Sebab nak buat kilang simen, gua pra-sejarah ni hampir-hampir nak diletupkan!

Hujan tak menentu, kawasan tak pernah kena banjir mengalami banjir dan kemarau yang melampau antara yang pernah terjadi di negara kita. Pakar akan mengaitkan semua kejadian-kejadian ni dengan pemanasan global. Maksudnya, suhu Bumi naik dengan agak cepat dari tahun ke tahun.

Bila sebut pemanasan global ni, benda ni tak rasa sangat dalam diri kita. Untuk senang kita rasa kesannya, boleh tengok sekumpulan jurugambar dalam rancangan Chasing Ice. Di mana diorang letak kamera di kawasan berais bertahun-tahun. Hasil rakaman tu, betapa banyak dataran ais yang dulu ada sekarang dah cair. Pencairan ais ni lah yang menyebabkan paras air laut naik ditambah dengan hujan lebat serta bertembung pulak dengan air sungai. Haa…baru nampak dari mana ke mana pemanasan global tu kan.

Zaman kita hidup ni bukan main cepat cairnya tu. Imej dari Exposure Lab.

Pemanasan global ni memang banyak puncanya. Antara yang selalu jadi isu di negara kita adalah pembalakan yang tak terkawal. Baru-baru ni ianya berlaku di hutan Merapoh, Pahang. Dalam artikel ni akan kami kongsi betapa banyaknya khazanah dalam hutan Merapoh yang korang mesti terkejut kalau tahu. Itulah sebab kenapa ramai menentang pembalakan di sini.

Kerana pembalakan hutan tadahan hujan di Merapoh hampir musnah

Ramai yang tak tahu, di mana Merapoh ni? Kalau ada mana-mana yang kampungnya di Kelantan, dia ada satu laluan yang dipanggil Lebuhraya Gua Musang-Merapoh. Memang akan nampak macam ada bukit dan hutan di sekeliling jalan. Merapoh inilah antara tempat laluan untuk masuk ke Taman Negara Sungai Relau. Taman Negara ni juga adalah laluan untuk yang suka hiking di Gunung Tahan yang merupakan puncak tertinggi di Semenanjung. Bolehlah merasa posisi tertinggi di Malaysia selain menjadi PM.

Tadaaa….Imej dari Blog Laili Basir.

Sekarang ni kawasan Merapoh sedang berlaku pembalakan aktif untuk dijadikan ladang di kawasan seluas 668.8 hektar. Tapi, apa yang nak dikecohkan sangatkan sebab untuk projek perladangan kot? Sebab tu kami ada berhubung dengan Encik Laili Basir yang merupakan Pengerusi Save Merapoh Caves. Rupanya, ada cerita di sebalik tabir yang kita tak tahu.

Menurut Laili, memang dari dulu ada pembalakan. Tapi, bermula tahun lepas ianya semakin teruk dan tak terkawal. Sebab ada berlaku pembalakan seluas 2,600 ekar dalam kawasan tadahan hujan. Maksudnya kawasan untuk serap air hujan yang boleh elak hakisan tanah. Ditambah pulak dengan aktiviti pembalakan yang begitu dekat dengan penempatan orang kampung yang merosakkan sumber air di Sungai Merapoh.

Sungai dah mula ditimbus gambar dari drone. Imej dari FB Laili Basir.

“Satu-satunya sungai yang membekal air minuman kepada 10,000 penduduk dari 8 kampung. Jika punca bekalan air ini tergugat, tercemar dan musnah maka yang mendapat balanya adalah orang kampung dahulu.”- Laili Basir, ketika dihubungi SOSCILI.

Itu orang kampung, belum lagi hidupan-hidupan dalam tu. Menurut Laili lagi, hutan Merapoh ni kawasan terakhir untuk hidupan liar hidup sebab banyak pembalakan dah berlaku di hutan Perak dan Kelantan. Bila tempat terakhir ni pun musnah, jangan terkejut kalau hidupan ni masuk ke kawasan kampung yang akhirnya mencederakan penduduk sebab mencari makanan.
Bila takde lagi makanan di hutan untukku. Terpaksa belajar tengok wayang dan makan popcorn.

Baru kita faham yang orang kampung dan hidupan ni akan kerugian besar. Tapi, kita orang luar ni apa yang rugi?

