Orang Perak tak sedar dialek mereka ada percampuran Minang dan Jawa? Ini kajiannya

Baru-baru ini, seorang pengarah filem terkenal di Malaysia, Mamat Khalid, melancarkan drama bersiri Kampung Pisang Bersiri-siri yang ditayangkan pada hari Isnin, pukul 09.00 malam. Drama ini juga dihasilkan untuk menyindir isu semasa dalam kalangan masyarakat kita.

“Kalau orang kata drama ini mengandungi banyak elemen satira dan kritikan, saya jawab ya sebab itu cara saya menyelitkan unsur dialog rakyat marhaen dalam drama ini.” – Mamat Khalid, petikan dari Utusan Malaysia.

Oh ye, kalau kita borak pasal filem atau drama dari Mamat Khalid ni pasti akan mengingatkan kita dengan dialek Perak yang digunakan. Mungkin ramai tak tahu maksud dialek Perak yang sebenarnya tapi jangan risau, kerana kami akan menghuraikannya supaya korang tak kekok apabila berbual dengan orang Perak.

Sebenarnya, ramai yang tak tahu bahawa…….

Dialek Perak mempunyai variasi dari segi sebutan ‘e pepet’

Mengkomer semua pernah kena gini ke? Imej dari Ajez’s Randomness.

Dialek Perak digunakan oleh masyarakat yang sudah lama bermastautin di Perak dan ramai orang suka dengan dialek ini kerana cara percakapannya sangat lemah lembut. Contohnya, korang boleh tengok watak Usop Wilcha dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Sebenarnya dialek Perak ni ada mempunyai variasi antaranya:

  • Dialek Kerian.
  • Dialek Ulu Perak.
  • Dialek Kuala Kangsar.
  • Dialek Ipoh.
  • Dialek Bota.

Semua variasi dialek Perak di atas ini sebenarnya sama tapi yang membezankannya ialah cara sebutan perkataan. Takpe, mari kami huraikan satu per satu.

Haa kau jangan memain dengan orang Perak. Imej dari meme creator.

Pertama, kita boleh lihat dari segi penggunaan kata ganti nama diri ‘saya’. Hampir semua dialek Perak menyebut ‘saye’ dengan menggunakan e pepet (contoh perkataan yang guna e pepet: Emak, kemas, dan kerusi) manakala di bahagian Perak Tengah pula, perkataan ‘saye’ disebut dengan menggunakan e taling (contoh: Enak, ekor dan epal).

Bukan itu saja, kata ganti nama diri ‘saya’ juga digantikan dengan perkataan ‘teman’ dan ‘awok’. Kita boleh lihat dua perkataan ini banyak digunakan oleh masyarakat yang tinggal di kawasan Kuala Kangsar, Perak Tengah dan Hilir Perak.

Kami letak peta Perak suapaya senang korang rujuk. Imej dari Libur.

Kedua, kata ganti nama diri ‘mereka’ juga terdapat perbezaan di beberapa tempat. Semua dialek Perak menggunakan menggantikan perkataan ‘mereka’ kepada ‘deme’ (sebutan e pepet) tetapi ada juga yang menggunakan e taling seperti subdialek Perak Tengah.

Namun, ada juga dialek Perak yang menggunakan ‘depa’ (kata pinjaman dialek Kedah) seperti di kawasan Hilir Perak. Kalau dialek di Hulu Perak, mereka menyebut ‘depe’ (sebutan e pepet) dan ia dikatakan mempunyai pengaruh dialek Kedah.

Perbezaan generasi dalam sebutan perkataan dialek Perak

Arwah Mr. Os (kiri) antara artis yang fasih dalam dialek Perak. Imej dari Malaysia Hari Ini.

Berdasarkan kajian Siti Noraini Hamzah dan Nor Hashimah Jalaluddin, terdapat perbezaan dialek Perak antara generasi muda dan tua. Hal ini dibuktikan dengan cara sebutan perkataan ‘air’ dan ‘bantal’ beberapa perkataan antara dua generasi ini di beberapa kawasan di Perak.

Kalau di Larut Matang, Selama dan Kerian, generasi tua lebih cenderung menyebut perkataan ‘ayak‘ manakala generasi muda menyebutnya macam biasa.

Terdapat segelintir generasi tua yang menyebut perkataan air sebagai ‘banu’. Generasi muda juga akan cenderung menyebut ‘bantal’ (bahasa Melayu standard) tetapi generasi tua akan menyebut bantal dengan menggunakan dialek Perak biasa ‘bante’.

