
- 861Share sekarang!
- Facebook815
- Twitter3
- LinkedIn0
- Email43
UPDATE 19/6/2019: QS World University Rankings mencapai ranking tertinggi dalam sejarah apabila berada pada kedudukan ke-70. Kedudukan UM ni melonjak sebanyak 17 anak tangga dari posisi ke-87 pada tahun 2018.
Ini satu sejarah baru buat pendidikan Malaysia. QS ranking bukanlah suka hati je, tapi ia ditentukan melalui 6 cara iaitu reputasi akademik (40%), reputasi majikan (10%), nisbah pelajar/fakulti (20%), citation setiap fakulti (20%), nisbah fakulti antarabangsa/pelajar antarabangsa (setiapnya 5%).

Dari sinilah kita tertanya-tanya, macam mana ranking ni berfungsi? Apakah ranking ni boleh kita main-mainkan supaya nampak cantik dalam senarai? Rupa-rupanya, ada beberapa cara yang tak berapa betul yang boleh ubah ranking sesuatu universiti tu. Kita mulakan dengan…
1) Pelajar Cina dan India dikira sebagai bukan Malaysia untuk naikkan bilangan pelajar antarabangsa

Dekat dunia yang fana ni, ada macam-macam jenis ranking universiti selain QS World University Ranking. Antaranya THE World University Rankings, US News Global University Rankings (USN) dan Shanghai Academic Ranking of World Universities (ARWU). Bermula pada tahun 2004, syarikat pendidikan THE dan Quacquarelli Symonds (QS) keluarkan ranking secara bersama setiap tahun dan mula buat haluan masing-masing pada tahun 2010.
Waktu THE-QS pertama kali keluarkan ranking pada tahun 2004, Naib Canselor UM, Prof Dr Hashim Yaacob dengan bangganya mengumumkan UM berkedudukan tempat ke-89 dalam dunia. Siap kalahkan King’s College London (96), Glasgow University (112), and University of Virginia (118).Tony Pua pada tahun 2005 ada tulis pasal kebimbangannya mengenai ranking UM pada tahun itu.
Dia ada menjelaskan pasal satu dakwaan dari Ong Kian Ming yang mengatakan pelajar bukan Melayu dalam UM dah silap kira sebagai pelajar antarabangsa. Itu yang skor UM lain macam.
“Kejatuhan nilai skor UM tak ada kaitan dengan kegagalan atau kejayaan polisi-polisi tetapi datangnya dari kesilapan dan pembetulan kesilapan itu.”- Richard Holmes, petikan dari University Ranking Watch.
2) Lantik Professor terkemuka untuk bekerja di universiti tertentu walaupun jarang ada

Pada tahun 2016, Tun Abdullah Badawi dah lancarkan pembukaan Centre for Poverty Development and Studies. Turut diperkenalkan dan dilantik bagi memegang jawatan Kerusi Professor Diraja Ungku Aziz adalah Professor dari Universiti Columbia, Jeffrey Sachs. Walaupun memegang gelaran professor, dia hanya ada di KL dalam beberapa majlis untuk seminggu atau kurang sepanjang dua tahun.
Dalam masa yang singkat seseorang professor ada kat negara kita, tak mungkin ada banyak sumbangan yang boleh dibuat. Ini adalah contoh bagaimana universiti buat hubungan dengan ahli akademik terkemuka supaya boleh menumpang sumbangan kajian serta dikaitkan dengan universiti tersebut. Bila dikaitkan atau kajiannya banyak dipetik dalam jurnal atau buku (citation), ini boleh bagi skor fakulti dari 20 hingga 30 peratus dari gred keseluruhan ranking universiti.
Bukan nak cakap yang UM lantik Jeffrey Sachs sebagai salah satu cara untuk naikkan ranking antarabangsa, tapi secara teorinya, inilah salah satu caranya. Dalam dunia pendidikan, cara macam ni pernah dilakukan oleh Universiti King Abdulaziz (KAU) di Arab Saudi apabila dah menawarkan jawatan professor kepada saintis antarabangsa. Sebagai balasan, mereka mesti mengaitkan universiti dalam kajian atau citation kajian diseluruh dunia.
Amalan yang KAU bawak ni dah dipertikaikan oleh sebuah majalah Sains yang nampak universiti tu cepat naik dalam ranking antarabangsa walaupun diorang merekrut pengkaji yang tak buat kajian pembelajaran mereka di Arab Saudi. Secara faktanya, kebanyakan yang jadi pensyarah oleh KAU itu sebenarnya hanyalah pensyarah sambilan, tetapi sudah cukup untuk menjadikan mereka penerbit teratas dalam Matematik pada tahun itu.
Lepas topik mengenai publication dan citation, cara lain untuk universiti mempergunakan sistem ranking antarabangsa dengan cara tak betul…
3) Saling petik memetik kajian kawan dalam universiti yang sama
Bayangkan korang tulis status FB, mestilah nak ada like dengan share kan? Jadi cara mudah, korang buat beberapa fake account untuk like dan share status korang sendiri sebanyak mungkin.