Hutan ini ada Gua Hari Malaysia yang sangat ajaib

“Kawasan pembalakan ini juga dimana terletaknya gua-gua berusia ratusan juta tahun yang mempunyai keindahan dan keunikan bertaraf dunia. Malah, Merapoh juga akan dimasukkan dalam senarai Geopark Kebangsaan disebabkan oleh gua-gua ini.”- Laili Basir, ketika dihubungi SOSCILI.

Pada 16 September 2012, pasukan Merapoh Scientific Caving Expedition yang diketuai oleh Laili Basir dan Sinisa Jembri (orang Croatia) telah menemui satu gua batu kapur menakjubkan di hutan ni. Jadi dapatlah nama Gua Hari Malaysia sebab tarikh jumpa tu. Biasa korang mandi air terjun kat tempat terbuka kan. Sekarang ni, dalam ni ada air terjun yang bukan satu, tapi lima air terjun.
Ini baru betul panjat air terjun. Imej dari Youtube Laili Basir.
 Bayangkan korang panjat dinding gua sambil dicurahi air terjun yang menyejukkan. Memang seronok gila kot! Ada satu tempat dalam gua tu, korang siap boleh main macam gelungsur lagi kot (Sinisa Slide). Sambil beraktiviti lasak tu, korang akan ditemani dengan hidupan baru yang mungkin tak ada diluar gua dan hutan ni. Sebabnya, Dr. Grismer dan pasukan dari Universiti California jumpa tiga jenis cicak Gecko baru waktu buat kajian di kawasan ni. Selain tu, ada juga tumbuhan yang dulu pernah ditemui zaman dulu, rupanya, ada di luar kawasan gua ni.
Binatang-binatang rare yang ada. Imej dari Blog Laili Basir.

Lepas ni, korang yang mengidam sangat nak tengok pokok Rafflesia, tak perlu lagi risau nak ke Sabah. Sebab kawasan hutan ni ada pokok Pakma Tikus iaitu pokok Rafflesia bersaiz kecil. Jadinya, korang pasti rugi jika pembalakan ni diteruskan tanpa kawalan. Pokok musnah, hidupan mati dan yang dalam gua pun turut terkesan.

“Kehidupan gua-gua ini memerlukan hutan belantara disekeliling yang berfungsi sebagai buffer zone dan penstabil. Kemusnahan hutan akan juga mengubah struktur kehidupan gua-gua ini. Dari hidup bersinar akan bertukar menjadi kering dan mati.”- Laili Basir, ketika dihubungi SOSCILI.

Rafflesia mini. Imej dari Youtube Laili Basir.

Ketika menghubungi Encik Laili, kami perasan dia selalu tulis gua-gua. Itu menandakan ada banyak gualah di Merapoh ni selain Gua Hari Malaysia. Gua yang ada adalah sebanyak…

Sekurang-kurangnya ada 550 gua serta mungkin ada tamadun yang hilang di sini

“Sehingga Oktober 2017 kami telah menemui 146 gua di Merapoh dan kami menjangkakan sekurang-kurangnya ada 550++ gua wujud di Merapoh.”- Laili Basir, ketika dihubungi SOSCILI.

Mak aih! Lagi banyak dari bilangan adik-beradik campur anak buah korang kot. Apa yang mengejutkan, ada satu gua ni namanya Gua Seribu Cerita. Kalau tengok dokumentarinya, ada kesan lukisan-lukisan pelik pada dinding gua yang dipercayai hasil seni orang terdahulu.

Lukisan-lukisan purba yang belum dikaji lagi. Imej dari Blog Laili Basir.

“Dari 2012 sehingga kini, banyak penemuan saintifik spesis flora dan fauna yang baru atau yang hampir pupus. Apa yang menarik, banyak bukti manusia pra-sejarah pernah mendiami kawasan di gua-gua Merapoh dan tidak mustahil satu ketamadunan yang hilang pernah wujud di Merapoh.”- Laili Basir, ketika dihubungi SOSCILI.

Saiz katak diukur untuk dikatalogkan. Imej dari Dokumentari Misi Merapoh.

