- 1.1KShare sekarang!
- Email8
- Facebook1.1K
- Share
Rasanya, kehebatan drama-drama Korea (K-drama) memang tak dapat dinafikan lagi sekarang ni. Mana taknya, boleh dikatakan peminat K-drama ni ada di serata dunia. Malah, sejak kebelakangan ni – reputasi filem-filem Korea juga dah mendapat tempat di hati peminat-peminat filem, dan SOSCILI sendiri sebelum ni pernah senaraikan beberapa filem Korea yang korang patut tengok.
Kehebatan filem-filem mereka ni semakin terbukti apabila Parasite dinobatkan sebagai filem terbaik Anugerah Akademi (Oscar). Selain tu, siapa je yang tak pernah layan K-pop dan rancangan-rancangan hiburan Korea macam – Running Man, Two Days One Night, Knowing Brothers dan sebagainya.
Walaupun begitu, secara realitinya – Korea Selatan dan Malaysia sekarang ni berdepan dengan satu ancaman sama iaitu penularan wabak Covid-19. Ketika artikel ni ditulis, Korea dah mencatatkan lebih 9 ribu kes dan 120 kematian. Tapi apa yang menariknya, ketika negara tu berdepan dengan krisis ni – ramai di kalangan selebriti-selebriti Korea yang tampil membantu dengan memberikan sumbangan. Derma diorang tu pula, bukan sikit-sikit sebab ada diantaranya yang mencecah jutaan ringgit! Mungkin kita boleh mula dengan selebriti pertama iaitu:
1. IU – Derma hampir RM1.1 juta untuk kekang penularan Covid-19
Siapa yang tengok drama Hotel del Luna, mesti akan kenal dengan IU atau nama sebenarnya, Lee Ji Eun ni. Sebelum jadi pelakon – IU seorang penyanyi (masih lagi aktif menyanyi sampai sekarang) dan banyak jugalah lagu-lagu dia yang top. Dia juga pernah tersenarai di tangga ke-3 dalam Forbes Korea’s Top ‘Power Celebrity 40’ ranking pada 2012.
Sehingga tahun 2017, IU dah membintangi lebih kurang 44 buah iklan dan jumlah pendapatannya dari itu dijangka sekitar KRW 1 billion (RM3.6 juta). Berdasarkan laporan SBS pada tahun 2018, nilai bersih kekayaan IU bernilai sekitar USD 15 juta atau RM65juta (ikut nilai tukaran terkini).
Walaupun begitu, IU ni memang terkenal dengan sifat dermawannya sebab dia dah banyak menyumbang sejak dulu lagi. Contohnya, dia dah bangunkan Biasiswa IU di bekas sekolahnya dan derma sekurangnya RM356,000 untuk sebuah badan kebajikan – Green Umbrella Children’s Fund pada tahun 2017.
Dan ketika musim Covid-19 ni, IU sekali lagi muncul sebagai antara penderma yang aktif membantu negaranya. Dilaporkan, dia dah menyumbang sebanyak KRW 315 juta atau sekitar RM1.1 juta untuk beberapa badan berkepentingan, seperti kemudahaan kebajikan, penjagaan kanak-kanak, pusat kebajikan orang kurang upaya dan pusat kebajikan kanak-kanak kurang upaya.
Untuk selebriti seterusnya…
2. Lee Min Ho – Derma RM1 juta dan ada platform derma sendiri
Rasanya kalau tanya kepada kaum Hawa, ramai yang kenal dengan pelakon Korea ni. Nama Lee Min Ho mula meningkat naik masa dia membintangi drama Boys Over Flowers pada tahun 2009. Sejak tu, dia mula dapat banyak tawaran berlakon dalam drama, filem dan iklan. Punyalah popular dia ni sampaikan bayarannya untuk satu episod drama boleh mencecah sekitar RM250,000!
Disebabkan drama Korea ni selalunya ada 16 ke 20 episod, jadinya untuk satu drama – pendapatan yang dia dapat sekitar RM4 juta ke RM5 juta! Seorang lagi selebriti Korea yang dilaporkan dapat bayaran yang sama adalah Lee Seung Gi.
Walaupun macam tu, Min Ho ni juga suka bersedekah dan dia jadi antara selebriti Korea yang paling banyak menderma ketika negara tu berdepan dengan ancaman Covid-19. Dilaporkan, dia dah menderma sekitar KRW 300 juta (RM1 juta) kepada lapan buah organisasi penting, seperti – Community Chest of Korea, Good Neighbors, Hope Bridge Disaster Relief Association, Save the Children dan ChildFund Korea.
Sebelum ni pada tahun 2016, Min Ho dilaporkan dah menderma sebanyak RM190,000 kepada UNICEF Korea untuk penyediaan air minuman bersih kepada kanak-kanak. Dalam masa sama, Min Ho dan kelab peminatnya juga dah buka satu platform derma yang dikenali sebagai PROMIZ. Melalui platform ni, diorang akan kumpulkan dana dan berikannya kepada yang memerlukan.
“Bagi setiap ahli yang akan menyertai laman web ini, Lee Min Ho akan menyumbangkan KRW 100 dan semua hasil daripada produk yang akan dijual melalui laman web akan disumbangkan kepada mereka yang memerlukan.” – Dipetik dari Kpop Starz.
Seorang lagi selebriti yang derma dengan jumlah sama adalah…
3. So Ji Sub – Derma RM1 juta dan dianggap role model oleh kerajaan
Untuk So Ji Sub ni pula, dia memang dah lama mencipta nama dalam dunia seni Korea dan boleh dianggap sebagai artis senior jugalah di sana. Namanya mula terkenal pada tahun 2004 bila dia membintangi dua drama popular – What Happened in Bali dan I’m Sorry, I Love You. Sepanjang kariernya, dia dah membintangi 27 buah drama, 11 buah filem dan terima lebih 30 anugerah.
