Diktator ini mahu bukunya setaraf al-Quran dan wajib dihafal rakyat

Kita mungkin kenal nama-nama diktator seperti Pol Pot dan Kim Jong Il yang dikecam oleh dunia atas tuduhan kekejaman dan perlanggaran hak asasi.

Tapi mungkin ada antara kita yang tak tahu sebenarnya ada beberapa orang diktator lagi yang wujud. Cumanya, diorang mungkin tak berapa popular di media-media massa. Sebab itulah nama diorang jarang disebut. Selain daripada menzalimi dan menyusahkan rakyat, diktator-diktator ini juga ada perangai pelik yang tak terfikir dek akal kita.

Kat sini, kitorang senaraikan beberapa diktator moden yang pelik, aneh dan tentunya menyusahkan rakyat negara diorang. So, jom kita semak satu per satu…

1. Trujilo: Sesiapa yang sokong wakil pembangkang akan didera dan dibunuh

Rafael Leonidas Trujillo Molina merupakan diktator untuk Republik Dominican dari tahun 1930-1938. Kemudian, dia kembali memerintah semula pada 1942-1952. Dia yang mempunyai sepuluh orang adik-beradik mendapat pendidikan tak formal di sekolah-sekolah kampung.

Disebabkan Trujilo upah orang untuk tulis semula sejarah hidup keluarga dia bila berkuasa, kebanyakan fakta sebenar pasal latar belakang dia tak dapat dipastikan sahih atau tak. Sejak muda lagi dia dah terlibat dengan macam-macam jenis jenayah sampai pernah kena tangkap sebab palsukan cek dan kena buang kerja.

Pada 1916, Trujillo berkahwin dengan isteri pertama, Aminta Ledesima dan dapat dua orang anak perempuan. Disebabkan mahu jadi ketua keluarga yang bertanggungjawab, dia sanggup melakukan jenayah untuk mendapatkan pekerjaan yang stabil. Akhirnya dia dapat jawatan yang bagus kat ladang tebu. Melihatkan Trujillo ni ada ciri-ciri kepimpinan, dia telah dilantik untuk jadi polis peribadi kat ladang tersebut.

Trujilo masa muda. Imej dari britannica.com

Trujillo jadi Presiden Republik Dominican melalui muslihat politik dan kekejaman. Dia secara rasminya menjadi presiden sampai tahun 1938. Lepas tu dia pilih pengganti yang akan ikut telunjuk dia. Tak lama lepas tu pula, dia kembali jadi presiden daripada 1942-1952 sampailah dia dibunuh pada 1961.

Pada awal tahun 1930, presiden terdahulu iaitu Presiden Horacio Vasquez terpaksa berhadapan dengan pemberontakan dan kerajaan sementara terpaksa ditubuhkan. Jadi, Trujillo ambil kesempatan untuk menamakan diri sendiri sebagai calon presiden untuk pemilihan presiden baru.

Kempen presidennya penuh dengan kontroversi sebab dia menubuhkan satu pasukan polis rahsia untuk mendera dan membunuh mana-mana penyokong yang menyokong calon pembangkang. Jadi, tak hairanlah yang Trujillo boleh menang pilihan raya presiden.

Siapa bangkang, kita tembak je. Imej dari pinterest.

Lepas beberapa bulan menyandang jawatan presiden, ibu negara Republik Dominican musnah dilanda taufan. Jadi, apa yang Trujillo buat ialah dia menggantikan kerajaan dengan undang-undang ketenteraan dan segera bangunkan semula bandar yang dah musnah itu.

Selepas enam tahun dia pun menamakan ibu negara itu Cuidad Trujillo. Bukan tu je, beribu-ribu jalan, monumen dan mercu tanda di seluruh negara itu pun dia letakkan nama dia sendiri.

Antara monumen Trujilo. Imej dari Snap shot Journeys.

Walaupun Trujillo memerintah secara kuku besi, dia ada juga menabur jasa pada negara. Antaranya ialah meningkatkan kebersihan awam, bina jalan-jalan baru, bina sekolah dan hospital serta tingkatkan taraf hidup rakyat Dominican. Tapi itu semua terhad untuk kawasan ibu negara saja. Kawasan-kawasan luar bandar yang kebanyakannya dihuni oleh para petani yang dikerah untuk bekerja keras kat ladang-ladang tebu. Satu lagi, Trujillo ni suka mengawal dan memonopoli projek-projek mega negara supaya segala kekayaan tu boleh disalurkan kepada keluarga, penyokong dan ketenteraan peribadi dia je.

Semasa pemerintahannya, dia telah mengarahkan tentera Dominican untuk membunuh beribu-ribu orang (9 ke 20 ribu penduduk) yang beretnik Haiti. Bukan tu je, malah penduduk Domican yang dilihat berkulit lebih gelap juga menjadi mangsa pembunuhan. Pembunuhan beramai-ramai ni terpaksa disokong oleh rakyat walaupun diorang tak rela.

Penduduk Haiti memang akan selalu masuk ke Dominican secara haram untuk bekerja di ladang-ladang tebu. Tapi bila berlakunya Great Depression (tekanan ekonomi yang dahsyat), para imigran Haiti ni dijadikan kambing hitam.

Suasana pembunuhan beramai-ramai penduduk Haiti. Imej dari Mcsmrampage

Kuasa dan pengaruh yang ada pada Trujillo menjadikannya berbahaya terutamanya kepada wanita-wanita cantik. Selalunya dia akan rapat dengan wanita-wanita dari keluarga kelas atasan.

Trujillo pernah berkahwin sebanyak tiga kali, tapi dia juga banyak terlibat dengan skandal. Isteri-isterinya memang aktif menghadiri pelbagai acara dan jadi public figures di negaranya walaupun tak aktif dengan politik. Tapi anak-anak perempuan Trujillo dan perempuan-perempuan simpanannya ramai yang sandang jawatan dalam kerajaan dan dijadikan contoh sebagai ikon wanita Dominican.

Trujillo ada rumah rasmi dengan isteri dan anak-anaknya, tapi dia juga sediakan bilik-bilik khas untuk perempuan-perempuan simpanannya yang dipanggil ‘casa chica’ yang bermaksud ‘rumah kecil’ dalam bahasa Spanish.

Trujilo, isteri ketiganya dan anak sulungnya. Imej dari brown.edu

Trujillo antara diktator yang mengaku dirinya tuhan. Dia siap arahkan semua gereja negaranya letak papan tanda yang bertulis, “Tuhan di syurga, Trujillo di bumi.

Trujilo pernah menganjurkan acara bernilai $30 juta (RM 127 juta) di mana dia melantik anak perempuannya sebagai permaisuri dan anak lelakinya yang berusia 3 tahun sebagai kolonel. Dia juga beria-ia berkempen supaya isterinya dapat dianugerahkan Anugerah Nobel Kesusasteraan walaupun isterinya tu buta huruf.

Trujillo juga mewujudkan undang-undang yang mewajibkan semua plat kenderaan kat Dominican letak perkataan “Viva Trujillo”.

Pada 30 Mei 1961, kereta yang dinaiki Trujillo telah diserang dan dibunuh oleh sekumpulan pembunuh yang sebahagiannya terdiri daripada askarnya sendiri. Lepas Trujillo mati, keluarganya telah dipaksa untuk meninggalkan Republik Dominican.

Kereta yang dinaiki Trujilo diserang sebelum dia dibunuh. Imej dari mtholyoke.edu

2. Jammeh: Mengaku ada kuasa mistik

Yahya Abdul-Aziz Jemus Junkung Jammeh merupakan presiden Gambia dari tahun 1996-2017. Dia memakai gelaran rasmi Yang Mulia Sheikh Professor Alhaji Dr. Yahya Abdul-Azziz Jemus Junkung Jammeh Naasiru Deen.

Pada umur 19 tahun lagi dia dah sertai pasukan polis. Lama-kelamaan dia semakin berkuasa sehingga mampu menjatuhkan presidennya, Dauda Diawora. Jammeh mula mengembangkan kuasanya pada 1994 dan dipilih menjadi presiden pada 1996. Kemudian dia dipilih sekali lagi pada 2001, 2006 dan 2011.

Dia dilihat sebagai seorang Muslim yang alim. Bahasa Inggeris yang merupakan bahasa rasmi Gambia ditukarkan kepada bahasa Arab pada tahun 2014. Tahun 2015 pula, dia mengisytiharkan Gambia sebagai Republik Islam.

Jammeh dan tasbih tak dapat dipisahkan. Imej dari gainako.

Walaupun Jammeh sering dilihat memegang tasbih dan tongkat serta nampak alim, dia dianggap sebagai salah seorang diktator paling kejam.

Dia sendiri mengaku yang dia ada beberapa kuasa mistik seperti mampu menyembuhkan orang daripada AIDS,mandul, asma dan sawan. Siap buat demo kat TV lagi! Katanya kebolehan istimewanya tu dia dapat turun-temurun daripada ayahnya.

Jammeh merawat pesakit HIV guna herba buatannya. Imej dari Mint press news.

Dia jugak pernah menaja sekumpulan doktor sihir untuk menculik rakyat Gambia yang mengamalkan sihir. Lebih kurang seribu orang jugak yang diculik dan kalau ada yang cuba larikan diri akan ditangkap dan ditanam hidup-hidup dalam tanah.

Lepas tu diorang ni akan dibawa ke sebuah ladang dan dipaksa untuk minum minuman yang tak tahu daripada campuran apa. Minuman tu akan buat diorang berhalusinasi dan jadi tak tentu arah. Cecair tu juga akan menyebabkan peminumnya menghidap masalah buah pinggang.

Apa yang sedihnya, kebanyakan yang ditangkap tu sebenarnya kena paksa mengaku yang diorang tu ahli sihir. Kalau tak mahu mengaku, diorang akan dipukul sampai mati.

Seorang imam dan isterinya antara yang dipaksa minum cecair misteri. Imej dari New York Times

Walaupun Jammeh sangat ditakuti dan kejam, tapi diorang masih menikmati beberapa kemudahan di bawah pemerintahannya. Gambia sering menjadi tempat percutian para pelancong yang melawat benua Afrika kerana negaranya cantik dan selamat.

Wabak Ebola jugak berjaya dihalang daripada merebak ke Gambia. Tahap kematian kanak-kanak dan ibu yang melahirkan anak turut rendah serta merupakan sebuah negara yang mempunyai kadar pengambilan vaksin paling tinggi di benua Afrika.

Selepas 22 tahun memerintah Gambia, akhirnya Jammeh melepaskan jawatannya sebagai presiden. Dia dan keluarganya terpaksa keluar dari Gambia atas arahan kerajaan. Jammeh dan keluarga berpindah ke Equatorial Guinea. Selepas lama menghilang, beberapa buah gambar menunjukkan yang Jammeh sekarang dah tukar profesion jadi petani kat sana.

Jammeh melawat kawasan pertaniannya. Imej dari Telegraph

3. Niyazov: Mahu buku tulisannya diangkat setaraf dengan al-Quran

Saparmurat Atayevich Niyazov merupakan diktator Turkmenistan dari tahun 1985 hingga kematiannya pada 2006.

Niyazov lahir dari keluarga miskin. Datuknya pernah diusir semata-mata sebab ada perniagaan sendiri. Ayahnya pula mati berperang dengan Nazi masa Perang Dunia Kedua. Emak dan adik-beradiknya terbunuh dalam gempa bumi. Hanya dia je pada masa tu berumur 8 tahun terselamat. Dia korek runtuhan bangunan selama lapan hari dengan hanya menggunakan tangan untuk keluar dari runtuhan tersebut. Dia kemudiannya dihantar ke rumah anak yatim.

Niyazov berusaha sehingga dia berjaya dapat biasiswa untuk belajar di Politeknik Leningrad dan dapat ijazah dalam Power Engineering. Sebelum masuk politik, dia buat macam-macam kerja untuk teruskan hidup.

Dia menang pemilihan presiden dengan undi popular sebanyak 99.9%. Disebabkan terlalu gembira dengan kemenangan tersebut, dia terus skip prosedur untuk jadi presiden dengan menganugerahkan pingat ‘Meneruskan Matlamat Rakyat Turkmen’ kepada diri sendiri.

Lepas tu, dia terus tubuhkan Persatuan Turkmen Sedunia. Pertubuhan tu diwujudkan supaya Niyazov boleh isytiharkan dirinya sendiri sebagai pemimpin tertinggi untuk seluruh etnik Turkmen seluruh dunia.

Sepasang pengantin bergambar di hadapan tugu Niyazov. Imej dari businessinsider.

Di Turkmenistan ada sebuah buku yang semua rakyatnya wajib ada. Buku itu diberi nama Ruhmana. Yang menariknya, Ruhnama ni ditulis sendiri olehnya. Dalam Ruhnama, ada tulisannya tentang budaya khas untuk Turkmenistan yang dia reka sendiri. Selain tu, dia juga tulis autobiografi diri dia sebagai panduan rakyat Turkmenistan.

Kat muka surat awal, Ruhnama bercerita pasal sejarah Turkmen yang dah berusia 5,000 tahun dan berasal daripada Nuh (tapi takde sumber yang sahih pun mana dia dapat berita tu). Dalam buku ni juga, ada cerita pasal sejarah keluarga dan kehidupannya.

Ruhnama juga ada bercerita tentang moral, sejarah, cerita rakyat, rencana politik, peraturan agama dan macam-macam lagi. Pendek kata, apa-apa yang mengangkat orang Turkmen akan ditulis dalam buku ni. Tak terkecuali juga Ruhnama ni tempat Niyazov mengangkat diri sendiri. Dah dia sendiri tulis buku tu, jadi dia boleh tulis apa saja yang dia nak. Malah ia jugak dijadikan buku wajib untuk dihafal.

Arca Ruhnama 50 kaki dibina di tengah-tengah ibu negara Turkmenistan. Imej dari badass of the week.

Di Turkmenistan, Ruhnama dianggap sebagai sebuah buku yang suci. Malah, semasa zaman pemerintahan Niyazov, dia menggesa imam-imam kat sana untuk angkat Ruhnama setaraf dengan al-Quran. Mana-mana imam yang tak mahu ikut arahannya akan disiasat dan dikenakan tindakan polis.

Walaupun Niyazov dah tak memerintah Turkmenistan sekarang, Ruhnama masih lagi dijadikan subjek wajib di universiti dan untuk temuduga kerja..

Beberapa orang pegawai perubatan tengah (berlakon) baca Ruhnama. Imej dari rferl.

Dia pernah tukar abjad-abjad Turkmen daripada abjad Latin ke abjad Russian Cyrillic dan namakan bandar Krasnovodsk dengan nama ‘Turkmenbashi’ sempena nama dia sendiri. Bukan tu je.  Sekolah, lapangan terbang sampai ke meteorit pun dia letak nama dia dengan keluarganya. Bulan-bulan dalam kalendar pun dia namakan semula ikut suka hati dia. Tapi, semua nama yang dia letak tu telah dibuang lepas penggantinya ambil alih.

Botol wain pun ada gambar dan nama Niyazov, k. Imej dari oddee.com

Kerajaan bawah pemerintahan Niyazov dikritik sebagai antara penyeleweng hak asasi manusia paling teruk sekali di dunia dimana dia telah membatalkan lesen-lesen Internet di Turkmenistan melainkan lesen-lesen kepunyaan kerajaan dan seramai 15,000 pekerja kesihatan kerajaan turut dibuang dan banyak hospital ditutup.

Semua perpustakaan di luar ibu negara turut diarahkan tutup. Bagi Niyazov, dia percaya buku yang paling penting bagi rakyat Turkmenistan hanyalah Quran dan Ruhnama tulisan dia saja.

Memang cari nahaslah kalau ada acara macam ni kat Turkmenistan. Imej dari hype

Dia jugak turut buat peraturan yang agak pelik seperti mengharamkan mana-mana penyanyi untuk lip-sync di konsert-konsert awam, persembahan di televisyen, dan acara-acara lain. Dia meninggal pada 21 Disember 2006 kerana menghidap serangan jantung secara tiba-tiba.

Mayat Niyazov ditempatkan di dalam istana mewahnya untuk dilawati oleh orang ramai. Imej dari gettyimages.

4. Karimov: Golongan profesional dan kanak-kanak dikerah bekerja di ladang kapas

Islam Abduganiyevich Karimov (Islam Karimov) merupakan pemimpin diktator Uzbekistan yang telah memerintah Uzbekistan dari tahun 1989 sehinggalah kematiannya pada 2016.

Karimov dibesarkan di rumah anak yatim. Dia kemudiannya dapat sambung pengajian dalam bidang kejuruteraan dan ekonomi di universiti. Beberapa tahun kemudian dia masuk Parti Komunis Uzbekistan dan menjadi setiausaha pertama untuk parti itu pada 1989.

Pada 1991, Karimov telah mengisytiharkan kemerdekaan Uzbekistan daripada Soviet Union. Dia berjaya menang pemilihan presiden dengan perbezaan undi yang sangat besar. Tapi pemerhati hak asasi manusia menyatakan yang pemilihan tersebut adalah rosak.

Gembira dapat jadi Presiden sekali lagi. Imej dari irishtimes.

Uzbekistan terkenal sebagai salah sebuah negara pengeksport kapas terbesar dunia. Tapi apa yang menyedihkan, di bawah pemerintahan Karimov, beratus-ratus ribu rakyat Uzbekistan terpaksa keluar daripada rutin harian dan pekerjaan diorang pada musim luruh semata-mata untuk bekerja di ladang-ladang kapas. Keadaan tempat kerja yang teruk dan bahaya menyebabkan ada yang mati disebabkan kemalangan dan cuaca ekstrim.

Rakyat Uzbekistan yang dikerah di ladang-ladang kapas tidak mengira jawatan apa yang disandang. Selalunya yang jadi mangsa adalah pekerja-pekerja dari sektor awam dan golongan profesional macam cikgu, doktor, jurutera, arkitek dan businessman. Diorang dipaksa bekerja di ladang-ladang kapas lebih kurang sebulan dan tak disediakan tempat tidur yang sepatutnya. Ada yang tidur di kawasan sekolah atau padang.

Tak kira korang jawatan apa, bila kat ladang kapas korang semuanya sama je. Imej dari corpwatch.

Sampai satu tahap, kerajaan Karimov pernah mengarahkan kanak-kanak seawal tujuh tahun dan remaja sekolah menengah untuk bekerja petik kapas. Tapi disebabkan tekanan untuk boikot kapas daripada beberapa organisasi yang terlibat dengan syarikat-syarikat pakaian, kerajaan Uzbekistan pun berhentilah gunakan pelajar sekolah sebagai buruh ladang kapas. Tapi yang jadi mangsanya pulak ialah mak bapak diorang yang kena ganti tempat anak-anak diorang kerja kat ladang kapas.

Kerajaan Uzbekistan tak ada usaha pun nak laburkan duit beli mesin untuk usahakan ladang kapas sebab diorang tahu diorang boleh dapat buruh dengan bayaran yang murah iaitu dengan mempergunakan rakyat sendiri. Pendek kata, cara diorang di bawah pemerintahan Karimov ini menggunakan sistem buruh paksa.

Setakat ni, 136 syarikat termasuk Disney, Fruit of the Loom, Gap, H&M, Levi’s dan Walmart dah ambil keputusan untuk tak beli kapas dari Uzbekistan selagi negara tersebut masih amalkan buruh paksa terhadap rakyat diorang.

Kanak-kanak pun tak terkecuali. Imej dari sustainablebrands

Dia juga pernah terlibat dengan satu peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Uzbekistan, di mana dia telah mengarahkan tenteranya untuk menembak beribu-ribu orang penunjuk perasaan yang tak puas hati dengan penahanan 23 orang ahli perniagaan yang kononnya ditangkap atas sebab terlibat dengan ekstremisme Islam.

Dorang tunjuk perasaan bukan sebab tu je, tapi diorang turut suarakan tentang masalah korupsi dan keadaan orang Muslim yang teraniaya di negara sendiri. Kalau ada orang berkumpul kat masjid je, dia dah anggap diorang ni ada rancangan nak buat serangan jihad.

Beribu-ribu orang berkumpul sebelum tercetusnya Andijan Massacre. Imej dari Aljazeera

Ramai yang ditangkap atas tuduhan menjadi ekstrimis. Beberapa orang aktivis hak asasi manusia dan wartawan juga tak terkecuali daripada disumbat dalam penjara. Kira-kira 5,300-5,800 orang pernah disumbat ke dalam penjara.

Banduan-banduan dalam penjara juga dilayan dengan teruk sekali. Ada yang dipukul dan dicederakan dengan kejam. Ada juga yang dipukul sampai mati. Yang sedihnya, keluarga banduan tak diberitahu tentang kematian tersebut sampailah diorang ditanam.

Antara mangsa serangan pihak berkuasa. Imej dari thegatewaypundit

Akhirnya, pada 2016 Karimov meninggal dunia setelah 27 tahun berkuasa. Kesihatannya merosot teruk setelah menghidap strok seminggu sebelum kematiannya. Presiden Putin beritahu yang kematian Karimov merupakan kehilangan besar kepada rakyat Uzbekistan.

5. Mobutu: Perasan dirinya tuhan yang turun dari langit

Mobutu Sese Seko merupakan Presiden Demokratik Republik Congo dari tahun 1965-1997. Dia menukar nama negaranya kepada Zaire pada 1971.

Mobutu terkenal dengan topi leopardnya. Imej dari Content Time

Mobutu lahir dalam keluarga miskin. Ayahnya bekerja sebagai tukang masak dan emaknya sebagai pembantu hotel. Dia pernah dibuang sekolah sebab masalah disiplin. Dia pernah dikerah untuk masuk tentera tapi tak layak untuk menjadi pegawai sebab dia berkulit hitam. Dia hanya jadi sarjan dan bekerja sebagai kerani di bahagian akaun.

Dipendekkan cerita, dia pernah melawat Belgium pada umur 25 dan berjaya buat networking dengan Patrice Lumumba yang bakal jadi Perdana Menteri Congo pada 1960 lepas dapat kemerdekaan daripada Belgium. Tapi, dia berjaya jatuhkan Patrice Lumumba pada 1965.

Amerika Syarikat berminat untuk berbaik dengan Mobutu sebab diorang berminat dengan tembaga dan kobalt dari Congo. Hubungan Mobutu dengan Amerika sangat baik sampai dia ada kuasa di CIA. Dari zaman Richard Nixon hingga Ronald Reagan, kedatangan Mobutu dialu-alukan di White House sebagai kawan istimewa

Mobutu dan Ronald Reagan. Imej dari pinterest

Jadi, bila Mobutu dah dapat pegang kuasa, apa yang dia buat?

Pada awal 1970-an Mobutu telah wujudkan Mobutisme iaitu lebih kurang macam personaliti cult untuk naikkan imej dirinya supaya diidolakan. Dia telah menukar nama-nama etnik di Congo ikut suka hati dia. Rakyat Congo pula dipaksa ikut peraturan-peraturan ciptaannya yang telah ditetapkan kalau tak nak masuk penjara.

Salah satu cara Mobutu menaikkan imejnya ialah dengan melebih-lebihkan gelaran pada nama dia. Jadi nama dia yang pendek tu jadi Mobutu Sese Seko Koko Ngbendu wa za Banga yang bermaksud ‘Pahlawan paling berkuasa kerana ketahanan dan kehendaknya untuk menang, daripada penaklukan ke penaklukan yang akan meninggalkan api’. Selain tu, dia ada juga gelaran-gelaran lain seperti ‘al-Masih’ dan ‘Sang Penebus’. Mobutu juga mahu dirujuk sebagai ‘Dia (He) dengan huruf besar.

Mana-mana pengumuman khidmat masyarakat yang disiarkan sebelum berita malam perlulah ada gambaran Mobutu yang tengah turun dari langit ala-ala tuhan.

Gambar Mobutu konon-konon tengah turun dari langit. Imej dari cracked.com

Kalau bercerita tentang kekayaan Mobutu, dikatakan kemewahan dia sampai tak boleh diterima akal oleh benua Afrika pun. Dia ada chateau (rumah agam ala Perancis) di Belgium. Bukan tu je. Dia ada rumah lain di Brussels, Venice, Paris dan Abidjan. Lepas tu dia ada juga istana Spanish, kapal layar mewah, ladang ternak Portugis, chalet Swiss dan vila yang menempatkan 2,500 wain lama.

Walaupun dia ada banyak rumah, rumah sebenarnya adalah di istana ala Versailles di mana kat situlah dia habiskan masa-masa akhirnya. Rumah tu ada taman hiasan yang menghadap Sungai Zaire. Selain tu, ia juga ada kompleks kasino dan gereja kecil sebagai memperingati ibunya.

Dia mempunyai sembilan orang anak daripada dua orang isterinya. Anak-anak dia pun hidup mewah jugak sampai pergi sekolah pun naik helikopter.

Salah sebuah istana Mobutu yang dah terbiar. Imej dari dailymail

Memandangkan Congo memang kaya dengan tembaga, kobalt dan berlian sepatutnya menjadikan diorang antara negara yang terkaya di benua Afrika. Tapi disebabkan semua kekayaan tu diambil oleh Mobutu untuk dijadikan hak sendiri, Congo tersenarai antara negara yang paling miskin di Afrika.

Dia telah berkuasa di Congo selama 31 tahun setalah digulingkan pada 1997. Dia mati dalam buangan di Morocco beberapa bulan kemudian. Jawatannya kemudian diambil alih oleh Presiden Joseph Kabila, orang yang bertanggungjawab menggulingkan Mobutu.

Makam Mobutu. Imej dari findagrave.

Bila dapat kuasa, siapa-siapa pun boleh termakan godaan untuk mempertahankannya

Diktator-diktator yang menguasai rakyat ni biasanya dorang akan buat peraturan dan undang-undang yang gila sebab dorang mempunyai pengaruh dan kuasa yang besar. Dorang tak kisah kalau rakyat hidup terseksa asalkan dorang dapat hidup senang dan selesa.

Berdasarkan kajian tentang psikologi diktator pulak, dorang ni sebenarnya menderita masalah kebimbangan yang melampau dimana dorang sangat paranoid kalau rakyat bangkit melawan atau cuba membunuhnya.

Mamat blakang ni nak bunuh aku! Imej dari Giphy

Jadi diktator ni sama je dengan manusia yang normal normal, tapi akhirnya mengalami gangguan mental akibat daripada memegang kuasa mutlak yang luar biasa. Ini kerana, otak manusia tidak dicipta untuk memegang kuasa sebegitu besar.

Tapi walaupun diktator dikatakan mengalami masalah mental, tak bermakna ia boleh jadikan alasan untuk membenarkan jenayah yang diorang lakukan.