Apa yang mengejutkan, kawasan Merapoh termasuk gua-guanya ni hampir diletupkan bagi memberi peluang pembinaan Kilang Simen Terbesar di Asia. Perkara ni hampir terjadi pada tahun 2012. Tapi…

Dipromosi secara rancak di Croatia dan England serta turut bertanding dalam Festival Filem

“Semuanya bermula pada tahun 2012. Ketika itu Merapoh dalam kancah untuk diletupkan bagi memberi jalan pembinaan Kilang Simen Terbesar Asia didirikan.”- Laili Basir, ketika dihubungi SOSCILI.

Seram bila tengok letupan ni. Bayangkan Merapoh diletupkan?

Pada peringkat awal perjuangan mempertahankan hutan dan gua di Merapoh ni tak dapat mana-mana sokongan dan bantuan pakar-pakar tempatan. Jadinya, sebab memahami industri penjelajahan gua secara profesional di Malaysia ni baru bermula 1990-an. Tapi diluar negara telah mula sejak 1600. Laili dan pasukan tempatan telah bekerjasama dengan Kelab Pencarian Gua Profesional di Croatia iaitu SK Zeljeznicar. Mereka datang ke Malaysia dengan duit sendiri.

“Rombongan mereka dari Croatia seramai 9 orang telah datang ke Merapoh dengan kos sendiri untuk membantu kami. Manakala, dari England adalah Cik Liz Price yang telah membuat kajian gua lebih dari 20 tahun.”- Laili Basir, ketika dihubungi.

Hasil usaha ni menyebabkan pembinaan kilang simen tu dibatalkan setelah ditarik lesennya dari kerajaan negeri Pahang pada tahun 2013. Walaupun usaha ni telah berjaya, pembelajaran mengenai penjelajahan gua secara profesional diteruskan. Kumpulan dari negara Eropah tu tadi telah memberi bantuan dari segi pemetaan gua serta menyumbang peralatan keselamatan gua. Bukan setakat tu je, siap promosi di negara masing-masing.

“Perihal gua-gua Merapoh telah keluar di akhbar utama, radio utama malah diberi TV utama di Croatia. Di England juga, hal-hal gua Merapoh turut diterbitkan dalam majalah gua ternama dunia iaitu Descent.” – Laili Basir, ketika dihubungi SOSCILI.

Masuk majalah kat England. Imej dari Blog Liz Price.

Menurut Laili lagi, dokumentari tentang gua-gua di Merapoh ni turut bertanding dalam Speleo Film Festival di Croatia. Pada tahun 2017, Malaysia adalah satu-satunya wakil benua Asia yang bertanding di festival filem ni. Malulah kita kalau orang Eropah lagi kenal kehebatan gua kita sendiri.

Strategi untuk mempertahankan hutan Merapoh yang sangat power!

Isu kilang simen dah berjaya, tapi sekarang isu pembalakan yang menjadi-jadi. Antara punca utama hutan Merapoh ni sesuka hati je dibalak sebab tak termasuk dalam kawasan Taman Negara Sungai Relau. Menurut Encik Laili lagi, perkara ni terjadi sebab negara kita takde undang-undang yang diperuntukan untuk melindungi gua batu kapur. Jadi, bolehlah sesuka hati nak letup atau musnahkan.

“Namun kami tidak melihat itu sebagai halangan. Apa yang kami lakukan adalah mendidik penduduk kampung ini sendiri untuk sayangkan dan hargai gua-gua di kampung mereka.”- Laili Basir, ketika dihubungi SOSCILI.

Gambar dalam gua di Merapoh. Agak-agak boleh dapat berapa like? Imej dari Tamannegaraorg.

Selain pendidikan, peluang pekerjaan dan pendapatan berjaya diwujudkan untuk orang kampung berdekatan melalui aktiviti pelancongan menjelajah gua. Penduduk boleh jana pendapatan melalui pengangkutan, katering, penginapan dan juga cenderahati untuk pelancong yang datang. Apabila gua-gua dan hutan ni dah jadi harta kampung dan periuk nasi mereka, semangat untuk melindungi kawasan timbul tanpa perlu dipaksa.

“Kami menjadikan gua itu sebagai gedung ilmu, sebagai gedung kajian dan sebagai tempat mencabar keberanian diri dengan dipantau oleh guide kampung yang berpengalaman dan berilmu.”- Laili Basir, ketika dihubungi SOSCILI.