Disebabkan itulah dia jadi antara pelakon yang terima bayaran tertinggi di Korea. Menurut laporan, Ji Sub terima bayaran RM284,000 untuk setiap episod drama. Jumlah kekayaannya pula dianggarkan bernilai sekitar RM70 juta.
Tapi seperti juga yang lain, Ji Sub ni suka bersedekah dan banyak jugalah yang dia dah beri sebelum ni. Antaranya, pada tahun 2017, bila dia dah mendermakan RM390,000 dari keuntungan fan meeting-nya kepada kanak-kanak dari keluarga kurang berkemampuan dan tampung yuran psikoterapi untuk mangsa penderaan kanak-kanak.
Manakala untuk musim Covid-19 kali ni, Ji Sub dah derma sekitar RM1 juta kepada sebuah NGO – Good Neighbors. Derma ni nanti akan digunakan untuk menampung bekalan perubatan dan keperluan harian khususnya kepada kumpulan yang memerlukan.
Nama Ji Sub ni juga terkenal di kalangan agensi kerajaan Korea Selatan, kerana dia dianggap sebagai role model sebab seorang pembayar cukai yang bertanggungjawab.
Selain tu, ramai juga di kalangan bintang K-pop yang turut menyumbang.
4. Kebanyakan mereka menyumbang antara RM100,000 ke RM356,000
Sebenarnya ramai di kalangan bintang-bintang K-pop yang turut menyumbang semasa penularan Covid-19 ni antaranya:
- Suzy: RM356,000 kepada NGO.
- Teacyeon (2PM): RM178,000 kepada NGO Good Neighbors.
- Junho (2PM): RM106,000 kepada NGO World Vision.
- Son Naeun (Apink): RM179,000 kepada Daegu Social Welfare Fundraiser.
- Cha Eun Woo (Astro): RM109, 000 kepada mereka yang tak berkemampuan terima rawatan.
- Suga (BTS): RM356,000 kepada kampung halamannya Daegu, yang jadi antara tempat tertinggi kes Covid-19.
- Yeri (Red Velvet): RM35,000 kepada NGO.
- Zico: RM107,000 untuk membeli topeng muka dan pencuci tangan.
Dalam masa sama, syarikat hiburan juga turut membuat sumbangan seperti, Cube Entertainment (agensi untuk BTOB, PENTAGON, Jo Kwon dan sebagainya) sebanyak RM178,000. Selain tu, selebriti-selebriti yang kita selalu nampak dalam rancangan hiburan pun tak terlepas menderma seperti:
5. Yoo Jae Suk, Kang Ho Dong & Kim Jong Kook, masing-masing sumbang RM356,000
Selain dari golongan pelakon dan penyanyi, selebriti yang selalu muncul dalam rancangan hiburan pun turut sama menyumbang. Antaranya Yoo Jae Suk, pengacara nombor satu Korea. Berdasarkan laporan, pendapatan Jae Suk untuk setiap episod rancangan Running Man adalah sekitar RM52,000. Bagi rancangannya yang lain pula, Jea Suk dibayar sekitar RM37,000 per-episod.
Untuk seorang lagi pengacara terkenal Korea, Kang Ho Dong – dia juga dibayar dengan harga yang tinggi sama seperti Jea Suk iaitu sekitar RM37,000 per-episod. Manakala untuk Kim Jong Kook, tak ada laporan tentang bayarannya untuk per-episod. Sebaliknya, harta Jong Kook dipercayai bernilai sekitar RM70 juta.
Tapi apa yang bagus dengan diorang ni, masing-masing derma sekitar RM356,000 (KRW100 juta) untuk membantu Korea Selatan berdepan dengan ancaman Covid-19. Jea Suk mendermakan wang itu untuk membeli topeng muka dan pembersih tangan, Jong Kook pula kepada Korea Disaster Relief Association, manakala Ho Dong kepada ChildFund Korea.
Di Malaysia pun ramai pihak yang tampil membantu
Walaupun di Malaysia agak tak dengar tentang selebriti-selebriti yang menyumbang ketika negara berdepan ancaman Covid-19 ni. Kita masih lagi boleh nampak beberapa pihak korporat yang berbuat demikian. Antaranya seperti syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang dah menyumbang sekitar RM60 juta dalam bentuk perubatan, peralatan perubatan serta peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
Berjaya Group of Companies dan I-Berhad juga masing-masing dah menyumbang RM1 juta kepada tabung COVID-19. Nilai yang sama juga disumbangkan oleh Kumpulan Ranhill, DRB Hicom Berhad dan YTL Corporation Berhad.
Walaupun kita dengar diorang ni sumbang juta-juta, tu tak bermakna yang kita sebagai rakyat biasa ni tak boleh menyumbang sama. Sebabnya, banyak je tabung bantuan yang kita boleh sumbangkan dengan seikhlas hati, seperti:
- Tabung COVID-19 Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)
- Tabung Musa’adah COVID-19 Jakim
- Tabung COVID-19 MedTweetMY
- Mercy Malaysia
- Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 Sinar Harian
- Bantuan Kemanusiaan Covid-19 Media Prima Bhd
- Tabung PERWIRA COVID-19 Aman Palestin
- Kesatuan Pekerja Swasta Hospital Kerajaan
- FV COVID-19 Support Fund
- KitaFund Tabung COVID-19: Bantu Jiran Kita
Cara-cara macam mana nak salurkan sumbangan kepada tabung-tabung ni, korang boleh semak di sini.
- 1.1KShare sekarang!
- Email8
- Facebook1.1K
- Share