung mudah RM45 x 5000kg = RM225,000. Tolak kos gaji budak-budak dan runner RM25K, masih untung bersih RM200K.” — tambahnya lagi, dipetik dari Facebook.
Pihak yang tak bertanggungjawab menggunakan nama-nama tertentu demi ‘memancing’ pembeli untuk bersedekah dan infaq. Walaupun begitu, ramai orang kurang peka dengan kegiatan ni sebab memikirkan pahala bersedekah.
Selepas itu, pihak tersebut menghantar kurma sesuka hati tanpa bertanya sama ada pusat tahfiz atau rumah anak yatim memerlukan atau tak. Lebih parah lagi apabila banyak pusat tahfiz dan rumah anak yatim menerima lambakan kurma sehingga menjadi pembaziran.
“Depa main hantar je kurma sebab orang dah beli dengan depa, bukan depa peduli rumah anak yatim or pusat tahfiz tu perlukan atau tidak. Janji dia dah hantar.” — Mohd Fadli Salleh, dipetik dari Facebook.
Bayangkan kalau beratus-ratus orang menginfaq kurma, mesti jenuh diorang nak habiskan. Akan tetapi, ni bukan kali pertama berlakunya “bisnes produk agama” semasa bulan Ramadan. Korang mesti pernah dengar kes sindiket…
Sindiket ‘program wakaf al-Quran’ yang berleluasa
Selain infaq, sindiket penipuan wakaf al-Quran dikatakan paling senang nak buat duit. Sindiket yang menggunakan nama madrasah dan pusat tahfiz selalu mencari ‘mangsa’ di tempat awam atau diluar bank. Biasanya, sindiket ni dilakukan oleh sekumpulan lelaki remaja atau lelaki dewasa.
Ada pihak yang membuat program wakaf al-Quran di sosial media serta menawarkan hadiah untuk menarik perhatian orang ramai. Sebagai contoh, menawarkan pakej menunaikan umrah pada bulan Ramadan.
Yang paling menarik ialah penganjur wakaf menunggang agama habis-habisan dengan menetapkan bayaran sehingga RM 600 bagi setiap naskhah al-Quran, malah memberitahu akan menyumbang kepada sekolah tahfiz atau kelas pengajian Islam.
Kalau korang nak tahu, bulan lepas ada satu sindiket wakaf al-Quran untuk Mekah dan Madinah yang menjadi keraguan netizen di Twitter, namun sempat dipadam selepas disyaki menipu.
“Punya la beratus ribu/juta quran Saudi cetak dan edarkan seluruh dunia secara PERCUMA, kita pula nak waqaf ke dia” — @is_storytotell, dipetik dari ciapan Twitter.
Memberi kepada saluran yang betul dan dipercayai
Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 261 yang bermaksud:
“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.” – Ayat 261
Kepada pemberi infaq atau pemberi sedekah, korang kena selidik terlebih dulu sebelum menyumbang untuk mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan. Zaman sekarang ni, korang juga boleh mewakaf secara tunai dan beri kepada pengurusan institusi agama.
Selain itu, korang boleh terus infak dan sedekah ke akaun rasmi pusat tahfiz yang memerlukan atau memberi sumbangan sendiri di surau atau masjid yang berdekatan. Elakkan juga bagi sumbangan ke third party serta jangan terlalu percaya iklan menderma di sosial media yang memusykilkan.
Korang rasa kan… dah berapa ramai yang mengambil kesempatan menggunakan nama agama untuk kepentingan sendiri?
- 39Share sekarang!
- Email2
- Facebook37
- Share