- 331Share sekarang!
- Email5
- Facebook326
- Share
Nusantara, merupakan satu tempat yang kaya dengan ilmu-ilmu mistik pada zaman dahulu. Walaupun dengan arus pemodenan dunia pada masa kini, banyak lagi artifak dan ilmu mistik yang masih wujud di nusantara.
Salah satunya adalah Tiang Seri, perkara yang selalu ditakuti budak-budak kecil masa dorang balik kampung. Jadi, perlu ke kita pelihara perkara-perkara macam ni? Apa je yang korang kena tahu pasal Tiang Seri ni? Kalau korang nak tahu dengan lebih lanjut, teruskan membaca.
Tiang ni sangat penting suatu masa dulu, kerana dianggap sebagai pendinding
Pertama sekali, Tiang Seri secara amnya adalah antara tiang utama yang ada dalam pembuatan dan kejuruteraan rumah tradisional masyarakat melayu pada zaman dahulu. Tiang seri ni agak popular di kalangan orang melayu disebabkan sifatnya yang mistik.
Kalau mengikut kepercayaan orang melayu dulu-dulu, ia wujud bertujuan untuk menjaga keselamatan dengan bertindak sebagai pendinding daripada gangguan jahat. Senang cerita, orang melayu dulu ni melakukan perjanjian dengan makhluk ghaib seperti Jin untuk jaga rumah dorang tu.
Semasa memacak Tiang Seri ni, doktor tradisional (bomoh) akan melakukan ritual terlebih dahulu terhadap tiang tersebut. Mana taknya, zaman dulu kan tak ada pak guard, lagi-lagi masa tu rumah dalam hutan tu kira berkongsi la tempat tu dengan pak belang (Harimau). Sistem dia pun agak sama la macam pak guard zaman sekarang, Jin tu dikira guard dan tiang tu pondok pengawal.
Lagi satu, kalau kita cakap macam mana pun benda-benda macam ni tetap dikira syirik tetapi ini lah antara ilmu-ilmu orang nusantara dahulu kala.
Berasal dari kitab Tajul Muluk yang diadaptasi dari Parsi dan ditulis semula di Acheh
Tiang Seri ni sebenarnya merupakan salah satu ilmu yang diturunkan turun-temurun melalui kitab mistik yang dikatakan telah diislamkan selepas ditulis semula di Acheh. Tajul Muluk, kitab yang mengandungi ilmu tajul, ilmu yang sering digunakan untuk sistem geomancy melayu yang terdiri daripada prinsip-prinsip metafizik dan geomantik.
Geomancy ni dalam erti kata lain adalah tilik, ilmu yang ada dalam kitab Tajul Muluk ni secara tradisionalnya diamalkan oleh dukun atau bomoh dan arkitek tradisional dari Malaysia dan Indonesia. Kandungan kitab itu meliputi pelbagai topik seperti ubat herba, astrologi dan juga tafsiran mimpi.
Kira macam feng shui juga la kitab Tajul Muluk ni, dah kalau melibatkan tilik nasib supaya dapat beri nasib yang baik kepada pengamal-pengamal dorang kan.
Pemilihan bahan tiang dianggap boleh menentukan nasib baik atau buruk
Jadi berbalik kepada Tiang Seri, tiang ini kira macam kerangka utama dalam pembuatan sesuatu rumah tradisional melayu. Mengikut kitab Tajul Muluk, perkara paling penting dalam pembuatan tiang dan rumah tradsional adalah pemilihan kayu bagus dan juga boleh mendatangkan nasib yang baik.
Dikatakan bahawa kayu yang terbaik adalah dari pokok yang tumbuh di atas tanah yang lembab, pokok yang berdekatan dengan air terjun dan juga kayu yang dikelilingi oleh daun pegaga seperti kayu Cengal. Sehubungan itu, kayu yang tidak baik pula adalah seperti pokok yang mempunyai akar yang sudah reput, pokok yang mengeluarkan cecair seakan warna merah dan warna putih apabila ditebang dan dalam pada masa yang sama mengeluarkan buih apabila ditebang.
Dalam erti kata lain, itu merupakan pantang larang dalam pemilihan kayu la tu. Sebabnya kayu yang bagus dipercayai dapat memberi nasib yang baik kepada pemilik rumah apabila kayu itu digunakan untuk membina Tiang Seri dan rumahnya.
Banyak betul benda kena buat untuk naikkan Tiang Seri ni, dah la kena cari kayu spesifik, lepas tu nak kena minta bomoh buat ritual dia pula, kena ikut pantang larang lagi. Kalau zaman sekarang rumah lambat siap sebab kena tipu dengan developer, dulu-dulu rumah lambat siap sebab nak cari kayu je.
Menggabungkan elemen mistik, dengan memberi ‘seri’ pada tiang
Selepas Tiang Seri dinaikkan, bomoh akan melakukan ritual dengan membubuh logam seperti emas, serbuk besi atau pun duit syiling bagi memberi ‘seri’ dan ‘semangat’ pada tiang tersebut. Basically, memberi seri dan semangat ni boleh dikaitkan dengan cerita-cerita mistik tentang Tiang Seri yang berkeliaran di internet selama ni.
Banyak cerita-cerita yang menyeramkan seperti perjanjian dengan jin untuk menjaga rumah, kewujudan tangkal, pendinding rumah dan sebagainya. Kalau zaman dulu boleh dikira relevan lagi la benda-benda macam ni, zaman sekarang ni nak suruh makhluk ghaib jaga rumah buat apa.
Yang lagi teruk, sampaikan ada cerita orang meninggal disebabkan dikacau oleh seekor jin yang menjadi penjaga sesuatu rumah. Dah orang suruh jaga rumah tu jaga je lah rumah kan, tapi kerja dia kacau orang pula sampai meninggal.
Itu antara bahayanya kalau terlibat dengan perbuatan menduakan tuhan ni, dia akan makan diri sendiri secara perlahan. Mungkin bukan hari ni, tapi pada masa akan datang mungkin akan terjadi.
Perbuatan syirik yang boleh memesongkan aqidah tetapi jangan terburu-buru untuk menghukum
Perbuatan meletakkan tangkal dan seumpamanya memang merupakan perbuatan yang menduakan tuhan atau dalam bahasa mudahnya adalah syirik. Apabila seseorang manusia yang beragama islam bergantung diri kepada makhluk ghaib seperti jin melainkan tuhan, itu sudah semestinya jatuh haram di sisi agama.
Tetapi, tidak boleh lah dikatakan semua ilmu-ilmu yang terkandung dalam kitab Tajul Muluk dan juga pembuatan Tiang Seri ini adalah perkara yang terpesong dari segi agama. Ustaz Azhar Idrus sendiri pernah berkata dalam ceramahnya bahawa kitab Tajul Muluk tidak boleh dikatakan terus sebagai sesat.
“Masalah kitab Tajul Muluk ni adalah Sanad Hadis, jadi kalau kita dapatkan orang-orang yang mahir dalam Sanad Hadis yang menerangkan tentang hadis sahih dan daif secara menyeluruh maka tak ada masalah. Jadi kita perlukan ulama’-ulama’ dan pakar-pakar untuk mentakrifkan kitab-kitab seperti ini kerana ia merupakan buah tangan dari ulama’ dulu-dulu,” – Ustaz Azhar Idrus, petikan dari YouTube
Mungkin lah kan, dorang sampai guna tangkal apa semua tu disebabkan campuran adat melayu lama sebelum kedatangan Islam dulu-dulu kot. Lagi-lagi yang melibatkan budaya kepercayaan animisme.
Gunakan akal fikiran untuk menentukan baik buruk sesuatu perkara
Terdapat pelbagai ilmu-ilmu lama yang bagus dan berbaloi untuk kita semua pelihara. Akan tetapi ada juga ilmu-ilmu yang mistik seperti Tiang Seri (Pendinding) yang tidak berada di atas landasan agama.
Kita semua sebagai orang yang mempunyai akal dan fikiran yang waras haruslah pandai membezakan mana satu yang baik dan buruk. Carilah ilmuan-ilmuan (Ulama’) Islam yang masih ada untuk mendapatkan pendapat mereka berkenaan ilmu-ilmu seperti ini.
Banyak ilmu-ilmu mistik lama ini boleh memesongkan aqidah kita sebagai umat islam, tetapi tidak seharusnya kita pukul rata bahawa semua ilmu itu adalah menyesatkan.
- 331Share sekarang!
- Email5
- Facebook326
- Share