Ahmad Maslan GIF - Ahmad Maslan Bingung - Discover & Share GIFs
Korang semua jangan pening pula tengok benda ni. Imej dari Tenor.

Namun, cara sebutan perkataan ‘air‘ di Kuala Kangsar berbeza dengan Larut Matang, Selama, dan Kerian kerana kedua-dua generasi menggunakan perkataan ‘aye’. Begitu juga dengan perkataan ‘bantal‘, mereka akan menyebut perkataan ‘bante’ dan ada juga segelintir yang menyebut ‘banta’.

Di Perak Tengah juga sama seperti Kuala Kangsar dari segi cara sebutan perkataan ‘air’. Kalau perkataan ‘bantal’, generasi tua dan muda lebih cenderung untuk menyebut ‘bante’ tetapi ada juga generasi muda yang sebut macam biasa tapi tak ramai la.

Pengaruh dialek Melayu Patani luar di Perak kerana isu sempadan Kerajaan Reman

Perak pada zaman dahulu. Imej dari PDT Gerik.

Dalam Karya Misa Melayu (1992) pernah menceritakan penghijraan masyarakat luar ke Tanah Melayu. Kekayaan hasil bumi telah mengundang orang Belanda, Inggeris, Cina, Sumatera, Jawa, Melayu Patani dan India ke Perak.

Migrasi masyarakat Patani berbeza dengan masyarakat Banjar, Jawa, Minang dan Rawa kerana kehadirannya di Hulu Perak untuk menentukan sempadan antara negeri Perak dengan Kerajaan Reman pada masa dahulu.

Mengikut Sejarah Perak (Abdul Halim Nasir 1977), negeri Perak dengan Kerajaan Reman sering bertengkar dalam menentukan sempadan. Bagaimanapun, selepas campur tangan Kerajaan Inggeris, satu perjanjian telah dibuat dan Perak Ulu diserahkan semula kepada negeri Perak yang sebelum ini dipegang oleh Kerajaan Reman. Dengan itu, barulah wujud sempadan negeri Perak dengan negeri Thai seperti yang ada pada hari ini.

Jadi, korang boleh lihat terdapat pengaruh dialek Melayu Patani di beberapa kampung di Perak, antaranya:

  • Kampung Pantai Besar.
  • Kampung Relang.
  • Kampung Sempeneh Seberang.
  • Kampung Sempeneh Cempaka.

Penghijraan orang Minangkabau ke Tanah Melayu adalah disebabkan mereka lebih gemar berniaga, bahkan budaya ‘makan gaji’ adalah tidak digalakkan oleh mereka.

Korang ada ke atuk nenek yang berasal dari jawa atau minang di Perak? Imej dari giphy.

Salah satu faktor mereka bermigrasi kerana hubungan darah antara Sultan Mudzaffar Shah I (Sultan Perak) dan Sultan Kampar, Sumatera. Ia sedikit sebanyak menyebabkan migrasi masyarakat Sumatera, Jawa, Rawa dan Minangkabau ke Perak.

Migrasi masyarakat Minangkabau turut menyumbangkan kepada pencampuran dialek. Ia dibuktikan dengan cara sebutan perkataan ‘mentah’ kerana wujudnya sebutan ‘mantah’ yang merujuk bahasa Minang dan dialek Perak di Perak Tengah.

Kesan migrasi masyarakat luar bandar ke bandar di Perak

Kawasan Lembah Klang dan KL menjadi tumpuan untuk peluang pekerjaan. Imej dari Detik Finance.

Tidak dinafikan, kemajuan teknologi dan arus pemodenan menyebabkan orang Perak bermigrasi dari luar bandar ke bandar (Perak ke Lembang Klang/KL). Hal ini kerana peluang pekerjaan lebih banyak, malah mereka juga selesa tinggal di situ kerana corak pemikiran status tinggi mesti duduk di bandar.

Kesudahannya, mereka akan cenderung untuk menggunakan subdialek KL (cakap KL) berbanding menggunakan dialek Perak. Jika dibiarkan, ia akan menjejaskan pengetahuan orang ramai mengenai dialek Perak dan sebenarnya isu ini bukan berlaku di Perak sahaja, tetapi di seluruh Malaysia.

Banyak pihak yang bertanggungjawab cuba untuk memartabatkan dialek-dialek di Malaysia supaya ia tidak dilupakan oleh generasi akan datang. Contohnya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pernah kongsikan infografik tentang dialek-dialek Malaysia di media sosial. Jadi, takde lah korang kekok bila berjumpa dengan orang yang bercakap dengan dialek yang pekat.