Sekarang, benda sama yang berlaku di universiti dan ianya nampak susah untuk dinafikan lagi. Contohnya, seseorang tu tengah tulis kajian baru, jadi, dia akan petik (citation) kajian dia sendiri sebelum ni dalam kajian baru.
Ini boleh jadi makin buruk, kalau universiti memang mengarahkan sesama mereka untuk citing sesama sendiri, jadi mereka boleh dapat poin untuk skor ranking sebagaimana Universiti Malaya didakwa melakukannya. UM didapati mempertahankan satu surat yang ditandatangani oleh dekan fakulti kejuruteraan yang mahu ahli staf untuk cite tiga dari kalangan mereka dalam setiap penerbitan.
“Menjadi amalan kebiasaan. Ini juga turut diamalkan oleh staf akademik di UM dan di universiti lain”- Universiti Malaya
Amalan yang dipanggil sebagai “citation stacking” ni juga berlaku diluar Malaysia. Cara ini nampak kurang beretika kerana memanipulasi sekeping kertas kajian. Komuniti ahli akademik cuba lawan benda ni dengan menolak/memulaukan jurnal yang terlibat. Bantahan ni jadi sebab ianya nampak macam menghalang kebebasan akademik. Lagi-lagi kalau pengkaji dipaksa untuk petik (cite) kajian yang sebenarnya mereka tak nak.

Hakikatnya, ada je beberapa keadaan bila universiti mengelak dari citation stacking ni, ranking universiti tetap naik secara besar-besaran. Pada tahun 2010, diumumkan yang Universiti Alexandria di Mesir berada pada kedudukan 147 dalam ranking dunia THE, menjadikannya satu-satunya universiti Arab yang berada pada 200 teratas. Apa yang pelik, universiti tu bukanlah yang terbaik pun dibandar tu sendiri.
Dilaporkan ranking pada tahun itu naik sebab skor tinggi pada bahagian kajian dengan 99.8, meletakkan universiti itu setanding dengan HARVARD. Tapi, apabila THE buat tinjauan balik, mereka dapati ada seorang pengkaji yang cite diri sendiri dan rakan seuniversiti berkali-kali sebanyak 320 kali di dalam artikel-artikelnya sendiri. Dia siap jadi editor untuk jurnal tu lagi.

4) Bayar syarikat yang keluarkan ranking untuk jadi penasihat universiti
Sekarang bayangkan, cikgu tuisyen yang korang bayar mahal-mahal tu juga merupakan guru kelas korang. Waktu kelas tuisyen, tak ke dia bagi soalan bocor untuk soalan peperiksaan yang berlaku kat sekolah. Itulah yang dipanggil konflik berkepentingan atau conflict of interest.

“Di situ ada conflict of interest antara apa yang sepatutnya menjadi objektif ranking universiti, dan perkhidmatan perniagaan berdasarkan pelanggan untuk universiti”- Dr Simon Marginson, Professor bagi International Higher Education di UCL.

QS dah pun menafikan akan berlaku conflict of interest walaupun tetap ada persepsi yang timbul. Mereka akan memastikan syarikat mereka mempunyai semakan dalaman yang kuat untuk elakkan bahagian perniagaan bercampur dengan benda lain. Semua kepercayaan yang ada pada mereka akan hilang kalau cuba berkompromi dengan mana-mana pihak.
“Saya tak tahu apa kedudukan yang kita tak terdedah kepada hujah konflik berkepentingan. Ranking yang diuruskan oleh universiti akan meningkatkan kedudukan mereka sendiri. Ranking yang dinaikkan kumpulan media akan menarik pengiklannya. Ranking yang diuruskan oleh kerajaan negeri akan membantu institusi mereka”- Ben Sowter, ketua unit QS intelligence.
Walau apa perdebatan sekali pun, khidmat nasihat dari QS masih digelar sebagai “percubaan kurang baik yang menggunakan kepentingan ranking universiti peringkat global untuk mengaut keuntungan”. Sistem Star oleh syarikat ni yang mana dia akan tentukan satu hingga lima bintang bagi universiti tertentu berdasarkan beberapa kriteria, juga dikatakan bermasalah. Para pengkritik mengatakan ianya berpotensi berlaku konflik berkepentingan. Walaupun lebih separuh universiti mendapat dua bintang dan ke bawah.

Jadi…bolehkah sistem ranking universiti dipercayai?
Keseluruhan artikel ni berakhir dengan satu nasihat dari kami. Ranking universiti masih lagi diambil secara serius oleh sebahagian besar ahli akademik, majikan dan pelajar, 23.5% mereka mengatakan universiti yang ada ranking yang baik menjadi pilihan mereka. Jadi, kami dah bagitahu bagaimana cara universiti ini guna cara kurang elok untuk naik ranking, kami rasa korang perlu berhati-hati bila ada keluar ranking untuk tahun mendatang.
- 861Share sekarang!
- Facebook815
- Twitter3
- LinkedIn0
- Email43