Elok-elok tunduk tu. Imej dari Berita Harian.

Bukan je harta kampung, ianya juga adalah harta negara kita yang merupakan produk pemasaran eko-pelancongan. Gua yang sekian banyak di Merapoh ni juga telah dikategorikan untuk disesuaikan kepada jenis aktiviti pelancong yang datang. Jadi korang tak minat aktiviti lasak tak semestinya tak boleh masuk gua. Di bawah ni tiga kategori yang ada.

  1. Showcases Caves: Gua untuk pelancong masuk sekadar berjalan-jalan dan tengok-tengok. Tiada aktiviti lasak dalam gua ni. Kiranya macam lawat muziumlah.
  2. Adventure Caves: Gua ni ada laluan yang memberi peluang kepada para pelancong yang minat aktiviti lasak macam di Gua Hari Malaysia.
  3. Archaeology Caves: Gua jenis ni pulak gabungan showcases dan adventure. Dia ada laluan adventure tapi sikit serta dalamnya ada tinggalan artifak macam tulang-tulang dan lukisan purba.
Kalau jenis macam ni eloklah masuk yang Showcase Caves.

Korang dah boleh bincang dengan keluarga dan kawan untuk datang sini. Sebabnya memang sangat tersusun pengurusannya. Tapi itulah, usaha tersusun yang dilakukan oleh diorang ni tetap dipandang negatif oleh sesetangah pihak.

Ada pihak menggelarkan usaha diorang ni untuk mengaut keuntungan

Bagi Laili Basir yang berusaha untuk mempertahankan Merapoh ni, bukanlah menolak 100% pembalakan. Sebab ada pembalakan tu tujuannya untuk pembangunan yang bagi kebaikan kepada orang lain. Tapi,

 “Apa yang kami bantah adalah pembalakan mega yang tiada kawalan sehingga memusnahkan sumber air orang kampung dan kesan teruk kepada sektor pelancongan berasaskan eko-pelancongan yang juga punca pendapatan orang kampung.”- Laili Basir, ketika dihubungi SOSCILI.

Laili Basir bergaya. Imej dari Blog Laili Basir.

Peluang pekerjaan dan pendapatan yang wujud dari Gua Merapoh ni semuanya untuk kebaikan penduduk dan eko-pelancongan negara. Sepanjang usaha ni, banyak cabaran getir yang timbul termasuk tindakan para pemimpin dan pihak berkuasa yang terlalu perlahan mengenai isu ni. Tapi, apa yang paling kritikal bagi Encik Laili adalah kewangan.

“Kami membelanjakan wang sendiri tanpa mendapat mana-mana dana untuk membiayai ekspedisi-ekspedisi atau sesi pendidikan. Kami tidak mendapat apa-apa keuntungan namun tetap dilabel sebagai mengambil kesempatan dan mengaut untung”- Laili Basir, ketika dihubungi SOSCILI.

Tak mainlah pelampung kat Water Park. Ini baru betul dalam gua. Imej dari Blog Pahang.

Hutan dan tapak sejarah akan tiada masa depan di negara ni?

Kita sedar yang hutan Merapoh ni ada hutan serta gua yang punyai tinggalan sejarah yang belum lagi habis dikaji. Apa yang merisaukan, kita dengar banyak hutan dibalak secara haram dan kawasan tapak yang punyai nilai sejarah turut dimusnahkan di negara ni. Contohnya pernah berlaku di Tapak Arkeologi Lembah Bujang dan tapak zaman pra-sejarah Neolitik Guar Kepah di Pulau Pinang.

Mungkinkah satu hari nanti? Imej dari Cartoon Action

Kalau kita fikirkan balik, negara kita ada hutan yang dibalak tak terkawal dan tapak tinggalan sejarah juga diganggu. Maka boleh jadi kata-kata yang biasa kita dengar ni boleh jadi kenyataan.

“Apabila pokok yang terakhir telah ditebang, ikan terakhir telah ditangkap, sungai terakhir telah diracun, waktu itu kita akan sedar yang seseorang itu tak boleh makan wang.”- Tidak diketahui siapa yang memulakan kata-kata ini.

 

 

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT