- 145Share sekarang!
- Email25
- Facebook120
- Share
Menjelang pemilihan Muktamar PAS Ke-65 yang akan berlangsung pada 21 Jun ni, nampaknya parti PAS kembali panas dengan pelbagai dakwaan dan pendedahan. Baru-baru ni, bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, yang juga menantu Presiden PAS – Zaharudin Muhammad dah mendakwa wujudnya “kartel dedak” dalam PAS.
Nampaknya, isu “kartel” dah berjangkit dekat PAS, yang sebelum ni popular di PKR. Apa yang menariknya, Zaharudin dah mendedahkan lima nama yang dikatakan sebagai “kartel dedak” dalam PAS. Tapi nama tu tak la jelas, cuma dalam bentuk singkatan – yang buatkan kita berteka-teki.
Jadi, berteka-tekilah kita siapakah gerangan insan yang dimaksudkan Zaharudin tu. Tapi, bila orang dah teka, Zaharudin nafikan pulak nama-nama yang diteka tu. Katanya – Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Pemuda PAS, Khalil Abdul Hadi tak terlibat dalam senarai “kartel dedak”.
Tapi, apa yang menarik perhatian adalah isu dedak ni bukan hanya membabitkan antara PAS dan UMNO, tapi juga dalam kalangan pemimpin PH sendiri. Sebabnya, Zaharudin ada kata salah seorang individu yang dikaitkan dengan “kartel dedak” ni rapat dengan Azmin (Timbalan Presiden PKR) dan pernah cuba “mendedak” dengan Azmin.
Oleh tu, jom kita perhatikan dengan lebih dekat pasal asal usul isu “kartel dedak” ni…
1. Semua bermula dengan rakaman audio seorang pemimpin PAS
Tak lama sebelum menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), muncul satu rakaman suara yang tersebar di media sosial. Suara dalam rakaman suara tu dikatakan milik YB Nik Abduh Nik Mat (Ahli Jawatankuasa PAS Pusat).
Dalam rakaman tu, Nik Abduh ada kata yang kerjasama antara PAS dan UMNO memang wujud sejak sebelum PRU-14 lagi. Tapi, apa yang jadi isu besar adalah pasal pengakuan Nik Abduh bahawa ada beberapa pemimpin PAS (termasuk dirinya) yang ambil duit UMNO.
Kata Nik Abduh, ambil duit UMNO ni dibenarkan oleh pemimpin atasan PAS, cumanya duit tu tak boleh digunakan untuk tujuan peribadi, tapi digunakan untuk kerja-kerja Islam. Bila rakaman ni tersebar, Nik Abduh menafikan yang suara tu miliknya, sebaliknya anggap ia sebagai karut dan fitnah terhadap dirinya.
2. Pendedahan ulama muda PAS tentang 40 orang saksi
Tapi penafian ni dibantah oleh beberapa orang, termasuklah seorang pemimpin ulama muda Pas, Dr Muhammad Atiullah Othman. Kata Atiullah, ada lebih 40 orang saksi hidup yang dengar pengakuan Nik Abduh terima duit UMNO. Dia juga luahkan rasa kecewa yang amat sangat kepada Nik Abduh, sampai kata:
“Wajahnya bagaikan al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz, tetapi hatinya sudah sama mendiang Marcos.” – Dr Muhammad Atiullah, dipetik dari FB-nya.
Tambah Atiullah lagi, antara saksi yang ada masa tu adalah Zaharudin dan Ustaz Hazmi Dibok. Bagaimanapun, dia mempertikaikan Hazmi yang dianggapnya sebagai berdiam diri, walaupun tahu ada budaya dedak dalam PAS.
“Saya pelik, beliau beranggapan isu ini dianggap khilaf yang boleh jadi halal dan boleh jadi haram. Pada mulanya, saya tak ambil serius kata-katanya kerana bidangnya adalah qiraat, bukan fekah. Tapi, makin lama, makin mual dengan pandangannya.
“Untuk Ustaz Hazmi Dibok, memang ada kelonggaran kepada pemberi dedak yang terdesak untuk meminta keadilan dan menolak kezaliman. Tetapi, tiada khilaf hukum haram kepada penerima dedak.” – Dipetik dari FB-nya.
3. PAS mengaku suara dalam audio milik Nik Abduh. Tapi tak la seperti mana yang dimaksudkan
Selang beberapa hari selepas Dr Atiullah mendedahkan ada lebih 40 saksi hidup yang dengar pengakuan Nik Abduh, PAS dalam kenyataanya mengakui suara dalam audio yang tersebar tu milik Nik Abduh. Tapi dalam isu terima duit UMNO, ia kena dilihat dari segi konteks yang lebih menyeluruh.
“Bila kita mendengar audio itu, kita kena dengar keseluruhan apa maksud kenyataan itu, bukannya ambil separuh kerana kalau separuh memang ada benda tidak kena.
“Sebagai contoh, apabila Nik Abduh kata (Allahyarham Datuk) Nik Abdul Aziz (Nik Mat) pun terima duit UMNO, (yang dimaksudkan) bukan duit UMNO, tapi duit orang UMNO yang beri sumbangan terutama di sekolah Maahad Darul Anuar.” – Datuk Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung PAS. Dipetik dari BH.
Sebenarnya, Zaharudin memang dari dulu lagi mengkritik kerjasama antara UMNO dan PAS, terutamanya dalam soal pemberian duit antara kedua-dua parti. Tapi macam biasa, kritikannya tu secara berkias:
“Bersekedudukan sebelum kahwin haram namanya zina. Selepas kahwin halal namanya berumahtangga. Habuan daripada musuh sebelum perang haram namanya rasuah. Habuan daripada musuh selepas perang halal namanya ghanimah.” – Dipetik dari FB-nya.
Dalam perkembangan lain, pendedahan rakaman tu juga dikaitkan dengan dakwaan PAS terima RM90 juta dari 1MDB. Nik Abduh menjadi antara 4 orang individu yang dipanggil SPRM bagi membantu siasatan dakwaan ni.
Namun, SPRM kemudiannya mengesahkan tak ada kemasukan dana dari 1MDB ke akaun PAS. Bagaimanapun, akaun yang diteliti cuma melibatkan akaun yang didaftar di bawah nama parti dan bukannya akaun peribadi pemimpin PAS.
4. Zaharudin kata team media Hadi dah dikawal oleh golongan “kartel dedak”
Zaharudin sebelum ni mengatakan pendedahan dia pasal “kartel dedak” tu mendapat restu dari Presiden PAS (yang juga bapa mertuanya) – Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Tapi, nampaknya Hadi menafikan hal tu dengan kata – “Tak restu”.
“Tak berbangkit pun, perkara dah selesai, tak tahu kenapa dia (Zaharudin) bangkitkan. Kalau nak kaitkan dengan pemilihan, itu kena tanya dia nak bertanding atau tak.” – Hadi Awang, dipetik dari Metro.
Zaharudin pula dalam reaksinya kata – memanglah TG Hadi Awang kata dia tak restu, sebab maksud dia dapat restu tu adalah pasal isu lama dan bukan isu “kartel dedak” ni. Isu tu pasal Exco Pemuda PAS, Nurul Islam Mohamed Yusoff yang pernah mendedahkan dakwaan kononnya TG Hadi Awang dan Majlis Syura PAS, mengizinkan penerimaan wang daripada UMNO.
Tambahnya, semua ni kerja “Mr Kaki Hasut (Mr. KH)” yang buatkan TG Hadi tak faham isu sebenar.
“Dalam minda Presiden pula lebih kepada isu RM90 juta, justeru Mr KH (Kaki Hasut) pula baru sahaja brief TG Presiden di Komtaq Kerdau bahawa saya bangkitkan balik isu RM90 juta Sarawak Report.
Padahal saya bangkit bukan isu 90 juta, tetapi isu Kartel Dedak dan dedak-dedak mereka. Takde kaitan langsung dengan fitnah Sarawak Report RM90 juta.” – Dipetik dari FB-nya.
Zaharudin pun kata yang team media bawah selian Mr Hussam II sekarang ni mengawal FB dan Twitter TG Hadi Awang, dan diorang inilah yang spin kenyataannya.
Dalam kenyataan lain, Takiyudin ada kata yang Zaharudin akan dipanggil untuk beri penjelasan pasal pendedahannya sebelum ni. Bagaimanapun, bila benda tu akan dibuat, masih belum diumumkan.
Tapi bagi Dr Atiullah, dia rasa sangsi dengan keberkesanan Jawatankuasa Disiplin PAS, sebab jawatankuasa tu tak ada apa-apa kuasa terhadap kesalahan suapan kerana tiada peruntukan dalam perlembagaan PAS.
“… akan tiada apa-apa tindakan terhadap UZM (Ustaz Zaharudin Muhammad) sebagaimana tiada tindakan terhadap UNA (Ustaz Nik Abduh) kerana Jawatankuasa Disiplin tiada peruntukan perlembagaan PAS untuk menangani isu geng kartel dedak.” – Dipetik dari FB-nya.
Dari “Jebon” ke “Kartel Dedak”, pemilihan PAS kali ni akan kembali panas?
Kalau lihat kembali pada tahun 2015 dan sebelumnya, PAS ketika itu dikatakan diancam oleh kumpulan yang dikenali sebagai “Jebon” dan “Parasit”. Akhirnya, pada pemilihan 2015, kebanyakan individu yang dicop sebagai “jebon” ni tersingkir dari kepimpinan. Diorang kemudiannya buat satu pertubuhan politik baru yang kita kenal sebagai – Parti Amanah Negara sekarang.
Nampaknya kali ni PAS dapat satu lagi kumpulan yang digelarkan sebagai “kartel dedak”. Walaupun berita dan maklumat pasal kumpulan ni masih lagi belum begitu meluas, tapi ia berkemungkinan akan semakin popular menjelang pemilihan akan datang.
Persoalannya sekarang, adakah isu “Kartel dedak” akan memberi impak kepada PAS, seperti mana “Jebon” dulu? Atau ia cuma sekadar isu yang akan berlalu begitu saja?
- 145Share sekarang!
- Email25
- Facebook120
- Share